Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 07 Disember 2007
Oleh SMAHADZIR
PERJUANGAN menentang orang kafir menjadi asas utama perjuangan pada Nabi dan orang-orang yang beriman yang mengikutinya. Manusia-manusia yang mulia ini berhadapan dengan berbagai peristiwa yang kelihatannya tidak menguntungkan. Namun, ketika menghadapi cubaan-cubaan tersebut, muncullah sifat-sifat istimewa mereka. Tidak kira bagaimanapun keadaannya, mereka merasakan kedamaian dan kenyamanan kerana mengetahui bahawa tidak ada satu pun yang lepas daripada Allah s.w.t.
Pemahaman ini menolong mereka untuk selalu bersikap positif. Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang beriman memastikan kehidupannya pada kenyataan bahawa Allah s.w.t akan menolong mereka melewati masa sukar dan bahawa segalanya pada akhirnya akan menjadi anugerah bagi mereka. Mereka menjadikan kenyataan tersebut sebagai asas semua pandangan mereka.
FITNAH ORANG KAFIR
Sebagaimana telah kita pelajari daripada al-Quran, orang-orang yang beriman menghadapi sekelompok orang kafir dan munafik yang menggunakan berbagai cara untuk menyesatkan mereka dari jalan yang benar. Al-Quran memberikan contoh terperinci tentang penghinaan dan umpatan yang digunakan oleh orang-orang kafir: ‘Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah s.w.t, gangguan yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.’ ( Ali Imran: 186)
Di dalam ayat di atas, Allah s.w.t menjelaskan bahawa pembohongan dan fitnah yang ditujukan kepada orang-orang yang beriman sebenarnya baik bagi mereka. Dalam ayat lainnya, Allah s.w.t menghubungkan kenyataan tersebut dengan contoh lain pada masa Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya mereka yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan dia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil sebahagian terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.’ (An-Nur: 11)
Keadaan yang dihadapi oleh orang-orang yang beriman pada masa lalu ini merupakan taktik yang dimainkan oleh para golongan kafir untuk menghalang dan menjauhkan mereka dari ketaatan pada prinsip-prinsip Islam. Namun, orang-orang yang beriman tetap teguh menyakini bahawa maksud jahat ini pada akhirnya akan terungkap dan menguntungkan orang-orang yang beriman tersebut. Itulah sebabnya mengapa orang-orang yang merespon fitnah mereka dengan sikap biasa saja dan bijaksana. Tidak meskipun mereka lupa bahawa kesabaran dan rasa percaya mereka kepada Allah s.w.t akan membawa kepada kejayaan.
Mereka menyedari seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, yang bermaksud: ‘Barangsiapa yang tetap bersabar, Allah s.w.t akan membuatnya sabar. Tidak ada anugerah yang lebih baik daripada kesabaran.’ (Riwayat Bukhari)
Sebagaimana contoh-contoh pada masa lalu tersebut, amatlah penting bagi orang-orang yang beriman sekarang ini untuk menyerahkan diri mereka akan kebenaran bahawa segalanya berjalan sesuai dengan maksud Ilahi. Seseorang mukmin yang hidup dengan prinsip-prinsip ini juga akan mendapat ganjaran terbesar di dunia. Kerana Allah s.w.t berjanji untuk menolong hamba-Nya yang percaya pada-Nya. Dan Dia memastikan bahawa mereka tidak akan mencari jalan keluar lainnya selain dengan-Nya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Jika Allah menolong kamu, maka tidak adalah orang yang mampu mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) daripada Allah sesudah itu? Lantaran itu hendaklah kepada Allah sahaja mereka mukmin bertawakal.’ (Ali Imran: 160)
TEKANAN FIZIKAL DARIPADA ORANG KAFIR
Sepanjang sejarah, masyarakat kafir selalu menganggap bahawa komitmen golongan mukminin terhadap agama Allah s.w.t, cara hidup mereka dengan prinsip-prinsip Islam, serta penyebaran risalah Allah s.w.t ini adalah ancaman bagi mereka. Itulah sebabnya mengapa, demi untuk menghancurkan akhlak golongan mukminin mereka melakukan cara-cara yang jahat seperti memfitnah dan menipu daya. Jika cara-cara demikian gagal, mereka tidak segan-segan melakukan cara-cara yang lebih keras, seperti mengancam, menyekap, dan menangkap atau menyeret golongan Mukmin keluar daripada rumah mereka.
Perlakuan buruk yang diterima oleh golongan beriman dalam perjuangan mereka dengan orang-orang kafir adalah bukti betapa orang-orang yang kafir itu tidak tahu malu. Namun orang-orang mukmin selalu mencari kebaikan dalam perlakuan kasar yang mereka terima. Mereka tahu bahawa Allah s.w.t pasti telah menggariskan perkara tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu. Mereka sangat sedar bahawa kebajikan yang benar adalah dengan bersabar dan yakin kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t menggambarkan perkara ini dalam ayat berikut:
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebaktian, akan tetapi sesungguhnya kebaktian itu adalah beriman kepada Allah s.w.t, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang yang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.’ (Al-Baqarah: 177)
Sebahagian dari sifat positif yang istimewa ini diilustrasikan dalam surah Al-Ahzab, dihubungkan dengan peristiwa yang terjadi pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Menurut kisah tersebut, selama pertempuran orang-orang Mukmin diuji dan didera penderitaan ketika golongan kafir menyerang mereka dari segala penjuru. Dalam keadaan demikian, golongan munafik dan mereka yang memiliki penyakit di hatinya memberikan berbagai alasan yang menujukkan siapa diri mereka sebenarnya. Dalam situasi demikian, golongan munafik yang telah berbaur selama beberapa waktu dengan komuniti golongan Mukim ini mulai dikenali sebagai ‘gergaji mata dua’. Orang seperti itu tidak ada bezanya dengan sel-sel barah yang membiak di dalam tubuh. Mereka cepat sekali mundur pada ketika-ketika sukar, walaupun pertolongan dan rezeki Allah s.w.t selalu diberikan kepada orang-orang yang beriman.
Sementara golongan munafik menghina, orang-orang yang beriman yakin akan kebaikan dalam kesukaran yang mereka hadapi. Seseorang Mukmin menyedarkan diri mereka sendiri untuk menjalankan apa yang diperintahkan di dalam al-Quran, dan mencapai tingkat keimanan dan kesetiaan kepada Allah s.w.t yang lebih tinggi.
‘Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah s.w.t dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.’ (Al-Ahzab: 22)
Sebagaimana yang dicontohkan di atas, ujian boleh menjadi sebuah keberkahan yang besar bagi orang-orang yang beriman, sementara bagi orang-orang yang yang tidak dapat menghargai kebaikan, ujian yang sama dapat menyesatkan mereka kepada kekufuran. Sedangkan ujian tersebut diberikan untuk menghapuskan usaha-usaha golongan kafir serta untuk membezakan kebaikan dari kejahatan.
Dalam surah al-Ahzab dikisahkan tentang orang beriman yang tidak mampu mencapai kejayaan, lantaran itu dia marah dan dengki, yang bermakud: ‘Dan Allah menghalau mereka yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, (lagi) mereka tidak memperolehi keuntungan apa pun. Dan Allah menghindarkan orang-orang mukmin dari peperangan. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.’ (Al-Ahzab: 25)
HIJRAH KAUM MUSLIMIN
Meninggalkan harta dan hijrah ke tempat lain jika memang diperlukan adalah merupakan bentuk penghambaan yang disebutkan di dalam al-Quran. Kerana itu, golongan Muslimin yang berhijrah kerana Allah s.w.t selalu melihat kebaikan dalam ‘perpindahan terpaksa’ mereka. Sesungguhnya, di dalam al-Quran disebutkan bahawa hijrah kerana Allah s.w.t dilakukan oleh orang-orang yang mengharapkan kasih sayang Allah s.w.t.
Allah berfirman yangbermaksud: ‘Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ (Al-Baqarah: 218)
Orang yang bodoh menyangka bahawa perginya seseorang dari tanah kelahiran kerana rusuhan atau pembuangan ke negeri yang asing adalah merupakan sebuah kemalangan, dan benar-benar melemparkan kehidupan seseorang kepada kehancuran. Namun perlu disebutkan bahawa golongan Mukmin menyedari sejak awal bahawa mereka akan dibenci oleh kebanyakan orang yang menafikan agama Allah s.w.t. Maka daripada itu, tekanan yang demikian sebenarnya merupakan manifestasi kebenaran ayat-ayat Allah s.w.t. Itulah sebabnya mengapa orang-orang yang beriman yang berhijrah atau terpaksa meninggalkan rumah mereka selalu menghadapi situasi demikian dengan penuh semangat dan pengharapan yang besar.
Akhlak mulia orang-orang yang beriman yang hidup pada zaman Rasulullah s.a.w dan keimanan mereka yang tidak tergoyah merupakan contoh-contoh terbaik bagi kita. Dengan menyedari bahawa kepatuhan kepada Rasulullah s.a.w, mereka akan memperolehi keredaan Allah s.w.t.
Mereka sudi memikul penderitaan dan semua kesusahan dengan senang hati. Demi kebaikan golongan Muslim, mereka tidak berasa rugi meninggalkan negeri mereka dan mengabaikan semua harta dunia mereka. Sebagai balasan atas akhlak istimewa mereka, Allah s.w.t juga memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia. Perkara ini disebutkan di dalam al-Quran seperti berikut:
1. ‘Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dimaksud), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ (An-Nisaa’: 100)
2. ‘(Iaitu) mereka yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal. Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali mereka lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.’ (An-Nahl: 41-42)
CONTOH KEIMANAN RASULULLAH S.A.W
Nabi Muhammad s.a.w, seperti nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai-bagai kesukaran sepanjang hidupnya. Baginda menjadi contoh terbaik bagi semua Muslim akan kesabaran dan keimanannya kepada Allah s.w.t. Suatu peristiwa dikisahkan dalam al-Quran tentang akhlak mulia dan keimanan Nabi Muhammad s.a.w.
Ketika Rasulullah s.a.w meninggalkan kota Mekah, golongan kafir memujuk baginda dan bermaksud membunuh baginda. Nabi beristirahat dalam sebuah gua. Dalam pencarian mereka, orang-orang kafir menghampiri gua tersebut. Dalam situasi yang sukar itu pun, Rasulullah s.a.w menasihati sahabat baginda untuk tidak bimbang dan mengingatkannya untuk yakin terhadap Allah s.w.t.
‘Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang yang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah s.w.t bersama kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah s.w.t menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah s.w.t itulah yang tinggi. Allah s.w.t Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.’ (At-Taubah: 40)
Satu-satunya alasan mengapa Rasulullah s.a.w tidak merasa ketakutan atau tertekan ketika hidup baginda jelas dalam bahaya adalah kerana keyakinan baginda terhadap Allah s.w.t, bahawa Dia menetapkan takdir seseorang untuk maksud tertentu. Pada akhirnya, baginda sampai di Madinah dengan selamat, dan dengan demikian dimulailah babak hijrah, sebuah titik tolak sejarah Islam.
AKHLAK MULIA NABI MUSA A.S
Al-Quran menunjukkan kisah perjuangan Nabi Musa a.s menghadapi Firaun yang dikenali sebagai penguasa yang paling zalim dalam sejarah. Firaun memberi tindak balas panggilan Allah s.w.t yang disampaikan kepadanya melalui Nabi Musa a.s. dengan ancaman seksaan. Tingginya akhlak dan keyakinan Nabi Musa a.s. kepada Allah s.w.t yang menggunakan berbagai-bagai cara untuk mengajaknya ke jalan yang benar adalah sebuah contoh bagi semua orang beriman.
Al-Quran menjelaskan masa kenabian Nabi Musa seperti yang berikut: Firaun yang berkuasa di Mesir memberlakukan kekuasaan mutlak atas kaum Bani Israil. Di sisi lain, Musa a.s. dan kaumnya adalah golongan minoriti di negeri itu. Lantaran itulah, dari sudut pandang orang bodoh yang menilai sesuatu hanya dari zahir, dia akan salah menyangka bahawa kekuatan dan kekuasaan akan menang. Dia menyangka Firaun yang akan menang.
Namun itu semua adalah ilusi kerana Allah s.w.t memerintahkan perkara berikut: ‘Allah s.w.t telah menetapkan, ‘Aku dan rasul-Ku pasti menang.’ Sesungguhnya, Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.’ (Al-Mujadalah: 21)
Allah s.w.t menepati janji-Nya kepada para nabi dan memberikan kemenangan kepada Nabi Musa a.s. dalam menentang Firaun. Allah s.w.t membantunya sebagaimana saudaranya, Harun, dengan sebaik-baik perlindungan-Nya. Dan Allah s.w.t memberikan mukjizat kepada Musa a.s. untuk menempa dan mengistimewakan Musa dari yang lain dengan berbicara secara langsung kepadanya. Kita dapat mengambil pengajaran dari perjuangan Nabi Musa sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran. Perkara ini jelas menunjukkan bagaimana sesuatu yang mungkin muncul bagi orang-orang Mukmin dengan seizin Allah s.w.t mampu segera menjadi keberkahan bagi mereka.
Ada suatu peritiwa ketika Firaun dan pasukannya berniat menangkap Musa a.s. dan kaumnya setelah melalui Mesir. Ketika orang-orang Bani Israil telah tiba di lautan, Firaun dan tenteranya hampir saja menangkap mereka. Pada ketika itu, kalimat Nabi Musa a.s. sangatlah ajaib. Walau Firaun dan tenteranya nyaris menangkap mereka, dan tidak ada lagi kesempatan untuk menyelamatkan diri, Musa tidak putus asa akan pertolongan Allah s.w.t. Baginda mempertahankan kesabaran yang patut dicontohi. Kisah ini dikisahkan di dalam al-Quran, yang bermaksud:
‘Maka Firaun dan bala tenteranya boleh menyusul mereka pada waktu matahari terbit. Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, ‘Sesungguhnya, kita benar-benar akan diekori.’ Musa menjawab, ‘Sekali-kali tidak akan diekori; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.’ Lalu kami wahyukan kepada Musa, ‘Pukullah lautan itu dengan tongkatmu.’ Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar. Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain itu.’ ‘Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.’ (Asy-Syu’araa’: 60-68)
Dalam kisah ini, kita diminta untuk memperhatikan sifat-sifat utama Nabi Musa a.s.. Selama perjuangannya yang sukar, baginda terus-menerus mengingatkan pertolongan Allah s.w.t, melihat kebaikan dalam segala perkara yang menimpanya, dan bahawa pada ketika ujian terberatnya, berusaha untuk mempercayai Allah s.w.t dan menjaga kesetiaannya kepada-Nya.
KEPATUHAN NABI YUSUF
Salah satu contoh yang indah tentang perubahan situasi yang merugikan menjadi berkah bagi orang-orang yang beriman, iaitu tentang kehidupan Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf a.s. sejak kecil dan sepanjang hidupnya dikenali kerana sikapnya yang matang oleh penderitaan dan kesetiaannya yang luar biasa kepada Allah s.w.t. Sikapnya dalam menjalani ujian merupakan contoh yang luar biasa bagi seseorang Mukmin. Nabi Yusuf a.s. yang menjadikan Allah s.w.t sebagai pelindungnya, mencari kebaikan dalam segala perkara yang menimpanya. Baginda menyedari bahawa apa pun yang baginda hadapi adalah berasal dari Allah s.w.t. Kerana itulah, sepanjang hidupnya, baginda menganggap setiap kesukaran adalah sebuah ujian. Dan baginda selalu yakin dan teguh pendiriannya.
Nabi Yusuf a.s. sejak awal diperlakukan tidak adil oleh saudara-saudaranya yang iri hati kepadanya. Mereka melemparkannya ke sebuah telaga, hingga baginda tidak dapat pulang dan bertemu ayahnya. Walau bagaimanapun Allah s.w.t menyelamatkannya dari telaga tersebut. Para musafir dengan karavan mereka lalu dan menolong Yusuf. Mereka menjualnya kepada seorang yang terkemuka di Mesir.
Disebutkan dalam al-Quran bahawa isteri majikannya yang sangat terkesan dengan ketampanan Yusuf berusaha merayunya. Dengan demikian, Yusuf a.s sekali lagi diperlakukan tidak adil. Kali ini baginda difitnah oleh perempuan itu. Walaupun penyelidikan yang dilakukan membuktikan bahawa Yusuflah yang benar, baginda tetap juga dipenjarakan. ‘Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.’ (Yusuf: 35)
Yusuf a.s difitnah hanya kerana sifat mulianya. Kerana tuduhan itu, Yusuf a.s tinggal di penjara untuk waktu yang lama. Baginda menunjukkan kesabaran menghadapi semua kesukaran hidup dan tetap yakin kepada Allah s.w.t. Sebagaimana disebutkan oleh al-Quran, dengan caranya memimpin dirinya, serta ketundukannya kepada Allah s.w.t, baginda benar-benar menjadi teladan bagi semua mukmin. Tentu saja Yusuf a.s menerima pahala terbesar, baik di dunia mahupun di akhirat, sebagai balasan kesabaran dan rasa percayanya kepada Allah s.w.t. Baginda menyedari kebaikan dalam segala yang menimpanya. Allah s.w.t memberinya kekuasaan atas negeri yang kaya dan menjadikannya seorang penguasa di sana. Kesedarannya akan kebaikan dalam segala yang terjadi padanya dan doanya kepada Allah s.w.t disebutkan di dalam al-Quran seperti berikut, yang bermaksud:
‘Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkatalah Yusuf, ‘Wahai ayahku, inilah tabir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari rumah penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya, Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya, Dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian tabir mimpi. (Ya Tuhan), pencipta langit dan bumi. Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan mereka yang soleh.’ (Yusuf: 100-101)
Sesungguhnya, kisah ini adalah contoh yang baik tentang pahala yang diterima oleh seseorang Mukmin sebagai balasan atas ketulusan dan rasa percayanya kepada Allah s.w.t. Apa pun yag terjadi pada seseorang mukmin yang ikhlas, dia harus berusaha mencari dan memahami maksud peristiwa-peristiwa tersebut.
Dia harus memohon pertolongan kepada Allah s.w.t dan berdoa untuk itu. Seseorang Muslim tidak boleh lupa bahawa setiap peristiwa besar atau kecil, yang mungkin menimpa, tidaklah bermakna menyusahkan dirinya. Sebaliknya, ini adalah merupakan kebenaran takdir, hukum Allah s.w.t yang kekal abadi. Allah s.w.t pasti telah menetapkan segalanya untuk kebaikan orang-orang yang beriman. Sebagai sebuah keberkahan yang besar. Di dalam hati orang-orang yang beriman, Allah s.w.t dapat mengungkapkan maksud dan kebaikan dari sebuah kejadian. Tetapi jika tidak meskipun, seseorang mukmin itu harus bersabar dan dia harus mengetahui bahawa semua itu tidak lain adalah untuk kebaikan.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan