SMAHADZIR
KETIKA Revolusi Pertanian Islam
bergulir di era kekhalifahan, para jurutera Islam berjaya mencapai kemajuan
yang begitu gemilang dalam ilmu tumbuh-tumbuhan alias botani. Para pakar
botani Muslim pada zaman keemasan Islam mampu menampilkan kepakarannya dalam
bidang agronomi, agroteknik, meteorologi, klimatologi, hidrologi, penguasaan
lahan, serta pengurusan usaha pertanian.
Tidak hanya itu, para pakar
botani dan pertanian Islam juga sudah menguasai beragam pengetahuan lainnya
seperti ekologi, pertanian, pedologi, irigasi, serta pengetahuan penunjang
pertanian lainnya. Berkat penguasaan pengetahuan itulah, Revolusi Hijau yang
dikembangkan dunia Islam mencapai puncak kejayaan.
Salah seorang jurutera Islam
yang menjadi perancang di sebalik kejayaan Revolusi Hijau itu adalah
ad-Dinawari (828-896 Masehi). Toufic Fahd (1996), dalam bukunya yang berjudul Botany
and Agriculture menabalkan ad-Dinawari sebagai pendiri botani atau ilmu
tumbuh-tumbuhan di dunia Islam. Hakikatnya, dia layak ditahbiskan sebagai Bapa
Botani.
Botani merupakan kajian
saintifik untuk kehidupan tumbuhan. Sebagai satu cabang biologi, botani
kadangkala dirujuk sebagai sains tumbuhan atau biologi tumbuhan. Botani
merangkumi berbagai disiplin saintifik yang mengkaji struktur, pertumbuhan,
pembiakan, metabolisme, perkembangan, penyakit, ekologi, dan evolusi tumbuhan.
Ad-Dinawari telah menulis sebuah buku botani yang sangat menakjubkan pada abad
ke 9 Masehi yang berjudul Al-Nabat (Tumbuh-tumbuhan).
Dalam bukunya itu, ad-Dinawari
mampu menjelaskan sekitar 637 jenis tanaman. ‘Ad-Dinawari juga membahas tentang
evolusi tanaman mulai dari kemunculan hingga kematian,’ ungkap Taufic Fahd.
Tidak hanya itu, beliau juga mengupas fasa pertumbuhan tanaman, penghasilan
bunga dan buah.
Ad-Dinawari atau nama penuhnya
Abu Hanifah Ahmad ibnu Dawud Dinawari, berasal dari Parsi itu dikenali sebagai
ilmuwan serba boleh. Selain sebagai perintis botani, ad-Dinawari juga dikenali
menguasai beragam ilmu seperti astronomi, pertanian, metalurgi, geografi,
matematik, dan sejarah. Ad-Dinawari dilahirkan pada tahun 828 Masehi di Kota
Dinawar, perbatasan antara wilayah Hamadan dan Kermanshah - kini berada di Iran
Barat. Ayahnya bernama Abu Hanifa Ahmad bin Dawud bin Wanand. Ilmuan Islam ini
sejak kecil sudah menunjukkan minatnya yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan.
Beliau mempelajari beragam ilmu seperti pakar astronomi, matematik dan mekanik
di Ishafan, Iran.
Selain itu, ilmu bahasa dan
sastera juga telah menarik perhatian ad-Dinawari. Untuk mempelajari bahasa dan
sastera, ad-Dinawari telah berhijrah ke dua kota penting di Iraq pada zaman
kejayaan Dinasti Abbasiyah, yakni Kufah dan Basrah. Ilmuan ini Islam fenomenal
ini meninggal dunia pada 24 Julai 896 Masehi di kota kelahirannya, Dinawar.
Nama ad-Dinawari juga diambil dari kota tempat kelahiran dan kematiannya.
Prof MR Izady dalam karyanya
yang berjudul The 1,100 Anniversary of Abu-Hanifa Dinawari menyatakan,
waktu itu, Kota Dinawar telah menjelma sebagai kota besar di Kurdistan Selatan.
Dinawar terletak di kawasan yang strategik kerana berada di antara wilayah
Timur dan Barat yang dikenali sebagai jalur utama perdagangan antarabangsa,
Jalur Sutera. ‘Hingga kini, kota itu dikenali sebagai penghasil ilmuwan dan
pemikir, seperti ad-Dinawari,’ ujar Prof Izady.
Menurut catatan sejarah,
ad-Dinawari adalah keturunan bangsa Kurdi. Beliau merupakan keturunan Wanand.
Ad-Dinawari merupakan generasi kedua yang memeluk agama Islam. Dari kota itu,
lahir juga seorang ulama dan pakar agama bernama Muhammad ibnu Abdullah ibnu
Mihran Dinawari dan pakar tatabahasa yang bernama Abu-Ali Ahmad ibnu Jafar ibnu
Badh Dinawari. ‘Mereka juga adalah generasi kedua yang memeluk Islam,’ ujar
Prof Izady.
Menurut beliau, hingga kini,
penduduk Kota Dinawar tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan yang diberikan
Abu Hanifa ad-Dinawari dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. ‘Setiap tahun,
masyarakat di kota itu memperingati hari Abu Hanifa Dinawari. Sungguh luar
biasa, penduduk asli kota itu sangat menghormati Abu Hanifah Dinawari berkat
sumbangannya bagi sejarah dan kebudayaan,’ tegas Prof Izady. Salah satu
sumbangan paling penting yang diberikan ad-Dinawari bagi peradaban manusia
adalah buku Al-Nabat. Itulah sebabnya dia dianggap sebagai penemu botani
dari Arab.
Ad-Dinawari juga dianggap
sebagai penulis pertama yang mendiskusikan tentang bangsa Kurdi. Beliau
mengupas jejak dan sejarah bangsa Kurdi melalui bukunya yang berjudul Ansab
Al-Akrad (Keturunan Kurdi). Ad-Dinawari juga dikenali sebagai
seorang sejarawan. Karya sejarahnya dituangkan dalam buku berjudul Al-Akhbar
Al-Tiwal (Book of Long Narratives). Buku itu mengisahkan tentang jejak
kehidupan manusia mulai dari pra-Islam hingga era Islam.
Ad-Dinawari dikenali sebagai
seorang pemikir bertaraf dunia. Para ilmuan moden mengagumi ketelitian,
ketepatan, serta kehebatan ilmuan Parsi itu. Tidak hairanlah jika namanya
disejajarkan dengan ilmuan Islam legenda seperti Ibnu Khaldun yang dikenal
melalui bukunya yang berjudul Al-Muqaddimah. Ad-Dinawari dikenali dengan
keluasan ilmu pengetahuannya. Karya ad-Dinawari yang sudah hilang ternyata
boleh ditemui lagi dalam karya ilmuan lain. Ramai ilmuan yang menjadikan buah
fikirnya sebagai rujukan dan ada juga yang menulis ulang bukunya.
Sejarawan dan pakar etnografi
terkenal, Mas’udi, mengatakan bahawa Ibnu Qutayba Dinawari telah menyalin buku Orientasi
Perbintangan (Book of Astral Orientations) karya Abu Hanifa
ke dalam karyanya. Dalam bidang astronomi, ad-Dinawari juga begitu dihormati
dan dikagumi. Beliau dikenali sebagai seorang astronomi hebat asal Parsi yang
menemui Galaksi Andromeda. Sejarawan B Lewin dalam biografi tentang Abu Hanifa
ad-Dinawari mengatakan, generasi muda Islam patut mencontoh ilmuwan ini. Salah
satu hal yang menarik dari ad-Dinawari adalah ketepatan dan ketelitiannya
sewaktu melakukan kajian.
Satu lagi, kita menemui tokoh
Islam yang begitu hebat dari era kejayaan Islam. Seorang ilmuan yang tidak
pernah dilupakan masyarakat kota Dinawar. Setiap tahun, masyarakat kota itu
memperingati hari meninggal dunia Abu Hanifa ad-Dinawari. Semangat dan
perjuangan hidupnya tetap dilestarikan. Itulah sebabnya Dinawar menjadi kota
penghasil pemikir dan ilmuan.
Sumbangan
Dalam Bidang Botani
Pada abad ke 9 Masehi,
ad-Dinawari telah menemui ilmu tumbuhan-tumbuhan alias botani. Beliau
mengupas dan membedah botani melalui karyanya Al-Nabat (Tumbuh-tumbuhan)
yang terdiri atas enam jilid. Sayangnya, beberapa jilid telah punah, hanya
jilid ketiga dan kelima yang tersisa. Meski begitu, jilid keenam dari bukunya
itu telah menjadi sebahagian rekonstruksi asas dalam kutipan dari karya
terakhirnya. Dalam bukunya itu, ad-Dinawari menguraikan sekitar 637 jenis
tanaman. Buku itu ditulis dalam bahasa Arab.
Ilmuan ini menjelaskan aneka
jenis tanaman yang ditemuinya dari huruf sin hingga ya. Tidak
hanya itu, dia juga mendiskusikan evolusi tanaman dari tumbuh atau hidup hingga
mati, penjelasan tahap tanaman tumbuh, dan menghasilkan buah dan bunga. Buku
itu menjadi sumber utama tentang tanaman-tanaman dan penggolongan analisis
(morfologi), morfologi tanah dan tentang ilmu air. Selain itu, buku yang
fenomenal itu juga menjadi risalah tata bahasa paling lengkap dalam nama-nama
tanaman.
Bab Astronomi dan
Meteorologi Bahagian dalam bukunya mengulas tentang tanaman, peranan
astronomi dan meteorologi Islam dalam pertanian. Beliau sudah boleh menentukan
awal musim dengan fenomena alam tersebut. Fenomena alam lainnya seperti ribut,
guruh, kilat, salji, banjir, lembah, sungai, tasik, telaga-telaga, dan sumber
air lainnya dikaji dan dibahas. Semua itu digunakan untuk kepentingan
pertanian.
Bab Ilmu Bumi Bahagian
dalam bukunya mengulas tentang ilmu bumi dalam konteks pertanian. Dia
memasukkan batu dan pasir serta menjelaskan perbezaan jenis-jenis tanah serta
menandakan jenis-jenis yang sesuai untuk tanaman, kualitinya, dan kandungan
tanah yang baik. Melalui buku Al-Akhbar at-Tiwal, Ad-Dinawari juga
dianggap sebagai seorang sejarawan. Selain menceritakan zaman pra-Islam, buku
sejarahnya juga mengisahkan hari-hari terakhir kekuasaan Dinasti Umayyah di
Khurasan. Dalam buku itu, diceritakan bagaimana Marwan IIkhalifah terakhir
Umayyah dikalahkan oleh pasukan Abbasiyah.
Hasil Karya
Ad-Dinawari
- Al-Jabr wa’l-Muqabila (Al-Jabar)
- Al-Nabat (Buku tentang Tanaman)
- Al-Kusuf (buku tentang Gerhana Matahari)
- Al-Radd ala Rasad Al-Isfahani (Reputasi
Pemerhatian Astronomi Al-Isfahani)
- Al-Hisab (Aritmatik)
- Bahth fi Hisb Al-Hind (Analisis Aritmatik
India)
- Al-Jam’ wa’l-Tafriq (buku tentang Aritmatik)
- Al-Qibla wa’l-Ziwal (buku tentang Orientasi
Perbintangan)
- Al-Anwa’ (buku tentang Cuaca)
- Islah Al-Mantiq (Perbaikan Logika)
- Akhbar Al-Tiwal (Sejarah Umum)
- Al-Kabir (buku Besar Ilmu Sejarah)
- Al-Fisaha (buku Retorika)
- Al-Buldan (buku Geografi)
- Al-Shi’r wa’l-Shu’ara (buku Syair dan
Penyair)
- Ansab Al-Akrad (Keturunan Kurdi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan