Ahad, 14 Mac 2010

Membasmi Kemiskinan

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 30 April 2005

Oleh SMAHADZIR

Persoalan tentang kemiskinan memang tidak akan habis selesai bila-bila pun. Hakikatnya, akan wujud orang miskin bila-bila masa juga di dunia ini. Yang jelas sekarang ialah kemiskinan merupakan sesuatu yang masih menghantui masyarakat kita, masih begitu ramai orang miskin yang berada di sekitar kita, begitu juga dengan mereka yang masih hidup di bawah garis kemiskinan yang di dalam istilah Islam disebut dengan fakir. Satu perkara berjaya kita atasi, muncul lagi manusia fakir dan miskin yang baru. Oleh kerana itu perhatian kita terhadap mereka yang fakir dan miskin amat dituntut oleh ajaran Islam.

Islam amat menekankan kepada kita agar mampu mengatasi atau ´memerangi´ kemiskinan. Jika kita teliti ajaran Islam, baik yang terdapat dalam Al-Quran mahupun Sunnah, akan kita temui petunjuk-petunjuk Allah s.w.t sebagaimana yang telah diberi contoh teladan n oleh Rasul-Nya dalam mengatasi kemiskinan.

Dr. Yusuf Qardhawi dalam bukunya yang berjudul Musykilatul Fakri Wa Kaifa ´Aalajahal Islam, telah menyebutkan usaha-usaha yang digariskan oleh Islam dalam mengatasi kemiskinan. Dalam buku itu, Dr. Yusuf Qardhawi menyebutkan enam usaha yang harus dilakukan oleh Muslim untuk mengatasi kemiskinan tersebut. Usha-usaha yang dimaksudkan ialah:

1) Bekerja

Bekerja merupakan rezeki yang telah disediakan Allah s.w.t, bahkan kalau perlu, seseorang Muslim itu perlu bertualang ke pelbagai penjuru dunia ini dalam mencari rezeki yang halal. Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: ‘Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagimu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.’ (QS 67: 15)

Di dalam buku itu juga, Dr Yusuf Qardhawi menyatakan: ‘Bekerja adalah senjata utama untuk memerangi kemiskinan, modal asas dalam mencapai kekayaan dan faktor dominan dalam mencipta kemakmuran dunia.’

Ini bermaknabahawa seseorang Muslim itu harus memiliki ilmu dan ketrampilan agar dia boleh bekerja dan membuka peluang pekerjaan serta melahirkan semangat pada dirinya untuk bekerja. Selanjutnya, apabila seseorang memberi kerja orang lain, maka dia harus memberikan upah atau gaji, bahkan kalau perlu sebelum peluhnya kering. Rasulullah s.a.w menyebutkan keutamaan orang yang bekerja dengan sabda baginda yang bermaksud: ‘Barangsiapa yang menjadi susah pada petang hari kerana kerjanya, maka terampunlah dosanya.’ (Hadis riwayat Tabrani)

2) Membantu Keluarga yang Lemah

Pada dasarnya, mengatasi kemiskinan adalah dengan bekerja dan berusaha. Bagaimanapun, dalam masyarakat kita begitu ramai orang yang tidak mampu bekerja, bukan kerana mereka malas bekerja dan berusaha, tetapi kerana mereka adalah orang-orang yang keperluannya memang harus dipenuhi oleh anggota keluarganya dan masyarakat Muslim yang lain. Mereka itu umpamanya, balu yang ditinggalkan suaminya (meninggal dunia) tanpa meninggalkan apa-apa harta yang cukup, anak-anak kecil sehingga mereka masih belum berupaya berdikirai, orang-orang yang sudah lanjut usia, orang yang berpenyakit berpanjangan, orang yang cacat dan sebagainya.

Keharusan anggota keluarga yang lain untuk menyediakan keperluan anggota keluarganya yang lemah adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran, yang bermaksud: ‘Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.’ (QS 17: 26-27)

3) Zakat

Zakat merupakan kewajiban yang harus ditunaikan oleh Muslim. Kewajiban zakat sama kedudukannya dengan kewajiban solat. Dalam banyak ayat dan hadis, perintah solat sering kali digandingkan dengan perintah zakat yang bermaksud seseorang Muslim itu tidak sempurna keislamannya tanpa menunaikan kedua-duanya. Di antara ayat tersebut adalah firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah berserta orang-orang yang rukuk.’ (QS 2: 43)

Oleh kerana zakat merupakan usaha untuk mengatasi kemiskinan, maka sedapat mungkin dana zakat itu tidak hanya digunakan untuk memenuhi keperluan yang bersifat asasi, kerana dengan demikian para fakir dan miskin akan hanya menggantungkan harapannya kepada zakat, maka dana zakat itu boleh juga digunakan untuk membiayai pendidikan bagi orang-orang yang miskin dan modal bagi sesuatu perniagaan yang hendak mereka jalankan.

Meskipun begitu, keperluan asas harus dipenuhi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memang amat sukar untuk berusaha sendiri, misalnya mereka yang lanjut usia, orang yang berpenyakit perpanjangan, orang yang cacat dan sebagainya. Oleh kerana zakat amat penting dan menjadi salah satu ´tiang´ di dalam Islam, maka mereka yang tidak menunaikan zakat bukan hanya tidak sempurna keislamannya, tetapi juga ‘tidak termasuk ke dalam golongan Mukmin yang beruntung’, (QS 23; 1-4), ‘tidak termasuk dalam golongan muhsinin atau orang yang baik’, (QS 31: 3-4), ‘tidak termasuk dalam golongan orang yang melakukan kebajikan dan ketakwaan’, (QS 2: 177), ‘tidak dapat dibezakan dengan orang-orang yang musyrik’ (QS 41: 6), ‘tidak memperoleh rahmat Allah s.w.t’, (QS 7: 156), ‘tidak berhak memperoleh pertolongan Allah s.w.t’, (QS 22: 41) dan sebagainya.

Oleh kerana itu, apabila seseorang Muslim telah menunaikan zakat dengan hati yang ikhlas, maka dia akan digolongkan ke dalam golongan orang yang bersaudara dalam Islam. Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud: ‘Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.’ (QS 9: 11)

4) Dana Bantuan Perbendaharaan Islam

Di samping menjelaskan perkara itu, Dr. Yusuf Qardhawi juga menjelaskan bahawa mengatasi kemiskinan dengan dana bantuan Islam yang diperoleh daripada pelbagai sumber daripada Baitul Mal. Oleh sbeab itu, kekayaan-kekayaan umum pada sesebuah negara harus diarahkan untuk mengatasi kemiskinan dan oleh sebab itu, ia tidak boleh dikuasai oleh segolongan orang untuk kepentingan mereka sahaja. Di samping kekayaan atau aset negara, dana bantuan perbendaharaan Islam juga boleh diperoleh daripada ghanimah (harta pampasan perang), fa´i (harta yang ditinggalkan oleh musuh) dan sebagainya.

5) Keharusan Memenuhi Hak Selain Zakat

Di samping zakat, masih ada ´kekayaan diri´ Muslim yang harus dilakukan dalam usaha mengatasi kemiskinan dalam kaitannya dengan hubungan tertentu dengan sesama Muslim, misalnya:

Pertama:

Hubungan berjiran yang apabila mereka miskin, maka kita wajib membantunya. Dalam hal ini Rasulullah s.w.w bersabda, yang bermaksud: ‘Tidak patut dinamakan beriman, orang yang tidur malam dalam keadaan kenyang sedang jiran yang berada berhampirannya dalam keadaan lapar, sedangkan ia mengetahuinya.’ (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Kedua:

Menunaikan ibadah korban pada hari raya Aidil Adha yang daging sembelihannya dibahagikan kepada mereka yang miskin.

Ketiga:

´Kafarah´ melanggar sumpah sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran, yang bermaksud: ‘Maka kafarahnya (tebusan bagi orang yang melanggar sumpah) adalah memberi makan kepada sepuluh orang miskin dengan makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba.’ (QS 5: 89)

Keempat:

Fidyah, dengan memberi makan seorang miskin sebagai ganti puasa satu hari bagi mereka yang tidak berpuasa dengan sebab sakit yang berpanjangan, tua dan sebagainya.

Kelima:

´Al hadyu´ atau berkorban kerana pelanggaran dalam ibadah haji dan sebagainya.

6) Sedekah dan Kebajikan Individu

Di samping kewajipan-kewajipan dalam hubungan harta yang harus ditunaikan oleh seseorang Muslim, untuk mengatasi kemiskinan, Islam juga memberikan rangsangan kepada orang Muslim untuk memiliki akhlak yang muliayang dalam perkara ini menerusi sifat dermawan dan murah hati - tidak ´takut-takut´ untuk mengeluarkan hartanya lebih daripada apa yang diwajibkan kepadanya dalam konteks sedekah yang sifatnya suka rela sebagai kebajikan dirinya di jalan Allah s.w.t.

Di antara cara-caranya ialah waqaf dan hibah terhadap harta yang dimilikinya seperti kenderaan, tanah, rumah dan sebagainya. Allah s.w.t dan Rasul-Nya memberikan imbalan dan penghargaan yang sangat besar terhadap orang yang bersedekah sehingga perkara itu termasuk dalam pahala yang akan terus diperolehnya meskipun dia telah meninggal dunia.

Akhirnya, harus kita sedari bahawa kemiskinan itu selalu menghantui kita sepanjang zaman. Kemiskinan boleh saja terjadi secara tiba-tiba terhadap orang yang kaya. Maka, kita mesti sedar dan insaf bahawa selagi kita kaya dan berkecukupun, kita harus ingat kepada mereka yang miskin dan kekurangan kerana suatu ketika nanti mungkin kita akan menjadi seperti mereka. Ingat dan insaflah, bila-bila saja Allah s.w.t berkuasa menterbalikkan dunia ini. Pada waktu itu, orang kaya akan menjadi miskin dan orang miskin akan menjadi kaya. Lihatlah kejadian siang dan malam. Bukankah mudah saja Allah s.w.t mahu mengubah sesuatu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA