SMAHADZIR
KAJIAN sains tokoh cendekiawan Islam ini telah digunakan
oleh Barat. Islam sering kali diberikan gambaran sebagai agama yang mundur lagi
memundurkan. Islam juga dikatakan tidak menggalakkan umatnya menuntut dan
menguasai pelbagai lapangan ilmu. Kenyataan dan gambaran yang diberikan itu
bukan sahaja tidak benar tetapi bertentangan dengan hakikat sejarah yang
sebenarnya.
Sejarah telah membuktikan betapa dunia Islam telah
melahirkan ramai golongan sarjana dan ilmuwan yang cukup hebat dalam bidang
falsafah, sains, politik, kesusasteraan, kemasyarakatan, agama, perubatan, dan
sebagainya. Salah satu ciri yang dapat diperhatikan pada para tokoh ilmuwan
Islam ialah mereka tidak sekadar dapat menguasai ilmu tersebut pada usia yang
muda, malah dalam masa yang singkat dapat menguasai beberapa bidang ilmu secara
serentak.
Walaupun tokoh itu lebih dikenali dalam bidang sains dan
perubatan tetapi dia juga memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang agama,
falsafah, dan seumpamanya. Salah seorang daripada tokoh tersebut ialah Ibnu
Haitham atau nama sebenarnya Abu Al-Muhammad Al-Hassan ibnu Al-Haitham. Dalam
kalangan cerdik pandai di Barat, beliau dikenali dengan nama Alhazen. Ibnu
Haitham dilahirkan di Basrah pada tahun 354H bersamaan dengan 965 Masehi.
Beliau memulakan pendidikan awalnya di Basrah sebelum dilantik menjadi pegawai
pemerintah di bandar kelahirannya. Setelah beberapa lama berkhidmat dengan
pihak pemerintah di sana, beliau mengambil keputusan merantau ke Ahwaz dan
Baghdad.
Di perantauan beliau telah melanjutkan pengajian dan
menumpukan perhatian pada penulisan. Kecintaannya kepada ilmu telah membawanya
berhijrah ke Mesir. Semasa di sana beliau telah mengambil kesempatan melakukan
beberapa kerja penyelidikan mengenai aliran dan saliran Sungai Nil serta
menyalin buku-buku mengenai matematik dan falak. Tujuannya adalah untuk
mendapatkan wang saraan dalam tempoh pengajiannya di Universiti Al-Azhar.
Hasil daripada usaha itu, beliau telah menjadi seorang
yang amat mahir dalam bidang sains, falak, matematik, geometri, perubatan, dan
falsafah. Tulisannya mengenai mata, telah menjadi salah satu rujukan yang
penting dalam bidang pengajian sains di Barat. Malahan kajiannya mengenai
perubatan mata telah menjadi asas kepada pengajian perubatan moden mengenai
mata.
Ibnu Haitham merupakan ilmuwan yang gemar melakukan
penyelidikan. Penyelidikannya mengenai cahaya telah memberikan ilham kepada
ahli sains barat seperti Boger, Bacon, dan Kepler mencipta mikroskop serta
teleskop. Beliau merupakan orang pertama yang menulis dan menemui pelbagai data
penting mengenai cahaya. Beberapa buah buku mengenai cahaya yang ditulisnya
telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, antaranya ialah Light dan On Twilight Phenomena.
Kajiannya banyak membahaskan mengenai senja dan lingkaran cahaya di sekitar
bulan dan matahari serta bayang bayang dan gerhana.
Menurut Ibnu Haitham, cahaya fajar bermula apabila matahari
berada di garis 19 darjah di ufuk timur. Warna merah pada senja pula akan
hilang apabila matahari berada di garis 19 darjah ufuk barat. Dalam kajiannya,
beliau juga telah berjaya menghasilkan kedudukan cahaya seperti bias cahaya dan
pembalikan cahaya. Ibnu Haitham juga turut melakukan percubaan terhadap kaca
yang dibakar dan dari situ terhasillah teori lensa pembesar. Teori itu telah
digunakan oleh para saintis di Itali untuk menghasilkan kanta pembesar yang
pertama di dunia.
Yang lebih menakjubkan ialah Ibnu Haitham telah menemui
prinsip isi padu udara sebelum seorang saintis yang bernama Trricella
mengetahui perkara itu 500 tahun kemudian. Ibnu Haitham juga telah menemui
kewujudan tarikan graviti sebelum Issaac Newton mengetahuinya. Selain itu,
teori Ibnu Haitham mengenai jiwa manusia sebagai satu rentetan perasaan yang
bersambung-sambung secara teratur telah memberikan ilham kepada saintis barat
untuk menghasilkan wayang gambar. Teori beliau telah membawa kepada penemuan
filem yang kemudiannya disambung-sambung dan dimainkan kepada para penonton
sebagaimana yang dapat kita tontoni pada masa kini.
Selain sains, Ibnu Haitham juga banyak menulis mengenai
falsafah, logik, metafizik, dan persoalan yang berkaitan dengan keagamaan.
Beliau turut menulis ulasan dan ringkasan terhadap karya-karya sarjana
terdahulu. Penulisan falsafahnya banyak tertumpu kepada aspek kebenaran dalam
masalah yang menjadi pertikaian. Padanya pertikaian dan pertelingkahan mengenai
sesuatu perkara berpunca daripada pendekatan yang digunakan dalam mengenalinya.
Beliau juga berpendapat bahawa kebenaran hanyalah satu.
Oleh sebab itu semua dakwaan kebenaran wajar diragui dalam menilai semua
pandangan yang sedia ada. Jadi, pandangannya mengenai falsafah amat menarik
untuk disoroti. Bagi Ibnu Haitham, falsafah tidak boleh dipisahkan daripada
matematik, sains, dan ketuhanan.
Ketiga-tiga bidang dan cabang ilmu ini harus dikuasai dan
untuk menguasainya seseorang itu perlu menggunakan waktu mudanya dengan
sepenuhnya. Apabila umur semakin meningkat, kekuatan fizikal dan mental akan
turut mengalami kemerosotan. Ibnu Haitham membuktikan pandangannya apabila
beliau begitu ghairah mencari dan mendalami ilmu pengetahuan pada usia mudanya.
Sehingga kini beliau berjaya menghasilkan banyak buku dan makalah. Antara buku
karyanya termasuk:
1. Al’Jami’ fi Usul al’Hisab yang mengandungi teori-teori ilmu matametik
dan metametik penganalisaannya;
2. Kitab Al-Tahlil wa al’Tarkib mengenai
ilmu geometri;
3. Kitab Tahlil ai’masa^il al ‘Adadiyah
tentang algebra;
4. Maqalah fi Istikhraj Simat al’Qiblah yang mengupas tentang arah kiblat bagi
segenap rantau;
5. Maqalah fima Tad’u llaih mengenai penggunaan geometri dalam urusan
hukum syarak
6. Risalah fi Sina’at Al-Syi’r mengenai teknik penulisan puisi
Sumbangan Ibnu Haitham kepada ilmu sains dan falsafah
amat banyak. Kerana itulah Ibnu Haitham dikenali sebagai seorang yang miskin
dari segi material tetapi kaya dengan ilmu pengetahuan. Beberapa pandangan dan
pendapatnya masih relevan sehingga ke hari ini.
Walau bagaimanapun sebahagian karyanya lagi telah
‘dicuri’ dan ‘diceduk’ oleh ilmuwan Barat tanpa memberikan penghargaan yang
sewajarnya kepada beliau. Sesungguhnya barat patut berterima kasih kepada Ibnu
Haitham dan para sarjana Islam kerana tanpa mereka kemungkinan dunia Eropah
masih diselubungi dengan kegelapan.
Kajian Ibnu Haitham telah menyediakan landasan kepada
perkembangan ilmu sains dan pada masa yang sama tulisannya mengenai falsafah
telah membuktikan keaslian pemikiran sarjana Islam dalam bidang ilmu tersebut
yang tidak lagi dibelenggu oleh pemikiran falsafah Yunani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan