(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Wanita terbitan Utusan Melayu Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Indahnya Suasana)
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
LIHATLAH. Milah duduk menekur. Sudah tiga hari perutnya mual. Beberapa kali muntah. Lihat wajahnya! Pucat dan sesekali dia mengusap perutnya.
Milah, Milah, gadis kampung yang jujur dan polos. Sungguh hodoh nasibnya. Sebelas tahun usianya waktu bapanya meninggal. Dan emaknya pun menyusul pula ke alam baqa dua tahun kemudian. Kejadian ganas merenggut nyawanya. Tapi orang-orang menyebutnya kena rasuk. Maklum orang kampung.
Milah perempuan jujur. Dia tinggalkan kampung. Pergi ke Kuala Lumpur jadi orang gaji. Enam belas tahun umurnya ketika itu. Tidak ada pilihan lain. Adiknya masih kecil dan ikut neneknya. Dia pun diasuh nenek. Tetapi, kenapa kini dia tinggalkan mereka?
Di kampung susah cari kerja. Jadi petani di sawah Pak Haji Munir tidak cukup. Dia ingin kedua adiknya terus bersekolah. Tak seperti dirinya. Cuma tamat darjah enam sekolah rendah. Dan, kata orang di kota banyak wang. Mudah cari duit. Di mana-mana katanya ada duit.
Di kota banyak hiburan. Tak macam di kampung. Cuma ada wayang kulit dan joget lambak. Itu pun kalau ada majlis kenduri kahwin. Di kota ada dangdut, ada karaoke, ada pub, ada kelab malam. Kalau nasib baik boleh berjumpa dengan Erra Fazira atau Siti Nurhaliza.
Milah perempuan kampung. Pergi ke kota jadi orang gaji. Dia tinggalkan adik-adiknya. Dia tinggalkan Muin, kekasihnya.
Sepi. Banglo besar itu sepi. Siang malam sepi. Tuan dan Puan pergi ke pejabat. Sarah dan Kiki ke sekolah. Ah, kadang-kadang Milah takut kalau sepi begini. Takut kalau-kalau Tuan tiba-tiba pulang. Takut kalau-kalau... Milah segera menepiskan bayangan buruk dan mengalihkannya pada bayangan kekasihnya.
Sedang buat apa Muin sekarang? Sedang mencangkul di ladang? Atau mencari rumput untuk kambingnya? Oh, bang Man, aku kerinduan, bisik Milah dalam hati.
Milah gadis kampung yang jujur. Dia tidak hodoh. Hitam manis kulitnya. Sebahu panjang rambutnya. Bujur sireh bentuk wajahnya. Tinggi semampai tubuhnya. Ramping. Tapi hodoh nasibnya.
Lihatlah. Tiba-tiba dia menangis tersedu-sedu. Bagaimana jika abang Muin tahu aku telah... “Pon.. pon.. pon!” Aduh! Tuan pulang. Ke mana, ya, Pak Sarmin tadi? Oh, dia hantar Sarah dan Kiki ke sekolah. Milah segera mengusap pipinya dengan punggung tangannya. Lalu bergegas lari untuk membukakan pintu pagar.
“Tolong bawakan briefcast ni,” perintah Tuan. “Saya terpaksa pulang. Perut masuk angin. Tolong sapukan minyak angin, ya, Milah?”
Aduh, macam mana ni? Taktik semalam masih diulang lagi. Minta disapukan minyak tapi lain yang jadi.
Milah memang jujur. Dia tidak mampu menolak seperti juga hari-hari semalam. Mulanya juga seperti itu. Rumah lagi sepi. Tuan pulang siang. Pura-pura perut masuk angin. Minta disapukan minyak angin. Lalu Tuan merayu, membujuk, merangsang, dan terjadilah perzinaan itu. Tepatnya pemerkosaan.
Siang itu pun Milah menyapu minyak angin di perut Tuan. Di kamar dulu juga. Yang berhawa dingin. Di atas tilam empuk... empuuuk sekali... lebih enam inci tebalnya. Tapi, ketika usai sapu minyak, Tuan merayu, Milah menangis dan dengan terus terang dia kata: “Tuan, saya hamil.”
“Hamil?” Tuan diam sejenak. “Tidak usah bimbang. Aku ada kawan seorang doktor yang biasa menggugurkan bayi,” suaranya bersahaja.
Milah terdiam.
“Gugurkan. Menggugurkan kandungan,” tegas Tuan.
“Tidak Tuan! Saya takut.” Milah tiba-tiba menggigil.
“Tidak perlu takut. Tidak akan terjadi apa-apa. Tidak sakit,” pujuk Tuan.
“Bukan itu, Tuan. Dosa, Tuan. Saya tidak berani.” Milah tambah tersedu-sedu.
“Yang penting harus digugurkan. Kalau tidak mahu, kamu pulang saja.” Milah memang cari nahas. Jujur, polos. Hodoh nasibnya. Kalau sudah begini, apa kata orang? Milah hamil di luar nikah. Dihamili majikan. Jika dia pulang ke kampung, dalam keadaan bunting bayi haram, apa kata orang sekampung. Pasti semua orang akan mengejeknya. Tapi, kalau dia gugurkan kandungannya, ah... deretan dosanya tambah panjang. Dia sudah berkali-kali terpaksa melakukan perbuatan keji itu. Itu dosa. Lalu... menggugurkan kandungan? Tidak! Tidak mungkin aku membunuh bayiku sendiri.
Milah memang gadis jujur. Polos hatinya. Dia tidak tega menggugurkan kandungan yang bermakna membunuh seorang bayi yang tidak berdosa. Dia takut. Takuuut sekali. Dan akhirnya dia putuskan: pulang.
Lihatlah, Milah menunduk tatkala hendak memohon diri. Beg berisi beberapa helai pakaian telah dia siapkan. Air matanya menitis. Sebenarnya dia sudah serik tinggal di rumah besar itu bukan kerana jadi orang gaji. Sesungguhnya Puan dan Tuan baik. Sarah dan Kiki pun sayang kepadanya. Tidak pernah nakal. Taat. Dan, mereka pun akrab dengan Milah. Tidak pernah dia dimarahi. Tidak pernah dibentak. Itu semua kerana Milah anak yang baik.
Pekerjaannya senantiasa beres. Perilakunya sopan, tutur katanya lembut, dan dia memang manis. Tapi, ghairah Tuan yang membara itu tatkala melakukan perbuatan terkutuk itu di ranjang mewah di tilam empuk itu begitu menakutkan. Lebih-lebih lagi buah yang dihasilkan dari perhubungan terlarang itu, sungguh terlalu aib.
“Puan, maafkan saya,” ucap Milah tersendat-sendat. “Saya mesti pulang.”
“La, kenapa Milah? Kamu tak seronok ke tinggal di sini?” Puan hairan.
“Bukan sebab itu, Puan.” Milah agak terkedu.
“Habis, kenapa? Kami semua sayang kepada kamu. Anak-anak kami juga begitu. Mereka akan kehilangan kamu, Milah. Apakah kami sering memarahimu? Atau gajimu terlalu kecil?” Puan membelai rambut Milah.
Milah menggeleng.
“Lalu kenapa?” Puan masih belum mengerti.
Puan tidak pernah mengerti. Bahkan tidak memerhatikan perut Milah yang berisi janin hasil pergaulannya dengan Tuan, suaminya.
“Saya rindukan nenek. Rindu kampung,” dusta Milah sambil menunduk.
“Baiklah kalau begitu. Kami tidak mampu memaksamu untuk tetap tinggal di sini. Tapi kalau kamu hendak kembali ke mari suatu ketika nanti, pasti kami menerimamu dengan senang hati.” Akhirnya Puan terpaksa merelakan.
Milah, Milah, perempuan kampung yang jujur. Ke kota cuma jadi orang gaji. Lantas dihamili majikan. Kini pulang ke kampung dengan membawa ole-ole: aib. Tapi itu lebih baik berbanding membunuh bayi yang sudah empat bulan. Muin? Entahlah. Milah sudah aib. Bunuh diri? Tidak. Katanya bunuh diri itu dosa besar. Akan masuk neraka untuk selama-lamanya. Lalu? Biarlah dan entahlah.
Milah yang malang. Nenek tidak bakal mampu menerima anak haram. Orang sekampung pun meluat. Semua orang mencemuh anak yatim piatu itu. Dan, Muin, kekasih tercinta itu...
“Tidak kusangka, Milah. Aib menimpamu. Sungguh kejam,” begitu ujar Muin.
“Habis bagaimana, bang? Aku pasrah,” ucap Milah sambil merayu di pangkuan pemuda berkulit hitam manis itu.
“Maafkan aku, Milah. Aku tidak boleh menerimamu kembali,” cetus Muin terbata.
Bayi itu lahir juga pada akhirnya. Sihat dan montok. Tapi nenek tidak mampu menerimanya. Bayi tidak berdosa itu, kenapa dikatakan anak gampang, anak haram? Semua orang pun tetap tidak mampu menerima kehadiran bayi itu. Katanya akan bikin sial. Tapi, Milah tidak akan membuangnya di tempat sampah. Tidak akan!
Milah sungguh polos hatinya. Perempuan kampung ke kota jadi orang gaji, pulang ke kampung membawa aib, kini kembali ke kota membawa bayi. Ole-ole buat Puan. Dan dia sendiri punya rancangan lain. Dia telah memutuskan rancangan itu.
Lihat! Milah berdiri di hadapan banglo mewah di kawasan perumahan elit di pinggir Kuala Lumpur. Tangan kiri menjinjing beg. Tangan kanan memeluk bayi dalam selendang usang. Banglo mewah itu nampak angkuh. Sepi. Dia menunggu pintu pagar terbuka. Dia menunggu sampai ada penghuni rumah itu melihatnya.
Benar. Puan nampak lalu keluar pintu. Jantung Milah berdegup kencang.
Adakah dia mahu menerimaku kembali? Puan nampak ragu. Lalu dia mendekat. Menyaksikan dari dekat perempuan malang itu.
“Oh, Milah, akhirnya kamu kembali. Apa kataku. Anak-anak sering menyebut namamu. Ayuh, masuk,” ucap Puan senang sambil membuka pintu pagar.
Milah hanya mengangguk. Tetap berdiri mematung. Puan tiba-tiba mengerutkan dahinya. Matanya tajam memandang wajah bayi dalam kelekan Milah.
“Milah, bayi siapa itu? Anakmu?” Puan tertegun.
Milah mengangguk.
“Comel anakmu, Milah!” puji Puan sambil mengelus kepala si bayi. Lalu menggendongnya. Tapi...
“Puan, maafkan saya, saya ke mari hanya untuk menyerahkan bayi ini,” cetus Milah.
“Menyerahkan...,” Puan kian dilanda rasa hairan.
Sekali lagi Milah mengangguk. “Saya nekad, Puan! Nekad jadi orang gaji lagi. Tapi bukan di sini. Di Arab Saudi. Diajak Jumiah dan Asih, rakan saya dari Indonesia,”
“Habis, apa maksud kamu ni, Milah? Bayi kamu nak tinggalkan di sini. Lantas kamu mahu pergi ke Arab Saudi. La, bapanya mana?”
“Ini anak Tuan. Saya... dulu diperkosa. Saya tidak mampu menolak. Maafkan saya...”
Milah gadis kampung. Ke kota jadi orang gaji, pulang ke kampung bawa aib, kembali ke kota cuma menyerahkan bayi, kini mahu jadi orang gaji lagi. Milah memang jujur. Belum tahu dia. Di negeri ini atau di Arab Saudi atau di mana saja, ‘kecelakaan’ itu akan terus terjadi, selagi manusia tetap bernama manusia, bukan malaikat. Tapi tekadnya sudah bulat, seraya berharap: semoga aib ini tidak terulang di Arab Saudi nanti. Nenek dan orang sekampung tidak mahu menerima anak haram.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan