Tambah Rumah
SMAHADZIR
KOTAK fikir Haji Usfan
berligar-ligar sambil bersandar pada dinding ruang tamu. Matanya berkelintar ke
seluruh ruang biarpun ketika itu keriuhan suara anak-cucunya bagaikan suara gerapak
katak musim hujan. Riuh-rendah dengan pelbagai ragam dan gelagat.
Yang meresahkannya sekarang ialah ruang rumahnya
seolah-olah kian sempit. Kalau dulu, sewaktu tiga orang anaknya belum
berkeluarga, rumah itu amat selesa dan luas. Tetapi kini bila mereka sudah
beranak-pinak, ruang rumah itu mendadak saja dirasakan sempit dan merimaskan.
Haji
Usfan memicit-micit dahi melihat kerenah cucu-cucunya yang berlari dan
kadang-kadang terguling-guling kerana tersandung sesama sendiri.
Memang rumah itu sudah menjadi sempit jika hendak
dibandingkan jumlah cucu-cucunya yang semakin bertambah dan membesar. Anak Rodi
empat orang, semuanya lelaki. Anak Hambali pula ada lima orang. Tiga lelaki dan
dua perempuan.
Zuhairan juga ada lima anak. Empat lelaki dan seorang
perempuan. Jumlah semua cucunya empat belas orang. Itu tidak termasuk emak bapa
mereka. Pendek kata, memang rumah itu benar-benar sudah sempit dan melemaskan.
Tiba masa tidur, bergelimpang di ruang tamu kerana tidak
cukup bilik. Dua bilik sudah dipenuhi Rodi dan Hambali anak-beranak.
Terpaksalah Zuhairan tidur di ruang tamu, di celah-celah kerusi empuk bersama
anak-anak bininya.
Dua tiga orang lagi cucu lelakinya yang sudah besar
panjang terpaksa tidur di dapur. Mereka tidak kisah tidur di manapun. Kalau
disuruh tidur atas pangkin bawah rumahpun mereka sanggup asalkan dapat pulang
ke kampung bertemu datuk-nenek.
“Cuti hujung tahun nanti macam mana?” tanya Haji Usfan
malam itu. Ketika itu dia dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu. “Ayah
harap kamu semua dapat pulang sebab Pakngah Melan kamu nak mengahwinkan
anaknya!”
“Oo… mestilah balik, ayah!” ujar Hambali bagi pihak Rodi
dan Zuhairan.
“Kalau begitu, ayah terpaksa juga perbesar rumah ni. Biar
selesa sikit. Ayah kesihan tengok cucu-cucu ayah tu bergelimpangan tak tentu
tempat,” balas Haji Usfan.
“Alaa, buat apa susah-susah, ayah! Bukannya kami balik
selalu,” Rodi bagaikan kurang bersetuju.
“Itu kata kamu! Kata ayah kamu lain pula!” Mak Seniah
mencelah sembari menatang sedulang berisi cawan dan kopi. Dulang itu diletakkan
di hadapan Haji Nasfu lalu melabuhkan punggungnya di sisi Hambali.
“Betul cakap Rodi tu, ayah!” sokong Hambali. “Buat apa
nak perbesarkan rumah ni. Lebih baik duit yang ada tu hantar emak ke Mekah.
Saya dengar, makpun teringin juga nak ke sana,”
“Betul juga tu, ayah!” Zuhairan menokok sokongan. “Lagipun,
kalau ayah perbesarkanpun tak guna juga. Lepas kami balik, kosong juga rumah
ni,”
“Alah, apa salahnya. Untuk keselesaan kamu juga,” kata
Haji Usfan tegas. “Ayah bukannya fikirkan soal tu tapi soal cucu-cucu ayah yang
ramai tu. Mereka tak ada tempat langsung nak bermain. Bergerak sikit,
terlanggar sesama sendiri. Berlari sikit, tersandung kaki kawan. Bila waktu
tidur, ayah tengok masing-masing macam tongkang pecah. Sana satu, sini satu.
Ada yang kepalanya ke sana, ada kepalanya ke sini. Kadang-kadang tu, kepala
masuk celah kangkang orang lain,”
Rodi, Hambali dan Zuhairan
ketawa dengan penjelasan ayah mereka. Memang tidak dinafikan hakikat tersebut.
Namun, itu bukanlah tidak selesa namanya. Bagi mereka, apalah salahnya jika
alami suasana begitu sekali-sekala. Lagipun, itulah salah satu bentuk
kemanisannya bila pulang ke kampung.
Sebaik sahaja anak-anak cucunya pulang ke kota, Haji Usfan
mulai sibuk mencongak itu-ini. Dia sudah membayangkan rupa bentuk rumah yang
bakal ditambah nanti. Rumah atas akan diturunkan ke bawah. Tangga tak payah
ada. Kalau ada tangga susah pula nak kawal cucu-cucunya yang nakal dan masih
kecil itu.
“Apa yang abang terkumat-kamit tu?” tanya Mak Seniah kala
melihat Haji Usfan terkumat-kamit di ruang tamu suatu malam.
“Saya sedang mengira jumlah modal yang nak digunakan
untuk tambah rumah ni,” jawab Haji Usfan.
“Tukang mana yang abang nak ambil?”
“Wak Man Tukanglah! Dia saja tukang rumah yang ada di
kampung kita ni,”
Mak Seniah mengangguk-angguk.
“Saya bercadang nah jatuhkan ruang anjung ni bawah.
Lantainya simen. Tambah lagi dua bilik, siap bilik mandi. Ruang dapur
panjangkan ke belakang. Besarkan ruang rehat. Buat tiga buah garaj kereta,
senang sikit kereta anak-anak kita nak letak nanti,” panjang lebar Haji Usfan
membariskan cadangannya.
Mak Seniah tidak berkata apa-apa. Baginya, memperbesarkan
rumah ada juga baiknya. Haji Usfan mencapai sehelai kertas lalu
mencoret-coretkan sesuatu. Sejurus kemudian, kertas itu direnyuk-renyuk,
digumpal-gumpal dan diletakkan ke sini. Sehelai lagi kertas diambil.
Dicoret-coret lagi. Lepas itu direnyuk-renyuk dan digumpal-gumpalkan pula
seperti tadi. Mak Seniah hanya menggeleng-geleng dengan telatah suaminya.
* * *
“Saya cuma nak besarkan
sikit ruang anjung, ruang dapur, buat garaj kereta dan tambah dua lagi bilik
tidur,” jelas Haji Usfan.
Wak Man mengangguk-angguk sambil otaknya berkelintar
mengira-ngira jumlah kayu, simen, papan, dan sebagainya yang bakal digunakan.
Dari pengalamannya, dia dapat mengagak modal yang perlu disediakan Haji Usfan.
“Kamu ada apa-apa cadangan bentuk tambahan yang kamu nak
buat tu?” tanya Haji Usfan suatu malam sewaktu Wak Man datang ke rumahnya
sebaik dia selesai menunaikan solat Isya.
“Saya cadangkan Pak Haji besarkan rumah ni ikut fesyen
rumah Norma Lebai Soud di Kampung Alor,” cadang Wak Man.
“Norma Lebai Soud?” Haji Usfan mengesip-ngesipkan biji
matanya memikirkan nama tersebut. Boleh dikatakan semua orang Kampung Alor dikenalinya.
Tidak pernah pula dia dengar nama Norma Lebai Soud seperti yang dikatakan Wak
Man itu.
“Norma ni janda anak dua, Pak Haji! Baru berpindah ke kampung
tu selepas suaminya mati,” jelas Wak Man.
Haji Usfan mengangguk-angguk. “Patutlah saya tak pernah
dengar namanya,”
“Ha, kalau Pak Haji nak tengok fesyen rumah dia, kita
boleh pergi ke sana esok. Memang cantik, Pak Haji. Kalau nak tambah ikut fesyen
tu, modalnya sekitar RM35,000 saja,”
“Boleh juga,” balas Haji Usfan sambil tersengih.
Selepas Haji Usfan melihat fesyen rumah Norma Lebai Soud,
semakin galaklah Wak Man bertandang ke rumah Haji Usfan, berbincang lagi
tentang jenis kayu, warna cat, jenis ubin dan sebagainya.
“Suka ke Pak Haji dengan fesyen rumah janda tu?” tanya Wak
Man.
“Memang cantik!” Haji Usfan mengangguk.
“Apa yang cantik? Orangnya ke atau rumahnya?”
Haji Usfan tersengih lebar. “Dua-dua sekali,”
“Banyak ke modalnya?” soal Mak Seniah ingin tahu, suatu
petang selepas Wak Man pulang.
“Emmm, lebih kurang RM35,000,”
“Banyak tu bang!” Mak Seniah hampir melopong.
* * *
Kerja-kerja menambah
rumah Haji Usfan bermula suatu pagi. Wak Manlah yang pergi memilih dan membeli
barang-barang keperluan di sebuah kilang papan berdasarkan apa yang dimahukan
Haji Usfan.
Wak
Man dibantu dua pekerjanya, Junuh dan Semaun. Namun begitu, dua tiga hari
selepas Wak Man memulakan tugasnya, kelibat Haji Usfan jarang ada di rumah. Mak
Seniah sendiri tidak tahu ke mana suaminya menghilang.
Tetapi Wak Man tidak kisah. Kerja-kerjanya tetap
diteruskan juga sebaik mungkin walaupun tanpa diperhatikan oleh Haji Usfan.
Haji Usfan pula amat berpuas hati tatkala melihat
kerja-kerja yang dilakukan Wak Man dan pekerja-pekerjanya itu.
“Awak tengoklah,
Seniah! Teliti betul kerja-kerjanya. Patutlah dia jadi rebutan orang, sampai
orang Kampung Alorpun cari dia bila nak buat rumah,” ujarnya pada suatu malam
kepada Mak Seniah.
“Sebab itulah abang menghilang saja,” balas Mak Seniah
tanpa memberi respon kepada ungkapan yang diluahkan suaminya.
“Nak buat apa saya jaga dia. Saya ni bukannya mandur.
Lagipun, dia tahulah apa yang patut dia buat,”
“Setidak-tidaknya abang kena perhatikan juga kalau-kalau
ada masalah timbul. Saya ni bukannya tahu apa-apa,”
“Kalau saya tak ada, awak tengok-tengoklah sama bagi
pihak saya. Saya ni sibuk,”
“Sibuk apanya?”
“Eh, bukankah saya ni imam nikah, Seniah! Kalau ada orang
menikah, sibuklah saya,”
“Jadi, abang menghilang dua tiga hari ni, kerana itulah?”
“Habis, kerana apa lagi?”
“Tapi, saya tak dengar pula ada orang kahwin di kampung
kita ni?”
“Bukan di kampung kita tapi di kampung sebelah,” Haji
Usfan bersahaja.
“Siapa yang kahwin?”
“Err, anak Lebai Soud… errr… kalau tak salah saya, Norma
namanya,” jawab Haji Usfan acuh tak acuh. “Eh, kenapa awak tanya banyak sangat ni?
Selalunya awak tak macam ni?”
Mak Seniah diam.
Bulan November sudah berlangsung seminggu. Kerja-kerja
membesarkan rumah itu terus dijalankan Wak Man dan pekerja-pekerjanya. Tetapi
kerja-kerja yang dilakukan mereka agak lambat sikit dari dahulu.
Kadang-kadang lepas Zuhur baru Wak Man, Junuh dan Semaun
datang. Haji Usfan tidak tahu kerana dia jarang ada di rumah. Boleh dikatakan,
sehari suntuk dia menghilang dan kala hampir Isya, barulah dia pulang. Bila
ditanya Mak Seniah, dia mengatakan ke Jabatan Agama Negeri kerana urusan kerja.
Tempat untuk dibina garaj kereta belumpun berusik. Dua
batang pokok sawa masih gagah berdiri. Rumah juga masih melopong. Ruang anjung
yang diturunkan ke bawah sekadar berdinding separuh batu tanpa berdinding
papan.
Antara tiang terpaksa digantungkan plastik agar tidak
dimasuki tempias hujan. Dua buah bilik yang telah diubahsuai masih belum
diusik. Dinding di bahagian bilik-bilik itu juga belum ada lagi.
Pada sebelah malam, Haji Usfan dan Mak Seniah terpaksa
tidur di ruang dapur. Hanya ruang itu saja yang belum diusik walaupun ada
rancangan mahu dibesarkan ke belakang lagi. Kini rumah itu tak ubah macam
tongkang pecah, pelohong sana sini.
Sungguh sakit mata Mak Seniah memandangnya. Kayu dan
papan lapis berselerak sana sini. Peralatan menukang juga tidak keruan tempat
duduknya. Begitu juga dengan guni-guni simen, bersepah merata tempat.
“Bila nak siap rumah ni?” Mak Seniah mulai gelisah dengan
keadaan kerana tidak lama lagi anak cucunya akan pulang bercuti panjang.
Kebetulan pula ketika itu musim durian dan rambutan hampir
masak. Setiap malam matanya sukar dilelapkan. Sedang Haji Usfan nyenyak saja
tidurnya.
Ini menghairankan hatinya. Sepatutnya, suaminya itu lebih
gelisah dengan suasana rumah mereka.
* * *
Haji Usfan, pagi-pagi
lagi sudah meninggalkan rumah kerana katanya ada tugas di masjid Kampung Alor.
Mak Seniah tidak banyak soal. Lantaklah, memang sudah tugas suaminya tetapi
pagi itu dia sedikit hairan kerana Wak Man masih belum datang lagi. Selalunya,
lebih kurang pukul lapan, mereka bertiga sudah datang bekerja.
Menjelang jam dua belas tengah hari, tiba-tiba sebuah
motosikal memasuki halaman rumah Haji Usfan. Mak Seniah segera ke ruang anjung
untuk mengetahui siapa tetamu yang datang.
“Ha, kamu Junuh! Ingatkan siapa tadi,” ujar Mak Seniah
sebaik plastik penutup ruang tersebut diselak dengan tangan kanannya. “Apa
halnya kamu datang ni? Tak bekerja ke hari ni?”
“Wak Man suruh cuti, makcik!” ujar Junuh.
“Kalau asyik cuti saja, bila pula rumah ni nak siap?” Mak
Seniah semakin resah.
“Rumah ni tak akan siap biarpun setahun lagi,” balas
Junuh bersahaja.
“Kenapa kamu kata begitu?” Mak Seniah kehairanan.
“Makcik tanyalah Pak Haji sendiri,” balas Junuh.
“Errr, kenapa nak tanya dia pula?” Mak Seniah melopong.
“Dia dah buat rumah lain, makcik! Sebab itulah rumah ni
tak siap,” ujar Junuh bersahaja.
Lopong Mak Seniah semakin lebar.
* * *
Dua hari sebelum majlis
pernikahan sepupu mereka, Hambali, Rodi dan Zuhairan balik anak-beranak.
Menjalar tiga buah kereta di halaman rumah Haji Usfan. Cucu-cucu Haji Usfan
yang kecil-kecil ligat berkejar sana-sini. Ada yang terus masuk ke dalam rumah
melalui bahagian hadapan yang masih pelohong. Beberapa ekor ayam yang sedang
makan di situ bertempiaran terbang.
“Hati-hati sikit, nanti terpijak pula paku bersepah-sepah
tu!" jerit Mak Seniah kepada cucu-cucunya.
“Apa hal ni mak?” tanya Hambali sebaik melangkah kaki ke
ruang dapur.
“Panjang ceritanya, Bali,” ujar Mak Seniah lemah.
Rodi dan Zuhairan
turut melangkah masuk. Begitu juga dengan isteri masing-masing. Mata mereka
terus saja mengitari ruang dapur dan anjung yang terpelohong.
“Apa halnya, mak? Kenapa rumah ni tak siap-siap lagi?”
tanya Rodi separuh hairan.
Mak Seniah sekadar mendengus rengsa.
Hambali terduduk.
Cucu-cucu Mak Seniah yang lain sudah mula mencapai kayu dan macam-macam alat
menukang di ruang anjung. Ada yang mula menggayakan main perang. Mulut
masing-masing bising berbunyi seperti bunyi senapang meletup.
“Nak tidur macam mana ni, mak?” tanya Zuhairan tidak
dapat menahan rasa gelisahnya. “Kenapa ayah tak siapkan cepat-cepat rumah ni?”
Keluhan Mak Seniah mencerlus lemah.
“Apa dah jadi sebenarnya, mak?" Rodi membuka mulut,
sungguh-sungguh ingin tahu.
“Kalau tak cukup duit, kenapa tak beritahu kami?” Hambali
pula menokok.
“Memang tak cukup duit, Bali!” Mak Seniah mulai bersuara.
“Kalau ayah kamu buat rumah ni, duitnya lebih dari cukup. Tapi ayah kamu dah
buat rumah lain...”
“Buat rumah lain?” Hambali gesit terbelangah. “Apa
maksud, mak?’
“Ayah kamu dah menikah lagi!” ujar Mak Seniah. Jelas
wajahnya pudar mendadak.
Masing-masing bagaikan kurang percaya. Namun akhirnya
mereka dapat menerima hakikat yang ayah mereka memang sudah berkahwin lagi.
Isteri barunya ialah Norma Janda di Kampung Alor.
Malam itu terpaksalah anak-cucu Mak
Seniah tidur berhimpit-himpit di ruang dapur. Mereka tak sampai hati hendak
tidur di masjid kerana bimbangkan hati Mak Seniah tergores. Biarlah ayah mereka
dengan rumah barunya yang lebih selesa itu. Memang Haji Usfan ada hak untuk tambah
rumah lagi satu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan