SMAHADZIR
MALIK BEN NABI dilahirkan di Constantine, sebuah kota di
Algeria Timur pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah
Madrasah Al-Quran di Perancis. Disebabkan kepintaran dan kepandaiannya, Malik
mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajiannya dalam kelas persediaan selama
dua tahun di sekolah El-Djelis di Constantine.
Kemudian beliau memasuki sebuah madrasah yang melatih
bakal hakim, guru, dan pembantu rumah sakit. Setelah memasuki madrasah
berkenaan beliau didedahkan dengan kesusasteraan Perancis khususnya hikayat
pengembaraan dan hikayat timur. Beliau berasal daripada keluarga yang
sederhana, namun berjiwa besar. Semasa melanjutkan pengajian diperingkat tinggi
di Constantine, beliau sempat bertemu dengan Syeikh Abdul Majid dan Profesor
Martin. Tokoh inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran dan pembentukan sahsiah
diri.
Setelah tamat pengajian, beliau pernah beberapa kali
berkunjung ke Perancis. Seterusnya pada tahun 1930 beliau melanjutkan pengajian
di Kolej Kejuruteraan. Setahun kemudian beliau berkahwin dengan wanita Perancis
yang telah memeluk Islam. Semasa belajar, beliau terlibat dalam pelbagai
Gerakan Pembaharuan. Di sinilah beliau banyak mengadakan pertemuan dengan
tokoh-tokoh Islam serta mengikuti perkembangannya sama ada dari dalam atau luar
Algeria seperti di Mesir, Hijaz, dan Maghribi.
Malik juga pernah menjawat jawatan Pegawai Pendaftar
Mahkamah di Huran. Dalam tempoh itu beliau berpeluang bertemu dengan masyarakat
untuk mengetahui masalah mereka yang berada di bawah penjajahan Perancis.
Setelah Algeria merdeka pada tahun 1963, beliau menyandang jawatan Pengarah di
Kementerian Pendidikan sehingga tahun 1967.
Berdasarkan sejarah awalnya, Malik tidak berhasrat untuk
menjadi seorang ahli falsafah, namun perkembangan dan keadaan semasa mengubah
segala-galanya. Keadaan ketika itu telah memberi kesan mendalam dalam diri dan
keperibadian beliau. Pengalaman itu memberi inspirasi kepadanya dalam
memperjuangkan Islam dan meninggikan ummah dan bangsa.
Sebenarnya, perjalanan hidup beliau semasa penjajahan
Perancis menyedarkannya tentang kemunduran masyarakat Islam. Lebih-lebih lagi
mereka cuba mengubah identiti dan thaqafah atau nilai-nilai kebudayaan Islam
dalam diri masyarakat Islam. Keadaan ini menyebabkan beliau mahu membebaskan
pemikiran penjajah dalam jiwa rakyatnya. Malik mempunyai minat yang mendalam
dalam mempelajari dan membaca karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal.
Oleh sebab itu, karya-karya tokoh Islam seperti Syeikh Al-Maulud bin Al-Mauhub,
Ibnu Hasib dari Algeria, dan pemimpin Mesir seperti Muhammad Abduh secara tidak
langsung telah mempengaruhi pemikiran beliau.
Selain itu, buku Risalah
Tauhid karya Muhammad Abduh dan Keruntuhan
Akhlak Dalam Politik Barat oleh Rashid Redha, telah menyedarkan Malik
tentang masalah umat Islam. Masalah keruntuhan akhlak dan kemiskinan
intelektual yang semakin ketara perlu diselamatkan.
Beliau banyak meninggalkan koleksi karya, buku, dan esei
ilmiah yang dapat menyumbangkan ilmu pengetahuan dan dimanfaatkan oleh dunia
Islam kini. Malik sering memberi tumpuan kepada persoalan tamadun Islam dan
membuat perbandingan dengan urutan peristiwa semasa, isu-isu ekonomi, dan sains
kemasyarakatan.
Karya beliau yang ditulis dalam Bahasa Arab telah
diterjemahkan, antaranya ialah: Lobbdyk,
The Problem of Culture; The Ideological Struggle In Colonised Countries; The
New Social Editification; The Idea of an Islamic Commonwealth. Manakala
hasil tulisannya dalam Bahasa Perancis pula ialah: The Qur’anic Phenomenon; Vocation De Li Islam; Reflections; Memoirs
Malik; The Work of Orientalistes; Islam et Democratic; Islam In History and
Society.
Malik telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. ciri-ciri
keistimewaannya tersendiri, iaitu pemikiran yang amat tajam dan mendalam dari
segi penghayatannya. Pandangannya tentang Islam sentiasa mendapat tumpuan
cendekiawan-cendekiawan Islam di Timur Tengah dan Eropah kerana sering
menyentuh sesuatu isu secara global.
Menurut beliau, masyarakat Islam boleh membina tamadun
dan peradaban di persada alam Islam dengan kembali kepada fitrah diri mereka
sendiri. Mereka perlu menghayati Islam dan membina akidah dalaman yang mantap.
Kemudian mengangkat diri mereka ketahap peradaban yang terkini dengan memperlengkapkan
diri dengan pengetahuan teknologi semasa.
Isu-isu yang sering diutarakan oleh beliau adalah
bersandarkan kepada nas-nas Al-Quran dan sirah Nabawi. Selain itu, beliau juga
mengambil kira usul-usul Islam yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Oleh hal
yang demikian, Malik dianggap sebagai pemikir dan sarjana yang paling menonjol
di Algeria selepas Perang Dunia Kedua.
Sebagai seorang ahli falsafah, ketokohan beliau setanding
dengan Iqbal. Nama beliau mula dikenali ramai kerana kebanyakan karyanya berkisar
mengenai masyarakat Islam. Pemikirannya banyak menyentuh tentang penderitaan
dan gejala sosial yang dialami masyarakat Islam. Cetusan idea beliau tidak
hanya dijadikan kajian oleh sarjana-sarjana Islam, malah mula dipraktikkan oleh
negara-negara Islam kini. Nama beliau mula dikenali di kalangan graduan-graduan
Islam sejak kebelakangan ini.
Peranan dan jasa beliau amat berharga kepada dunia Islam.
Misi beliiau adalah sama seperti ulama ulama silam Melayu. Antaranya ialah
Syeikh Hadi Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Yang memperjuangkan bangsa
mereka daripada belenggu penjajahan. Tokoh yang berkaliber dan berwibawa ini
meninggal dunia pada 31 Oktober 1973.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan