Isnin, 15 Mac 2010

Fragmen

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Satu Dimensi)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Fragmen Satu : Di Puncak Gunung
Protagonis 1 : Sang Pelukis
Protagonis 2 : Ia (dalam tenang dan mesra)

PROTAGONIS 1
Adalah seorang pelukis yang bergantung kepada kekuatan mistik air dan gunung dalam berkarya. Dia seperti pelukis-pelukis Belanda sejak penghujung abad 16, menggemari pemandangan alam sebagai entiti karya tersendiri.
Kesayuan tanah pamah, damai air terjun di kaki gunung, langit dan awan yang cantik menyerlah serta rakaman cahaya yang teliti, kemudiannya cagun sebagai ciri utama pemandangan Negara Bunga Tulip itu.
Seperti juga Giorgione dan Titian di Itali dengan Arcadian Lansdscape yang unggul dan puitis. Dan dia pula berkarya dengan etos alam semulajadi Malaysianya. Dia pelukis tersohor arena itu.

AKSI:
Sebagai seorang sahabat, aku menyusur galurnya di sini, di puncak gunung ini. Ia seakan-akan prisma, seakan-akan kristal, bening memerlip-merlip lebih-lebih lagi kala dicium mentari. Sejuta bayang berolak cantik spontan melahirkan inspirasi. Jari jemari tidak betah untuk berdiam diri andai inspirasi persis ia melimpah ruah di kolong sempit. Jari jemari akan menari mengikut rentak limpahan inspirasi seolah-olah disihir paluan merdangga.
Di sini ia hidup bertautan sesama, dalam satu wasilah yang sungguh akrab, berwajah tenang jernih sejernih cermin ingatan kepada karya-karya naturalisku yang telah tersebar ke seluruh pelosok dunia. Ia yang telah dinobatkan sejak zaman pra sejarah, zaman paleozoic, era mesiozoic malah zaman sebelum kewujudan manusia sebagai sahabat semua makhluk Allah paling akrab, hidup tenang sentosa di sini.
Sewaktu aku menjijakkan kakiku ke puncak gunung ini, menggelincir lambaian-lambaian lunak, menggamit-gamit dan mengapung-apung dengan simfoni keriangan segala warga sekitarnya. Lambaian-lambaian, gamit-gamitan dan buar keriangan yang dipamerkan adalah refleksi sebuah persahabatan yang mesra dan mulus, sebuah wasilah yang tidak boleh dipandang enteng dan lewa.
Seperti kata seniman Agung Tan Seri P.Ramlee, irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Begitu kukira takwil polos persahabatan itu. Jangan dianggap mudah, semudah memakai dan menanggalkan kasut akan keakraban persahabatan dengan ia atau dengan mereka yang lain lalu mengabaikannya. Sesungguhnya, ada wasilah antara kami dan kita semua yang sengoti dilestarikan.
Aksara apa yang sesuai untuk memulakan peri ini? Bolehkah terlalu leka berfikir sedang inspirasi begitu membuar-buar menyuar ke pucuk-pucuk tolang pinggiran diri? Seperti yang aku katakan tadi, jari jemari umpama budak kecil nakal metah, tidak betah untuk diam kendati sesaat.
Begitu jadinya, ia menggelinjang seperti pepatung dicelah rembesan gerimis, miang merealisasikan inspirasi ke muka kanvas dan dalam masa tidak sampai tiga jam, sebuah keindahan alam yang tadinya sekadar berlegar di kotak benak kini telah tergarap jadi kenyataan di depan mata.
Sebuah pemandangan alam yang cantik, yang juga merupakan hasil pusatan perhatian rakan-rakan pelukis impressionis, post impressionis dan karya-karya awal Kubisme. Namun persis tema dan subjek lain dalam catan, pemandangan alam pasti akan dirakam secara berkesinambungan dari pelmacam pengolahan - naturalistik, simbolik, factual, idealistik, realistik, semi abstrak dan juga abstrak. Bergantung kepada kehendak pelukis.
Seperti aku, aliran air dan batu batan sudah dirakam dengan penuh kepekaan. Ketrampilan teknik akrilik juga tidak dilupakan. Pemilihan pohon buluh merintangi pandangan latar hadapan juga amat sesuai dalam merencanakan komposisi yang baik di samping memperkayakan elemen penggambaran.
Kesan perspektif atmosfera yang kutunjukkan pada latar belakang catan, membawa kesan kejauhan yang lunak dan bersistematik. Seorang pelukis yang kaya imaginasi tidak pernah puas dengan penghasilan sebuah karya di tempat tenang begini. Aliran inspirasi persis sebatang anak sungai berbatu-batu yang deras dari puncak gunung.
Kala aku mencuplik pandang ke jihat masyrik, sebuah lanskap yang indah tiba-tiba saja menyerap ke kotak fikir. Lalu menggerakkan semula jemari menari tarian inang melenggok lembut. Hutan tropika dengan elemen utama dari jenis balak, palma dan pokok menjalar sekaligus kucagunkan dalam satu komposisi yang menarik hati.
Imbangan di antara bentuk dan arah menegak, mendatar juga condong pasti menghasilkan struktur yang utuh. Aras pandangan yang rendah akan membawa pencinta karyaku bukan saja kepada kehijauan daun hutan tropikal malah daun-daun kering yang rontok menebal di bumi.
Bahantara akrilik terpalit sebaik mungkin dan hasilnya tentu amat berkesan khasnya pada bahagian daun. Sungguh aku puas. Aku amat puas menggarap inspirasi, mencanai ilham sebagai pelukis di puncak gunung ini dan ia sedikit tidak mengganggu malah lebih membantu.
Begitu murni sebuah persahabatan yang terjalin. Seorang sahabat yang baik tidak akan mengganggu sahabatnya terutama ketika sedang berkarya malah ia lebih membuah dan meranumkan inspirasi.
Media-media akrilik ghalibku, maksudku untuk sebuah karya naturalistik sebegini, tidak bermakna tanpa ia. Rasionalnya, sepalit biru tua dibaur secubit magenta dan disatukan pula dengan ia lalu dilontarkan ke muka kanvas, akan menghasilkan segumpalan awan gemawan yang indah berseni.
Begitu juga untuk lain-lian objek yang terkesan oleh indera mata. Ia menjadi unsur asas yang amat kubutuhkan. Dalam situasi ini, aku tidak dapat mengatakan ia amat perlu untuk semua media lebih-lebih lagi untuk semua pelukis. Seperti rakanku, Emanuel Schongut yang sinonim dengan master-piecenya Bella Maison, tidak langsung memerlukan ia untuk proses pengkaryaan.
Begitu juga dengan GD Tiepolo, Seymour Chwast, George Stavrinos, Ron Vareltzis, Joseph J.Fazio atau juga Nicholas Gaetano. Mereka penggemar medium cat minyak, pastel, charcoal, tempera dan sebagainya.
Tetapi, amat tidak mantik pula kalau dikatakan mereka ini tidak langsung memerlukan ia. Ia cuma tidak diperlukan sebagai unsur katalis bauran media sahaja, bukannya untuk proses kelangsungan hidup sebagai seorang manusia. Mereka tetap memerlukan ia untuk hidup.
Dikatakan pakar kesihatan bahawa mereka akan mati jika seminggu ia tidak didampingi. Ijmalnya, memang ia amat perlu. Ia sahabat akrab sekaligus penyambung nafas. Ia amat sinonim dengan sebuah mekanisme yang bernama kehidupan. Tanpa ia tiadalah hidup semua makhluk.
Kedatangan aku ke sini bukan sekadar mahu menghimbau inspirasi, mententeramkan jiwa yang nyalar kecamuk oleh galauan hidup era internet atau melihat kemesraan ia bertaut-tautan dalam satu rantaian yang panjang turun ke kaki gunung, tetapi juga untuk mengeratkan lagi persahabatan yang sekian lama terjalin.
Persahabatan menjadi lebih mesra penuh kasih sayang bila mana kakiku mencecah tubuhnya dan ia mencium serta membelai menyuarkan satu rasa kedinginan yang amat mencokot hingga ke tulang temulang.
Dapat aku membayangkan bertapa syahdunya jika seluruh juzuk tubuh ini di dalam pelukannya, tentu sekali menyegarkan setiap pojok urat dan nadi, kulit dan isi, hati dan jantung hatta kotak fikir yang nyalar digulat pelmacam kegalauan itu.
Bagaimanakah caranya untuk mengeratkan tali persahabatan yang dimaksudkan itu? Aku tidak perlu berfikir lama-lama untuk mencari jawapannya. Barangkali, sesiapa pun tahu. Sang pelukis yang kaya dengan inspirasi tentulah mempunyai akal yang arif lagi pintar.
Secara mantiknya, sang pelukis itu spesies manusia berkarisma, punya aql, nafs dan qalb yang menjulang darjat mereka lebih tinggi dari lain-lain makhluk, etos terpuji persih dan andal menjadi khalifah mentadbir dunia.
Apa yang diperlukan hanyalah karismanya tidak berat sebelah atau berkepentingan sendiri. Karisma yang adil. Umpamanya, apabila mahu melakukan sesuatu perubahan kepada dunia atau membangunkan dunia, pandangan semua warga alam secara adil perlu diambil kira.
Kepentingan hidup makhluk-makhluk itu tidak sewewenang diabaikan. Seperti membangunkan sebuah penempatan moden berupa rumah-rumah kediaman bertaraf mewah di puncak bukit. Perlaksanaannya jika cuma kepentingan laba lebih diutamakan, tentu sekali akan merosakkan jutaan spesies flora dan fauna, sistem ekologi dan kelangsungan hidup makhluk-makhluk Tuhan yang lain.
Aku mengeluh dan sempat melontarkan kotak fikir menyelami dua perkara sekaligus. Soal akibat kepada dunia dan soal perasaan. Apa akan jadi kepada dunia jika semua manusia begini? Semua manusia mementingkan sendiri-sendiri, mementingkan laba untuk diri sendiri.
Barangkali dunia ini akan hancur setara Benua Mu atau Atlantis. Apakah makhluk-makhluk Allah yang lain itu tidak punya perasaan? Ini sengoti difikirkan. Aku berfikir-fikir lagi - mereka sekadar tidak berakal tetapi berperasaan - mereka juga punya perasaan kasih sayang, cinta, marah, benci dan sebagainya.
Tetapi, kasih sayang yang ditunjukkan oleh mereka sukar dikesan oleh mata kasar, ianya berbentuk maya. Contohnya, tumbuhan hijau membebaskan oksigen untuk manusia supaya manusia dapat memanjangkan nafas kehidupan. Itu antara bentuk kasih sayang mereka untuk manusia.
Bayangkan jika dunia ini tidak ada lagi tumbuhan hijau! Bayangkan, jika semua makhluk-makhluk Allah itu memperotes sikap kacang lupakan kulit manusia - angin tidak mahu bergerak, air mematikan diri, matahari tidak mahu memercikkan sinarnya, pokok-pokok tidak mahu berbunga, berbuah, mengeluarkan oksigen dan… dan… bayangkan!! Bayangkan kemarahan yang mungkin terhambur dari makhluk-makhluk Allah yang memprotes itu!
Ketika itu aku melihat ia seperti mahu berkata-kata, mengangguk-angguk, tersenyum dan entah apa-apa lagi yang menunjukkan rasa senang dan mengiyakan mainan perasaanku. Tubuhnya digeliang geliut manja, berolak-olak kecil lalu melayah mesra ke mukaku.
Aku membiarkan saja ia membelai, mengusap dan mengelus. Ini merupakan satu aktiviti kemesraan antara dua sahabat. Aktiviti-aktiviti begini harus diteruskan demi keakraban yang lebih berpanjangan.
“Wasilah kita termaktub sejak azali. Aku antara jisim pembina jasadmu. Air, tanah, api, angin - aku yang paling dahulu!”
Tentulah berasa amat jelu mendepani ungkapan hakikat seperti itu. Ia seolah-olah mahu menyedarkan aku betapa keterlibatan antara sesama makhluk sudah ditetapkan Allah, satu kemestian, satu kewajiban, menjadi satu tanggung jawab yang tidak boleh diabai dan dipandang lewa. Umpama satu tubuh, secubit paha kanan rasa sakitnya di kiri juga.
“Seorang sahabat yang berakhlak ialah sahabat yang tidak menyakiti hati sahabatnya. Sahabat yang baik ialah sahabat yang tidak sekali-kali membuat sahabatnya disuar kelir amarah yang menggelecak!” mesra ia mengucapkan.
Ungkapan yang kuanggap seperti sebuah ingatan atau juga amaran. Kendati lunak bersantun. Aku hanya mengangguk-angguk. Sahabat-sahabat yang lain di sekitar kami turut mengangguk. Anggukan yang mengiyakan segala kata-katanya. Ia pantas memurupkan senyum.
Fragmen ini berakhir di lawang senja. Sang pelukis mahu beredar namun langkah kaki persis diborgol oleh ia yang seperti mahu terus berbicara, berbicara dengan seorang sahabat yang tentunya amat mengerti makna sebuah persahabatan.
Apakah wajar sesebuah wasilah persahabatan yang sudah terjalin erat sekian lama tiba-tiba terkucur dan kucel lunyai dijerba mesiu pembangunan, laba dan kepentingan diri? Ia tidak ingin berbicara dengan sahabat-sahabat yang lain selain dari sang pelukis kerana mereka sudah jenuh berdialog tentang itu saban hari.
Mantiknya, pembangunan, laba dan kepentingan diri hanya berlegar galau dalam tubuh makhluk spesies sang pelukis. Spesies manusia. Begitu ia berfikir.

Fragmen Dua : Di Kaki Gunung
Protagonis 1 : Sang Pelukis
Protagonis 2 : Ia (dalam marah menggila).

AKSI:
Satu sentakan. Satu kejutan. Satu dunia kontradiksi yang kontras dari dunia ghalib. Sepertimana aku tidak percaya bahawa tempat ini sebuah lata yang dulunya karar seperti Lata Bongsu atau Lata Bukit Hijau, dengan sepoi silirnya, desir-desir damai mesra yang cagun dari kocakannya membalun batu-batu dan tebing, gelicau manja unggas-unggas dalam redup teduh pokok-pokok berdaun rimbun, kini persis Empangan Kariba.
Ia menjunam kasar dan keras dengan raut wajah menyinga menabrakkan apa saja yang ada di kaki gunung. Lenyap segala karar silir sendalu, lenyap ceridau dan gelicau unggas, yang ada hanyalah bingar bergemuruh, gerapak dan dengus menggerutup cabuh mengapung.
Ratusan batang pokok tumbang terpokah akar tunjang, jutaan serangga-serangga kecil di muka bumi kehilangan nyawa dan sekitarnya umpama Kota Xai-Xai. Bukan lagi Kota Xai-Xai yang indah tetapi Kota Xai-Xai yang sudah tenggelam. Yang berupaya disorot mata hanyalah bumbung-bumbung rumah penghuninya dan pucuk-pucuk kayu.
Dalam situasi yang cabuh begitu, aku masih sempat membayangkan malapetaka banjir yang menimpa bumi Mozambique, Botswana, Zambia, Malawi juga Zimbabwe. Kendati setagal, aku sempat teringat seorang perempuan bernama Sophia Pedro yang melahirkan zuriatnya di atas bumbung rumah. Bayangkan!
Dalam sedar aku mengeluh rengsa dan berat. Ia persis menjerba bersama Langkisau Gloria, mengganas dan rakus sungguh hentakkan amarahnya. Seolah-olah satu tindakan balas dendam yang amat menggelecak.
“Ya benar aku marah! Benar aku membalas dendam!”
Terkenang semula segala kenangan mesra bersama. Ia seorang sahabat yang sukar marah. Tentulah marahnya ini lantaran gelecak buar yang tidak berupaya lagi dibendung. Kenapa seorang sahabat yang baik, yang banyak dan polos berbakti, tiba-tiba saja menjadi marah?
Cuba fikirkan! Barangkali ada fragmen yang pedih dan menyayatkan tetapi kenapa pula balasan dendamnya berupa satu tragedi yang amat tragis? Satu kekejaman, satu kezaliman yang tidak terduga dilakukan oleh ia yang lunak, mesra, bening bak prisma, jernih laksana kristal dan manja itu.
“Kekejaman dan kezaliman lantaran kekejaman dan kezaliman manusia sendiri!” Ia seperti menyinis, seperti tidak ada perasaan belas. “Siapa sebenarnya yang lebih zalim dan kejam? Telusuri hakikat jutaan nyawa manusia terkorban dalam peperangan dunia pertama dan kedua, jutaan lagi terkorban dalam peperangan saudara, etnik dan agama yang berlaku berterusan hingga kini. Bayangkan realiti penderitaan akibat peperangan, penyakit mewabak, kebuluran, gas dan racun yang tersebar akibat pencemaran alam dan perindustrian yang dibangunkan tanpa rasa tanggungjawab, pengorbanan yang ditanggung oleh mangsa pelarian perang dan penindasan penjajahan baru dan lama. Semuanya itu mencerminkan kehilangan akal budi dan hati nurani manusia. Bukankah itu lebih kejam dan zalim yang dilakukan manusia sendiri?”
Aku rasa terpukul oleh ledakan marahnya. Keegoan yang selama ini membalut kujur tubuhku yang digelar sang pelukis spesies manusia, gesit tempiar berderai. Kejernihan wajahnya kini hodoh berkeladak dengan pelbagai sarap kumuh seakan-akan menyuarkan lagi kelir amarah yang membuar-buar.
Yang jelu tentulah manusia yang jujur, yang tidak berdosa dan jauh dari terlibat dengan kepentingan sendiri. Mereka paling ramai menerima akibat yang tidak sepatutnya diterima lantaran perbuatan orang lain.
“Manusia terbahagi kepada dua jenis iaitu ahsanuttaqwim, yang paling sempurna dan asfalasafilin, yang paling rendah darjatnya. Manusia ahsanuttaqwim adalah manusia yang lengkap dengan akal fikiran dan hati yang mulus. Sebaliknya, asfalasafilin amat rendah kejadiannya. Lebih rendah dari haiwan yang tidak berakal. Kedua jenis manusia inilah yang mencemerlangkan alam dengan maruah berharga atau menjatuhkan darjatnya ke peringkat rendah dan hina yang menganjurkan kemusnahan kepada diri dan alamnya! Manusia jenis manakah yang menjadi balutan tubuhmu?”
Aku hanya berupaya terkesip-kesip sedang ia kian garang dan buas menggelungsur memokah sepertiga kawasan indah kaki gunung. Serasa aku tidak mampu lagi memujuk seorang sahabat yang diamuk amarah begitu namun fikiran ini masih getol berkelintar memikir-mikir. Apakah berasas apa yang diungkap dan dilakukannya itu?
Ini yang sedang aku fikir-fikirkan. Jelas sekali fikiranku membuat ijmal - peristiwa dan masa diedar dan digilir-gilirkan-Nya di kalangan manusia supaya mengalami pelbagai peristiwa - senang susah, duka suka, berjaya gagal, kecewa menang, kalah, untung, rugi dan sebagainya.
Segala yang berlaku satu kafarah, tanpa kekal agar manusia sedar, insaf dan bermuhasabah, belajar dari perubahan dan pertukaran ini sebagai makhluk yang berada di bawah kekuasaan Khalik. Supaya manusia tidak merasa sombong dan lupa daratan kala menang, kala senang, kala berkuasa dan seterusnya.
Aku tertanya-tanya pula, bilakah agaknya manusia akan sedar hakikat ini. Kejayaan dalam bidang ilmu pengetahuan mungkin telah sampai ke kemuncaknya pada abad ini.
Penguasaan angkasa lepas, teknologi maklumat dan komunikasi serta penerokaan bidang pengetahuan - teknologi yang diterokai telah membawa satu era kecemerlangan penciptaan sejarah baru bagi pencapaian akal dan minda manusia yang amat tinggi.
Nampaknya, semakin tinggi pencapaian minda, semakin rendah pula rasa keterlibatan sesama makhluk-Nya. Semakin manusia menjadi pandai, semakin lenyap rasa kasih sayang yang sepatutnya dibina lebih kukuh.
Fragmen ini melihat sang pelukis meninggalkan kaki gunung dengan rasa kecewa. Kemarahan ia tidak berupaya lagi dipujuk atau dilunakkan dan sekonyong-konyong saja menjalar rakus ke dada sang pelukis. Sang pelukis merelakan. Kemarahan yang rakus menjalar itu adalah kerana kezaliman yang dilakukan ke atas ia - sahabat karibnya sejak berzaman.

Fragmen Tiga : Di Sebuah Galeri Pameran
Protagonis 1 : Sang Pelukis
Protagonis 2 : Sang Pengkaji

AKSI:
Ruang galeri yang nyalar mempamerkan karya-karya catan ‘scenery’ sang pelukis, telah berubah wajah menjadi ruang pameran seni visual, melibatkan seni halus, mengetengahkan citra hati dan kreativiti. Diulas sang pengkaji sebagai tema atau subjek lanskap paling digemari pencinta seni era kontemporari.
Perasmian dilakukan oleh orang besar perniagaan. Agak hambar dan kaku kerana ucapan perasmiannya tidak langsung menyentuh soal-soal seni untuk masyarakat tetapi seni untuk wang dan pelaburan.
Mantiknya, seni lukis bukan jurusan minatnya. Dia membangunkan galeri pameran itu semata-mata kerana keuntungan yang berupa wang. Bayaran 10% dari nilai karya dikenakan ke atas setiap karya yang dipamerkan di galerinya. 20% lagi akan dikenakan ke atas setiap karya yang terjual.
Sebuah agensi telah dilantik bagi mengendalikan soal tersebut. Cuma ucapan sang pengkaji sedikit memeriahkan suasana ruang galeri. Khalayak pencinta seni seperti terpukau dengannya: “Bertolak daripada penyataan secara realisme karya seseorang pelukis itu dihasilkan sehingga kepada pernyataan yang memerlukan satu tafsiran yang bersifat akademik. Ia membolehkan kita memahami apa yang tersirat dan tersurat. Kombinasi mata, hati dan akal sekaligus membina kekuatan luaran dan dalaman seseorang pelukis terhadap karyanya.”
Sang pelukis sudah berdiri di sisi karya-karyanya sebaik sang pengkaji mengakhiri ucapannya. Mengikut buku aturcara majlis, sang pengkaji akan mengiringi orang besar perniagaan berserta juak-juaknya yang lain, akan singgah dari satu karya ke satu karya seraya mendengar definisi cetusan dalaman sang pelukis dari sang pengkaji.
Kepada karya paling awal dijengah, sang pengkaji mengatakan; “Bagus! Catatan yang agresif dan ekspresif. Gaya ekspresionisme mendasari persepsi dan pemikiran tentang makna kasih sayang antara sesama makhluk Tuhan. Catatan ini juga memungkinkan ia sebagai suatu pelarian daripada bidang seramik kepada seni halus!”
Sang pelukis sempat melihat gelagat khalayak sekeliling. Jelas mereka tidak memahami maksud ungkapan sang pengkaji. Masing-masing berkerut dahi walau ada yang mengangguk-angguk seolah-olah faham.
Sifat hipokrit begitu kadang-kadang jadi satu keperluan yang tidak boleh ditiadakan. Harus menjadi wajib supaya tidak digelar bodoh atau bangang. Sang pelukis berusaha mengawal debar, cuba mengatur langkah setenang yang mampu bersama sang pengkaji dan mereka yang lain. Karya lain pula dihampiri.
“Ini juga bagus!” kata sang pengkaji terhadap karya kedua sang pelukis. “Saya dapati, ia cukup berjaya kerana mengetengahkan arca dan instalasi yang menggunakan batu sungai dan batu nesan. Tentu sekali anda telah menjalankan penyelidikan bertahun-tahun untuk menghasilkan karya yang berunsur historikal dan spiritual begini. Anda fasih dan arif meletakkan susunan batu-batu yang diperoleh dari sungai berlumpur dan kuburan silam!”
Sang pelukis hanya tersenyum. Serasa dirinya serba salah antara mahu meletuskan sesuatu yang jujur dari jiwa seorang pelukis. Serasa dia mahu mengatakan bahawa tiada unsur historikal atau spiritual di dalam karya itu tetapi unsur keberangan yang akan berakhir dengan kematian.
Batu berlumpur menggambarkan hampir mati. Batu nesan menggambarkan kaku. Kematian adalah satu situasi yang kaku, persis sekejur batu.
Arghhh… dia hanya berupaya mengeluh kala sang pengkaji menokok, “Kekuatan karya anda ini terletak kepada kajian yang mendalam terhadap semangat dan fungsi batu selain dari mengadaptasikan definisi dari kitab Tajul Muluk dan Perukunan. Bukan begitu?”
Sang pelukis hanya diam. Kepada diam itu dihadiahkan sebuah senyuman nipis oleh sang pengkaji. Mendepani sebuah karya reka bentuk grafik hasil imejan komputer selepas itu, wajah sang pengkaji sedikit berubah.
Kalau tadi ceria kini agak sebam dan udam. Terkesip-kesip menunak jaluran bauran hitam, merah, biru, putih dan urna tidak keruan. Jaluran kasar berselirat centang perenang di dalam cermin berbingkai kayu nyatoh buruk 1”X2”.
Sesekali ada bentuk hujan darah, sesekali terpampang imej sebiji geluk tertonggeng kosong sebagai latar. Memang unik dan kreatif.
“Bila diteliti, saya dapati karya ini kurang ditekuni terhadap kualiti cetakan komputer sehingga memberi kesan terhadap profesionalisme anda!” ujarnya kepada sang pelukis yang masih diam mematung.
Sebenarnya, diam mematung sang pelukis itu bukanlah kerana geman untuk meningkah tetapi diam mematung kerana mengawal perasaan marah yang amat sukar digambarkan.
Sekiranya dia meningkah, tingkahannya akan tercerlus dengan bauran mesiu marah. Dia bukan kurang menekuni. Tiada apa-apa kesalahan terhadap kualiti cetakan dan dia tahu menjaga taraf profesionalismenya.
Karyanya itu sengaja dibegitukan. Dia telah memindahkan kemarahannya ke dalam karya melalui bentuk garisan-garisan galau, cakaran-cakaran ruwet, refleksi kegalauan serta keruwetan kemarahannya dan dia terus diam mematung kerana menahan kemarahannya itu.
Kepada karya seterusnya, sang pengkaji sedikit memuji, “Berbeza nyata dengan lain-lain karya. Karya berasaskan besi berarca anjing tersepit di celah dua batang kayu ini penuh dengan sindiran. Anda melihat manusia sarat dengan peristiwa yang boleh dijadikan teladan. Imej figura seekor anjing yang absrak yang anda gayakan berdasarkan tema kritikan sosial, diungkapkan dengan penuh satira dari satu sudut yang jarang sekali disedari khalayak! Hmm… karya ini sungguh bagus!”
Sang pelukis sedikit tidak terusik dengan pujian. Ada sesuatu yang serasa benar tetapi tidak boleh dikatakan benar belaka. Sesuatu yang benar itu tetap sesuatu yang benar cuma bukan untuk semua kebenaran.
Maksudnya, definisi karyanya memang berunsur sindiran tetapi bukan menyindir sesama manusia. Dia kurang bersetuju dengan rumusan sang pengkaji kerana karyanya ini tidak mengkritik sosial.
Karyanya mengkritik seekor anjing yang tersepit. Dia tidak pernah menyamakan manusia dengan anjing. Kalau dia berbuat begitu bermakna dia telah merendahkan mertabat manusia yang dijadikan Allah sempurna dengan akal. Manusia tetap manusia. Anjing tetap anjing.
Dan dia juga tidak mahu memikul dosa kerana menganggap manusia itu anjing. Sekiranya ada manusia yang menganggap dirinya anjing, itu haknya sendiri. Manusia yang menganggap dirinya anjing, perlu segera mengubah anggapan yang tidak elok itu. Begitulah dengan karyanya.
Sekiranya ada manusia yang menganggap karya itu mengkritik manusia sebagai anjing yang tidak wajar ditolong apabila tersepit, itu adalah hak dan persepsi mereka sendiri. Yang jelas, dia tetap mengatakan, karyanya adalah arca besi seekor anjing yang tersepit di celah dua batang kayu. Tidak ada retorik, tidak ada ironis dan tidak ada definisi lain selain itu.
Kepada karya sang pelukis yang terakhir, unik berseni di pinggir pintu keluar galeri, sang pengkaji sedikit cupar. Tukasnya, reka bentuk grafik hasil imejan komputer bertemakan tempayan purba bermulut besar, kurang kesedaran dalam mengaplikasikannya dan kurang matang dari segi teori pembacaan.
“Hmmm… karya ini boleh dikembangkan lagi kajiannya yang berkaitan dengan kematangan persepsi pemikiran, falsafah dan kreativiti.”
Sang pelukis tersenyum hambar. Sekiranya diperhalusi, konsep dan prestasi catan tempayan bermulut besar itu boleh dimaknakan dengan lebih halus dan unik tafsirannya. Dia seperti mahu mengatakan hal itu secara bersantun namun terbantut kerana sang pengkaji sudah melangkah keluar dari ruang galeri.
Orang besar perniagaan dan juak-juaknya begitu juga. Cuma khalayak pencinta seni masih warawiri sekitar pojok. Namun sekonyong-konyong saja sang pengkaji menoktahkan langkahnya. Spontan menoleh ke arah sang pelukis dengan dahi berkerut. Ada sesuatu yang telah menyentuh naluri sedarnya lalu segera langkah berpatah balik mendepani sang pelukis.
“Bukankah anda sang pelukis tersohor pemandangan cat air dan akrilik yang sejak lama kukuh bersandar kepada kekuatan mistik air dan gunung?”
Sang pelukis mengangguk kecil.
“Ketidakmatangan menerokai gaya baru membuatkan kerja-kerja anda hambar dan lompong. Sepatutnya anda terus kekal dengan corak penggayaan lama. Saya terpaksa membetulkan kembali segala tafsiran yang saya buat tadi ehmmmmm… satu tafsiran yang lebih bersifat akademik!”
Sang pelukis cuba menahan ketawa, cuma terhambur selepas sang pengkaji menghilang dari ruang galeri. Ada sesuatu yang amat melucukan. Sesuatu itu amat jelas dan dapat dirasakan.
Ada satu persepsi yang tiba-tiba hadir; seorang pengkaji nyata seorang manusia yang lemah sesuai dengan fitrah kejadiannya. Kekuatan mengeluarkan hujah kajian terletak hanya kepada pendewaan gelaran dan pangkat.
Sang pengkaji menyangkakan apa yang dikaji benar belaka lantaran gelaran dan pangkat yang didewakan itu. Sesungguhnya sang pengkaji itu belum dapat menyelami sari pemikiran sebenar sang pelukis.
Dia lupa bahawa sang pelukis adalah insan yang halus perasaannya. Sang pengkaji gagal menghalusi perasaan itu. Apa yang ditafsirkan adalah refleksi keegoan gelaran dan pangkat yang bersalut di tubuh.
Secara ijmal, sang pelukis ingin berkata bahawa kemarahan akan wujud sekiranya sang pengkaji membuat tafsiran mengikut kata hati sendiri, bertunjangkan laba dan kepentingan tertentu. Seperti mana air yang telah melampiaskan api amarahnya berbentuk malapetaka banjir kepada alam.
Kemarahannya kerana manusia telah membuat tafsiran yang terlalu memihak kepada kepentingan sendiri sehingga mengabaikan kepentingan makhluk-makhluk lain menyebabkan kemarahan air tidak berupaya dibendung lagi. Ianya membuar menggelecak.
Sebagai mewakili kemarahan air, sang pelukis telah mengadaptasikan kemarahan sahabatnya itu ke dalam karya. Sang pelukis 1 telah mengubah catan yang ghalib digarap, yang sinonim dengannya, kepada catan yang agresif dan ekspresif. Catan begitu lebih mudah menyalurkan rasa marah yang buar menggelecak itu.
Sang pelukis mengkritik akhlak segelintir manusia berkepentingan tetapi tafsiran kritikannya telah diubahsuai dan ditutup oleh sang pengkaji yang juga berkepentingan.
Sebelum tabir fragmen berlabuh, kelihatan sang pelukis menyalakan api kepada karya-karyanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA