Isnin, 15 Mac 2010

Isbat

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam antologi Jihad)

SMAHADZIR 

SELAJUR aksara dari sebuah athar, yang membuatkan dia berdiri teguh di sini, di pejabat peguambela ini. Lajur aksara itu adalah turus pegangan, kukuh terpasak dalam diri, landas perjuangan mencegatkan keadilan di ruang mahkamah dan di atas turus pegangan itu jugalah dia teguhkan jiwa dengan tidak membelakangkan huquq al-ibad dan huququ’llah, tidak pernah memesongkan prinsip-prinsip profesion guaman Islam juga tidak memilih anak guamnya sama ada seagama atau tidak asal bukan seorang pengkhianat.

Surah al-Nisa ayat 105* tetap dijadikan tunjang pembelaan tanpa kompromi kendati ditawar wang berjuta, kedudukan berganda, nama dan masa depan cerlang di persada.

Dia tidak pernah resah dengan pegangan yang ditegakkan kerana yakin ibadahnya diredhai Allah, tetapi hari ini, dia kelihatan agak resah di bilik pejabatnya. Subhanallah!

Segala yang dilakukan serba tidak kena. Semuanya lantaran pertemuan dengan Encik Zamrulfahim yang juga abang angkatnya tiga hari yang lalu. Anak sulung Datok Zulfikkar yang gah terpampang wajahnya di dada akhbar perdana sejak dua tiga hari ini itu, datang dengan hasrat yang menggunung. Memohonnya supaya menjadi peguam bela terhadap kes yang sudah dibawa plaintif ke mahkamah. Pengurus Usaha Padu Sdn Bhd itu telah dituduh menyalahgunakan kedudukan sehingga wang syarikat sebanyak RM 120 ribu lesap dari akaun induk.

“Berita tentang abang dah heboh diperkatakan pihak akhbar,” Siti Aisyah memulakan bicara. Nampak benar wajahnya pudar. “Saya harap itu semua sekadar tuduhan,”

“Bapa terlalu tertekan dengan kes itu, Aisyah!” Encik Zamrulfahim bersuara lirih. 

“Entahlah Aisyah, abang sendiri tak tahu lagi apa yang harus dibuat!”

“Abang dah berbincang dengan peguam bela?” soal Siti Aisyah ingin tahu.

“Itulah sebabnya abang datang jumpa kamu ni! Ada hajat besar yang abang bawa untuk kamu!”

“Maksudnya abang mahu saya jadi peguam bela abang?”

Encik Zamrulfahim gesit mengangguk-angguk. “Tolonglah abang, Aisyah! Hanya kamu saja yang mampu mengendalikan kes-kes begini dengan jaya. Sudah banyak buktinya. Abang berkeyakinan penuh kepada kredibiliti kamu untuk membersihkan nama abang di kaca mata masyarakat,” Agak lunak suara Encik Zamrulfahim merayu, tidak keras seperti sewaktu membantu kempen politik Datok Zulfikkar musim pilihan raya dulu. Anak seorang tokoh politik yang disegani, petah berpidato seperti bapanya juga tetapi kini tidak ubah seekor tikus yang gemankan kucing.
“Abang sudah pun berbincang dengan bapa dan dia juga bersetuju kamu menjadi peguam bela abang dalam kes ni,”

Siti Aisyah tersenyum senang dengan kepercayaan yang diberikan. “Memang menjadi tugas saya membela sesiapa saja, bang! Lebih-lebih lagi abang sendiri,” ujarnya seraya mengarahkan pembantu pejabat membawa dua cawan minuman. 
“Tapi, sebelum saya membuat sebarang persetujuan, saya perlu mendengar cerita sebenar dari abang dulu. Errr… ini prosidur biasa yang saya amalkan atau lakukan terhadap semua pelanggan yang datang mendapatkan khidmat guaman saya. Dalam soal ini, abang tak perlu malu untuk berterus terang,”

Encik Zamrulfahim sekadar mengangguk-angguk kecil.

“Abang jangan salah faham pula…. sebenarnya, saya memang memerlukan cerita yang sebenar semata-mata untuk memudahkan proses perdebatan dengan pihak pendakwa di mahkamah nanti. Errr… maksud saya, cerita sebenar mampu untuk saya merangka perdebatan lebih lancar dan berkesan. Jadi, tak perlulah abang risau untuk berterus terang atau menyembunyikan sesuatu yang benar,” Seperti ghalib Siti Aisyah menokok maklumat pemahaman bakal pelanggannya.

Encik Zamrulfahim mengeluh sejenak sebelum bersuara. “Sunguh abang kesal, Aisyah! Ini satu stink of high heaven dalam sejarah hidup keluarga kita. Satu konspirasi mahu mengambil alih jawatan abang, menjatuhkan abang sekali gus mencemarkan nama baik bapa manusia sebagai tokoh politik berwibawa,”

“Sebagai adik, saya pun sedih dengan kejadian ini, bang!” Siti Aisyah mengeluh kecil seraya bersahaja mencatatkan sesuatu di atas kertas. Fikiran gesit melayang kepada dokumen Criteria Governing the Decision to Prosecute yang nyalar diselak, mengenang kembali ulasan isu prosecutorial discretion dari sudut akuantabiliti yang diperjuangkan dalam ucapan Sir Hartley Shawcross QC** yang selalu diulang baca. Sekadar perkataan konspirasi, umpama kisah tahyul yang misteri, fikirnya. Mahkamah memerlukan bukti sahih sebagai hujah terkuat untuk menyangkal segala dakwaan. Sebarang hujah berbentuk tahyul atau misteri tentu sekali mengundang dekah ketawa banyak pihak. Barangkali juga Encik Zamrulfahim masih mahu menyembunyikan sesuatu yang diketahui, fikirnya. “Begini, bang! Seperti yang saya katakan tadi, abang tak harus menyembunyikan cerita yang sebenar dari saya,”

“Abang bercakap benar, Aisyah!” tegas Encik Zamrulfahim.

“Tapi, jumlah RM 120,000 itu bukannya satu angka yang kecil, bang! Sebagai pengurus yang dipertanggungjawabkan segala urusan pentadbiran, tentu sekali abang lebih arif, setidak-tidaknya prihatin, sedar atau tahu, bagaimana wang sebanyak itu boleh lesap dari akaun Usaha Padu Sdn Bhd,” dia cuba mencungkil.
Perbualan terganggu sejenak. Pembantu pejabat datang membawa dua cawan teh lalu diletakkan di atas meja. Siti Aisyah segera mempelawa bakal pelanggannya itu menjamah minuman yang dihidangkan.

“Inilah yang abang katakan konspirasi, Aisyah!” Encik Zamrulfahim seolah-olah tetap tidak mahu berganjak dengan dakwaannya. Teh yang masih berasap di dalam cawan ditogok perlahan, sekali cuma, diletakkan di atas meja, kemudian menyambung. “Memang mereka pakar konspirator, memindahkan wang tersebut ke dalam sebuah akaun syarikat yang tidak ada kena mengena dengan Usaha Padu Sdn Bhd tanpa abang sedari,”

“Mereka siapa?”

“Errr… barangkali pegawai-pegawai bawahan abang,”

“Hmmm, abang ada bukti mengatakan mereka konspirator?”

Encik Zamrulfahim terjeda dan terlunga. Satu keluhan panjang dan berat terlepas keluar tanpa dapat dikawal. Rentak keluhannya menyuarkan satu rasa tidak sedap di hati Siti Aisyah.

“Bukannya senang untuk membuktikan mereka konspirator, Aisyah!” ujar Encik Zamrulfahim seolah-olah kecewa.

Siti Aisyah mengangkat cawan teh. Minuman di dalamnya dihirup sopan. Encik Zamrulfahim turut berbuat demikian. “Kalau begitu… sukar juga untuk saya berdebat de-ngan pihak pendakwa di mahkamah nanti,” suara Siti Aisyah seolah-olah berat mahu diterjah keluar.

“Maksudnya, kamu tak dapat menjadi peguam bela abang?”

Siti Aisyah tidak menjawab, kebetulan seorang kakitangannya masuk lalu menghulurkan sekeping fail. Segera dibelek-belek fail kertas berwarna biru muda itu sepintas lalu. Tercatat nama Encik Kong Kee Huat - seorang peniaga barangan antik, dituduh menjual barangan antik dari Negeri China tanpa cukai. Encik Kong tidak mengaku salah lalu datang mendapatkan khidmat Siti Aisyah.

Seperti biasa, Siti Aisyah mencungkil cerita sebenar dari peniaga tersebut. Setelah Encik Kong bermati-matian mengaku tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang negara itu, barulah Siti Aisyah bersetuju menjadi peguam belanya.
Mereka memenangi kes tersebut di mahkamah. Siti Aisyah berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa barangan antik yang terdapat di kedai milik Encik Kong sengaja diletakkan oleh seorang pekerjanya sebelum diedarkan di pasaran gelap tetapi sebelum barangan tersebut berjaya diedarkan olehnya, pihak kastam terlebih dahulu membuat serbuan menyebabkan Encik Kong telah dituduh.

Setelah disiasat oleh pihak polis, dakwaan Siti Aisyah ternyata benar. Barangan tersebut rupanya telah dicuri dari kargo KLIA oleh satu sindiket. Pekerja Encik Kong merupakan salah seorang daripada ahli sindiket tersebut.

Di dalam kes itu, Siti Aisyah telah berjaya menegakkan dua keadilan sekali gus; kebenaran dijulang, pengkhianat sebenar menerima hukuman yang setimpal. Siti Aisyah tersenyum puas dengan perjuangannya. Fail biru dipinggirkan ke sisi lalu mendepani Encik Zamrulfahim semula.

“Beginilah, bang! Errr… berat untuk saya menyatakan…”

“Kenapa Aisyah?” Encik Zamrulfahim mencantas tidak sabar.

“Errr, apa kata kalau saya mencadangkan supaya abang mendapatkan khidmat peguam bela lain yang tentunya lebih arif mengendalikan kes-kes bercorak konspirasi begini,”

“Kenapa pula?” Encik Zamrulfahim kurang puas hati.

“Saya yakin, saya akan gagal di mahkamah…”

“Kerana soal konspirasi?”

“Ya.. ehm… ”

“Errr… tunggu dulu Aisyah!” Encik Zamrulfahim mencantas cepat. “Abang harap itu bukan keputusan muktamad!”

“Kenapa abang berkata begitu?”

“Errr, bagaimana kalau abang mengaku melakukan penyelewengan itu? Adakah kamu sanggup bela abang di mahkamah nanti?”

Siti Aisyah tidak menjawab sebaliknya disentak lunga dan jeda berjenak-jenak. Terhimbau pengertian ayat 135 surah al-Nisa*** menyelinap ke dalam kotak ingatan.

Ya Allah, aku seorang peguam yang sudah berjanji akan berpegang teguh dengan Islam, begitu dia memperkukuhkan lagi tekad yang sejak lama bertakhta dalam diri. Aku tidak akan merubah turus tekad ini kendati dengan sesiapa saja.
Aku tetap berpegang bahawa Islam mahu supaya keadilan ditegakkan di mana-mana dan menolak kezaliman walau di mana jua. Keadilan mesti dicegatkan kepada semua orang, tidak kira sahabat, tidak kira darah daging sendiri, tidak kira siapa, dikasihi atau dibenci. Tidak harus juga dijejas oleh lonjakan emosi cinta dan kasih, marah atau benci terhadap sesetengah orang.

Sukar bagi Siti Aisyah mahu meluahkan kata putus ketika itu. Lenggana atau bersetuju menjadi peguam bela. Lantaran kes tersebut lagi sebulan untuk diperdengarkan di mahkamah, Siti Aisyah memberi alasan memohon sedikit waktu supaya dapat membuat penelitian lanjut.

Encik Zamrulfahim bersetuju dengan satu senyuman penuh mengharap berserta ungkapan terakhir sebelum meninggalkan pejabat Peguam bela Al-Musawat, “Sampai-kan salam abang kepada Maqharam. Dah lama kami tak jumpa dan bersama di padang golf,”

Sesungguhnya, pertemuan itulah yang membuatkan Siti Aisyah diamuk resah. Resah kerana tidak dapat memberi kata putus di hadapan abangnya itu dan resah itu semakin menghenyak bila terkenangkan peristiwa malam tadi. Suami sendiri bagaikan mendesak supaya dia menjadi peguam bela Encik Zamrulfahim.

“Apa? Awak menolak?” Maqharam bagaikan tersentak dengan kata-kata penolakan yang terbit dari mulut Siti Aisyah.

Siti Aisyah sekadar mengangguk kecil. Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir yang dibaca segera diletakkan ke meja sisi.

“Apa, kamu dah gilakah? Nak bela abang sendiri pun tak mahu? Kenapa hah?” Maqharam sungguh kurang senang.

“Saya terikat dengan beberapa kes lagi yang belum selesai, yang perlukan komitmen yang lebih!” Siti Aisyah mencerluskan alasan.

“Abang tak fikir itu alasan yang konkrit,” balas Maqharam.

Siti Aisyah terdiam.

“Jangan mudah lupa jasa-jasa Datok Zulfikkar kepada kamu, Aisyah!” Maqharam seperti mengharap. “Kalau tidak kerana jasa-jasa bapa Encik Zamrulfahim itu, tak mungkin kamu jadi seorang peguam bela seperti sekarang dan abang juga takkan berada di kedudukan seperti sekarang!”

“Bukankah itu takdir dan rezeki anugerah Allah untuk manusia, bang!” tukas Siti Aisyah lunak.

“Siapa mahu menafikan itu, Aisyah? Memang semua yang manusia terima itu berupa takdir dan rezeki kurniaan Allah tapi dalam soal ini manusia tak harus melupakan begitu saja sokongan yang diberikan oleh Datok Zulfikkar sehingga abang diterima oleh Datok Lee Pheng Thye menjadi salah seorang pengurus cawangan di syarikatnya. Kalau tidak kerana sokongan Datok Zulfikkar tu, tak mungkin Datok Lee Pheng Thye tu mahu menerima abang. Ini yang harus kamu sedar!”

“Kan abang menantunya! Kalau tak tolong menantu sendiri, nak tolong siapa lagi?”

“Abang tahulah yang abang ini menantunya, suami kepada anaknya Siti Aisyah! Tapi, kamu tak harus melupakan jasa-jasa si-lamnya. Kalau tidak kerana belas ehsan dia mengambil kamu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, tak mungkin kamu jadi seorang peguam seperti sekarang,”

“Saya tak bermaksud begitu, bang! Memang wajar budi dan jasa sesama manusia dikenang dan disyukuri...”

“Habis, kenapa menolak harapan abang kamu tu? Sepatutnya, masa inilah awak buktikan dan balas segala jasa dan budi bapa awak err… Datok Zulfikkar tu!”
Siti Aisyah mengeluh berat dan rengsa. Terlalu sukar untuk menerjahkan hakikat sebenar penolakkannya.

“Lagipun, pendakwaan ke atas abang awak tu tak wajar, Aisyah!” tukas Maqharam dengan wajah yang pudar dan kesal.

Siti Aisyah sedikit kaget. “Apa maksud abang?” “Setahu abang, belum ada keterangan yang admissible, substantial dan reliable yang menunjukkan satu kesalahan di bawah undang-undang dah dilakukannya,”

“Eh, dari mana abang tahu ni?” Siti Aisyah mengesip-ngesip biji mata kehairanan dengan tukasan suami.

“Selepas menemui awak di pejabat, dia datang berjumpa dengan abang. Dia dah ceritakan segala-galanya,”

“Segala-galanya?”

Maqharam gesit mengangguk.

“Abang percaya?”

“Ya, abang percaya yang semua ini adalah satu fitnah yang sengaja dibuat untuk menjatuhkan dia dan memburukkan nama Datok Zulfikkar!”

Siti Aisyah tersenyum nipis. “Salah bang! Sama ada ada unsur fitnah atau tidak, initial consederation dah pun dibuat. Memang ada keterangan yang cukup untuk mendakwa dia! Pihak pendakwa lebih arif segala prosidur yang sudah ditetapkan undang-undang,”

“Hah, apa ditunggu lagi? Inilah masa-nya untuk membela dia di mahkamah. Buktikan supaya dia terlepas dari hukuman. Lagipun, bapa kamu dah berjanji, kalau kes ni menang, ada habuan lumayan menunggu,”

“Bukan soal habuan yang saya kejar, bang!” Siti Aisyah mencantas kurang senang.

“Habis, apa yang awak mahukan lagi kalau tidak habuan?”

“Menegakkan keadilan!” balas Siti Aisyah tegas. “Bukan abang tak tahu, saya pernah tak mengenakan apa-apa bayaran kepada beberapa orang pelanggan yang tidak mampu. Mereka datang kepada saya dengan tangan kosong dan pulang dengan keadilan tertegak. Itu satu kepuasan bagi saya, bang! Itu… itulah sebenarnya yang saya kejar,”

“Kepuasan?” Maqharam sedikit menjegil. “Kalau itu yang awak kejar, abang syorkan, lebih baik jadi seniman. Buat cerpen, buat puisi, buat novel atau buat lukisan. Pamerkan di tepi-tepi jalan…”

“Bukan begitu yang saya maksudkan!” tingkah Siti Aisyah lunak. “Bukan seniman saja yang puas dengan hasil kerjayanya. Seorang peguam bela juga wajar untuk mengecap nikmat kepuasan jika ibadah ammah yang dilakukannya selaras dengan kehendak-Nya! Keadilan dapat ditegakkan, pengkhianat dapat ditumpaskan,”

Maqharam terdiam berjenak-jenak sebelum bersuara juga kemudiannya. “Beginilah, Aisyah! Abang tak mahu menafikan apa yang dah kamu katakan. Semuanya betul dan kamu berhak untuk menegakkan apa saja yang dirasakan wajar. Jadi, tak usahlah manusia melalut ke soal-soal yang bukan-bukan. Yang penting sekarang, kamu bela abang kamu tu di mahkamah. Percayalah, dia memang telah difitnah. Ini satu konspirasi pegawai-pegawai gila kuasa yang dengki dan busuk hati. Abang yakin, dia telah teraniaya!”

Mendadak Siti Aisyah dijerba keluhan. Berat dan rengsa. Nyata, ungkapan panjang lebar Maqharam merupakan satu desakan. Sungguh sukar mahu mencerluskan perihal sebenar di depan suaminya itu. Dalam hal ini, dia tidak harus bertindak terburu-buru.

Masih punya masa untuk menangani masalah ini, fikirnya. Hati suami tidak wajar disentakkan. Perasaan abang juga tidak harus tersinggung, lebih-lebih lagi perasaan Datok Zulfikkar yang memang berbudi itu. Datuk Zulfikkar itu adalah bapa angkatnya yang telah membesarkannya sejak kecil, sejak dijumpai orang di tepian longkang kerana ditinggalkan oleh ibu bapa sendiri.

Memang besar budi dan jasa seorang bapa seperti Datuk Zulfikkar itu, rela memberikannya pelajaran sehingga dia berjaya bergelar seorang peguam bela. Jadi, membantu Encik Zamrulfahim membersihkan nama-nya di mahkamah bermakna juga membalas budi seorang bapa.

Bukankah Encik Zamrulfahim itu anak sulung kepada Datok Zulfikkar? Abangku juga! Ya Tuhan, bagaimana aku harus mendepani persoalan ini? Apakah yang harus aku lakukan? Siti Aisyah sungguh-sungguh dihenyak resah dan serba salah.

“Ini permintaan abang yang terakhir, Aisyah!” tegas Maqharam sebelum masuk ke kamar tidur. “Ingat, permintaan ini bukan saja dari abang sebagai suami tetapi bagi pihak abang dan bapa kamu juga!”

“Bagaimana kalau saya tetap menolak?” Siti Aisyah cuba menguji.

“Tentu kamu tak suka dituduh isteri derhaka, anak tak mengenang budi atau seorang adik yang tidak tahu yang mana kaca atau yang mana permata,”

Ya Allah, demi kebesaran-Mu yang lebih mengetahui, aku tidak sekali-kali mahu derhaka kepada suami sendiri. Aku juga tidak berniat untuk menjadi seorang anak yang tidak tahu mengenang budi orang tua. Datok Zulfikkar adalah bapaku yang telah memanjangkan nafasku selama ini. Encik Zamrulfahim adalah abangku yang pernah mengendong aku kala aku kecil dulu.

Keluarga Datok Zulfikkar telah mencurahkan sepenuh kasih sayang kepadaku. Aku sayangkan mereka semua. Tapi, dalam soal ini aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Aku tidak mampu berpaling lagi dari pegangan yang sudah tertegak dalam perjuanganku. Berilah ketenangan hati dan jalan yang terang untukku menyelesaikan masalah ini ya Allah!

Siti Aisyah sedar, Maqharam amat serba salah dengan penolakkannya. Suaminya itu terlalu bimbangkan pelbagai buruk sangka yang bakal keluar dari bibir Encik Zamrul-fahim dan Datok Zulfikkar sekiranya Siti Aisyah tidak mahu menjadi pembela di mahkamah nanti.

Sebenarnya, Siti Aisyah juga serba salah dengan soal ini. Apakah berdosa membantah permintaan suami untuk tidak mahu membela seorang abang yang nyata bersalah? Apakah juga berdosa dengan seorang bapa sekiranya melakukan perkara yang sama?

Astaghfirullah, Siti Aisyah cuba memadamkan segala bayangan yang amat meresahkan itu. Dia cuba mengembalikan ingatan kepada kerja-kerja pejabat yang perlu diberi perhatian, dua tiga fail pelanggan yang tersusun di atas meja masih belum terusik sejak pagi. Namun gagal.

Tiba-tiba wajah kakak iparnya, Zuhairiyah pula mengirap ke sepasang mata. Isteri kepada Encik Zamrulfahim itu seperti mahu menangis sewaktu menghubunginya sema-lam. Sejak peristiwa itu gah, hubungannya dengan jiran dan rakan-rakan menjadi renggang. Dia menjadi malu untuk berdepan dengan mereka. Anak-anak turut diejek di sekolah. Semuanya amat mendera perasaan.

“Sabarlah, kak! Ini satu dugaan dari Allah untuk kakak!” Siti Aisyah separuh memujuk.

“Tapi, kehidupan yang sebelum ini penuh ceria seolah-olah pudar dan kakak seperti sukar nak berdepan dengan kenyataan ini,”

“Barangkali ada ikhtibar di sebalik semua peristiwa ini, kak! Manalah manusia tahu, Allah itu Maha Mengetahui,”

Begitulah kehendak-Nya. Dulu, Kak Zuhairiyah selalu berbangga dengan kesenangan, kemewahan dan keharmonian hidup yang dilimpahkan oleh Encik Zamrulfahim. Dia selalu bermegah dengan tempat-tempat rehat di luar negeri yang selalu ditandangi terutama pada musim cuti.

Siti Aisyah akui, memang itu satu kemampuan abangnya yang tidak terbatas tetapi yang kurang disenangi ialah sikap menunjuk-nunjuk, megah, bongkak dan bangga diri yang berlebihan yang dipaparkan oleh kakak iparnya itu. Sekarang Dia berhak mengambil kembali segala anugerah sementara yang dipinjamkan kepada hamba-Nya.

Menyedarkan Siti Aisyah betapa makhluk-Nya, biar sekaya atau sehebat mana sekalipun tidak mampu menghalang takdir yang sudah ditetapkan. Segalanya berpunca dari kesilapan yang dilakukan oleh diri sendiri. Manusia akan hilang pedoman jika terlalu memberhalakan keduniaan.

Jika pangkat dan nama, harta dan kebendaan menjadi kegilaan, mertabat dan kehormatan diri akan punah tersirna. Akan wujud perlumbaan dan persengketaan untuk saling mengatasi antara satu sama lain. Pelbagai pula penyakit kalbu akan timbul.

Bukankah kesederhanaan yang lebih baik? Kesederhanaan seperti sebuah danau bening yang mampu mententeramkan jiwa yang resah dan kalut dari kegilaan yang melampau. Kesederhanaan atau wasatiah dianjurkan oleh-Nya kerana mempunyai banyak kebaikan. Kenapa begitu mudah manusia mengabaikannya?

Memang ini kafarah-Mu, ya Tuhan. Siti Aisyah menutup lawang ingatan yang gelisar. Hati tidak boleh dibiarkan melarut terus terusan. Dia harus tabah menempuh hari mendatang.

Petang itu, Siti Aisyah pulang agak lewat ke rumah. Sudah dihubungi Embok Sepinah lebih awal. Dari pejabat dia terus ke Damansara Utama untuk bertemu dengan Haji Fatullah. Memang kepada bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Islam Antarabangsa itu tempat Siti Aisyah membuat rujukan dan mengadu sekiranya mengalami kebuntuan.

Sewaktu Siti Aisyah tiba di rumahnya, Haji Fatullah yang sudah lewat 70 tahun itu sedang duduk santai di hadapan rumahnya.

“Harus kembali kepada Islam dan fahami dasar profesion guaman yang diceburi!” Begitu bekas pensyarah itu memulakan mukadimah. Wajah Siti Aisyah dicerlung tunak.

“Memang itu yang saya pegang selama ini, tuan haji!”

“Baguslah kalau itu pegangan kamu. Saya… saya sekadar mahu mengingatkan. Tugas pembela adalah wakil tertuduh yang perlukan pengadilan. Dia mungkin gagal menyatakan haknya dengan baik untuk difahami hakim yang mendengar kes. Kamu tak harus mengada-adakan sesuatu yang dusta semata-mata kerana wang, kerana nak bela anak guam. Kalau dah tahu dia bersalah, lebih baik tarik diri, tak usah bela dia,”

“Tapi, saya serba salah, tuan haji!” Siti Aisyah mengeluh sejenak. “Suami mendesak, abang dan bapa mengharap. Kakak ipar juga tak kurang merayu-rayu. Semuanya mengharapkan saya menjadi peguam bela di mahkamah,”

“Berterus terang itu lebih baik, Siti Aisyah!” tegas Haji Fatullah. “Ingat, ini ibadah yang akan dipersoalkan hari kemudian. Menjadi kewajipan kamu membela kezaliman yang berlaku terhadap anak guam bukannya membantu untuk tidak mengambil tindakan terhadap kezalimannya,”

Memang benar kata-kata bekas pensyarah itu, fikir Siti Aisyah. Perlu dijadikan tempat berpaut. Ya, aku harus berterus terang dengan suami, abang dan bapaku. Dia mulai berteguh tekad. Biar mereka faham kenapa dia menolak tugas membela kes yang dibawa plaintif ke mahkamah itu. Dia ada pegangan sendiri yang perlu dipertahankan.

Adalah tidak adil kezaliman dibela, pihak yang teraniaya akan tersingkir haknya. Memang dia bijak berhujah sekitar undang-undang yang dipakai institusi perbicaraan tetapi dia yakin masih ada sudut-sudut yang harus dirujuk kepada keikhlasan dan niat diri sendiri sebagai pembela.

Teringat Siti Aisyah satu perbicaraan dalam mahkamah Islam zaman Khalifah Ali Abi Thalib dulu. Diadili Kadhi Syuraih di Kufah. Bagaimana Islam menitikberatkan keadilan yang menjadi milik semua orang tanpa mengira ras dan agama.
Saidina Ali gagal ke atas pendakwaan terhadap seorang Nasrani yang telah mencuri baju perangnya akibat ketiadaan saksi. Kadhi Syuraih memberi kemenangan kepada Nasrani tersebut walaupun baju itu benar kepunyaan Ali. Begitulah keadilan Islam yang tetap menjadikan semua pihak sama saja dihadapan undang-undang.

Siti Aisyah menjadikan kisah ini sangat relevan dengan profesion guaman yang diceburinya dalam menegakkan keadilan. Biar pun Encik Zamrulfahim itu abangnya sendiri tetapi keadilan tetap menjadi matlamat utama dalam kerjaya guamannya.

Malam itu, selepas membantu Embok sepinah mengemas ruang dapur, perlahan-lahan Siti Aisyah mengatur langkah ke bilik bacaan. Al-Bidayah wa al Nihayah diselak lagi helaian ke helaian. Jemu di situ, perlahan-lahan pula Siti Aisyah mengatur langkah ke bilik tidur.

Sewaktu melewati meja telefon, sepucuk surat udara terletak cantik di satu sudut. Dia mengamati cop setem yang tertera di situ. Jordan. Dari siapa lagi kalau tidak dari Iqbal, desis hatinya. Anak emasnya itu sudah dua tahun mendalami pengajian syariah di sana. Sampul surat disiat berhati-hati dan isi kandungannya ditatap. Tidak ada berita menarik sekadar permintaan biasa - wang belanja untuk berdarmawisata ke Iraq dan Turki cuti semester.

Siti Aisyah menghempaskan tubuhnya sisi suami. Tidur Maqharam tergugah, gesit memaling membelakangi Siti Aisyah. Masih marah lagi agaknya. Siti Aisyah mengeluh panjang. Dia sedikit pun tidak berkecil hati. Maqharam belum dijelaskan cerita sebenar mengapa dia bertindak begitu. Akan tiba waktunya, bisik hati Siti Aisyah.

Mata cuba dilelapkan. Segala bayangan tentang kes-kes pembelaan yang sedang dan telah diamanahkan ke pundaknya dihumban jauh-jauh. Dia ingin tidur senyenyak yang boleh, tidak terpules sampai ke pagi.

Puas dicuba namun tidak berjaya. Kuap acap benar, rasa kantuk galak menjerba tetapi kelopak mata ketegar pula mahu terjegil, sukar dikatup. Resah dan serba tidak kena Siti Aisyah dibuatnya.

Mengapa tidak kau terima saja pembelaan Zamrulfahim di mahkamah? Dia abang kau, Siti Aisyah! Anak kepada seorang bapa yang telah membebaskan kau dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kala itu kau masih kecil, Siti Aisyah. Ibu bapa kandungmu adalah manusia tidak bertanggungjawab, membuang zuriat sendiri di tepian longkang untuk dimamah lalat dan langau, untuk dilapah anjing kelaparan. Datok Zulfikkar itulah yang menemuimu lalu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pelbagai rayuan dibuat, akhirnya kau dibawa pulang untuk dipelihara bagai anak sendiri. Kau ditatang bagai minyak yang penuh. Diberi didikan dan asuhan. Diberimu pelajaran sehingga kau berjaya bergelar seorang peguam bela seperti sekarang. Tidakkah kau mahu melupakan begitu saja segala jasa-jasa murni Datok Zulfikkar itu? Belalah anaknya, Siti Aisyah! Belalah abang kau itu…

“Astaghfirullah al’azim,” bisiknya perlahan. “Iblis mana pula yang telah meresap ke dalam saluran darahku ini, ya Allah!”

Kalau nama Encik Zamrulfahim tercemar, nama Datok Zulfikkar tercemar, nama kau juga akan turut tercemar, Siti Aisyah! Semua orang tahu pertalian antara kalian bertiga. Kau sepatutnya menghalang semua itu dari terjadi. Bukankah kau seorang peguam bela yang sudah terkenal? Kepetahan kau sewaktu menentang hujah-hujah pendakwa amat dikagumi. Kau bijak memanfaatkan bakat dan ilmu yang ada…
Tapi, Aku takut kepada seksa Allah…

Alah, kau bukannya seorang nabi, Siti Aisyah! Kau juga bukannya seorang wali atau ahli sufi. Engkau sekadar seorang manusia biasa yang masih kekurangan sabar, redha, fakir, taubat, zuhud, apalagi warak persis seorang anbia. Lagipun, pintu taubat masih terbuka luas. Ini kesilapan yang kecil saja, Siti Aisyah!

Kalau diikutkan hasutan iblis itu, memang Siti Aisyah mahu menjadi peguam bela Encik Zamrulfahim. Dia akan berusaha supaya memenangkan abangnya itu di mahkamah. Benar kata suara itu, namanya akan turut tercemar sekiranya Encik Zamrulfahim didapati bersalah. Kenapa seorang adik tidak sanggup membela abangnya sendiri?

Hah, apa ditunggu lagi? Leraikan saja turus pegangan kau itu. Tidak mustahil kau boleh melakukannya, Siti Aisyah!

Siti Aisyah mengeluh berat dan panjang.

Apa lagi yang kau takutkan? Setidak-tidaknya, ingatlah kembali sewaktu kau masih kecil dulu. Betapa sayangnya Zamrulfahim itu kepada kau. Siapakah yang mendukung kau sewaktu kaki kau luka terpijak kaca di pinggir taman permainan? Bukankah Zamrulfahim itu? Dia turut menangis melihat darah yang mengalir deras dari tapak kakimu.

Sebenarnya dia terlalu sayangkan kau, Siti Aisyah! Dia takut adiknya mati. Itu buktinya kasih sayang Zamrulfahim kepada-mu. Datok Zulfikkar tidak punya anak lain selain kau berdua. Dua orang adik Zamrul-fahim telah kembali ke rahmatullah bersama ibu mereka di dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu kau di universiti. Tentu kau masih belum melupakan itu, kan?

Sekarang, hanya kau dan Zamrulfahim saja anak Datok Zulfikkar. Walaupun kau bukan anak kandungnya, yang lahir dari darah dagingnya sendiri, tetapi kau telah dianggap seperti anaknya sendiri. Tiada bezanya kasih sayang yang dicurahkan untuk kalian berdua. Dari tapak kaki kau selebar dua jari, kau dipeliharanya. Jangan selekas itu melupakan segala jasa-jasa mereka hanya semata-mata mahu nerteguh dengan pegangan sendiri. Jadilah seorang manusia yang tahu membalas budi, Siti Aisyah!

“Jangan sekali-kali membela pengkhianat, Siti Aisyah! Jangan tegakkan kemenangan kepada seorang yang menzalimi undang-undang negara dan agama biarpun darah dagingmu sendiri!”

Tiba-tiba suara Haji Fatullah bergema dari satu dimensi. “Ambillah Al-Quran sebagai landas perjuanganmu. Hanya kitabullah itu penerang segala kegelapan!”

Malam menggelungsur perlahan ke wilayah bolong gelemat namun mata Siti Aisyah masih belum berupaya mahu dilelapkan kendati sepicing. Wayu dingin yang menjerba masuk melalui tingkap yang terkuak lebar ke ruang kamar tidur semakin mencokot kotak fikir, perit dan menyesakkan.

Maqharam sudah lama berdengkur, mengganggu simfoni karar malam. Sesekali dengkurannya kasar mengundang rimas. Mata Siti Aisyah masih getol terkesip-kesip atas katil. Fikiran terus dirasuk kacau. Sejenak mencuplik renung wajah suami, terguris sungguh hati Maqharam.

Siti Aisyah sedar itu. Perlahan-lahan tangannya mengusap dahi Maqharam penuh kasih sayang. Maaf suamiku! Aku lakukan ini semua semata-mata demi keadilan yang dituntut Islam. Zamrulfahim sekadar abangku. Walau suami atau anakku sendiri bersalah, tidak sekali-kali aku mahu membelanya.

Siti Aisyah bangun menuju ke tingkap, melihat sinar bulan yang ilam-ilam di sebalik gumpalan awan. Profesion peguam seperti bulan itu, desis hatinya. Ada kala mampu bersinar cerlang dan ada kalanya pudar usam terhalang. Siti Aisyah mahu menjadi bulan yang mampu bersinar cerlang sepanjang masa, memberi kecerlangan keadilan kepada manusia yang memerlukan.

Tidak lama di muka tingkap, Siti Aisyah beralih ke arah sofa kulit pinggir katil. Di situ punggung terhenyak berat. Jarum panjang dan pendek jam di dinding sudah bersatu di angka satu. Biji mata tetap galak terjegil walau kuap sudah acap benar menjengah.

Perlahan-perlahan Siti Aisyah mengatur langkah ke bilik air untuk berwuduk. Niat sudah jitu. Kepada Allah mahu diserahkan segala pengaduan. Dia sudah menetapkan. Suami, abang dan bapa mesti tahu, ini soal ibadah yang akan dipersoalkan hari kemudian. Setiap orang yang beriman tidak harus membelakangkan kehendak-Nya. Zamrulfahim, maafkan adikmu ini!

Tatkala fajar sidiq menjelma, barulah Siti Aisyah berjaya melelapkan mata. Itupun cuma sepicing kerana digugah suara muadzin yang mendayu dari menara masjid di hujung taman perumahan mereka.

* * *

Pagi Ahad hening. Nescafe panas yang disediakan Embok Sepinah masih berasap di dalam cangkir cantik. Beberapa keping roti bakar tersusun rapi dalam piring kaca. Maqharammasih leka menatap akhbar di tangan. Mata tunak mencerlung peristiwa tebusan oleh anggota Al-Qaeda di Iraq.

Siti Aisyah sudah berkira-kira mahu berterus terang pagi itu. Berterus terang di depan Datok Zulfikkar sendiri. Biar suami dan bapanya itu memahami duduk perkara sebenar sebelum berdepan pula dengan Encik Zamrulfahim. Keputusan ini tetap bundar seperti beberapa hari yang lalu.

Dia tetap tidak akan menjadi peguam bela kepada Zamrulfahim di mahkamah nanti kerana insaf pembelaan itu satu kezaliman yang tidak harus dilakukannya. Siti Aisyah tidak mahu membabitkan pihak ketiga teraniaya dengan pembelaannya. Kepetahan berhujah di depan hakim tidak menunjukkan kebenaran menyebelahinya meski kemenangan mungkin memihak kepadanya.

“Minumlah, bang! Nanti sejuk pula nescafe tu!” Siti Aisyah bersuara setelah bertagal melayan lamun. “Saya ada hal nak berbincang dengan abang pagi ni!”

“Hal apa?” Maqharam bertanya tanpa berpaling.

“Errr… kes abang Zamrulfahim?”

Maqharam gesit meletakkan akhbar ke atas meja. Wajah isteri direnung lama. “Apa halnya?” Tangan mencapai cangkir nescafe, diteguk sekali. “Kamu dah ubah fikiran nak bela dia?”

“Sabar dulu, bang! Saya harus menceritakan segala-galanya di depan bapa. Biar dia tahu kenapa saya bertindak begitu,”

“Maksudnya, kamu masih bertegas tak mahu bela abang awak tu?” Maqharam bagai-kan mendesak.

“Nanti abang akan tahu,”

Maqharam mengangguk-angguk nipis. “Baiklah!”

Sajian pagi segera diselesaikan. Lebih kurang jam 9.30 pagi, mereka berdua sudah berada di halaman banglo mewah Datok Zulfikkar. Disambut Pak Syukor di halaman. “Datok ada di ruang tamu,” ujar tukang kebun yang setia menabur khidmatnya sejak Siti Aisyah masih kecil lagi.

“Memang dah lama bapa menunggu kamu!” ujar Datok Zulfikkar sebaik tangannya dicium dan disalami Siti Aisyah dan Ikhwan. Dapat dirasakan Siti Aisyah betapa sepinya kediaman besar itu sejak dia dan Zamrulfahim berkeluarga.

Lebih separuh dari banglo itu kini dijadikan pejabat Datok Zulfikkar mengendalikan urusan politik. Siti Aisyah terus ke dapur. Dua orang pembantu rumah kelihatan cekatan di situ. Siti Aisyah mengenali mereka. Kedua-duanya dari Indonesia. Berumur lingkungan 40-an. Sudah lebih empat tahun bekerja dengan bapanya.

“Mahu apa, nona?” tanya salah seorang darinya.

Siti Aisyah senyum. “Tak ada apa-apa. Biar saya buatkan minuman sendiri,” ujarnya lalu menyediakan sejag oren dan sepiring butter cookies. Dia tahu, itulah minuman dan biskut kegemaran bapanya sejak lama. Hidangan itu dibawa ke ruang tamu.

“Sebenarnya, saya ada hal penting nak beritahu bapa,” ujar Siti Aisyah sebaik sajian diletakkan di hadapan Datok Zulfikkar dan Maqharam. Punggung lebar berlabuh pinggir suami.

“Tentu tentang Zamrulfahim!” ujar Datok Zulfikkar.

“Eh, macam mana bapa tahu?” Siti Aisyah sedikit terjeda.

“Bapa dengar kamu keberatan nak belaabang kamu tu. Betul begitu?” Datok Zulfik-kar mencerlung wajah Siti Aisyah tunak-tunak. Maqharam di sisi agak gelisar dengan keadaan.

Siti Aisyah mengeluh sejenak sebelum bersuara, “Ya, bapa!”

“Barangkali ada perkara yang tidak menyenangkan telah berlaku antara kamu dengan Zamrulfahim!” Datok Zulfikkar cuba mencungkil.

Siti Aisyah cuba memurupkan senyum semanis mungkin. “Maafkan saya kalau keputusan yang telah saya buat ini melukakan hati bapa,”

“Katakan apa yang sebenarnya telah berlaku. Biar bapa dengar dan buat keputusan sama ada keputusan kamu itu rasional atau tidak,” ujar Datok Zulfikkar.

“Sebelum saya bercakap soal abang Zamrulfahim, biar saya jelaskan dulu konklusi Umdat al-Ahkam yang telah saya rujuk, bapa! Ada sebuah hadis riwayat Ummu Salamah r.a yang relevan dengan kes ni,”

“Relevan?” Maqharam di sisi terlunga. Datok Zulfikkar tenang. “Apa maksud ka-mu?” suara Maqharam mencerlus tidak sabar.

“Dengar dulu kisahnya, bang!” ujar Siti Aisyah tenang. “Berlaku satu pertengka-ran di depan pintu rumah Rasulullah SAW lalu Baginda segera keluar untuk memutuskan pengadilan dalam krisis itu. Baginda bersabda: Aku mengadili kes kamu, mungkin antara kamu ada yang lebih fasih hujahnya ketika memberi keterangan lalu aku menyangka dia adalah pihak yang benar maka aku beri kemenangan kepadanya. Jika ada pihak yang beroleh kemenangan menerusi pengadilan sedang dia tahu pihaknya bersalah maka hendaklah dia menolak pengadilan itu atau dia sedia menerima azab seksa,” jelas Siti Aisyah panjang lebar dalam usaha memberi kefahaman kepada suami dan bapanya.

“Habis, apa relevannya dengan kes abang Zamrulfahim?” Maqharam sedikit melopong. Datok Zulfikkar mengangguk-angguk, seolah-olah sudah dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Siti Aisyah.

“Membela abang Zamrulfahim bermakna bersedia menerima azab seksa Allah di akhirat,” jelas Siti Aisyah agak tegas.

Maqharam tergamam jola. Wajah Datok Zulfikkar direnung penuh debaran. Serasa terlalu kasar ungkapan isterinya itu. Mendadak wajahnya naik jerau. Datok Zulfikkar tertunduk merenung meja. Bagaikan kurang percaya.

“Saya harap abang dan bapa dapat terima kenyataan ini,” ujar Siti Aisyah lirih. Jelas ada riak jelu di suara itu. “Sebenarnya, abang Zamrulfahim dah mengaku depan saya yang dia memang melakukan jenayah pecah amanah wang Usaha Padu Sdn Bhd sebanyak RM 120 ribu itu. Sebab itulah saya tak boleh membelanya di mahkamah. Saya lebih takutkan seksaan Allah dari menang berhujah depan hakim,” Serasa lega dapat meluahkan segala yang membuku resah di dada selama ini.

Wajah Datok Zulfikkar mendadak pudar. Sungguh dia tidak menyangka sama sekali yang Zamrulfahim telah begitu jauh terlanjur dari landasan hidup yang dia inginkan. Dia tidak pernah mengajar anaknya supaya berkelakuan begitu. Dalam soal ini memang Siti Aisyah berhak memancang pegangan sendiri, fikirnya. Maqharam seperti terkacip lidah dan terkejur bibir. Dia seolah-olah disergap mimpi yang amat sukar untuk dipercayai.

“Kenapa tak beritahu bapa awal-awal?” suara Datok Zulfikkar tiba-tiba mencerlus bersama sebuah keluhan menggelungsur rengsa.

“Saya bimbangkan bapa tak dapat terima hakikat ini,” ujar Siti Aisyah.

“Hairan… hairan sungguh! Tak cukupkah wang yang didapati selama ini sampai sanggup melakukan pecah amanah wang syarikat?” Datok Zulfikkar menggeleng-geleng sebal.

“Entahlah bapa! Tidak pula dikhabarkan kepada saya ke mana wang tersebut dihabiskan,”

Datok Zulfikkar terdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi. Oren di dalam gelas di depannya direnung dalam. Serasa kuning emas minuman itu tidak seindah rasanya. Perbuatan Zamrulfahim benar-benar telah meletakkan maruah dan namanya di bawah tapak kaki.

Bagaimana harus dia berdepan dengan rakan-rakan politik dan tokoh-tokoh korporat kenalannya. Tentu sekali akan menjadi bahan kempen parti lawan tidak lama lagi. Tidak semena-mena gumpalan penumbuk tuanya menyergap muka meja. Jag dan gelas oren ber-gegar. Dua tiga keping butter cookies menggelungsur keluar dari piring. Siti Aisyah dan Maqharam dijerba sentak yang tidak terduga.

“Zamrulfahim perlu diajar!” gerah suara Datok Zulfikkar seraya bangun, tangan tercekak di pinggang. Wajah ketara merah padam.

“Mengucap, bapa! Mengucap!” Siti Aisyah segera memujuk. Lengan orang tua itu dipegang dan dielus-elus. Dia tahu, dalam suasana begitu, siapa pun boleh hilang sabar. Sebagai bapa, memang wajar Datok Zulfikkar disergap perasaan itu. Dia sendiri tuirut rasa tempias busuk perbuatan Zamrulfahim.

“Ini soal jenayah! Soal maruah! Bapa tak boleh sabar lagi. Mana bapa nak sorok muka bapa dengan tokoh-tokoh politik, pak-pak menteri dan tokoh-tokoh korporat kena-lan bapa?” Datok Zulfikkar mengetap-ngetap bibir. Biji mata berkedut bagai mahu terpelesit keluar.

“Sabarlah, bapa! Biarlah mahkamah dan undang-undang yang menghukum abang Zamrulfahim! Manusia tak dapat menyelesaikan segala masalah. Bapa harus terima kenyataan ini dengan tenang dan berserah saja kepada Allah!” Maqharam terhimbau untuk menyedarkan Datok Zulfikkar.

Datok Zulfikkar mengeluh berat. Punggung kembali terhenyak atak sofa. Benar kata Maqharamdan Siti Aisyah, fikirnya. Dia perlu menghadapi segalanya ini dengan fikiran yang rasional. Perkara sudah terjadi, tidak boleh diundur lagi. Sejurus kemudian, dia melangkah ke tingkat atas, meninggalkan Siti Aisyah dan Maqharam di ruang tamu.

* * *

Selepas berjemaah Isya dengan suami, Siti Aisyah membaca Al-Quran untuk mencari ketenangan hati. Maqharam masih berteleku di atas sejadah, berzikir dan bertahmid. Kemaafan sudah dipinta dari Siti Aisyah kerana terlalu mendesak dulu. Kalau dia tahu cerita sebenar lebih awal, tidak mungkin begitu jadinya. Syukur, desakannya tidak sampai mencetuskan sengketa rumah tangga.

Beberapa minit kemudian semuanya selesai. Siti Aisyah bergegas ke dapur sementera Maqharam ke ruang tamu untuk membelek sari akhbar yang tidak sempat ditatap siang tadi. Belum pun berita muka depan habis dibaca, Siti Aisyah sudah tiba bersama dua gelas susu di tangan. Sejenak senyum memurup manis, punggung berlabuh di sisi suami.

“Mana Embok?” tanya Maqharam.

“Barangkali dah tidur agaknya!” ujar Siti Aisyah.

Maqharam tidak berkata apa-apa. Memang wajar Embok Sepinah keletihan, banyak kerja-kerja rumah yang terpaksa dilakukannya. Sebab itulah dia dan Siti Aisyah sering membantu tanpa mengharapkan perempuan separuh umur dari tanah seberang itu melakukannya bersendirian.

“Minumlah susu tu, bang! Nanti sejuk, tak sedap pula rasanya!” Siti Aisyah menghulurkan susu kalsium tinggi sajiannya. Maqharam menyambut susu tersebut, sekali gus menghabisinya. Kembali ditatap akhbar di tangan, bagaikan ada sesuatu yang amat menarik perhatiannya.

“Syukur, abang, bapa dan abang Zamrulfahim dapat menerima hakikat keputusan saya,” Siti Aisyah bersuara lagi. “Penolakkan saya semata-mata mahu menegakkan keadilan. Keadilan Islam lebih suka jika manusia mengaku salah atau menolak kemenangan jika hak-hak itu membabitkan huquq al-ibad,”

Maqharam tersenyum bangga. Dia akur pegangan mulus Siti Aisyah. Memang Siti Aisyah berhak untuk berdiri di atas pegangan yang luhur itu. Biarlah abang Zamrulfahim menerima hukuman di atas jenayah yang dilakukannya. Semoga hukuman itu menjadi landas baru untuk hidup yang lebih diredhai Allah bila dibebaskan kelak. Begitulah doanya, sesarat harapan yang memuncak.

Rujukan:

* Jangan kamu membela pengkhianat.
** Peguam Negara England di House of Commons pada 29 Januari 1951.
*** ‘Wahai orang-orang beriman! Jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA