Isnin, 15 Mac 2010

Setol Kuning Bungkusan Kusam

SMAHADZIR 

MEMANG Zaharin tidak dapat melupakan kisah itu. Kisah itulah yang membuatkan persahabatannya dengan Linggam menjadi akrab. Sewaktu di tingkatan satu dulu, dia amat memusuhi Linggam. Entah kenapa dia terlalu benci kepada Linggam. Tetapi takdir Tuhan telah merubah segala-galanya. Zaharin masih ingat kejadian tersebut…

Buah setol masak kuning perang sedap dimakan begitu saja. Kalau dibuat jeruk, lagi mengecurkan air liur. Perian lalu pokok wakaf pinggir kubur itu berbuah lebat tetapi kali ini tidak pula. Hanya dua julai saja yang berbuah. Satu julai sudah habis dibedal kera tunggal. Tinggal sejulai lagi.

Sewaktu pulang dari sekolah bersama Kim Heng dua hari yang lalu dia lihat ada lebih sepuluh biji tapi hari ini hanya dua biji saja yang tinggal. Tentu sudah dibaham dek kera tunggal itu. Sial, bentak hatinya. Dia dan Kim Heng mendongak-dongak sambil menelan air liur. Buah setol baru mahu menguning, terkonteng-konteng di hujung julai pula. Teringin nak mengecap buah itu seperti mengidam perempuan mengandung dua bulan. Nak panjat, banyak kerengga. Nak kait galah tak ada. Macam mana ya?

“Panjat saja!” usul Kim Heng.

“Kau panjatlah!” balasnya.

“Aku takut kerengga masuk dalam seluar!” Kim Heng memberi alasan.

Dia menjeling muka Kim Heng sekilas. Masing-masing diam dan berfikir. Gelicau burung jerijit agak bingar. Udara nyaman. Teduh menyegarkan. Angin berpuput mesra. Buah setol baru menguning dilihat seperti uda merenung dara. Semakin lama semakin perang matang. Air liur pantas terkecur. Rasa tesingin nak makan buah itu melonjak-lonjak. Batang pokok setol gesit dicelapak tanpa peduli kerengga beremut.

“Hoi!”

Tiba-tiba satu suara menyergah kuat. Dia dan Kim Heng tersentak seraya tercangak-cangak.

“Jangan panjat pokok tu, nanti jatuh!” Suara itu bergema lagi.

Dari satu arah dia dan Kim Heng terkelih kelibat Linggam terhegeh-hegeh mendekat seraya menyeringai sengih. “Kalau jatuh, boleh mati tau!” ujar Linggam sebaik tiba di hadapan mereka.

Niatnya mahu memanjat pokok setol itu jadi terbantut. Linggam memang penghalang besar, fikirnya. Ada-ada saja benda yang tak kena di pandangan mata budak gila babi ni, jengkel hatinya lagi.

“Kalau tak panjat, macam mana nak ambil buah tu?” tiba-tiba Kim Heng bersuara. Biji mata sengaja dijegil ke muka Linggam.

“Tunggu dia masak ranum, jatuhlah!” jawab Linggam bersahaja. Jari kelingking dijolok-jolok ke lubang hidung. Kerisinnya melenjakan air liur, diseka dengan lengan baju.

“Kau siapa nak halang dia, hah?” Kim Heng segera mencekak leher baju Linggam. Penumbuk diacukan ke muka, cuba menakutkan.

“Aaa.. akuuu… aaaku… aku bekerja di kedai bapa dia!” jawab Linggam tergagap-gagap. “Bapa dia baik. Pak Cik Medan baik… aku… aku tak nak susahkan dia…”

“Susah apa?” cantas Zaharin.

“Ka… kalau… kalau kau jatuh pokok, bapa kau juga yang susah!” jawab Linggam polos.

Zaharin gesit ketawa. “Kau sekadar kuli bapak aku. Kau tak ada kena mengena dengan soal diri aku. Kau juga tak berhak nak halang aku buat apa yang aku suka, fahammmmm!!!!” tengkingnya keras membuatkan Linggam terkedu.

“Kau dengar tu! Kau dengar tu, Linggam!” tokok Kim Heng.

Linggam sekadar terkebil-kebil.

“Pandai betul kau nak bodek bapa Zaharin ya?” jari telunjuk Kim Heng menunjal kepala Linggam. Sejurus kemudian dia beralih kepada Zaharin. “Panjat, Rin! Panjat… kau jangan takut! Budak gila babi macam Si Linggam ni bukannya betul sangat,” ujar Kim Heng memberi semangat. “Selama ni dah berapa banyak buah setol idaman kita dibedal dek kera tunggal. Sekarang tinggal dua biji saja lagi. Kalau kita tak ambil hari ni, aku yakin esok lusa tentu lesap juga!”

“Betul, Heng!” balasnya sambil mengangguk-angguk. “Memang betul kata kau tu. Kalau kita tak ambil buah tu hari ni, alamat melepas lagilah aku!”

“Betul… betul! Satu untuk kau dan satu lagi untuk aku!” sokong Kim Heng seraya mengeluarkan secubit tembakau darat dari dalam poket seluar yang diambil dari kedai runcit bapanya. Tembakau itu diserahkan kepada Zaharin.

Sambil tersengih Zaharin mencampurkan tembakau itu dengan sedikit air lalu dilumur ke seluruh betis. Niatnya sudah bundar. Buah setol idaman kalbu mahu dijamahnya juga hari itu. Linggam terkebil-kebil. Walaupun berpenyakit gila babi, tetapi Linggam faham tindakan Zaharin. Air tembakau dan baunya yang memabukkan itu amat ditakuti kerengga. Sewaktu Zaharin memeluk batang pokok setol tersebut, tidak semena-mena Linggam bertindak cepat. Tubuh Zaharin ditarik rakus dan berdebuk jatuh terlentang.

“Adoooiiiii!! Punggung aku menghempap akar setol!” jerit Zaharin.

Melihat Zaharin tersiut-siut menggisal punggung, Kim Heng naik berang. Sebiji penumbuk pantas dilepaskan ke muka Linggam. Linggam ternonong-nonong. Belum pun habis rasa pedih penumbuk Kim Heng, penumbuk tangan kanan Zaharin pula hinggap ke mukanya. Tak cukup dengan dua biji penumbuk, Zaharin mengarahkan Kim Heng mengilas tangan Linggam.

Sewaktu Linggam terkial-kial cuba melepaskan diri dari kilasan tangan Kim Heng, Zaharin mengambil beberapa ekor kerengga lalu dimasukkan ke dalam baju dan seluar Linggam. Kekekan ketawa gelihati meledak hebat melihat Linggam terloncat-loncat salah tak kena menyeluk sana sini membuang kerengga yang sudah menusukkan air bisa ke tubuhnya. Setelah Linggam menghilang di sebalik rumpun-rumpun keduduk, barulah ketawa mereka mereda.

“Baru padan dengan muka dia!” ujar Zaharin seolah-olah jengkel amat dengan Linggam. Rasa lega bukan kepalang. Tidak ada lagi sebarang gangguan dan halangan. Batang setol terus dikerabat.

Adusssssssss!!!! Mendesus bunyi itu dari mulut Zaharin kala rasa perit, seriau tulang dan sakit yang berdenyut-denyut tiba-tiba menyergap betisnya. Segala lamunan gesit tempiar. Segera dielus-elus betisnya yang sudah berbebat simen itu seraya memandang sekitar. Ayah dan ibu setia di sisi katil.

Sekitar ruang wad ortopedik dikerumun ramai pelawat untuk melihat sahabat handai atau sanak saudara mereka menerima rawatan. Ada yang patah paha kerana kemalangan motosikal. Ada yang terkehel tulang belikat kerana dihempap batang besi kontrak. Ada yang tersiut-siut kerana lengan terseliuh. Pelbagai gelagat dapat dilihat. Semuanya menjelaskan derita yang membeban jiwa.

“Syukurlah! Kau masih bernasib baik jika dibandingkan dengan mereka!” ujar Pak Medan tiba-tiba. “Tapi, ayah kesal kerana kau terlalu degil, Rin! Kau selalu menyusahkan orang tua!” Mak Zarah di sisi sekadar mengeluh dalam, barangkali setuju dengan omelan ayah.

“Maafkan saya, ayah!” Zaharin bersuara lirih.

“Inilah agaknya balasan untuk anak yang tak mahu mendengar nasihat orang tua!” omel Pak Medan lagi.

Zaharin diam. Dia tahu, bapanya memang tidak senang dengan sikapnya itu. Namun kini dia benar-benar menyesal di atas segala perangai buruknya. Dia berjanji akan menjadi seorang anak yang baik selepas ini.

“Kenapa dengan betis saya ni, ayah?” tanya Zaharin sejurus kemudian.

“Betis kau patah, nak!” jawab Mak Zarah. “Dua batang besi terpaksa dimasukkan ke dalam daging betis sebagai penyokong!”

Zaharin seperti mahu meraung mendengar penjelasan ibunya. “Tapi… kenapa saya jadi begini? Kenapa betis saya boleh patah begini?” rasa ingin tahu terpacul lancar tanpa dapat dibendung.

“Kau terjatuh dari atas pokok setol!” Pak Medan seperti jelu dengan peristiwa yang terjadi. “Nasib baiklah ada Si Linggam…”

“Kenapa ayah? Apa yang telah dibuat oleh Linggam?” Zaharin terlunga.

“Dialah yang mendukung kau pulang ke rumah sebaik kau jatuh dari pokok tu!” Mak Zarah menjawab bagi pihak Pak Medan.

Zaharin gesit melongo dan terkedu. Segala peri seperti sukar mahu dipercayai.

“Kau pengsan, nak! Kim Heng cabut lari ketakutan. Si Linggam yang membantu kau. Kalau tak ada dia, dah tentu tak ada siapa yang tahu kecelakaan yang menimpa kau!” jelas Mak Zarah lagi.

Zaharin seperti dicekek leher. Suaranya bergulat di kerongkongan. Tanpa sedar air mata penyesalannya menjujai di pipi. Linggam yang sering dihina dan dibencinya itu rupanya punya sekeping hati yang bersih, tidak menyimpan walau secubit dendam, sanggup pula menolongku dalam waktu-waktu aku ditimpa kesusahan. Ya Allah! Aku telah berdosa dengan Linggam. Aku terlalu banyak menyakitkan hatinya. Ampunkan aku ya Allah! Maafkan aku Linggam! Maafkan aku!

“Nak cari kawan yang sanggup menangis bersama, sukar Rin!” Pak Medan seolah-olah faham isi hati anak tunggalnya.

Zaharin lebih terkedu. Sepanjang dua hari di wad ortopedik, dia menghimbau kembali segala ingatan silam yang berulit rona-rona sesal tidak berkesudahan. Entah kenapa dia amat membenci Linggam. Insan malang itu amat jelek sekali di pandangan matanya. Mereka sebaya. Cuma, Linggam tidak bernasib baik kerana mengidap penyakit sawan lenja. Dia dan Kim Heng sering mengejek Linggam.

Linggam gila babi!

Linggam sawan lenja!!

Linggam epilepsi!!!

Mereka terkekek-kekek ketawa sambil menekan-nekan perut. Linggam pernah ditolak ke dalam kubang kerbau dan dekah mereka lebih kuat melihat Linggam tergigir-gigir kejang. Perbuatan mereka hampir-hampir menghantar budak malang itu ke alam barzah kalau tidak dibantu Lebai Topa yang kebetulan melihat kejadian tersebut. Berita kenakalan Zaharin sampai ke telinga Pak Medan. Akibatnya, punggung Zaharin berbalor disergap tali pinggang ayahnya. Rasa benci dalam dada kepada Linggam pun kian mencanak.

“Hei, buat apa kau duduk di sini?” soalnya sewaktu melihat Linggam berlunjur di atas meja ikan dan sayur di depan kedai bapanya suatu hari.

Linggam tidak peduli dengan pertanyaannya. Sambil bersiul-siul, kakinya terkodek-kodek senang hati.

“Kau pekak ke?” tengking Zaharin tidak sabar.

“Ikan dan sayur dah habis, aku duduklah!” jawab Linggam bersahaja.

“Ho, kau ingat kedai bapa aku ni tepi pantai ke?” muka Zaharin mulai merah.

Linggam tersengih. Zaharin geram menggila dengan telatah Linggam. Penumbuk digumpal seperti mahu menubi kepala Linggam tetapi tiba-tiba dia terlihat ayahnya datang. Rasa geramnya gesit terlondeh jatuh.

“Ha, apa hal ni?” soal Pak Medan.

“Buat apa dia duduk di sini, ayah?” tanya Zaharin.

“Ayah ambil dia bekerja di kedai kita,” jawab Pak Medan. “Kasihan ayah tengok dia, melahu tak tentu arah tujuan. Dari ling-long-ling-long tak tentu fasal, lebih baik dia bantu ayah. Lagipun, dia bekerja sambilan saja. Lepas kerja, dia boleh pergi ke sekolah. Bukankah sekolah pada sebelah pagi dan dia datang bekerja pada sebelah petang,”

“Ayah percaya budak gila babi macam ni?” Zaharin pura-pura tersentak.
Muka Pak Medan gesit berubah. Kata-kata anak lelakinya itu amat pedih dirasakan. Itu satu penghinaan yang tak wajar keluar dari mulut Zaharin, fikirnya.

“Si Linggam ni jahat, ayah!” Zaharin cuba mencucuk jarum hasadnya.

“Jangan buat dosa kering, Rin!” Pak Medan memberi amaran. “Ayah tak suka kau bersikap macam ni. Hormat sikit. Jangan tuduh orang sembarangan. Ayah juga tahu Linggam ni ada penyakit sawan tapi ni bukan kehendaknya. Kita mesti ingat, ini semua kehendak Allah. Dia Yang Maha Kuasa, Dia tahu apa yang baik untuk hamba-Nya. Kita tak berhak nak hina sesama manusia…”

Belum habis Pak Medan berceloteh, Zaharin terus masuk ke dalam rumah dengan muka masam mencuka. Dia tidak tahu kenapa ayahnya terlalu baik sangat dengan Linggam. Bukan pertama kali dia melihat ayahnya membantu budak gila babi itu. Setiap bulan ada saja barangan dapur yang diberikan kepada keluarga Linggam. Beras, gula, kopi, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya. Kenapa Linggam yang selalu terkejang itu mahu ditolong? Mereka bukan sebangsa?

“Dia orang miskin, Rin! Sudahlah miskin, yatim piatu pula. Ibu bapanya sudah meninggal dunia. Tinggal dengan nenek yang dah tua. Memang wajarlah kita bantu!” jelas Pak Medan suatu malam.

“Tapi, dia tak sebangsa dengan kita!” tukas Zaharin.

“Apa bezanya Melayu dan India, Rin!” Pak Medan kurang senang. “Kita satu negara, bangsa Malaysia. Kita mesti hormat kepada bangsa lain, bersatu dan hidup dalam muhibah. Lagipun, kita hidup sekampung. Tak kira apa bangsa, kita mesti tolong menolong!”

“Betul kata ayah kau tu, Rin!” Mak Zarah tiba-tiba menyokong. “Pertolongan ayah kau tak sebesar mana jika mahu dibandingkan jasa dan pertolongan mendiang ayah Linggam dulu,”

“Benar kata ibumu, Rin!! Suatu ketika dulu, mendiang bapa Linggam pernah menyelamatkan ayah dari cengkaman harimau belang di Rimba Jelutong. Waktu itu, ayah berkawan baik dengannya. Kami berburu…”

Tok! Tok! Tok!

Ketukan di pintu bilik menempiarkan lagi ngeluyur fikiran Zaharin yang berjela. Siapa pula yang mengganggu, desis hatinya. Berdebar sejurus memikirkan tetamu yang bertandang. Dalam debar itulah Linggam terjengol sebaik daun pintu dikuakkan. Sambil tersengih-sengih, dia menghulurkan sesuatu berbalut kertas surat khabar kusam kepada Zaharin.

“Apa ni Linggam?” tanya Zaharin kehairanan.

“Hadiah untuk kau!” ujar Linggam, terselit keikhlasan polos. Punggung segera mendarat di bibir katil sisi Zaharin.

Perlahan-lahan Zaharin membuka balutan kertas. Sebiji buah setol kuning perang meranum menyilau pandangan mata. Kerana buah inilah aku terlantar begini.

“Makanlah! Aku tak mampu nak beli buah yang mahal-mahal untuk kau. Aku tahu kau inginkan buah ni. Semalam aku panjat untuk kau. Makanlah!” Linggam tersengih. Air liur berlenja, dikesat dengan lengan baju.

Air mata Zaharin menitik tanpa dapat ditahan. Dapat dirasakan ketulusan hati Linggam. Ampunkan segala dosaku, Linggam! Hatinya membisik insaf. Ya, sejak hari itulah Linggam menjadi rakan rakibnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA