Jumaat, 19 Julai 2013

GURINDAM


Gurindam Kelebihan Tidak Berdusta 
SMAHADZIR

Tidak berbohong bukti keikhlasan
Hidup sentiasa dalam ehsan

Tidak berbohong hati suci 
Sepanjang hidup tidak dibenci

Tidak berbohong amalan mulia
Manusia suka Allah redha 

Tidak berbohong bukti kejujuran 
Kukuh keimanan kekal persahabatan

Kalau bercakap tidak menipu 
Semua dibuat akan direstu

Tutur kata tidak berbohong
Kalau susah akan ditolong 

Bila bersembang tidak berdusta
Sepanjang masa semua orang suka 

Kalau bicara suka berbohong
Semua kata dianggap kohong 

Kalau diamal suka berdusta 
Hina peribadi akhlak dicerca 

Jangan berbohong bila bercakap
Nanti hilang orang yang rapat

Bohong menipu hasutan syaitan 
Elok dihindar elak kebejatan 

Kalau cakap suka menipu
Tiada kawan ramai seteru

Mahkota diri baik pekerti 
Sahabat taulan senang dekati 

Tutur kata sarat kebenaran
Hilang musuh akrab persahabatan

Kata diluah orang percaya 
Bersih hati disirami cahaya 

Jujur amanah dalam berkata
Sepanjang hayat semua suka

Tulus bicara tidak berdusta 
Tenangnya hidup tanpa sengketa 

Bercakap benar disukai Allah
Sepanjang hidup diliputi berkah

Tidak berbohong dalam perhubungan 
Suasana harmoni kekal berpanjangan 

Bercakap bohong dengan keluarga
Hidup jadi tidak bahagia

Tidak berbohong bukti kejujuran 
Tegak sentiasa tiang kebenaran 

Suka berbohong menguasai diri
Orang untung kita yang rugi

Tidak berbohong sepanjang masa 
Amalan diperbaiki diampuni dosa 

Jangan berbohong bila bersuara
Disayangi kawan dan sanak saudara

Tidak berbohong sempurna iman 
Insan bertakwa hidupnya aman 

Jangan berbohong juga berdusta
Supaya hidup dalam redha-Nya

Tidak berbohong banyak kelebihan 
Amal ibadah diterima Tuhan 


GURINDAM:
Gurindam Anak Orang Anak Sendiri
SMAHADZIR

Anak orang dipuja dipuji 
Anak sendiri dicaci dimaki

Anak sendiri hidup merempat
Anak orang diberi tempat

Anak orang disuap makan
Anak sendiri mati kebuluran

Anak sendiri dicerca dikeji 
Anak orang dipuji meninggi

Anak orang dinilai dihargai 
Anak sendiri diinjak di kaki

Anak sendiri diabai dibenci 
Anak orang dibelai disayangi

Anak orang diyakini hati
Anak sendiri dihasad dengki

Anak sendiri kuat disangsi 
Anak orang kukuh diyakini

Anak orang dianggap berguna 
Anak sendiri dipandang hina

Anak sendiri menangis tersedu 
Anak orang ditandu-tandu

Anak orang dinobat gembira 
Anak sendiri tak dipelihara

Anak sendiri disekat didera 
Anak orang dipuji dipuja

Anak orang dijunjung tinggi 
Anak sendiri dibiarkan mati

Anak sendiri dirundung malang 
Anak orang dijulang-julang

Anak orang digilap berkilat 
Anak sendiri dibiar malap

Anak sendiri malap dan hilang 
Anak orang cerlang cemerlang

Anak orang rajin disusui
Anak sendiri mati menyendiri

GURINDAM:
Gurindam Rakyat Malaysia
SMAHADZIR

Rakyat Malaysia hormati raja
Diberkati hidup sepanjang masa

Rakyat Malaysia kuat beragama
Sentiada redha dengan fitrah-Nya

Rakyat Malaysia penegak budaya 
Berseri hidup diterangi cahaya. 

Rakyat Malaysia bersopan santun
Dalam gelap tak perlu bertuntun

Rakyat Malaysia penjunjung warisan 
Kukuh walau hujan atau kepanasan. 

Rakyat Malaysia rajin berusaha
Sepanjang hidup menikmati jaya

Rakyat Malaysia kukuhkan muhibah
Berani berjuang tak takut rebah

Rakyat Malaysia pendaulat agama 
Kebahagiaan kekal tujuan bersama 

Rakyat Malaysia bersatu padu
Tidak dihenyak isak dan sendu

Rakyat Malaysia gagah perkasa
Sanggup mati kerana nusa

Rakyat Malaysia penyubur sikap 
Kerja beretika bertambah cekap. 

Rakyat Malaysia sayangi jiran
Hidup aman tidak bercakaran

Rakyat Malaysia raikan tetamu
Semua orang tak berasa jemu

Rakyat Malaysia penerus agenda 
Gapai wawasan usaha diganda. 

Rakyat Malaysia sabar dan tabah
Musuh ditentang tidak gelabah

Rakyat Malaysia tahan cabaran
Akur segala nasihat dan saran

Rakyat Malaysia pemelihara bahasa 
Suara dipadu mantap perkasa 

Rakyat Malaysia rajin bekerja
Menanti hidup kebahagiaan waja

Rakyat Malaysia ikhlas berusaha
Kejayaan menanti lebih perkasa

Rakyat Malaysia pembina jati diri 
Generasi mendatang kukuh berdiri 

Rakyat Malaysia jujur amanah
Semua kerja tak banyak kerenah

Rakyat Malaysia bencikan huru-hara
Sepanjang hidup aman sejahtera

Rakyat Malaysia pembenteng watan 
Menentang musuh tak gentar ugutan 

Rakyat Malaysia berani berjuang
Takut menggelugut semua petualang

Rakyat Malaysia tabah dan cekal
Kebahagiaan hidup bertambah tekal

Rakyat Malaysia pencinta damai 
Berkat perpaduan muafakat disemai 

Rakyat Malaysia hormati ketua
Sepanjang hayat hidup sejahtera

Rakyat Malaysia bersatu hati
Kuat tegas tak mudah dibuli

Rakyat Malaysia pembela bangsa 
Tidak rela kemerdekaan binasa 

Rakyat Malaysia kuat berpadu
Musuh melihat hati terkedu

Rakyat Malaysia bertoleransi
Semua kerja mendapat puji



GURINDAM 4
Gurindam Guru Dan Murid
SMAHADZIR

Kalau guru bersikap baik
Anak murid mudah dididik

Kalau guru orang yang cerdik
Anak murid jangan diherdik

Kalau guru bermuka ceria
Tentu murid berasa gembira

Kalau guru malas mengajar
Tentu murid kuranglah ajar

Kalau guru manis pekerti
Tentulah murid senang hati

Kalau guru sabar dan tabah
Tentu tugasan diredhai Allah

Kalau guru asyik bersenda
Murid nak belajar pening kepala

Kalau guru sering dalam lambat
Pelajaran murid tentu terhambat

Kalau guru selalu ponteng
Kepala murid tentulah pening

Kalau guru tak buat persiapan
Murid banyak buat kesilapan

Kalau guru tak ambil kisah
Murid nakal tak tentu arah

Kalau guru lambat ke sekolah
Murid malas bertambah parah

Kalau guru banyak bersembang
Murid mendengar menjadi bimbang

Kalau guru banyak celoteh
Murid mendengar menjadi letih

Kalau guru banyak masalah
Murid turut mendapat susah

Kalau guru terlalu garang
Tentu murid takut nak datang

Kalau guru selalu ketawa
Tentu ramai murid suka

Kalau guru mengajar lambat
Murid belajar menjadi penat

Kalau guru pandai ICT
Murid jadi lebih bermotivasi

Kalau guru suka mengumpat
Ilmu diajar sukar didapat

Kalau guru berbudi bahasa
Diingat murid sepanjang masa

Kalau guru suka berdamping
Tentu murid mudah dibimbing

Kalau guru banyak kaedah
Murid dapat banyak faedah

Kalau guru kencing berdiri
Tentu murid kencing berlari

Kalau guru bijak berkomunikasi
Tenang belajar sepanjang hari

Kalau guru suka berkawan
Tentu murid sukar melawan

Kalau guru mementingkan diri
Tentulah murid akan lari

Dengan guru hendaklah hormat
Supaya murid hidup selamat




GURINDAM 5
Gurindam Cinta
SMAHADZIR

Bila cinta sudah bersemi
Semua yang hodoh cantik berkualiti

Cinta umpama bintang kejora 
Sinarnya pancaran kasih yang mesra 

Kalau cinta semarak di dada
Rela merempuh badai gelora

Cinta memberi tak pernah meminta 
Tidak ternilai intan permata 

Bila cinta melekat di hati
Sanggup berenang di lautan api

Bila bercinta matanya buta
Hanya pentingkan nafsu semata 

Orang bercinta macam orang gula
Sepanjang masa senyum sentiasa

Cintanya ibu sepanjang zaman 
Cinta anak hanya kenangan 

Cinta Allah cinta hakiki
Cinta yang boleh bawa ke mati

Cinta ayah tempat berteduh 
Menjadi petunjuk juga penyuluh

Bila bercinta hatinya rawan
Tak kenal saudara tak kenal kawan

Cinta kekasih cinta bersemi
Jika setia tetap abadi 

Cinta meresap ke dasar nubari
Wajah yang buruk dilihat berseri

Cinta harta cinta dunia 
Tak dapat dibawa ke alam sana

Cinta ilmu sangat berguna
Bila mati sangat bermakna

Carilah olehmu cinta yang suci 
Tiada luka tiada benci di hati

Bila bercinta bunga mengharum
Tidak terasa dicucuk jarum

Carilah olehmu cinta yang indah 
Menjadi pengubat segala gundah 

Cinta itu anugerah Allah
Saying bersemi kasih pun menyerlah

Jangan tergoda cinta yang buta 
Mulut yang manis penuh dusta 

Bila bercinta manis selalu
Tidak percaya pahit hempedu

Jangan tertipu cinta yang palsu 
Kalbu menjadi tuli dan bisu 

Cinta Allah cinta Muhammad
Insya-Allah hidup mendapat rahmat

Dalam bercinta jagalah adab
Jangan diikut syaitan biadap

Kalau bercinta mesti bersyukur
Tegahan agama perlu diakur

Dalam bercinta hendaklah jujur 
Supaya langkah selalu mujur



GURINDAM 6
Gurindam Nasihat
SMAHADZIR

Apabila kita banyak bercakap
Banyak berlaku salah dan silap

Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan berbuat dusta

Apabila banyak menyalahkan orang
Diri sendiri banyak yang kurang

Apabila kita kurang siasat
Itulah tanda pekerjaan nak sesat

Apabila anak tidak dilatih
Jika besar bapanya letih

Apabila banyak mencela orang
Itulah tanda dirinya kurang

Apabila banyak mencaci orang
Tanda diri banyak yang kurang

Apabila orang banyak tidur
Segala keburukan terserlah didengkur

Apabila banyak memaki hamun
Tanda diri seperti penyamun

Apabila mendengar akan khabar
Menerimanya itu hendaklah sabar

Apabila banyak membuat maksiat
Tanda hati kurang sihat

Apabila perkataan lemah lembut
Janganlah mudah jadi pengikut

Apabila bercakap kurang berhati
Akan mengundang umpat dan keji

Apabila perkataan terluah kasar
Tandanya diri berhati gusar

Apabila suka bercakap sendiri
Tandanya keliru di dalam hati

Apabila pekerjaan dibuat benar
Tidak boleh orang berbuat honar

Apabila selalu bercakap busuk
Tanda hati sudah dirasuk

Apabila mencela nasihat orang
Tanda hati terpalit arang

Apabila lupa anak dan isteri
Tanda diri tak kenang budi

Apabila cepat mengaku kalah
Tanda hati mudah menyerah

Apabila selalu tinggal solat
Tanda diri sudah diperalat


GURINDAM 7
Gurindam Raja Dan Rakyat
SMAHADZIR

Rakyat setia kepada raja
Tanda hidup harmoni sentiasa

Raja muafakat dengan rakyat
Tanda negara di dalam berkat

Benar hati kepada raja
Tanda jadi sebarang kerja

Kalau raja berkata benar
Rakyat takut membuat onar

Kalau rakyat hidup melarat
Raja berusaha menyerah kudrat

Hukum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh inayat

Kalau raja tidak berilmu
Rakyat hidup tanpa lampu

Kasihkan raja yang berilmu
Tanda rahmat atas dirimu

Kalau rakyat dalam kesusahan
Raja datang dengan bantuan

Hormat akan raja yang pandai
Tanda mengenal kasa dan cindai

Kalau rakyat tidak bersatu
Raja tidak memberi restu

Raja adil raja disembah
Rakyat tidak dirundung gundah

Raja ingat dirinya mati
Rakyat sanggup berbuat bakti

Kuasa raja itu terlalu nyata
Kepada rakyat yang tidak buta

Kalau raja senyum selalu
Itu tandanya rakyat restu

Kalau raja berbuat jasa
Hidup rakyat selalu sejahtera

Kalau raja sentiasa murka

Tandanya rakyat harus waspada

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA