Isnin, 15 Mac 2010

Tambah Rumah

(Cerpen ini telah disiapkan pada 19 April 2005 dengan tajuk RUMAH BARU HAJI USFAN dan beberapa kali diedit dengan perubahan tajuk dan isinya...)


Tambah Rumah


SMAHADZIR

KOTAK fikir Haji Usfan berligar-ligar sambil bersandar pada dinding ruang tamu. Matanya berkelintar ke seluruh ruang biarpun ketika itu keriuhan suara anak-cucunya bagaikan suara gerapak katak musim hujan. Riuh-rendah dengan pelbagai ragam dan gelagat.
            Yang meresahkannya sekarang ialah ruang rumahnya seolah-olah kian sempit. Kalau dulu, sewaktu tiga orang anaknya belum berkeluarga, rumah itu amat selesa dan luas. Tetapi kini bila mereka sudah beranak-pinak, ruang rumah itu mendadak saja dirasakan sempit dan merimaskan.
Haji Usfan memicit-micit dahi melihat kerenah cucu-cucunya yang berlari dan kadang-kadang terguling-guling kerana tersandung sesama sendiri.
            Memang rumah itu sudah menjadi sempit jika hendak dibandingkan jumlah cucu-cucunya yang semakin bertambah dan membesar. Anak Rodi empat orang, semuanya lelaki. Anak Hambali pula ada lima orang. Tiga lelaki dan dua perempuan.
            Zuhairan juga ada lima anak. Empat lelaki dan seorang perempuan. Jumlah semua cucunya empat belas orang. Itu tidak termasuk emak bapa mereka. Pendek kata, memang rumah itu benar-benar sudah sempit dan melemaskan.
            Tiba masa tidur, bergelimpang di ruang tamu kerana tidak cukup bilik. Dua bilik sudah dipenuhi Rodi dan Hambali anak-beranak. Terpaksalah Zuhairan tidur di ruang tamu, di celah-celah kerusi empuk bersama anak-anak bininya.
            Dua tiga orang lagi cucu lelakinya yang sudah besar panjang terpaksa tidur di dapur. Mereka tidak kisah tidur di manapun. Kalau disuruh tidur atas pangkin bawah rumahpun mereka sanggup asalkan dapat pulang ke kampung bertemu datuk-nenek.
            “Cuti hujung tahun nanti macam mana?” tanya Haji Usfan malam itu. Ketika itu dia dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu. “Ayah harap kamu semua dapat pulang sebab Pakngah Melan kamu nak mengahwinkan anaknya!”
            “Oo… mestilah balik, ayah!” ujar Hambali bagi pihak Rodi dan Zuhairan.
            “Kalau begitu, ayah terpaksa juga perbesar rumah ni. Biar selesa sikit. Ayah kesihan tengok cucu-cucu ayah tu bergelimpangan tak tentu tempat,” balas Haji Usfan.
            “Alaa, buat apa susah-susah, ayah! Bukannya kami balik selalu,” Rodi bagaikan kurang bersetuju.
            “Itu kata kamu! Kata ayah kamu lain pula!” Mak Seniah mencelah sembari menatang sedulang berisi cawan dan kopi. Dulang itu diletakkan di hadapan Haji Nasfu lalu melabuhkan punggungnya di sisi Hambali.
            “Betul cakap Rodi tu, ayah!” sokong Hambali. “Buat apa nak perbesarkan rumah ni. Lebih baik duit yang ada tu hantar emak ke Mekah. Saya dengar, makpun teringin juga nak ke sana,”
            “Betul juga tu, ayah!” Zuhairan menokok sokongan. “Lagipun, kalau ayah perbesarkanpun tak guna juga. Lepas kami balik, kosong juga rumah ni,”
            “Alah, apa salahnya. Untuk keselesaan kamu juga,” kata Haji Usfan tegas. “Ayah bukannya fikirkan soal tu tapi soal cucu-cucu ayah yang ramai tu. Mereka tak ada tempat langsung nak bermain. Bergerak sikit, terlanggar sesama sendiri. Berlari sikit, tersandung kaki kawan. Bila waktu tidur, ayah tengok masing-masing macam tongkang pecah. Sana satu, sini satu. Ada yang kepalanya ke sana, ada kepalanya ke sini. Kadang-kadang tu, kepala masuk celah kangkang orang lain,”
             Rodi, Hambali dan Zuhairan ketawa dengan penjelasan ayah mereka. Memang tidak dinafikan hakikat tersebut. Namun, itu bukanlah tidak selesa namanya. Bagi mereka, apalah salahnya jika alami suasana begitu sekali-sekala. Lagipun, itulah salah satu bentuk kemanisannya bila pulang ke kampung.
            Sebaik sahaja anak-anak cucunya pulang ke kota, Haji Usfan mulai sibuk mencongak itu-ini. Dia sudah membayangkan rupa bentuk rumah yang bakal ditambah nanti. Rumah atas akan diturunkan ke bawah. Tangga tak payah ada. Kalau ada tangga susah pula nak kawal cucu-cucunya yang nakal dan masih kecil itu.
            “Apa yang abang terkumat-kamit tu?” tanya Mak Seniah kala melihat Haji Usfan terkumat-kamit di ruang tamu suatu malam.
            “Saya sedang mengira jumlah modal yang nak digunakan untuk tambah rumah ni,” jawab Haji Usfan.
            “Tukang mana yang abang nak ambil?”
            “Wak Man Tukanglah! Dia saja tukang rumah yang ada di kampung kita ni,”
            Mak Seniah mengangguk-angguk.
            “Saya bercadang nah jatuhkan ruang anjung ni bawah. Lantainya simen. Tambah lagi dua bilik, siap bilik mandi. Ruang dapur panjangkan ke belakang. Besarkan ruang rehat. Buat tiga buah garaj kereta, senang sikit kereta anak-anak kita nak letak nanti,” panjang lebar Haji Usfan membariskan cadangannya.
            Mak Seniah tidak berkata apa-apa. Baginya, memperbesarkan rumah ada juga baiknya. Haji Usfan mencapai sehelai kertas lalu mencoret-coretkan sesuatu. Sejurus kemudian, kertas itu direnyuk-renyuk, digumpal-gumpal dan diletakkan ke sini. Sehelai lagi kertas diambil. Dicoret-coret lagi. Lepas itu direnyuk-renyuk dan digumpal-gumpalkan pula seperti tadi. Mak Seniah hanya menggeleng-geleng dengan telatah suaminya.
           
* * *

“Saya cuma nak besarkan sikit ruang anjung, ruang dapur, buat garaj kereta dan tambah dua lagi bilik tidur,” jelas Haji Usfan.
            Wak Man mengangguk-angguk sambil otaknya berkelintar mengira-ngira jumlah kayu, simen, papan, dan sebagainya yang bakal digunakan. Dari pengalamannya, dia dapat mengagak modal yang perlu disediakan Haji Usfan.
            “Kamu ada apa-apa cadangan bentuk tambahan yang kamu nak buat tu?” tanya Haji Usfan suatu malam sewaktu Wak Man datang ke rumahnya sebaik dia selesai menunaikan solat Isya.
            “Saya cadangkan Pak Haji besarkan rumah ni ikut fesyen rumah Norma Lebai Soud di Kampung Alor,” cadang Wak Man.
            “Norma Lebai Soud?” Haji Usfan mengesip-ngesipkan biji matanya memikirkan nama tersebut. Boleh dikatakan semua orang Kampung Alor dikenalinya. Tidak pernah pula dia dengar nama Norma Lebai Soud seperti yang dikatakan Wak Man itu.
            “Norma ni janda anak dua, Pak Haji! Baru berpindah ke kampung tu selepas suaminya mati,” jelas Wak Man.
            Haji Usfan mengangguk-angguk. “Patutlah saya tak pernah dengar namanya,”
            “Ha, kalau Pak Haji nak tengok fesyen rumah dia, kita boleh pergi ke sana esok. Memang cantik, Pak Haji. Kalau nak tambah ikut fesyen tu, modalnya sekitar RM35,000 saja,”
            “Boleh juga,” balas Haji Usfan sambil tersengih.
            Selepas Haji Usfan melihat fesyen rumah Norma Lebai Soud, semakin galaklah Wak Man bertandang ke rumah Haji Usfan, berbincang lagi tentang jenis kayu, warna cat, jenis ubin dan sebagainya.
            “Suka ke Pak Haji dengan fesyen rumah janda tu?” tanya Wak Man.
            “Memang cantik!” Haji Usfan mengangguk.
            “Apa yang cantik? Orangnya ke atau rumahnya?”
            Haji Usfan tersengih lebar. “Dua-dua sekali,”
            “Banyak ke modalnya?” soal Mak Seniah ingin tahu, suatu petang selepas Wak Man pulang.
            “Emmm, lebih kurang RM35,000,”
            “Banyak tu bang!” Mak Seniah hampir melopong.
           
* * *

Kerja-kerja menambah rumah Haji Usfan bermula suatu pagi. Wak Manlah yang pergi memilih dan membeli barang-barang keperluan di sebuah kilang papan berdasarkan apa yang dimahukan Haji Usfan.
Wak Man dibantu dua pekerjanya, Junuh dan Semaun. Namun begitu, dua tiga hari selepas Wak Man memulakan tugasnya, kelibat Haji Usfan jarang ada di rumah. Mak Seniah sendiri tidak tahu ke mana suaminya menghilang.
            Tetapi Wak Man tidak kisah. Kerja-kerjanya tetap diteruskan juga sebaik mungkin walaupun tanpa diperhatikan oleh Haji Usfan.
            Haji Usfan pula amat berpuas hati tatkala melihat kerja-kerja yang dilakukan Wak Man dan pekerja-pekerjanya itu.
             “Awak tengoklah, Seniah! Teliti betul kerja-kerjanya. Patutlah dia jadi rebutan orang, sampai orang Kampung Alorpun cari dia bila nak buat rumah,” ujarnya pada suatu malam kepada Mak Seniah.
            “Sebab itulah abang menghilang saja,” balas Mak Seniah tanpa memberi respon kepada ungkapan yang diluahkan suaminya.
            “Nak buat apa saya jaga dia. Saya ni bukannya mandur. Lagipun, dia tahulah apa yang patut dia buat,”
            “Setidak-tidaknya abang kena perhatikan juga kalau-kalau ada masalah timbul. Saya ni bukannya tahu apa-apa,”
            “Kalau saya tak ada, awak tengok-tengoklah sama bagi pihak saya. Saya ni sibuk,”
            “Sibuk apanya?”
            “Eh, bukankah saya ni imam nikah, Seniah! Kalau ada orang menikah, sibuklah saya,”       
            “Jadi, abang menghilang dua tiga hari ni, kerana itulah?”
            “Habis, kerana apa lagi?”
            “Tapi, saya tak dengar pula ada orang kahwin di kampung kita ni?”
            “Bukan di kampung kita tapi di kampung sebelah,” Haji Usfan bersahaja.
            “Siapa yang kahwin?”
            “Err, anak Lebai Soud… errr… kalau tak salah saya, Norma namanya,” jawab Haji Usfan acuh tak acuh. “Eh, kenapa awak tanya banyak sangat ni? Selalunya awak tak macam ni?”
            Mak Seniah diam.
            Bulan November sudah berlangsung seminggu. Kerja-kerja membesarkan rumah itu terus dijalankan Wak Man dan pekerja-pekerjanya. Tetapi kerja-kerja yang dilakukan mereka agak lambat sikit dari dahulu.
            Kadang-kadang lepas Zuhur baru Wak Man, Junuh dan Semaun datang. Haji Usfan tidak tahu kerana dia jarang ada di rumah. Boleh dikatakan, sehari suntuk dia menghilang dan kala hampir Isya, barulah dia pulang. Bila ditanya Mak Seniah, dia mengatakan ke Jabatan Agama Negeri kerana urusan kerja.
            Tempat untuk dibina garaj kereta belumpun berusik. Dua batang pokok sawa masih gagah berdiri. Rumah juga masih melopong. Ruang anjung yang diturunkan ke bawah sekadar berdinding separuh batu tanpa berdinding papan.
            Antara tiang terpaksa digantungkan plastik agar tidak dimasuki tempias hujan. Dua buah bilik yang telah diubahsuai masih belum diusik. Dinding di bahagian bilik-bilik itu juga belum ada lagi.
            Pada sebelah malam, Haji Usfan dan Mak Seniah terpaksa tidur di ruang dapur. Hanya ruang itu saja yang belum diusik walaupun ada rancangan mahu dibesarkan ke belakang lagi. Kini rumah itu tak ubah macam tongkang pecah, pelohong sana sini.
            Sungguh sakit mata Mak Seniah memandangnya. Kayu dan papan lapis berselerak sana sini. Peralatan menukang juga tidak keruan tempat duduknya. Begitu juga dengan guni-guni simen, bersepah merata tempat.
            “Bila nak siap rumah ni?” Mak Seniah mulai gelisah dengan keadaan kerana tidak lama lagi anak cucunya akan pulang bercuti panjang.
            Kebetulan pula ketika itu musim durian dan rambutan hampir masak. Setiap malam matanya sukar dilelapkan. Sedang Haji Usfan nyenyak saja tidurnya.
            Ini menghairankan hatinya. Sepatutnya, suaminya itu lebih gelisah dengan suasana rumah mereka.

* * *

Haji Usfan, pagi-pagi lagi sudah meninggalkan rumah kerana katanya ada tugas di masjid Kampung Alor. Mak Seniah tidak banyak soal. Lantaklah, memang sudah tugas suaminya tetapi pagi itu dia sedikit hairan kerana Wak Man masih belum datang lagi. Selalunya, lebih kurang pukul lapan, mereka bertiga sudah datang bekerja.
            Menjelang jam dua belas tengah hari, tiba-tiba sebuah motosikal memasuki halaman rumah Haji Usfan. Mak Seniah segera ke ruang anjung untuk mengetahui siapa tetamu yang datang.
            “Ha, kamu Junuh! Ingatkan siapa tadi,” ujar Mak Seniah sebaik plastik penutup ruang tersebut diselak dengan tangan kanannya. “Apa halnya kamu datang ni? Tak bekerja ke hari ni?”
            “Wak Man suruh cuti, makcik!” ujar Junuh.
            “Kalau asyik cuti saja, bila pula rumah ni nak siap?” Mak Seniah semakin resah.
            “Rumah ni tak akan siap biarpun setahun lagi,” balas Junuh bersahaja.
            “Kenapa kamu kata begitu?” Mak Seniah kehairanan.   
            “Makcik tanyalah Pak Haji sendiri,” balas Junuh.
            “Errr, kenapa nak tanya dia pula?” Mak Seniah melopong.
            “Dia dah buat rumah lain, makcik! Sebab itulah rumah ni tak siap,” ujar Junuh bersahaja.
            Lopong Mak Seniah semakin lebar.

* * *
Dua hari sebelum majlis pernikahan sepupu mereka, Hambali, Rodi dan Zuhairan balik anak-beranak. Menjalar tiga buah kereta di halaman rumah Haji Usfan. Cucu-cucu Haji Usfan yang kecil-kecil ligat berkejar sana-sini. Ada yang terus masuk ke dalam rumah melalui bahagian hadapan yang masih pelohong. Beberapa ekor ayam yang sedang makan di situ bertempiaran terbang.
            “Hati-hati sikit, nanti terpijak pula paku bersepah-sepah tu!" jerit Mak Seniah kepada cucu-cucunya.
            “Apa hal ni mak?” tanya Hambali sebaik melangkah kaki ke ruang dapur.
            “Panjang ceritanya, Bali,” ujar Mak Seniah lemah.
             Rodi dan Zuhairan turut melangkah masuk. Begitu juga dengan isteri masing-masing. Mata mereka terus saja mengitari ruang dapur dan anjung yang terpelohong.
            “Apa halnya, mak? Kenapa rumah ni tak siap-siap lagi?” tanya Rodi separuh hairan.
            Mak Seniah sekadar mendengus rengsa.
             Hambali terduduk. Cucu-cucu Mak Seniah yang lain sudah mula mencapai kayu dan macam-macam alat menukang di ruang anjung. Ada yang mula menggayakan main perang. Mulut masing-masing bising berbunyi seperti bunyi senapang meletup.
            “Nak tidur macam mana ni, mak?” tanya Zuhairan tidak dapat menahan rasa gelisahnya. “Kenapa ayah tak siapkan cepat-cepat rumah ni?”
            Keluhan Mak Seniah mencerlus lemah.
            “Apa dah jadi sebenarnya, mak?" Rodi membuka mulut, sungguh-sungguh ingin tahu.
            “Kalau tak cukup duit, kenapa tak beritahu kami?” Hambali pula menokok.
            “Memang tak cukup duit, Bali!” Mak Seniah mulai bersuara. “Kalau ayah kamu buat rumah ni, duitnya lebih dari cukup. Tapi ayah kamu dah buat rumah lain...”
            “Buat rumah lain?” Hambali gesit terbelangah. “Apa maksud, mak?’
            “Ayah kamu dah menikah lagi!” ujar Mak Seniah. Jelas wajahnya pudar mendadak.
            Masing-masing bagaikan kurang percaya. Namun akhirnya mereka dapat menerima hakikat yang ayah mereka memang sudah berkahwin lagi. Isteri barunya ialah Norma Janda di Kampung Alor.
            Malam itu terpaksalah anak-cucu Mak Seniah tidur berhimpit-himpit di ruang dapur. Mereka tak sampai hati hendak tidur di masjid kerana bimbangkan hati Mak Seniah tergores. Biarlah ayah mereka dengan rumah barunya yang lebih selesa itu. Memang Haji Usfan ada hak untuk tambah rumah lagi satu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan