Isnin, 15 Mac 2010

RIEN INGIN JADI PIRANHA


Cerpen ini telah disiapkan pada 23 Julai 2004 dan akan diedit dari masa ke semasa

Rien Ingin Jadi Piranha
SMAHADZIR


RIEN riang menatap langit. Langit cerah. Awan bergumpal berarak iseng ke jihat tenggara. Mata Rien tunak memerhatikan gerakan awan. Semakin jauh dan semakin jauh. Jemu memandang langit, Rien menatap pula air tenang di hadapannya. Kolam empat segi. Tepiannya pokok-pokok air bersama kiambang berbunga mekar. Pepatung dan rama-rama berterbangan, hinggap dari bunga ke bunga kiambang di atas air. Sesekali Rien ketawa menampakkan geripis giginya satu-satu.
            Begitu setiap pagi dan petang Rien menatap langit. Jemu menatap langit Rien beralih ke kolam. Rien gembira melihat langit dengan gumpalan awan yang bergerak iseng. Rien juga gembira melihat air dalam kolam berpendar, garis-garisnya melingkar. Rien gembira melihat batu-batu yang diam di sisi rumput yang bergoyang ditiup angin. Rien ketawa kala melihat biji bunga matahari gugur ke tanah.
Sehelai daun primrose lepas dari tangkainya, melayang dibawa angin, jatuh di hadapan Rien. Kanak-kanak perempuan comel yang bersimpuh di sisi sebuah pasu bunga honeysuckle itu gesit memungutnya, kemudian memasukkan daun tersebut ke tempat sampah sisinya. Selepas itu, Rien kembali meneruskan tugasannya. Melambai-lambaikan tangannya yang putih lembut menampan angin yang bertiup, kemudian menatap langit nun jauh di atas sana, berangan-angan mengepakkan sayapnya terbang di celah-celah gumpalan awan gemawan. Selesai berangan, dia kembali melihat kolam, melihat pepatung dan rama-rama berterbangan dan hinggap dari bunga ke bunga kiambang di atas air.

* * *

Hari ini agak lain sedikit. Rien, kanak-kanak kecil enam tahun usianya itu, tidak lagi duduk di ruang halaman tetapi duduk di muka jendela. Tunak matanya jatuh pada taman bunga, honeysuckle kekuningan tepian jendela. Burung gereja berkepak kabur berceridau bingar. Angin bersiut kelopak bunga kertas gugur. Kolam berpendar, garis-garis melingkar. Batu diam rumput bergoyang. Biji bunga matahari gugur ke tanah.
            Matahari mengelusnya ramah. Pagi merekah. Biji kapas terbelah.
            Rien, kanak-kanak kecil enam tahun usianya itu, duduk tetap di muka jendela. Tatapan matanya rembulan.
            Ke mana burung-burung pergi. Ke mana honeysuckle setelah dipeluk bumi. Sehelai daun maple kuning perang terpelanting mencapai tepi kolam. Air beriak burung berarak, di langit. Di langit tanpa batas.
            Rien menengadah.
            Tepat pukul 07.15, waktu pagi masih menyimpan kabus, sisa salji awal musim panas menitis dari genting satu-satu, menitis pula di pucuk daun primrose, Rien melemparkan anak ayam terikat kakinya ke kolam. Air merah seketika. Merah darah. Piranha-piranha berpesta.
            Rien tertawa kecil. Kelihatan barisan giginya. Putih, coklat, putih. Satu dua geripis. Dia mengangkat bahu, dua tangannya melintang di pinggangnya yang kecil terbalut gaun mini merah hati semerah permukaan air kolam.
            “Rien...”
            Suara-suara itu datang dari jauh, membentur tembok kukuh pagar rumahnya, merayap di lubang angin. Suara-suara itu seperti datang dari seberang benua menumpang kapal bersauh.
            “Rien...”
            Rien mendengar, daun telinganya bergerak-gerak menelusuri sumber suara. Tetapi Rien terlalu asyik mengamati piranha, yang menggeliat-geliat di kolam, yang merentangkan sirip-siripnya, menggoyangkan ekornya. Rien, gadis kecil berambut jagung, bermata biru cantik, berkalung manik-manik aneka warna, takjub memandang piranha.
            Ikan-ikan berdada merah bermulut gergaji itu kelihatan berbaris mengitari kolam 6 X 5 meter. Gerakannya gesit dan ringan secepat mulutnya meratah mangsanya. Sisa darah menggenang di permukaan kolam. Merah bening sedikit jingga memantul-mantul dibuai embun. Aduhai, alangkah indahnya.
            “Rien suka piranha kerana mereka suka makan berebut,” ujarnya ketika merengek minta dibelikan red-bellied piranha.
            Ayahnya terpaksa pulang demi Rien. Sekotak benih piranha ditebar di kolam belakang rumah. Tiap pagi, ditemani neneknya, Rien rajin menjenguknya. Adakah piranha-piranha kecil ini memang lapar terus menerus.
“Kenapa piranha tidak suka roti seperti Rien?”
“Piranha suka daging, Rien!”
“Kenapa daging?”
“Kerana ada darahnya.”
“Darah? Rien ingin jadi seperti piranha. Suka darah!”
“Huss! Ayuh masuk, waktunya untuk kamu belajar piano!”
Sambil mengamati bunga-bunga, dilemparkannya gumpalan-gumpalan daging lembu dalam tin. Piranha-piranha yang lapar, piranha-piranha yang bermulut gergaji bermata juling, saling sodok-menyodok, saling menendang berebut daging. Daging mentah hancur lumat seperti bubur. Pecahan-pecahan kecil mengembang di permukaan kolam dilahap pula, lenyap tidak bersisa.

* * *

Rien, kanak-kanak kecil enam tahun usianya, duduk di muka jendela. Di ruang bawah, piano nyaring berdenting. Lagu Swanlake menjejak-jejak tuts. Rien suka lagu itu kerana sering diperdengarkan oleh neneknya menjelang tidur. Tiap kali mendengar, dibayangkannya serombongan angsa mendarat di kolamnya. Angsa-angsa yang bodoh, angsa-angsa yang tolol dan letih setelah menyeberang lautan maha luas. Sebaik kakinya menyentuh permukaan kolam, mulut-mulut piranha terus menyambutnya.
Angsa-angsa yang berbulu putih berkilau, yang memendam rindu daratan setelah berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan, terbang tanpa rehat, tiba-tiba saja berkelepak-kelepak di kolam, tidak menduga datangnya serangan. Serombongan angsa timbul tenggelam, lumat digergaji gigi runcing piranha.
Rien makin akrab dengan piranha. Ikan-ikan sebesar ibu jari orang dewasa itu selalu menghiasi mimpi-mimpinya. Juga biliknya, penuh tempelan poster piranha. Ada yang dipasang miring. Ada yang terjungkal. Dibayangkannya piranha sebesar ikan paus.
Tiap pagi, Rien menunggu neneknya pulang dari pasar. Di hadapan pintu dia menyambut seekor anak ayam. Rien mengikat kakinya, juga sayapnya. Mulutnya diplaster agar tidak menciap-ciap. “Hati-hati. Jangan pergi ke tepian kolam, nanti kamu disambar juga.”
Rien makin akrab dengan piranha. Biliknya penuh kertas bergambar piranha, berhimpitan di antara bantal. Rien tidur memeluk bantak golek bergambar piranha.
“Ini piranha, nek!” kata Rien, “Lihat giginya yang serupa taring drakula! Hihh!!”
“Ya, tetapi jangan lupa belajar piano!”
“Baik, nek! Tapi Rien ingin main piano pinggir kolam, mengiringi piranha makan. Rien yakin piranha suka lagu Swanlake.”
Wanita tua berjubah hitam, putih sebahagian rambutnya, berbinar matanya memandang Rien. Tidak sia-sia dia membelikan seekor anak ayam tiap pagi, agar Rien tetap bergembira sepanjang hari. Ya, sepanjang hari. Kecuali bila cuaca memang tidak bersahabat, seperti tengah hari ini, sehingga memaksa wanita tua itu merebahkan badannya di kerusi goyang sambil menahan nyeri tulang, di punggungnya.
“Lihat, nek! Rien ada piranha!!!” Rien menghampirinya.
Potongan-potongan kertas itu cuma 30 peratus mirip piranha. Rien gembira. “Lihat, nek!!!!”
Separuh mata terpejam, separuh tenaga menahan nyeri punggungnya yang makin menghebat, samar-samar wanita tua itu melihat Rien dalam pakaian serba putih. Dia mendengar langkah kaki berkasut kecil menapak permaidani menuruni anak tangga. Wanita tua itu tiba-tiba merasakan dingin luar biasa, menusuk-nusuk baju tebalnya menembusi punggung.
“Rien...”
Suara-suara itu seperti datang dari benua jauh. Suara-suara itu terdengar amat lirih serupa desiran angin menepuk-nepuk kain jendela. Rien termangu di bibir kolam menyaksikan piranha-piranha merah berkejaran.
Rien melepaskan manik-manik aneka warna dari lehernya. Membukakan kasutnya. Bajunya. Seluarnya.
“Rien ingin jadi piranha....,” jeritnya.
Kolam merah darah.

Catatan:

Red-bellied piranha atau dalam bahasa saintifiknya Rooseveltiella Nattereri, merupakan jenis ikan piranha paling ganas di dunia. Warna dadanya merah. Panjangnya sekitar 30 sentimeter. Habitat aslinya di Sungai Amazon, Brazil. Rahangnya amat kuat untuk mengoyak mangsanya. Piranha tersebar di beberapa buah sungai antara lain Sungai Orinoco di Venezuela, Sungai Rio de la Plata di Argentina dan Sungai Paraguay di Paraguay.
Ikan karnivor (pemakan daging) ini hidup bergerombolan dan menyerang mangsanya secara serentak. Bila tidak ada makanan, sesama ikan piranha saling bunuh-membunuh. Kini, pecinta ikan banyak memelihara red piranha di dalam akuarium. Akan tetapi sejumlah negara, termasuk Malaysia, melarang keras import piranha kerana dianggap terlalu berbahaya.
Sebahagian besar piranha berukuran sekitar 8 hingga 12 inci panjangnya. Warnanya bervariasi, dari keperakan dengan bahagian bawah perang hingga hampir seluruhnya hitam. Ikan-ikan itu memiliki tubuh yang dalam, perut yang bergerigi, dan kepala besar yang umumnya cembung. Rahang kuat mereka memiliki gigi segi tiga tajam dan runcing.
Selain meratah ikan, piranha juga memakan buah, biji, serangga, dan krustasea. Mereka mampu menyerang haiwan yang lebih besar bahkan manusia. Jenis yang paling terkenal adalah piranha perut merah atau red-bellied piranha, yang memiliki rahang terkuat dan gigi paling tajam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan