Isnin, 15 Mac 2010

Bila Cempaka Gunung Gugur Ke Lantai

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Jelita terbitan Berita Harian Publishing Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Antara Dua Hati)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SETELAH memuntahkan beberapa orang penumpang, kereta api mel itu pun mulai bergerak perlahan meninggalkan Stesen Kuala Kangsar. Ketua stesen mengibar-ngibarkan bendera kecil berwarna hijau di hujung platform. Peluit kereta api turut bergema nyaring mengiringi gerapak enjin kereta api menuju ke destinasinya.
Aku meneliti persekitaran stesen. Tidak banyak perubahan yang ketara berbanding suatu ketika dulu. Beberapa ekor kambing yang sedang berlari-lari anak menuju ke arah padang terbiar di seberang stesen, terkejut seketika tatkala kereta api melintasi kawasan mereka.
Namun begitu masing-masing kembali meragut rumput-rumput yang tumbuh meliar di situ dengan tenang setelah kereta api itu menghilang dari pandangan mata. Di lereng-lereng perbukitan yang berhampiran, yang ditumbuhi hutan lalang, kelihatan berkemilau dek simbahan mentari petang. Warna lembayung melatari kaki langit lalu memancarkan cahaya ledangnya ke serata pelosok alam.
Entahlah! Kalimat itu terpacul serentak sebuah keluhan tanpa kawalan mencerlus dari kerongkongan. Aku sendiri tidak tahu, entah kenapa sejak akhir-akhir ini kaki kiriku sering saja berasa kebas dan menyucuk-nyucuk halus terutama kala melakukan perjalanan yang agak jauh. Barangkali juga kesan dari kemalangan yang menimpaku beberapa tahun yang lalu. Perlahan-lahan aku mengatur langkah menuju ke arah sebuah kerusi kayu yang terletak di sisi bangunan stesen.
Sebaik melabuhkan punggungku di situ, aku mulai memicit-micit paha kiriku. Rasa ngilu dan kebas kian beransur reda. Aku berasa lega dan mata terus saja mengitar ke segenap pojok. Hening.
Sebenarnya, aku telah pun memohon berhenti kerja dari Jabatan Perikanan beberapa minggu yang lalu namun sampai saat ini belum ada lagi sebarang jawapan. Aku meraup muka. Parut-parut yang melebar dari dahi yang menirus menuruni ppi kanan hingga ke dagu seolah-olah mengabadikan sebuah luka yang tidak akan sembuh lagi. Aku merapatkan kedua kelopak mataku. Bayu petang yang berhembus segar dan galak dari arah perbukitan, mendadak menghantar aku ke wilayah indah dan tragis silam.
“Ayuh, naiklah!”
“Ke mana, Zam?”
“Hari ni kan hari liburan! Ayuh kita ke Pangkor!”
“Apa ada di sana?”
“Keriangan dan ketenangan dari tekanan hidup!”
“Tapi kita harus pulang awal!”
“Okey!”
“Lagi satu janji!”
“Apa dia?”
“Jangan pandu terlalu laju, aku takut!”
“Aku janji sayang…”
Ketika itu kami bagaikan sepasang rama-rama yang riang dan bebas berterbangan di angkasa raya. Segalanya indah. Segalanya mempersona dan segalanya berlalu dalam suasana keriangan yang sungguh.
Ya Allahhhhhh!!!!
Segalanya terjadi begitu pantas. Motosikal yang kupandu tiba-tiba saja hilang kawalan tatkala digesel oleh sebuah lori tangki yang bergerak laju dari arah hadapan. Sedar-sedar kulihat Haryati sudah terkapar kaku di sisi motosikal yang terbaring di tengah jalan raya. Dalam panik aku segera merangkul lalu menggoncang tubuh Haryati sambil menyeru-nyeru namanya.
“Zamriiii!!!”
“Yatiiii!!!!”
“Zamriiiiii!!!!”
“Yatiiiiii, mengucap Yati! Mengucap!”
“Zam… Zam…!”
“Hei, Zam! Apa yang kau menungkan ni?” satu suara serentak sebuah tapak tangan hinggap di bahu pantas mematikan segala lamunan fikiranku. Aku kemamar sejenak sebelum menoleh dan kala aku menoleh tertancaplah rakanku Hamidon yang sudah pun berdiri di sisiku. Aku segera melihat jam di pergelangan tangan. Mentari yang tadinya bersinar terang telah mula memudarkan cahayanya.
Oh Tuhan! Kenapa kenangan pahit itu menjelma lagi dalam hidupku!
“Ayuh, Zam!” Hamidon mencuit bahuku lagi sekali lalu mengatur langkah.
Aku memicit-micit pangkal paha sebelum mengekori langkah Hamidon ke arah Vespa yang diletakkan di bahagian luar stesen. Aku segera membonceng dan sejurus kemudian dia menghidupkan enjin kenderaan tersebut. Sekawan burung pipit menderu melintas di langit bersih sewaktu kami meninggalkan Stesen Kereta Api Kuala Kangsar petang itu.
“Berapa lama kau akan ditugaskan di sini, Zam?” Hamidon mengajukan pertanyaan sewaktu kami melangkah masuk ke sebuah warung kopi.
“Lebih kurang tiga bulan! Kenapa?”
“Tak ada apa-apa!”
“Minum apa, encik?” seorang lelaki lewat 50an tiba-tiba mencelah. Dia dikenali sebagai Pak Nik. Hamidon sudah kenal benar dengannnya kerana sering makan dan minum di warung ini.
“Err, kau nak minum apa?” tanya Hamidon sambil menunak wajahku.
“Kopi! Kau?”
“Teh tarik! Makan?”
Aku menggeleng.
“Kopi dan teh tarik saja, Pak Nik!”
Lelaki lewat 50-an yang dipanggil Pak Nik itu terus melangkah ke ruang dapur. Sebenarnya, Hamidon adalah salah seorang peserta sewaktu mengikuti kursus ternakan ikan air tawar di bandar Ipoh beberapa bulan yang lalu. Kebetulan aku telah diberi tugasan sebagai penceramah kepada para peserta di kursus tersebut. Secara tidak langsung kami bertemu, menjalinkan persahabatan dan kekal hingga ke saat ini.
Aku menyeluruhi persekitaran warung, kelihatan beberapa orang pelanggan sedang asyik menikmati juadah petang. Sejurus kemudian aku beralih dan mencapai akhbar tulisan jawi di satu sudut meja. Niatku hendak menyelak lembaran akhbar tersebut tetapi terbantut kerana Pak Nik datang bersama pesanan yang kami minta tadi. Dua cawan berisi kopi dan teh diletakkan di atas meja hadapan kami.
“Eh, macam mana, Don?” tiba-tiba aku meluahkan pertanyaan sebaik soal rumah sewa itu bertamu dalam kepala.
“Macam mana apa?” Hamidon sedikit melongo.
“Tentang rumah sewa yang kau kata tu!” aku mengingatkan.
“Oooo, tentang itu!” Hamidon menepuk-nepuk dahinya berkali-kali.
“Macam mana? Ada ke rumah sewa yang aku perlukan tu?” aku bagaikan tidak sabar lagi ingin tahu.
“Err, ada Zam! Tapi…” ujar Hamidon sambil mengangkat cawan teh ke mulut. Minuman itu dihirupnya perlahan.
Dalam masa yang sama aku juga menghirup kopi panas di hadapanku. Terasa segar sedikit seluruh badan dengan aroma kopi tersebut.
“Begini ceritanya, Zam!” suara Hamidon bergema lagi. “Rumah sewa yang kau nakkan tu, memang ada. Tapi kau kenalah tunggu dua atu tiga hari lagi…”
“Kenapa?”
“Tuan rumahnya telah pergi ke Taping kerana menziarahi saudaranya meninggal secara mengejut. Lagipun, dia tak tinggalkan aku kunci rumah, maklumlah dia pergi dalam keadaan tergesa-gesa…”
“Habis, macam mana dengan aku? Aku nak tidur di mana malam ni?” aku bagaikan kehilangan punca ketika itu.
“Soal itu kau jangan bimbang, Zam!” Hamidon cuba menenangkan perasaanku.
“Jangan bimbang kata kau? Kau nak suruh aku tidur di masjid?” aku menjegilkan biji mataku ke arah Hamidon.
“Buat sementara ni, aku nak tempatkan kau di rumah Mak Cik Rafeah!” ujar Hamidon.
“Siapa dia?”
“Mak saudara aku!”
Aku terdiam.
“Kau jangan risau, Zam! Rumah mak cik aku ni besar. Tak ada siapa di rumahnya selain dari dia saja. Lagipun, kalau kau duduk di situ, adalah juga orang temankan dia!” ujar Hamidon lagi bagaikan mengharap.
Aku masih lagi mendiamkan diri kerana tidak dapat memberi kata putus.
“Bagaimana, Zam? Setuju ke?”
Agak lama juga aku memerah otak fikir sama ada mahu menerima atau tidak pelawaan tersebut namun akhirnya aku mengalah juga. “Okeylah, Don! Tapi kau mesti janji dulu!”
“Janji apa pula?”
“Dapatkan aku rumah sewa yang dikatakan tadi!”
Hamidon menganggauk.
Kami meninggalkan warung kopi Pak Nik sewaktu jam di dinding berdenting enam kali. Kami kemudiannya menempuh bukit-bukit pasir dan melewati dua tiga buah tasik bekas lombong tinggal yang terbentang luas. Aku sempat melihat di kejauhan, ke arah beberapa orang pemuda sedang leka memancing. Warna mega yang kuning kemerah-merahan mulai menguasai kaki langit sewaktu Vespa Hamidon berhenti di halaman sebuah rumah batu yang agak sederhana besarnya. Halamannya kelihatan begitu bersih dijajari beberapa batang pohon durian belanda dan juga barisan bunga-bunga sanggul puteri yang berdaun lebat.
Hatiku tiba-tiba saja menjadi tidak keruan tatkala melihat jambangan bunga-bunga cempaka gunung yang sedang mekar berkembangan itu. Telingaku seolah-olah sayup-sayup mendengar keriuhan suara kanak-kanak bermain. Keharuman bunga-bunga itu juga terasa menusuk deria bau. Ada sesuatu yang pilu menusuk sukma. Satu keluhan rengsa tiba-tiba menggelungsur keluar dari kerongkongan.
“Kenapa kau ni, Zam?” tanya Hamidon dengan biji mata terkebil-kebil memandang wajahku.
“Err, tak ada apa-apa, Don!” ujarku acuh tak acuh dan gugup.
Sepi mulai menguasai suasana sebaik saja Hamidon mematikan enjin Vespanya. Mungkin kerana menyedari kehadiran kami, pintu rumah tersebut terbuka dan muncul seorang perempuan berusia lewat lima puluhan, berkebaya dan bersanggul rapi. Dengan segera kami mengatur langkah ke arahnya.
Hamidon segera memperkenalkan aku kepada perempuan tersebut. Dari perbualan antara Hamidon dengan Mak Cik Rafeah itu jelaslah bahawa kehadiranku telah dinyatakan terlebih dahulu rupanya. Sewaktu kami melangkah ke ruang tamu, telah tersedia juadah dan minuman buat kami. Kami dijemput menjamah hidangan sementara Mak Cik Rafeah terus menuju ke ruang dapur. Hamidon membisikkan ke telingaku agar tidak terkejut sekiranya Mak Cik Rafeah bercakap sesuatu di luar jangkaan.
“Apa maksud kau?” aku mengajukan pertanyaan lantaran kurang faham.
“Entahlah, Zam! Aku pun tak tahu kenapa. Ada kalanya dia suka bercakap seorang diri, kadang-kala dia jadi pelupa dan ada kalanya pula dia jadi keliru dengan dirinya sendiri!” jelas Hamidon sedikit pudar.
“Barangkali dia terhenyak oleh sesuatu peristiwa yang menyayat hati!” aku sekadar menduga. Sebagai perempuan yang telah berusia, perkara sedemikian tentulah biasa terjadi. Mungkin juga Mak Cik Rafeah pernah mengalami sesuatu yang trajis di dalam hidupnya. Kesan begitu selalunya mampu mempengaruhi jiwa seseorang. Atau mungkin juga Mak Cik Rafeah mengalami skizofrenia. Entahlah… aku bukannya seorang pakar psikologi untuk membuat sebarang kesimpulan. Begitu aku berfikir.
Hamidon tidak memberi sebarang respon terhadap ungkapanku. Aku juga tidak meneruskan sebarang pertanyaan lagi kerana tatkala itu Mak Cik Rafeah datang membawa lampu gasolin yang sekali gus menerangi seluruh ruang tamu yang sebentar tadi agak suram kerana ditelan suasana senja.
Sewaktu azan Maghrib berkumandang sayup-sayup dari arah hujung kampung, Hamidon memohon diri untuk pulang. Sebelum beredar, dia berjanji akan datang menjemputku keesokan hari. Aku sekadar mengangguk.

* * *

Mak Cik Rafeah sedang tekun menyirami pohon-pohon cempaka gunung yang separas pinggang. Begitu asyik dia sehingga tidak sedar akan kepulanganku petang itu. Aku melemparkan renungan ke arah kaki bukit yang dipenuhi pokok-pokok getah dan tumbuhan semula jadi yang menghijau di kejauhan. Langit kelihatan bersih, hanya ditompoki awan-awan putih serlah bergerak lembut ke arah barat. Sesekali kedengaran keluit helang memecah kesepian suasana.
Sesungguhnya, suasana begini amat mendamaikan jiwaku. Mungkin kerana kecacatan yang aku alami ini menjadikan aku lebih senang hidup menyendiri biarpun ramai rakan-rakan sebayaku sudah pun beranak pinak. Barangkali juga aku begitu sukar melupakan peristiwa lama yang sering menghantui.
Entahlah!
Sepi membalut sekeliling. Aku kembali merenung barisan pohon-pohon bunga cempaka gunung yang sedang berkembang mekar. Keharumannya jelas menusuk hidung dan menyelinap ke celah-celah pelosok sanubari. Damai kurasakan.
“Eh, bila kamu pulang?” tiba-tiba Mak Cik Rafeah bertanya. Barangkali baru menyedari akan kepulanganku. Dia segera meletakkan bekas penyiram ke tanah dan mempelawa aku masuk ke dalam rumah. Sebaik aku mencecah ruang tamu, Mak Cik Rafeah sudah menghilang di dapur. Sejurus kemudian kedengaran curahan air dan bunyi dapur minyak tanah sedang dinyalakan sumbunya.
Aku meletakkan fail-fail berisi nota mengenai akuakultur dan teknik pemeliharaan juga penyelenggaraan ikan air tawar yang sepanjang hari kubentangkan kepada para peserta kursus di atas meja di ruang tamu. Sewaktu melintasi ruang itu untuk ke bilikku, kelihatan beberapa jambak bunga cempaka gunung diletakkan di satu sudut. Tersusun rapi dan kemas.
Kupejamkan mata… aghhh, mengapa ni? Mengapa tiba-tiba saja hatiku menjadi sebak dan sayu tidak menentu. Aku seolah-olah terpanggil oleh rentetan peristiwa masa silam. Bagaikan terbayang di kelopak mataku kota-kota pasir di tepian sungai, di mana di atasnya diatur dan dicacakkan bunga-bunga cempaka gunung juga bunga raya yang cantik, berkilauan disiram mentari petang. Aku juga mendengar derap langkah kaki dari belakang.
“Cantik tak, Zam?”
“Cantik, hmmm pandai kau susun!”
Aku memandang tepat ke mata Haryati kemudian merenung bibirnya bergerak-gerak lembut. Entah sejak bila gadis ayu itu muncul, aku tidak pasti.
“Itu gambar anak mak cik!”
Aku tersentak dari lamunan. Kemamar dan kelinglungan. Suara Mak Cik Rafeah begitu mengejutkan.
“Mana mak cik?”
“Itu ha! Yang tergantung di dinding tu!”
Aku segera berpaling ke arah yang dituding Mak Cik Rafeah. Sebuah bingkai potret seorang gadis jelita tersenyum manis di situ. Atur langkah kakiku cepat ke arah tersebut lalu potret tersebut kuturunkan. Dalam masa yang sama kelihatan Mak Cik Rafeah sedang mengatur langkah ke arahku bersama dulang berisi air di tangan.
“Itulah gambar anak mak cik!” ujar Mak Cik Rafeah lagi. “Cantik tak?”
Aku tersenyum dan mengangguk.
“Tak lama lagi dia akan pulang bercuti!” Mak Cik Rafeah mesra memberitahu tanpa diminta. “Err, pasu-pasu bunga ni, dialah yang buat. Bunga-bunganya dialah yang suntingkan. Dia bekerja di kilang membuat barang-barang tembikar!” Sejurus kemudian dia mengeluarkan beberapa biji tembikar dari dalam sebuah almari lalu diisikannya dengan jambangan bunga cempaka gunung.
“Pasu-pasu ni kalau tak dihias, tak nampak cantik. Kalau dah dihias dengan bunga, barulah nampak cantik. Betul tak?”
Aku sekadar mengangguk-angguk mengiyakan.
“Kamu tahu, dia sangat suka dengan bunga cempaka gunung ni! Kamu boleh berjumpa dengan Noraini bila dia pulang nanti…”
“Errr, bila Noraini pulang, mak cik?” cantasku tanpa dapat dikawal.
“Minggu depan!” ujar Mak Cik Rafeah.
“Kamu boleh berjumpa dengan dia! Dia cantik dan bunga cempaka gunung selalu diselitkan ke sanggulnya!”
Aku terus mengangguk tanpa sebutir pun kalimat balas yang berjaya dicetuskan. Sejurus kemudian, Mak Cik Rafeah terus menyusun pasu-pasu yang sudah diisi dengan bunga-bunga cempaka gunung tersebut. Aku tiba-tiba ingin menjerit namun suaraku bagai terkurung di dasar halkum.
“Hei, kenapa kamu pecahkan kota cempaka gunung kami, Nan?”
Pasti… ya memang pasti! Itulah suara Haryati yang meloncat dari tepian tasik.
“Bukan… bukan aku!”
“Habis, siapa? Aku lihat kamu yang memecahkannya!”
“Bukan aku tapi kaki aku!”
“Huh, anak hantu betul kamu ni!”
“Tak apalah, Yati! Nanti kita buatkan yang lain!”
“Apa kamu kata tadi?”
Aku tersedar lagi dari lamunan silam.
“Errr, tak ada apa-apa, mak cik!” ujarku agak acuh tak acuh.
“Ha, kalau begitu, minumlah air tu! Nanti sejuk pula!” balas Mak Cik Rafeah mesra.
Perlahan-lahan aku menghirup air kopi sajian Mak Cik Rafeah yang mulai suam. Sesungguhnya, fikiranku terlalu jauh melayang, bercampur baur antara masa silam dan masa kini. Naluriku mula diresapi dengan suatu perasaan yang aneh. Tuhanku, perasaan aneh apakah yang menghimpit ini?

* * *

Seperti biasa, di dewan orang ramai Kampung Candan pada hari itu, aku memberi penerangan kepada para peserta tentang beberapa panduan dan teknik pembinaan kolam untuk ternakan ikan air tawar. Juga jenis-jenis penyakit yang mudah menyerang ikan ternakan jika tidak diawasi. Setelah selesai sesi bersoal jawab, kami pun bersurai dan aku lantas mengatur langkah pulang.
Setibanya di rumah, setelah merenung sejenak bunga cempaka gunung serta potret gadis berbingkai hitam itu, aku tiba-tiba bagaikan disergap oleh satu perasaan aneh. Dan perasaan itu tidak lain adalah perasaan serba salah. Aku bagaikan ingin menunggu sesuatu. Ya, ada sesuatu yang ingin kutunggu. Ada sesuatu misteri yang ingin kupecahkan. Dan di atas segala-galanya ada sebuah harapan muncul seperti harapan seorang pencuri cinta di sebalik tabir hatiku.
Arghhhh!!!
Aku lantas menyemak kembali kertas-kertas nota kursus. Tidak lama kemudian Hamidon menjelma dengan Vespanya di halaman rumah. Setelah mematikan enjin dan menongkat motosikalnya, dia segera melangkah masuk. Cahaya mentari petang turut menerobos masuk melalui pintu yang terbuka lebar.
“Ha, berkemaslah Zam! Tuan rumah tu dah pun pulang dan kuncinya dah pun diserahkan pada aku!” ujar Hamidon sambil berdiri di hadapanku. Sejurus kemudian dia menghulurkan kunci rumah tersebut. Aku segera berdiri.
“Cepatlah sikit! Hari dah dekat nak malam ni!” gesa Hamidon bagaikan tidak sabar.
“Don, errr, bagaimana kalau aku terus menyewa di rumah Mak Cik Rafeah ni?” ujarku membuatkan Hamidon sedikit tersentak kecil.
“Kenapa pula?” soalnya seraya terkesip-kesip biji mata.
“Aku rasa… aku sungguh selesa dengan suasana di sini!” balasku bersungguh-sungguh. “Errr, bagaimana kalau aku batalkan saja nak sewa rumah tu, Don? Aku fikir, ini keputusanku yang muktamad!”
“Tapi… Zam! Err, sebenarnya…” Kalimat itu bernoktah di situ. Hamidon agak ragu-ragu untuk meneruskan. Dia memandang wajahku dengan tunak dan sesekali meninjau ke arah dapur penuh kecurigaan.
Aku kehairanan dengan suasana tersebut. “Tapi, kenapa Don?” soalku sungguh-sungguh ingin tahu.
“Sebenarnya…” masih agak berat untuk Hamidon meneruskan kata-kata seolah-olah ada rahsia yang tersembunyi di dadanya.
Aku semakin terlunga namun rasa tidak sabar ingin tahu begitu bersemarak di dalam hatiku. “Ceritakan saja, Don! Buat apa kau nak sembunyikan dari aku pula!” aku bagaikan mendesak.
“Setelah kematian suaminya sewaktu bertugas, dituruti pula dengan kemalangan ngeri yang meragut nyawa anak tunggalnya Noraini, fikirannya selalu terganggu. Dia pernah dirawat selama setahun di hospital sakit jiwa. Setelah doktor berpuas hati, dia dibenarkan pulang. Walaupun saudara maranya memujuk supaya tinggal bersama mereka tapi dia tetap berkeras nak tinggal bersendirian. Ada waktu-waktu tertentu, fikirannya kembali terganggu!” jelas Hamidon panjang lebar seraya mengeluh panjang dan dalam.
Aku mendadak terkedu. Di ruang dapur, kedengaran Mak Cik Rafeah bercicara sesuatu tetapi kurang jelas butir kalimatnya.
Hamidon merenung wajahku. “Macam mana? Betul kau masih nak duduk di sini?” soalnya.
Aku mengeluh sejenak sebelum bersuara, “Baiklah, Don! Berikan aku kunci tu!” Fikiranku sungguh bercelaru. Entah rasa apakah yang sedang menusuk ke dadaku dengan tiba-tiba ini. Aku berpaling dan merenung bunga cempaka gunung di setiap sudut ruang. Bergetar-getar disentuh angin petang. Kelihatan beberapa kuntum bunga tersebut telah gugur ke lantai. Ianya seakan menyemarakkan lagi rasa pedih yang mulai mencengkam hatiku. Aku memejamkan mata rapat-rapat.
“Zam, cepatlah! Mari kita buat kota cempaka gunung yang lain!”
Aku tidak tahu apakah itu suara Haryati atau suara Noraini yang menjelma di gegendang telinga.
Oh Tuhan!
Tiba-tiba aku berasa amat terharu, sebak dan sayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA