(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Jihad)
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
PELA GANDUNG!!
Pela Gandung!!
Pela Gandung!!!
Itu ertinya mempersaudarakan umat. Istilah itu dulu amat membanggakan. Rata-rata jiran biar berlainan agama hidup aman dan mesra. Tapi kini istilah itu bagai satu petaka. Menumpahkan darah.
Pela Gandung kini murup mengalirkan air matanya. Lebih galak menarik-narik hatiku pula untuk menyelusuri dia lebih dekat. Usianya lewat empat puluhan. Punya wajah persis kacukan tetapi itu bukan sebab hati ini tertarik. Air mata yang mengalir tatkala istilah Pela Gandung mengiang di cupingnya lebih berbekas dan mengundang keinginan. Nyata ini sebabnya.
Sewaktu pulang dari kuliah, aku melewatinya yang nyalar termenung di depan tangga. Kesempatan menemuinya belum diizinkan tetapi dari mulut ibu, perempuan itu asal Ambon. Dua bulan yang lalu melarikan diri dari tragedi ‘Bosnia Nusantara’. Kini menetap di kampung kami. Demikian jelas ibu, agak terbatas.
“Dia seolah-olah alami fobia! Takpun skizofrenia!”
Begitu teka benak. Kisah lanjut tidak diketahui. Biar dari ibu. Nyata dia perahsia. Barangkali ada yang terlalu membekas. Namun, yang lebih menimbulkan persoalan, kenapa istilah Pela Gandung itu mampu menitiskan air mata seorang perempuan seusia ibu dari Ambon?
Tentu ada kisahnya!
* * *
Sesi kuliah berjalan lancar namun wajah perempuan Ambon itu getol amat mengusik. Galak amat mengirap bagaikan antara kami ada pertalian. Mujur Amien pandai memancing, mengajak aku berbual sebaik selesai kuliah. Kala itu kami di pinggir pintu besar Universiti Islam Antarabangsa sambil meladeni sapaan nyaman wayu bumi Malaysia yang aman dan harmoni.
“Syukur, kita antara anak Indonesia yang berjaya di sini!” Amien meluahkan rasa. Nampak benar wajahnya cerah. “Aku, dari seorang anak penjual soto Madura tepi jalan Jakarta – Bogor bagai mimpi dapat belajar dan hidup aman di sini.”
“Aku lebih syukur!” aku menambah. “Walau keluarga asal Indonesia, daerah Cipanis, punya leluhur kental Pancasila di sana tapi aku lahir di sini. Aku anak Malaysia jati!”
“Yang penting kita serumpun, satu bangsa satu bahasa!” Amien ketawa berpinak beriak bangga.
“Tidak, bagiku bukan itu yang penting!” aku cepat menukas.
“Loh!” nyata Amien agak kecewa.
“Yang penting kita satu agama. Agama Islam. Dalam Islam tidak ada bangsa. Ingat itu!”
Aimen gesit mengangguk. Mengakui hakikat itu.
“Dan yang lebih penting, dalam kita bersyukur, insaf kepada yang masih menderita”, aku sekadar mengingatkan.
“Siapa kata aku tidak insaf?” Amien kurang senang. “Masih ramai saudara-saudaraku bergelandangan di Kompleks Mangga Dua. Aku tidak lupakan itu!”
“Segalanya kerana terlalu percayakan orang kafir Yahudi!” aku mencebik jengkel.
“Maksud kamu ?”
“Itu… itu IMF bukan kafir Yahudi?” aku sengaja membeliakkan biji mata. “Kezaliman telah dilakukan Yahudi keparat tu terhadap jutaan rakyat miskin Indonesia dengan menyelamatkan peminjam asing yang rasa gembira dapat bagi pinjaman kepada kroni ketika waktu baik tapi cabut lari waktu buruk. Kau sedar itu?”
“Rentetan demonstrasi reformasi mahasiswa juga!” Amien mengeluh berat.
“Orang Yahudi err... musuh Islam tu memang bijak cari peluang. Bijak juga guna istilah teknikal dan bahasa berbunga-bunga untuk paparkan preskripsinya baik, seolah-olah berjaya di Indonesia. Huh, sesuatu yang amat mengelirukan!” Aku terus cegatkan hakikat.
Nyata itu amat berkesan. Amien melemparkan mata pandang kejauhan. Melewati pusu-pusu mahasiswa Islam yang sudah meninggalkan perkarangan kampus. Di kepala mengirap pelbagai. Segalanya bergentayangan di tanah kelahiran. Gerai soto Madura. Wajah bapa yang tua rengsa. Istana Presiden yang megah. Bendera merah putih yang berkibar gagah.
Terbayang juga golongan miskin mengisi perut dengan nasi campur di warung berdebu pinggir Mangga Dua. Golongan mewah dengan Mercedez dan BMW meluncur garang meninggalkan debu melekat pada nasi rakyat jembel. Tahap hidup ketara sekali.
Memang patut berlaku rusuhan yang kacau. Demikian fikirnya. Nyata benar pemimpin mengeksploitasi kuasa dan kemakmuran negara untuk kepentingan peribadi dan golongan di sekeliling mereka. Membiarkan korupsi dan nepotisme murup subur.
Amien terus mengeluh. Cukup berat dan rengsa. “Banyak yang perlu dijadikan iktibar dari apa yang sudah berlaku di sana!” ujarnya dalam sebak.
“Ya, itu pasti!” aku turut menyokong. “Agak malang, elemen Islam di sana belum juga muncul sebagai penyelamat. Lapan puluh lima peratus rakyatnya Islam tapi ulama dan aktivis Islam nampaknya belum lagi menyerlah. Islam itu penyelamat!”
“Sukar, selagi orang Islam tidak bersatu dan berpadu!” Amein nampak kesal.
“Benar kata kamu, Amien! Orang Islam perlu bersatu!”
Kami meninggalkan perkarangan kampus tatkala hari sudah lewat petang.
* * *
Sebaik selesai bersolat maghrib, hujan menjujuh lebat. Beberapa minit kemudian sudah bingar dengan suara jiran. Aku tidak begitu terkejut kerana ini perkara biasa. Memang kampung setinggan pinggir metropolis Kuala Lumpur ini akan bingar dan rusuh dengan penghuninya kala hujan begini. Air hujan dari saliran yang sempit akan membuak dan membanjiri setiap rumah yang ada. Tambahan pembinaan projek transit ringan yang merentang di tengah-tengah kampung lebih memburukkan. Biar begitu, kami masih bersyukur kerana tidak dihalau oleh pihak berkuasa.
Ibu resah di dapur. Tentu sekali kerana atap bocor membasahi lantai. Begitu agakku kerana itu ghalib. Rupanya tidak. Ibu benar gelisah dan serba tak kena memikirkan diri perempuan Ambon itu. Itu yang dikhabarkan.
“Dia lebih daif dari kita, Rais!” Demikian jelas ibu. “Hidup di sini sekadar menumpang. Petang tadi ibu dengar dia mahu dihalau kerana tak punya kerja.”
Aku mendadak sebak. Rasa pilu menyucuk-nyucuk. Ke mana dia mahu pergi kalau dihalau. Tentunya dia tak punya sesiapa di sini. Derita benar hidup perempuan Ambon itu. Aku berkira-kira, apa salahnya dia menumpang di rumah kami untuk sebulan dua sebelum mendapat kerja. Menolong melapangkan kesempitan sesama insan bukankah dituntut.
Namun belum pun habis ngeluyur benak menerawang, ibu dan perempuan Ambon itu sudah tercegat di ambang pintu. Keduanya lencun. Aku tergamam jola di tempat duduk melihatkan wajahnya yang pucat dan cengkung. Keliling mata sembab. Barangkali banyak menangis. Tentu sekali ada derita yang ditanggung sekian lama.
Malam itu aku tidak berjaya memancing bual dengannya walau sepatah. Itu kukira wajar. Dia dilayan baik dan mesra oleh ibu.
Dua hari hidup bersama kami, barulah mercup bibit-bibit kemesraan. Nyata, perempuan Ambon itu peramah dan mudah mesra. Cuma sesekali wajah pudar mendadak, entah kenapa.
Pada hari ketiga barulah segala rahsia diri tercungkil. Itu pun setelah puas aku memujuk. Nyata dia terhenyak oleh satu tragedi yang menyayat hati. Memang perasaannya terdera oleh peristiwa itu. Aku dan ibu sungguh terharu.
* * *
Pagi cerah. Awan comel berambal di langit. Hari ini aku dan Amein sengaja tidak menghadiri kuliah. Kami ke Dataran Merdeka untuk berkisah panjang.
“Kau mahu dengar cerita, Amien!” aku bersuara sebaik punggung mencium bangku simen hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Ngauman kenderaan di jalan raya merimaskan juga. Melengking dengan hon yang tidak wajar.
“Cerita apa Rais?” Amien mengangguk cepat. Terkesip-kesip.
“Cerita tentang Bulan Merah di Kate-Kate!”
“Loh, cerita apa itu?” Amien gesit melopong.
“Cerita lara, Amien!” ujarku seraya mengeluh. “Dia seorang ibu yang kehilangan segala. Tragedi ‘Bosnia Nusantara’ benar-benar meracau fikirannya. Jiwanya jadi rusuh. Aku yakin derita hati dia lebih parah dari perit hidup keluarga kau di Mangga Dua.”
Amien tertahan-tahan meneguk liur. “Bagaimana ceritanya?”
“28 Februari, dia tidak dapat melupakan tanggal itu. Dia melihat dengan mata sendiri suami di bunuh kala sedang berjalan untuk bersembahyang zohor di Masjid Al-Huda, Ahuru, Ambon.”
“Siapa pembunuhnya?” Amien tercolek ingin tahu.
“Siapa lagi kalau tidak orang Kristian, Amien! Mereka itu pendokong jiwa dan hati Yahudi laknat. Memusuhi Islam sejak Perang Salib. Konon bangsa mulia pilihan Allah,” suaraku bernada gerah. Dada terasa panas meluap mendadak. Marah dan benci berpestaan menggelodar.
Amien hanya bungkam namun ada pudar pada wajah. Memang cerita ini mengesankan.
“Kau tahu apa jadi pada anaknya?” aku menyambung kisah. “Ketika itu dia mahu menjemput anak tunggalnya di Asrama Tentera Batu Merah. Kala pulang melalui Gereja Beta Bara, di situ dia disepak diterajang kerana enggan buka tudung!”
Amien menggeleng dan mendecit, kesal amat.
“Dan di Kate-Kate, anak tunggalnya di bunuh. Tubuh di kelar-kelar. Tangan dan kaki dipotong. Dia tidak dapat terima hakikat depan mata lantas meraung macam orang gila. Tidak habis di situ, kediamannya dibakar hangus. Dia sendiri disiksa teruk, nasib baik sempat dibantu!”
Hening sejenak. Terbebar oleh lengking hon kenderaan yang getol berjejal di jalan raya. Sudah ada air mata yang mahu menjujuh ke pipi Amein. Memang kisah ini kisah pedih.
“Hingga kini dia semacam fobia. Barangkali juga telah mengidap skizofrenia. Terlalu takut melihat bulan. Katanya, bulan di Kate-Kate berwarna merah macam darah anaknya, macam darah suaminya!”
Geru enjin kenderaan terus bingar. Namun tidak berjaya menghadang wajah perempuan Ambon itu dari mengirap ke sepasang mata. Terlalu pilu mengenangkan nasib dirinya. Amien juga jelas di jerba sebak.
“Lihatlah Amien! Kezaliman kafir Yahudi bukan sekadar dalam aspek ekonomi yang menindas. Mereka juga sudah tega mencabut nyawa kita orang-orang Islam. Bosnia, Kosovo dan Ambon itu buktinya! Kita perlu bangun dari tidur!”
Pagi itu Amein ke rumahku untuk melihat sendiri perempuan Ambon yang aku maksudkan. Kala pulang dia rela menitiskan air mata simpati, berbekas di ambang pintu
Sungguh lara cerita ini.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan