Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 30 April 2004
Oleh SMAHADZIR
Istilah kecanduan atau ketagihan cinta mungkin bukan istilah yang biasa menerjah ke telinga kita. Istilah yang sudah umum berlegar adalah seperti kecanduan atau ketagihan alkohol, narkotik, rokok, ganja, dadah dan sebagainya. Meskipun barang atau bendanya cinta, bukan bererti tidak membawa apa-apa kesan, baik fizikal mahupun mental. Justeru, kesan daripada kecanduan atau ketagihan cinta ini amat buruk terutama terhadap kesihatan jiwa seseorang.
Buktinya, sudah banyak kes bunuh diri atau pembunuhan yang terjadi akibat kecanduan cinta meski korban mahupun pelaku tidak menyedarinya. Jadi, rencana di bawah ini akan mengulas sekelumit persoalan yang berkaitan dengan kecanduan atau ketagihan cinta.
KECANDUAN ATAU KETAGIHAN PSIKOLOGI
Di dalam masyarakat sudah banyak kesalahan dalam memberi persepsi atau memaknakan cinta sejati dengan cinta yang bersifat ´candu´. Pelbagai filem, drama TV, ataupun lagu turut menjadi saham dalam menyemarakkan keadaan atau kedudukan kecanduan cinta dengan cinta sejati.
Akibatnya, ramai orang terjebak dalam pengertian yang keliru antara kecanduan cinta dengan cinta sejati. Contoh ekstrimnya, ada orang yang sanggup membunuh diri kerana ditinggalkan oleh kekasih dan masyarakat pula menilai bahawa cerita ini mencerminkan kisah cinta sejati.
TANDA-TANDA
Pada umumnya, individu yang mengalami kecanduan cinta menunjukkan tanda-tanda:
• Adanya fikiran obsesif, misalnya terus-menerus curiga akan kesetiaan pasangannya, terus-menerus takut ditinggalkan oleh pasangannya sehingga selalu mengikut ke mana pun perginya sang kekasih atau pasangan tersebut.
• Selalu menuntut perhatian dari waktu ke waktu tanpa ada toleransi dan pengertian.
• Manipulatif, berbuat sesuatu agar pasangan mengikuti kehendaknya atau memenuhi keperluannya, misalnya mengancam akan memutuskan hubungan jika mementingkan hobi daripada dirinya.
• Selalu bergantung kepada pasangannya dalam segala hal, apa pun juga, mulai daripada meminta pendapat, mengambil keputusan sehingga kepada memilih warna pakaian.
• Menuntut waktu, perhatian, pengabdian dan pelayanan total sang kekasih atau pasangannya. Jadi, pasangannya tidak perlu menekuni hobinya, berjalan-jalan dengan teman-temannya, bahkan memberikan sebahagian waktunya untuk orang tua atau keluarga.
• Menggunakan seks sebagai alat untuk mengendalikan pasangannya.
• Menganggap seks adalah cinta dan sarana untuk mengekspresikan cinta.
• Tidak mampu memutuskan hubungan, meski merasa amat tertekan kerana berharap kepada janji-janji manis pasangannya.
• Sanggup kehilangan salah satu hal terpenting dalam hidup, misalnya pekerjaan atau keluarga rapat demi mempertahankan hubungan dengan kekasihnya.
Jadi, tidak ada istilah puas dalam setiap hubungan yang terjalin antara orang yang kecanduan cinta dengan pasangannya; ibaratnya seperti mengisi gelas bocor yang tidak akan penuh jika diisi, kerana air yang dituang akan keluar melalui lubang yang bocor tersebut. Demikian juga dengan orang kecanduan cinta, mereka tidak pernah mampu membahagikan cinta secara tulus kepada orang lain kerana selalu merasa kehausan cinta.
Oleh sebab itu, ramai di antara mereka yang sering berganti pasangan kerana merasa harapan mereka tidak mampu dipenuhi oleh sang kekasih. Padahal, meski puluhan kali mereka berganti pasangan, individu yang kecanduan cinta akan sukar membangunkan hubungan yang stabil dan abadi.
Sayangnya, ramai daripada mereka yang terlibat ini tidak sedar bahawa sumber masalah ada pada diri mereka sendiri sedangkan mereka lebih suka menyalahkan bekas kekasih atau pasangan mereka.
PENYEBAB
Sebenarnya, kecanduan cinta itu adalah kecanduan yang bersifat psikologi kerana tidak terpenuhnya keperluan psikologi (seperti kasih sayang, perhatian, dan penerimaan sekukuhnya) semasa kecil.
Menurut Erik Erikson - seorang pakar perkembangan psikososial, seseorang yang pada masa kecilnya tidak mengalami hubungan keakraban emosional yang stabil dan positif dalam llingkungannya (orang tua dan keluarga), akan sukar mempercayai orang lain bahkan sukar mempercayai dirinya sendiri.
Selain itu, trauma psikologi yang pernah dialami seperti penyeksaan emosional dan fizikal pada usia kecil, atau menyaksikan sikap dan tindakan salah seorang orang tua yang agresif dan kasar terhadap pasangan, mampu menghadang proses kematangan identiti keperibadian dan kestabilan emosinya. Pemandangan dan pengalaman tersebut kelak berpotensi mempengaruhi pola interaksinya dengan orang lain.
Keterbatasan tindak balas atau perhatian dari lingkungan pada waktu itu, dipersepsikan olehnya sebagai suatu bentuk penolakan; dan penolakan itu (menurut pemahaman seorang anak) disebabkan kekurangan dirinya. Jadi, kepada ramai orang atau masyarakat, masalah ini rupanya tidak mampu diselesaikan dan akibatnya, sepanjang hidupnya ia terpaksa berjuang untuk mengendalikan lingkungan atau orang-orang terdekat supaya selalu memperhatikannya.
Individu sedemikian berusaha membuatkan dirinya diterima dan dimiliki oleh orang lain meskipun harus mengorbankan dirinya sendiri. Individu ini begitu cemas dan takut jika kehilangan orang yang selama ini memilikinya; kerana perasaan dimiliki ini identik dengan harga dirinya dan sebaliknya ia akan kehilangan harga diri jika kehilangan pemilik.
KESAN ATAU AKIBAT
Akibat kecanduan cinta boleh dirasakan secara langsung oleh orang yang terlibat, kerana orang itu tidak dapat menikmati hubungan yang terjalin kerana fikiran dan perasaannya selalu diliputi ketakutan. Dan seringkali ketakutan tersebut semakin tidak rasional dan melahirkan tindakan yang tidak rasional pula, misalnya tidak membenarkan pasangannya pergi kerja kerana takut diganggu / direbut orang.
• Bagi Individu Berkenaan
Akibat atau kesan jangka pendek dan jangka panjang bagi individu yang berkenaan ialah akan berada dalam keadaan atau kedudukan emosi yang tidak tetap dan menjadi terlalu sensitif. Individu tersebut mudah curiga kepada teman, sahabat, aktiviti, pekerjaan, bahkan keluarga pasangannya.
Selain itu dia menjadi mudah marah, cepat tersinggung dan bagi sebahagian orang bahkan ada yang sanggup bertindak agresif dan kasar demi mengendalikan keinginan dan kehidupan pasangannya. Pasangannya tidak diizinkan untuk mempunyai agenda tersendiri; pada dasarnya harus mengikuti keinginannya dan seratus peratus memperhatikannya. Individu tersebut juga mudah merasa lemah, pesimis dan rimas.
Sebabnya ialah seluruh tenaganya sudah digunakan untuk mengawal ketakutan yang tidak beralasan dan melakukan tindakan untuk mengawal sempadan pertahanannya. Jadi, kehidupan sedemikian akan membuatkan dirinya menjadi manusia yang tidak produktif. Sehari-hari yang difikir dan diusahakannya hanyalah bagaimana supaya miliknya terjaga rapi tanpa sebarang gangguan penceroboh.
• Bagi Pasangan
Ramai orang yang tidak sedar bahawa dirinya terlibat dalam pola hubungan yang ´addictive´ sehingga akhirnya ia merasa ´stress´, tertekan namun tidak berani atau takut atau tidak bertenaga untuk memutuskan hubungan yang sudah berjalan beberapa waktu.
Bagi sebahagian orang yang cukup sedar dan mempunyai kekuatan peribadi, ia akan berani mengambil sikap tegas dalam menentukan arahnya sendiri. Namun, ramai pula orang yang memilih untuk tetap dalam lingkaran ´demand-supply´ tersebut kerana ternyata dirinya sendiri juga mengalami masalah dan keperluan yang sama.
Jika demikian halnya, maka hubungan yang ada bukannya mengembang dan mendewasakan kedua-dua belah pihak, malah semakin memperkuatkan kebergantungan cinta kedua-duanya. Situasi inilah yang sering dikaburkan dengan hubungan yang romantis dan cinta buta.
PENGHALANG
Menurut para ahli psikologi dan kesihatan mental, salah satu syarat utama untuk mampu menjalinkan hubungan yang sihat dan sekali gus menjalani kehidupan yang produktif adalah mempunyai kesihatan mental yang sihat dan identiti diri yang ´mapan´.
Keadaan atau kedudukan positif sedemikian akan menumbuh serta menyuburkan rasa percaya terhadap diri sendiri yang kuat sehingga orang tersebut tidak memerlukan sokongan atau bantuan serta pengakuan orang lain dalam memperkukuhkan ´sense of self´nya. Jadi, untuk mengembalikan seseorang itu kepada bentuk hubungan yang sihat, langkah awal yang diperlukan adalah memperkuatkan peribadinya terlebih dahulu.
Dengan meningkatkan sumber kekuatan psikologi secara dalaman, akan mengurangkan kebergantungannya kepada kekuatan luaran. Seseorang itu harus merasa aman dan percaya dengan dirinya sendiri sebelum boleh merasa aman dalam setiap jalinan hubungan dengan orang lain. Ada kalanya, orang-orang sedemikian memerlukan bantuan para profesional untuk membimbing dan mengarahkan mereka membangun serta menyuburkan peribadi yang positif.
• Laman Web Porno dan Kesihatan Mental
Menurut pengkaji, dari sekitar 1.8 juta warga negara jiran kita Indonesia yang sudah mengenal dan mengakses internet, 50 peratus di antaranya ternyata tidak mampu menahan diri untuk tidak melayari laman web porno. Demikian yang diungkapkan oleh Richard Kartawiberjaya, Wakil Presiden Asosiasi Piranti Lunak dan Telematik Indonesia, dalam paparannya di seminar ´dies natalis´ ke-46 Fisipol UGM di Gedung UC, Yogyakarta, 19 Oktober 2001. Selain mengakses laman web porno, menurut Richard, pada 2-3 bulan pertama internet lebih banyak digunakan untuk bermain ´games´.
Penggunaan internet untuk mengakses laman-laman web porno memang sangat sukar untuk dihindari, mengingatkan kita bahawa laman-laman web semacam itu tersedia sangat banyak dalam dunia maya tersebut. Menurut hasil penelitian Alvin Cooper (1998) dari San Jose Marital And Sexual Centre, yang tertuang dalam bukunya ´Sexuality And The Internet: Surfing Into The New Millennium´, seks merupakan topik utama yang dicari para pengguna internet di Amerika.
Kenyataan yang ada di Indonesia ketika ini nampaknya tidak jauh berbeza dengan negara kita Malaysia dan juga lain-lain negara di dunia ini. Hal itu jelas dengan kemasukan laman-laman web porno di ´search engine´ sebagai Top 10 Website yang paling ramai dikunjungi.
Dengan melihat jumlah pengakses laman-laman web porno di internet yang cenderung meningkat dari hari ke hari, maka perlu diwaspadai kesan penggunaan teknologi tersebut terhadap kesihatan mental dan hubungan ´interpersonal user´ atau ´netter´. Para pakar psikologi dan pakar sosial lainnya telah lama menaruh perhatian terhadap kesan yang dicagunkan oleh laman-laman web porno atau sering disebut juga sebagai ´CYBERSEX´ ini.
Ada dua pandangan yang wujud berhubung dengan persoalan tersebut. Pertama, pandangan yang menganggap bahawa laman web porno mendorong terjadinya hal-hal yang bersifat patologi bagi pelayarnya.
Pandangan ini cenderung berfokus kepada perilaku ´addictive´ dan ´compulsive´. Kedua, pandangan yang menganggap bahawa laman web porno hanya merupakan sarana untuk mengekplorasi dan mencari informasi mengenai masalah-masalah seksual. Dengan kata lain mengakses laman web porno merupakan suatu ekspresi seksual.
• Patologi
Beberapa pengkaji mengungkapkan bahawa laman web porno mendorong terjadinya tindakan kriminal dan perilaku seks menyimpang. Menurut kajian mereka, laman web porno memungkinkan ´user´ atau ´netter´ cenderung melakukan pelbagai komunikasi erotik melalui komputer mulai dari peringkat yang bersifat godaan atau kelakar atau jenaka porno, pencarian dan tukar-menukar informasi mengenai pelayanan seksual sehingga kepada diskusi terbuka tentang perilaku seks menyimpang.
Selain itu, komunikasi melalui internet sering kali digunakan untuk mengeksploitasi pornografi yang melibatkan anak-anak dan remaja serta alat yang dipakai untuk menyembunyikan identiti seksual seseorang dengan tujuan tertentu. Penelitian pertama yang menyelidiki tentang kecanduan mengakses laman web porno dilakukan oleh Bingham dan Piotrowski (1996).
Hasil penelitian mereka yang tertuang dalam ´Psychological Report´ berjudul ´On-line Sexual Addiction: A Contemporary Enigma´ mengungkapkan 4 (empat) karakter yang terdapat pada individu pecandu laman web porno (addicted to cybersex). Keempat karakter tersebut adalah:
1. Ketrampilan sosial yang tidak memadai.
2. Bergelut dengan fantasi-fantasi yang bersifat seksual.
3. Berkomunikasi dengan figura-figura ciptaan hasil imaginasinya sendiri.
4. Tidak mampu mengendalikan diri untuk tidak mengakses laman web porno.
Sementara itu penelitian terhadap perilaku kompulsif dalam mengakses laman web porno terungkap bahawa perilaku tersebut didorong oleh faktor-faktor seperti kesepian (loneliness), kurang percaya terhadap diri sendiri (lack of self-esteem), dan kurangnya pengendalian diri terhadap masalah seksual (lack of sexual self-control).
• Ekspresi Seksual
Berbeza dengan pandangan yang menganggap bahawa laman web porno mendorong terjadinya masalah yang bersifat patologis, beberapa pengkaji melihat bahawa laman web porno sebagai tempat yang menyediakan pelbagai informasi ´supercepat´ mengenai masalah-masalah seksual dan sekali gus menawarkan cara-cara yang baru dan tersembunyi (paling tidak pelayar merasa tidak ada orang lain yang tahu) untuk memuaskan keingintahuan mereka dalam melakukan explorasi seksual.
Kewujudan laman web porno dinilai dapat membantu pasangan yang mengalami masalah dalam hubungan seksual kerana menyediakan pelbagai informasi yang kadang-kadang ´enggan´ untuk dibicarakan secara langsung oleh pasangan tersebut. Menurut Leiblum (1997) dalam Journal of Sex Education and Therapy berjudul ‘Sex And The Net: Clinical Implications’, laman web porno merupakan sarana ekspresi seksual yang memiliki huluran secara kontinum dari sekadar rasa ingin tahu sehingga pada perilaku obsesif.
Bagi individu yang memerlukan terapi seksual, media seksual on-line sering kali dianggap mampu mengakomodasi hal-hal yang berkaitan dengan isolasi sosial dan ketidakbahagiaan dalam hidup. Lieblum membezakan 3 (tiga) karakter klinikal daripada para pengakses laman web porno. Ketiga profil tersebut adalah:
1. Loners, di mana seseorang itu (user) menganggap bahawa laman web porno boleh menjadi alat untuk mengakomodasi masalah-masalah atau hal-hal yang tidak menyenangkan dalam hidup.
2. Partners, di mana laman web porno dianggap sebagai sebahagian dari pasangan hidup si pelayar. Ketika pelayar mengalami masalah ia dapat mencari pilihan melalui laman web porno.
3. Paraphilics, di mana seseorang itu bergantung kepada laman web porno untuk memberikan stimulasi dan kepuasan seksual.
Berdasarkan pandangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa jika seseorang itu hanya menganggap bahawa laman web porno sebagai alat untuk mengakomodasikan masalah-masalah seksual saja maka ia tidak perlu digolongkan sebagai seseorang yang memiliki masalah kejiwaan.
Pada peringkat berikutnya di mana pelayar menganggap laman web porno sebagai ´partner´ yang perlu digunakan sebagai sarana untuk mencari pilihan terhadap permasalahan yang dihadapinya, sebenarnya individu tersebut sudah memasuki titik yang rawan untuk menuju ke peringkat berikutnya lagi iaitu peringkat ´paraphilics´, jika ia tidak mampu mengendalikan diri dan tidak segera menyelesaikan masalah yang ada dengan pasangannya.
Sama halnya dengan beberapa perilaku adiksi yang lain (misalnya perjudian, alkohol, arak, dadah dan sebagainya), maka jika individu tersebut sudah masuk ke peringkat ketiga maka boleh dipastikan bahawa ia memiliki masalah kejiwaan yang berkaitan dengan perilaku adiksi.
Daripada huraian di atas, dapatlah dikatakan bahawa pengguna internet memiliki pelbagai tujuan dan alasan dalam mengakses laman web porno. Apakah anda akan menggunakan laman web tersebut untuk tujuan-tujuan yang positif demi kebahagiaan hidup anda dan pasangan anda atau sebaliknya? Semua itu terserahlah kepada anda sendiri untuk memikirkannya.
Berasumsi bahawa semua pengakses internet memiliki masalah-masalah patologis tentu sangat tidak adil. Namun demikian, hal yang perlu diperhatikan adalah jangan keterlaluan sehingga laman web porno dijadikan ´menu harian´ dalam mengakses internet. Selain itu, bagi anda yang sudah memiliki pasangan hidup, jika mengalami masalah-masalah seksual hendaklah membicarakannya dengan pasangan anda secara berhikmah terlebih dahulu.
Justeru di negara kita Malaysia sehingga ketika ini belum ada aturan atau tata cara yang mengawal penggunaan teknologi internet ini, maka kendalian sepenuhnya ada di tangan anda. Laman web porno yang sudah demikian marak dalam dunia maya wajar dijadikan satu cabaran untuk kita dalam menguji sejauh manakah akal kita dapat berfungsi secara positif dalam aspek mencari ilmu dan maklumat.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan