SMAHADZIR
HARI ini, selaku
ketua masak, Mak Jemiah masak lagi. Tapi, baru kali pertama, dia masak gulai luar
biasa kombinasi ikan dan daging. Katanya, dia akan membuat gulai unik. Ini
resepi baru. Sebab, dalam sejarah masak-memasak di Kampung Pusing, ikan dan
daging sama sekali tidak pernah bertemu dalam satu kawah. Dalam undang-undang
jual belipun, kedua-dua jenis ini memiliki perbezaan harga yang cukup jauh. Daging
kambing, di mana-manapun, harganya selalu lebih tinggi ketimbang ikan keli.
Daging kambing memang hanya diperlukan dalam
waktu atau peristiwa tertentu. Seperti peristiwa hari ini, majlis YB bertemu
rakyat, biasanya, daging kambing dalam bentuk bakar, selalu hadir berdampingan
dengan makanan Barat lain. Sementara, ikan keli selalu jadi santapan orang
kecil di rumah-rumah kerdil saja.
Kata Mak Jemiah lagi, daging kambing memang
eksklusif dibandingkan ikan keli. Daging kambing, tidak mampu dibeli oleh semua
orang, kerana tidak semua orang ada duit. Sementara, ikan keli boleh dibeli
semua orang, harganya murah saja.
“Pokoknya, ikan keli yang sering kita masak
itu lebih disukai YB daripada daging kambing terutama musim pilihan raya,” ujar
Mak Jemiah sembari tersengih.
* * *
Hari masih pagi. Beberapa
orang perempuan di gedohok balai raya sudah berkumpul untuk memasak. Mereka
duduk melingkar, masing-masing sibuk menyiang daging kambing dan ikan keli.
Beberapa orang perempuan kelihatan saling berbisik. Sudah pasti membicarakan
keanehan resepi gulai Mak Jemiah pagi itu.
“Mau jadi apa kambing dan keli dicampur. Aku
belum pernah buat gulai seperti ini,” ujar Mak Kiah.
“Kita tengok saja
nanti. Mungkin rasanya lebih sedap dari gulai kawah rias pisang campur daging,”
balas Mak Bedah pula.
“Selama aku hidup
ni, baru sekali ini saja jumpa gulai kambing campur keli,” ujar Mak Tijah.
“Aku pun,” Mak
Sodah menokok.
“Tapi, aku akan
larang laki aku datang makan. Takut keracunan,” ujar Mak Kiah.
“Aku rasa Jemiah sedang merancang sesuatu
terhadap YB,” Mak Konah tumpang sekaki, “Tak lama lagi pilihan raya...”
“Ssssst, Jemiah
datang,” Mak Sodah separuh berbisik.
Merekapun
menghentikan perbualan sambil bersiku-sikuan kerana Mak Jemiah sudah di
belakang mereka.
“Bagaimana kawan-kawan
semua?” Mak Jemiah membuka pembicaraan, seolah-olah menangkap semarak kehairanan
kumpulan perempuan tersebut.
Perempuan-perempuan
itu masih kelihatan terkebil-kebil. Mereka senyum, tapi terpaksa, sekadar untuk
membuang sangkaan buruk.
“Kalau sudah
selesai, kita akan masak gulai keli kambing ni,” ujar Mak Jemiah sambil
tersenyum.
“YB datang pukul
berapa?” tanya Mak Bedah ingin tahu.
“Lepas solat Zohor...
orang-orang kuat partipun diundang juga. Kita mesti siapkan semua masakan
sebelum Zohorlah!”
Menjelang
kerja-kerja memasak, mereka yang membantu di balai raya Kampung Pusing itu sudah
mengumpulkan puluhan biji nyiur, untuk santan gulai kambing dan keli tersebut. Mak
Jemiah kemudiannya menyuruhku, yang tadinya cuma menjadi pendengar, mengambil
parang dan baldi penadah air nyiur.
“Makcik, kenapa
santannya tak dibeli saja di supermarket. Kan ada santan kotak yang sudah
tersedia,” protesku kerana tidak mahu kehilangan kesempatan melihat budaya
gotong-royong di balai raya Kampung Pusing itu.
“Shuib, kalau kita
beli santan di supermarket, kita tak boleh berbahagi rezeki dengan penjual
nyiur di kampung ini. Lagipun, kalau kita beli di supermarket, sama saja
kita sedang menimbun gunung. Sebab tuan punya kedai besar itu bukan orang
sembarangan, tapi orang yang duitnya sudah menggunung, bukan orang seperti penjual
nyiur di kampung kita. Jadi, kalau kita diberi kesempatan untuk membantu orang
seperti penjual nyiur, kenapa harus kita sia-siakan?” jelas Mak Jemiah sambil
tersenyum.
Aku tercenung sejenak
dengan ucapan Mak Jemiah yang filosofis itu. Benar juga kata Mak Jemiah. Aku
terkenang nasib salah seorang peniaga berus sabut nyiur yang kini menjadi
penarik beca, setelah orang ramai memilih membeli berus plastik keluaran
kilang. Padahal, kalau mahu dikira untung rugi, berus sabut buatan tukang beca
itu lebih kuat ketimbang berus plastik buatan kilang. Tentu saja, kerana
prinsipnya dengan kilang berbeza. Prinsip kilang, hari ini terjual, besok pagi
kalau boleh sudah rosak dan orang beli lagi. Sementara peniaga berus sabut nyiur
berprinsip, hari ini terjual satu, besok atau lusa harus terjual lebih dari
satu, kalau boleh orang bersedia membantu menjual ke serata kampung.
Pembuat gasing di belakang rumahku juga tak
jauh beza nasibnya. Sejak tahun 80-an dia membuat gasing kelas wahid. Kepiawaian
gasingnya bukan hanya dalam kalangan budak-budak kampung kami saja, tapi
menyebar sampai ke para peniaga kraftangan. Dalam satu hari, pembuat gasing
yang handal itu boleh mengaut untung 50-100 ringgit. Tapi sejak televisyen
banyak menampilkan filem-filem tembak-menembak, ibubapa lebih suka mengenalkan
anak-anak dengan pistol-pistol plastik buatan kilang, daripada gasing. Kini,
pembuat gasing itu terpaksa membanting tulang menjadi buruh bangunan, mengasar
dan melambankan jari-jarinya yang suatu ketika dulu amat gesit dan dinamik
dalam aspek membuat gasing.
Aku yakin
jari-jarinya kini tidak mampu lagi membuat gasing; hancur sudah, gerakan dan
sentuhannya disagat bata merah, simen kering, dan gagang sekop. Jadi segera aku
ambil parang dan mulai mengupas nyiur sambil membayangkan senyum peniaga nyiur
boleh bertahan lebih lama bahkan selama-lamannya.
Lepas Zohor, gulai
sudah hampir siap. Mak Jemiah mulai meramu bumbu dan racikan khusus untuk gulai
istimewa hari itu. Sementara, Mak Bedah, Mak Sodah, Mak Tijah, Mak Kiah dan
lain-lain lagi sudah ada di hadapan Mak Jemiah. Sehingga selesai Zohor itu, kenapa
Mak Jemiah masak gulai tersebut belum juga terjawab.
“Jemiah, boleh aku bertanya?” tanya Mak Bedah.
Mak Jemiah tersenyum, “Nak tanya apa?”
“Aku ini masih bingung, gulai kambing campur keli
tak pernah dibuat orang,” ujar Mak Bedah, terpisat-pisat biji matanya.
“Aku nak buat kejutan di Kampung Pusing ini.
Ini sajian istimewa, dan akan diperuntukkan kepada orang-orang yang istimewa
juga,” jawab Mak Jemiah bersahaja.
Mak Bedah, Mak Sodah, Mak Tijah, Mak Kiah dan
lain-lain saling pandang memandang. Mereka tak berani lagi bertanya kerana bimbang
Mak Jemiah tersinggung. Masing-masing mulai menebak-nebak.
“Agaknya ini resepi dari Juliana, anak Jemiah
yang kuliah di jurusan perhotelan,” ujar Mak Kiah.
“Mungkin juga dari buku resepi kiriman anak
saudaranya yang jadi pramugari tu,” balas Mak Sodah.
“Hushh, di luar negeri mana ada daging kambing,”
tukas Mak Tijah.
“Laa.. jangan tak tahu... tempe, nasi lemak, sate...
sudah banyak dijual di luar negeri, jadi makanan mewah lagi,” tegas suara Mak
Kiah.
“Sudah... jangan bergaduh, kita tunggu saja
nanti,” balas Mak Bedah.
Masih banyak persoalan yang cagun, tapi aku
sudah kurang tertarik tentang perempuan-perempuan itu. Menurutku, sudah kurang kritis
kerana makin cenderung menerima eksistensi eksperimen Mak Jemiah. Jadi akupun
mulai melaksanakan instraksi Mak Jemiah selanjutnya; mengatur puluhan hidangan untuk
menyambut kehadiran YB ke Kampung Pusing.
Kerana Mak Jemiah dibantu beberapa orang perempuan,
aku tak mahu kalah pula dengan memanggil kaum lelaki di Kampung Pusing ini. Bezanya
kaum lelaki di kampung ini memang tak sekritis kaum perempuan yang membantu Mak
Jemiah di gedohok. Lebih-lebih lagi setelah disodorkan kopi dan rokok kretek,
sama sekali tak ada cabaran atau pertanyaan kecil kendatipun yang harus
kuhadapi dari mereka, walaupun aku sendiri sebenarnya tertanya-tanya kerana
daftar nama undangan adalah daftar nama yang sering disebut-sebut oleh akhbar,
radio dan tv. Daftar nama undangan di tangan Mak Jemiah hampir sama dengan
daftar lengkap nama YB ketika kempen pilihan raya dulu. Lengkap dari empat
parti gabungan.
Akupun tergesa-gesa mencari Mak Jemiah.
“Makcik Jemiah, yang diundang itu semua YB,
ya?!”
“Ya!”
“Tapi nama-nama dalam senarai ni ramai yang pernah
kalah bertanding dalam pilihan raya dulu,”
“Apa salahnya?” jawab Mak Jemiah menamatkan
pertanyaanku.
Aku makin tertanya-tanya. Mak Jemiah
kemudiannya menyodorkan beberapa helaian kertas. Ada sederet nama bakal YB yang
tidak jadi YB, kerana kalah dulu. Kubaca dari muka surat ke muka surat. Ada
ragam berita dan kenyataan yang menimpa para YB kalah itu. Salah seorang jadi separuh
mereng kerana hampir semua hartanya terkuras untuk proses pencalonan. Gagal
jadi YB, kini setiap pagi dia keliling ladang getah pakai kot lengkap berdasi tapi
berseluar pendek. Dasinya besar, bergambar bangunan parlimen. Di ladang getah,
dia menemui setiap penoreh, dan mencatat semua keluhan mereka, seperti ahli
parlimen yang sedang bersedia untuk berdialog dengan konstituennya.
Ada juga yang gila total dan sempat masuk
hospital bahagia Tanjung Rambutan. Awalnya depresi kerana hartanya ludes semua.
Kebun kopi yang menjadi andalan nafkahnya terjual untuk biaya kempen. Keluar
dari hospital dia selalu berdasi, tapi tak pakai baju. Setiap pagi, lelaki
berdasi tanpa baju ini membawa peta hitam, lalu menahan setiap orang yang lalu
di depan rumahnya. Aku pernah jadi sasarannya, dan dari helaian kertas Mak
Jemiah itu baru aku tahu bahawa dia bekas pengusaha kopi yang gagal jadi YB.
Waktu itu pengusaha kopi tersebut masih juga
berkempen walau keputusan pilihan raya sudah disahkan Suruhanjaya Pilihanraya.
“Jangan lupa nanti pilih aku. Kalau aku dapat projek, kamu juga akan dapat
bahagian,” begitulah salah satu pesan kempennya yang masih kuingat.
Isterinya
dilaporkan hanya menangis, sampai hampir separuh mereng juga. Dan tak ada yang
boleh mereka lakukan kerana kos rawatan di hospital jiwa tak terjangkau lagi.
Harta sudah habis.
Masih banyak lagi kisah sedih dan unik para
calon YB yang kalah ini. Hampir semua beritanya disimpan oleh Mak Jemiah. Dan lepas
Zohor ini mereka akan datang ke balai raya Kampung Pusing, dengan hidangan gulai
ikan keli campur daging kambing. Hairan, kenapa Mak Jemiah mengundang mereka?!
Aku masih tertanya-tanya.
* * *
Tiba masanya. Para
undangan mulai berdatangan. Kaum perempuan yang membantu Mak Jemiah memasak gulai
tak lagi bertanya-tanya. Kaum lelaki yang membantu persiapan hidangan kembali
menikmati kopi dan rokok. Semua sudah bersedia di hadapan para undangan. Yang
aneh, tak seorangpun YB menang yang diundang.
Tidak ada agenda ucapan politik seperti yang
aku sangkakan selain datang, makan dan pulang. Dengan karakter penampilan
masing-masing, para tetamu awal tiba. Ada yang pakai seluar panjang hitam, dasi
merah, tapi hanya dengan singlet putih. Ada yang menunggang basikal tua, dengan
poster nama serta partinya di bahagian depan dan belakang, seperti orang
berkempen.
Undangan berikut
terus menyebarkan potongan daun, katanya, kad namanya. Dengan ulah dan gaya
para undangan yang unik itu, kaum perempuan di hadapan gedohok dan orang-orang
kampung di luar pagar balai raya tertawa terkekek-kekek. Hanya kaum lelaki di
ruang balai raya yang tetap tenang, menikmati kopi dan kretek masing-masing.
“Jemiah, balai raya kampung kita ni dah jadi
seperti Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Mengumpulkan orang-orang yang kurang
waras,” ujar Mak Bedah tak dapat ditahan-tahan.
Mak Jemiah hanya
tersenyum.
Di tengah riuhnya
gelak ketawa itu, salah seorang YB kalah, yang pakai kot dan seluar pendek,
mengamati gulai dengan serius, lalu berkata dengan serius juga, seserius
anggota dewan yang sedang bersidang.
“Mak Jemiah, gulai ini boleh menjadi komoditi
eksport terkemuka. Ini boleh menambah pendapatan asli daerah kita. Nantilah,
kalau aku sudah resmi dilantik jadi ahli parlimen, gulai ini akan kita tawarkan
ke pihak asing. Tapi kalau boleh tahu, gulai ini dibuat dari apa, ya?”
Semua orang menunggu jawapan Mak Jemiah, dan
walau sedar bahawa yang dihadapi adalah YB separuh gila, Mak Jemiah tetap
menjawab pertanyaan YB kalah tersebut yang berkot dan berseluar pendek itu.
“Gulai ini dibuat dari dua jenis haiwan. Ikan keli
dan daging kambing,”
“Ikan keli dan daging kambing? Eh, seperti
pepatah orang Jawa yang ertinya, gila-gila waras!” kata YB kalah yang berkot
dan berseluar pendek tersebut. Lalu diapun menghirup kuah gulai tersebut yang
sejak tadi di depannya.
“Iya, seperti sajak, gila-gila waras,” tambah YB
kalah yang berbasikal pula.
“Harus disosialisasikan kepada masyarakat umum
lain,” ujar pula YB kalah berdasi dan bersinglet koyak.
“Kita perjuangkan menjadi masakan tradisi daerah,”
sambung YB kalah berbaju safari dengan seluar batik.
Kaum perempuan tertawa berdekah-dekah,
orang-orang kampung di luar pagar turut terbahak-bahak, sedang kerumunan lelaki
yang membantu hidangan cuma tersenyum. Tapi puluhan YB kalah dari empat parti gabungan
itu tidak peduli pada suara orang ramai, sama seperti tidak pedulinya pada
nasib masyarakat ketika mereka berkempen. YB-YB kalah tersebut tak sedar bahawa
aksi serius mereka jadi bahan ketawa. Mereka tetap serius menghirup kuah gulai keli
campur kambing sambil membahas pro dan kontra untuk membawanya sebagai makanan
tradisi daerah.
Beberapa orang aku lihat mulai kasak-kusuk menyusun
koalisi ikan keli dan daging kambing; waras dan gila. Dan tawa kami semua
semakin bingar, termasuk para lelaki yang mulai kehabisan kopi dan rokok.
Esok paginya, Mak Jemiah menyuruhku membuang
sisa gulai berformat ikan keli dan daging kambing itu ke dalam parit belakang
balai raya. Sambil berjalan aku berfikir; bagaimana kalau aku usul agar Mak
Jemiah mengundang para YB yang sekarang sedang enak di kerusi empuk. Tapi
agaknya... apa resepi terbaru Mak Jemiah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan