Cerpen ini telah disiapkan pada 23 Julai 2004 dan akan diedit dari masa ke semasa
Rien Ingin Jadi
Piranha
SMAHADZIR
RIEN riang menatap
langit. Langit cerah. Awan bergumpal berarak iseng ke jihat tenggara. Mata Rien
tunak memerhatikan gerakan awan. Semakin jauh dan semakin jauh. Jemu memandang
langit, Rien menatap pula air tenang di hadapannya. Kolam empat segi. Tepiannya
pokok-pokok air bersama kiambang berbunga mekar. Pepatung dan rama-rama
berterbangan, hinggap dari bunga ke bunga kiambang di atas air. Sesekali Rien
ketawa menampakkan geripis giginya satu-satu.
Begitu setiap pagi dan petang Rien
menatap langit. Jemu menatap langit Rien beralih ke kolam. Rien gembira melihat
langit dengan gumpalan awan yang bergerak iseng. Rien juga gembira melihat air
dalam kolam berpendar, garis-garisnya melingkar. Rien gembira melihat batu-batu
yang diam di sisi rumput yang bergoyang ditiup angin. Rien ketawa kala melihat
biji bunga matahari gugur ke tanah.
Sehelai daun primrose lepas dari tangkainya, melayang dibawa
angin, jatuh di hadapan Rien. Kanak-kanak perempuan comel yang bersimpuh di
sisi sebuah pasu bunga honeysuckle itu gesit memungutnya, kemudian memasukkan
daun tersebut ke tempat sampah sisinya. Selepas itu, Rien kembali meneruskan
tugasannya. Melambai-lambaikan tangannya yang putih lembut menampan angin yang
bertiup, kemudian menatap langit nun jauh di atas sana, berangan-angan
mengepakkan sayapnya terbang di celah-celah gumpalan awan gemawan. Selesai berangan,
dia kembali melihat kolam, melihat pepatung dan rama-rama berterbangan dan
hinggap dari bunga ke bunga kiambang di atas air.
* * *
Hari ini agak lain
sedikit. Rien, kanak-kanak kecil enam tahun usianya itu, tidak lagi duduk di
ruang halaman tetapi duduk di muka jendela. Tunak matanya jatuh pada taman
bunga, honeysuckle kekuningan tepian jendela. Burung gereja berkepak
kabur berceridau bingar. Angin bersiut kelopak bunga kertas gugur. Kolam
berpendar, garis-garis melingkar. Batu diam rumput bergoyang. Biji bunga
matahari gugur ke tanah.
Matahari
mengelusnya ramah. Pagi merekah. Biji kapas terbelah.
Rien,
kanak-kanak kecil enam tahun usianya itu, duduk tetap di muka jendela. Tatapan
matanya rembulan.
Ke
mana burung-burung pergi. Ke mana honeysuckle setelah dipeluk bumi.
Sehelai daun maple kuning perang terpelanting mencapai tepi kolam. Air
beriak burung berarak, di langit. Di langit tanpa batas.
Rien
menengadah.
Tepat
pukul 07.15, waktu pagi masih menyimpan kabus, sisa salji awal musim panas
menitis dari genting satu-satu, menitis pula di pucuk daun primrose,
Rien melemparkan anak ayam terikat kakinya ke kolam. Air merah seketika. Merah
darah. Piranha-piranha berpesta.
Rien
tertawa kecil. Kelihatan barisan giginya. Putih, coklat, putih. Satu dua
geripis. Dia mengangkat bahu, dua tangannya melintang di pinggangnya yang kecil
terbalut gaun mini merah hati semerah permukaan air kolam.
“Rien...”
Suara-suara
itu datang dari jauh, membentur tembok kukuh pagar rumahnya, merayap di lubang
angin. Suara-suara itu seperti datang dari seberang benua menumpang kapal
bersauh.
“Rien...”
Rien
mendengar, daun telinganya bergerak-gerak menelusuri sumber suara. Tetapi Rien
terlalu asyik mengamati piranha, yang menggeliat-geliat di kolam, yang
merentangkan sirip-siripnya, menggoyangkan ekornya. Rien, gadis kecil berambut
jagung, bermata biru cantik, berkalung manik-manik aneka warna, takjub
memandang piranha.
Ikan-ikan
berdada merah bermulut gergaji itu kelihatan berbaris mengitari kolam 6 X 5
meter. Gerakannya gesit dan ringan secepat mulutnya meratah mangsanya. Sisa
darah menggenang di permukaan kolam. Merah bening sedikit jingga
memantul-mantul dibuai embun. Aduhai, alangkah indahnya.
“Rien
suka piranha kerana mereka suka makan berebut,” ujarnya ketika merengek minta
dibelikan red-bellied piranha.
Ayahnya
terpaksa pulang demi Rien. Sekotak benih piranha ditebar di kolam belakang
rumah. Tiap pagi, ditemani neneknya, Rien rajin menjenguknya. Adakah
piranha-piranha kecil ini memang lapar terus menerus.
“Kenapa piranha tidak
suka roti seperti Rien?”
“Piranha suka daging,
Rien!”
“Kenapa daging?”
“Kerana ada
darahnya.”
“Darah? Rien ingin
jadi seperti piranha. Suka darah!”
“Huss! Ayuh masuk,
waktunya untuk kamu belajar piano!”
Sambil mengamati
bunga-bunga, dilemparkannya gumpalan-gumpalan daging lembu dalam tin.
Piranha-piranha yang lapar, piranha-piranha yang bermulut gergaji bermata
juling, saling sodok-menyodok, saling menendang berebut daging. Daging mentah
hancur lumat seperti bubur. Pecahan-pecahan kecil mengembang di permukaan kolam
dilahap pula, lenyap tidak bersisa.
* * *
Rien, kanak-kanak
kecil enam tahun usianya, duduk di muka jendela. Di ruang bawah, piano nyaring
berdenting. Lagu Swanlake menjejak-jejak tuts. Rien suka lagu itu kerana
sering diperdengarkan oleh neneknya menjelang tidur. Tiap kali mendengar, dibayangkannya
serombongan angsa mendarat di kolamnya. Angsa-angsa yang bodoh, angsa-angsa
yang tolol dan letih setelah menyeberang lautan maha luas. Sebaik kakinya
menyentuh permukaan kolam, mulut-mulut piranha terus menyambutnya.
Angsa-angsa yang
berbulu putih berkilau, yang memendam rindu daratan setelah berhari-hari,
berminggu-minggu, berbulan-bulan, terbang tanpa rehat, tiba-tiba saja
berkelepak-kelepak di kolam, tidak menduga datangnya serangan. Serombongan
angsa timbul tenggelam, lumat digergaji gigi runcing piranha.
Rien makin akrab
dengan piranha. Ikan-ikan sebesar ibu jari orang dewasa itu selalu menghiasi
mimpi-mimpinya. Juga biliknya, penuh tempelan poster piranha. Ada yang dipasang
miring. Ada yang terjungkal. Dibayangkannya piranha sebesar ikan paus.
Tiap pagi, Rien
menunggu neneknya pulang dari pasar. Di hadapan pintu dia menyambut seekor anak
ayam. Rien mengikat kakinya, juga sayapnya. Mulutnya diplaster agar tidak
menciap-ciap. “Hati-hati. Jangan pergi ke tepian kolam, nanti kamu disambar
juga.”
Rien makin akrab
dengan piranha. Biliknya penuh kertas bergambar piranha, berhimpitan di antara
bantal. Rien tidur memeluk bantak golek bergambar piranha.
“Ini piranha, nek!”
kata Rien, “Lihat giginya yang serupa taring drakula! Hihh!!”
“Ya, tetapi jangan
lupa belajar piano!”
“Baik, nek! Tapi Rien
ingin main piano pinggir kolam, mengiringi piranha makan. Rien yakin piranha
suka lagu Swanlake.”
Wanita tua berjubah
hitam, putih sebahagian rambutnya, berbinar matanya memandang Rien. Tidak
sia-sia dia membelikan seekor anak ayam tiap pagi, agar Rien tetap bergembira
sepanjang hari. Ya, sepanjang hari. Kecuali bila cuaca memang tidak bersahabat,
seperti tengah hari ini, sehingga memaksa wanita tua itu merebahkan badannya di
kerusi goyang sambil menahan nyeri tulang, di punggungnya.
“Lihat, nek! Rien ada
piranha!!!” Rien menghampirinya.
Potongan-potongan
kertas itu cuma 30 peratus mirip piranha. Rien gembira. “Lihat, nek!!!!”
Separuh mata
terpejam, separuh tenaga menahan nyeri punggungnya yang makin menghebat, samar-samar
wanita tua itu melihat Rien dalam pakaian serba putih. Dia mendengar langkah
kaki berkasut kecil menapak permaidani menuruni anak tangga. Wanita tua itu
tiba-tiba merasakan dingin luar biasa, menusuk-nusuk baju tebalnya menembusi
punggung.
“Rien...”
Suara-suara itu
seperti datang dari benua jauh. Suara-suara itu terdengar amat lirih serupa
desiran angin menepuk-nepuk kain jendela. Rien termangu di bibir kolam
menyaksikan piranha-piranha merah berkejaran.
Rien melepaskan
manik-manik aneka warna dari lehernya. Membukakan kasutnya. Bajunya. Seluarnya.
“Rien ingin jadi
piranha....,” jeritnya.
Kolam merah darah.
Catatan:
Red-bellied piranha atau dalam bahasa saintifiknya Rooseveltiella
Nattereri, merupakan jenis ikan piranha paling ganas di dunia. Warna
dadanya merah. Panjangnya sekitar 30 sentimeter. Habitat aslinya di Sungai
Amazon, Brazil. Rahangnya amat kuat untuk mengoyak mangsanya. Piranha tersebar
di beberapa buah sungai antara lain Sungai Orinoco di Venezuela, Sungai Rio de
la Plata di Argentina dan Sungai Paraguay di Paraguay.
Ikan karnivor (pemakan daging) ini hidup bergerombolan
dan menyerang mangsanya secara serentak. Bila tidak ada makanan, sesama ikan
piranha saling bunuh-membunuh. Kini, pecinta ikan banyak memelihara red piranha di dalam akuarium. Akan
tetapi sejumlah negara, termasuk Malaysia, melarang keras import piranha kerana
dianggap terlalu berbahaya.
Sebahagian besar piranha berukuran
sekitar 8 hingga 12 inci panjangnya. Warnanya bervariasi, dari keperakan dengan
bahagian bawah perang hingga hampir seluruhnya hitam. Ikan-ikan itu memiliki
tubuh yang dalam, perut yang bergerigi, dan kepala besar yang umumnya cembung.
Rahang kuat mereka memiliki gigi segi tiga tajam dan runcing.
Selain meratah ikan, piranha juga
memakan buah, biji, serangga, dan krustasea. Mereka mampu menyerang haiwan yang
lebih besar bahkan manusia. Jenis yang paling terkenal adalah piranha perut
merah atau red-bellied piranha, yang
memiliki rahang terkuat dan gigi paling tajam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan