Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana
melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat
utama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-Nya ialah lidah. Lidah
mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan
menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah s.w.t,
membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna
kepada sesama manusia.
Sesungguhnya lidah itu
merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan
sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah,
memaki-hamun, mencaci-cerca, mengadu domba dan sebaginya. Lidah diibaratkan
seperti mata pedang yang amat tajam, mampu menyiat kulit dan hati sehingga
tercetusnya pergaduhan, masam muka, persengketaan malah mampu menghasilkan
peperangan antara kaum. Apabila ini
berlaku ia boleh menghancurkan sesebuah komuniti atau negara.
Mudah
Membuat Penilaian
Dalam kehidupan seharian kita,
kita amat mudah menilai seseorang hanya dengan melihat orang tersebut sekali
imbas. Seorang wanita yang hendak ke pasar dituduh hendak ke tempat maksiat.
Seorang bekas penagih dadah hendak ke masjid dituduh hendak mencuri kasut.
Seorang peminta sedekah yang meminta sedikit derma dituduh cuba menipu orang
ramai dan pelbagai lagi tuduhan tanpa siasatan yang teliti sehingga kadang-kadang
apa yang diucapkan oleh kita merupakan fitnah yang amat dimurkai Allah s.w.t.
Justeru, janganlah cepat
menilai seseorang atau sesuatu perkara tanpa usul periksa. Allah yang Maha
Mengetahui segala-galanya. Firman-Nya bermaksud: “Manusia memang makhluk yang
diciptakan suka tergesa-gesa dalam segala perkaranya.” (surah al-Anbia 21:37)
Menurut catatan sejarah,
ulama-ulama terdahulu beristiqarah terlebih dahulu sebelum memulakan penulisan
sesuatu buku. Antara yang tercatat melakukan amalan sebegini sebelum menulis
adalah Imam al-Bukhari, al-Muzani dan Ibnu Khuzaimah. Mereka meminta petunjuk
dari Allah s.w.t, apakah harus menulis sesuatu idea dalam minda mereka itu atau
tidak, kerana seringkali sesebuah tulisan menjadi mangsa fitnah orang yang
cepat menilai. Mengambil pelajaran inilah, kita
harus bersikap berhati-hati dalam membuat apa juga tulisan, kata-kata,
penilaian dan sebagainya agar kita tidak terjerumus ke lembah fitnah.
Imam Ahmad bin Hambal, seorang
ulama hebat pernah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk memikirkan sesuatu
hukum, namun katanya beliau masih belum menemukan jawapan yang meyakinkan.
Belajarlah dari peribadi dan sikap ulama ini. Pandanglah dengan mata hati,
kerana dengan pandangan mata hati sahaja seseorang akan memperoleh sesuatu yang
sangat luar biasa.
Firman Allah s.w.t bermaksud:
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati
yang dengan itu mereka dapat memahami atau dengan telinga yang dengan itu
mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi
yang buta adalah hati yang ada di dalam dada.” (surah al-Hajj 22:46).
Melihat sesuatu masalah
menerusi satu sudut yang tidak sempurna menatijahkan kesimpulan yang tidak
sempurna. Berfikirlah dengan tenang, panjang dan berhikmah. Sebuah berita yang
belum dikaji kesahihannya atau tidak sempurna versinya, kalau dinilai dengan
negatif, tentu kita akan memusuhinya. Padahal, kalau kita bersedia membuka diri
untuk versi lain dari berita itu, atau berusaha memahami mesej di sebaliknya, boleh
jadi fikiran negatif itu tidak akan lahir dalam diri kita.
Apabila kita meninggalkan sifat
tergesa-gesa dan sifat cepat menilai dan menggantikannya dengan sifat tenang
dan berfikiran luas, kita akan menjadi insan baru yang terbuka, selesa dalam
menelusuri hidup di dunia sementara ini.
Menganggap
Diri Cukup Pengetahuan
Kita kadang-kadang
terlalu yakin dengan pengetahuan diri. Kita merasa tahu segalanya sehingga
seolah-olah memiliki autoriti untuk membuat kesimpulan mengenai sesuatu hal.
Atau kalau berkaitan keperibadian orang lain, kita sering merasa tidak perlu
informasi lebih lanjut kerana kita merasa cukup pengetahuan mengenai jati diri
orang itu sebenarnya.
Kesalahan terbesar
seseorang adalah ketika dia menganggap dirinya telah cukup pengetahuan sehingga
dia tidak memiliki itikad sedikit pun untuk melakukan penelitian, tabayyun,
atau pastikan betul-betul. Tentang suatu kejadian, dia langsung menyimpulkan
begini begitu sesedap mulutnya saja. Tentang diri seseorang, dia terus
menyimpulkan begini begitu sesedap cakapnya saja. Dengan pengetahuan
sedikitnya, dia merasa sudah banyak pengetahuan. Dengan interaksinya bersama
orang lain dalam masa yang sebentar, dia merasa sudah berhak membuat kesimpulan
mengenai diri seseorang itu padahal boleh jadi apa yang disimpulkannya itu
hanya akan membuahkan fitnah dan pembohongan, jauh dari fakta sebenarnya.
Keterbatasan yang
dimilikinya tiada pernah disedari. Dia terjebak dalam ujub diri, merasa
ada kemampuan untuk membuat penilaian terhadap sesuatu hal atau orang lain
tanpa diiringi dengan sikap berhati-hatian. Maka dia pun mudah mengeluarkan
pendapat tanpa difikir lebih dalam lagi. Dia mudah menilai sesuatu tanpa
mencari dulu fakta yang benar.
Yang lebih malang
lagi adalah ketika keburukan sikap ini disebarkan kepada orang lain. Kalau
berkaitan diri seseorang, maka betapa dia akan menumbuhkan sikap kebencian dari
orang yang dirugikannya atas pemberitaan yang tidak benar. Prasangka dikira
kebenaran. Prasangka melahirkan pembohongan. Prasangka yang tidak disertai tabayyun
akan melahirkan kerenggangan hubungan sesama.
Kita berlindung dari Allah s.w.t dari sifat sombong, ujub diri,
dengki, dan fitnah. Kita ini makhluk yang sangat terbatas. Terbatas ilmunya.
Terbatas pengetahuannya. Bila kita sedar bahawa kita terbatas, maka kita akan
menjadi manusia yang sangat berhati-hati. Berhati-hati dalam menyingkapi sesuatu.
Berhati-hati dalam menilai sesuatu. Berhati-hati dalam membuat kesimpulan
terhadap sesuatu kejadian. Berhati-hati meski sekadar dalam hati.
Lidah Penyebar Fitnah
Dalam era kemajuan sains dan
teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi
juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, sama ada melalui media cetak
mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan
kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa juga berita dan maklumat tentang
keadaan yang berlaku di sekeliling kita, sama ada apa yang berlaku di dalam
negeri mahupun di luar negeri.
Oleh itu kita hendaklah
menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa
yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak
bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang
tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur
fitnah.
Kita perlu mengetahui fitnah
itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang.
Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau
dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah
dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan
sama ada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya,
sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang
yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau
mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu
hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah s.w.t
dalam surah Al-Qalam ayat 10-11 bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut kemahuan
orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka
menyabarkan fitnah hasutan.”
Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a,
beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidak masuk syurga orang
yang suka memfitnah (mengadu domba).”
Daripada dalil-dalil tersebut
jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang
dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan
keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada
kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah
memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada
orang lain.
Berusaha
Mengelakkan Diri
Memang tidak dapat dinafikan,
dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita
tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita
yang diperbualkan ketika bertemu, sama ada ketika berada di majlis-majlis
keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan
dan sebagainya.
Dalam hal sedemikian, jika kita
mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang
direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah
berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau
mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu
adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa
oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya
melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan
menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah
di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah
itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada benar
atau sebaliknya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 21, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya
yang lain.”
Mengembirakan
Orang Yang Berhati Busuk
Ketahuilah bahawa tidak ada
orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah
lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata.
Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka
hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu
tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan
kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya
kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.
Jika difikirkan, apakah
kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia
tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan
sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi
kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi
sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar.
Perkara ini bukan sahaja
dilarang oleh agama Islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya
dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat
keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu
juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan
secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan
maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut
akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam
memastikan keharmonian dan kententeraman awam.
Jangan
Terpengaruh Dengan Cerita Fitnah
Sebagai bahan renungan, pernah
berlaku suatu peristiwa pada zaman Rasulullah s.a.w, yang lebih dikenalkan
dalam kitab-kitab sirah Rasulullah s.a.w
sebagai Hadisul Ifkhi, bila mana
terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah s.a.w iaitu Sayidatina Aisyah r.a. Dalam
peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah r.a telah difitnah oleh orang-orang
munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang dalam
kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu.
Mereka menabur fitnah
mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah r.a telah berlaku curang atau membuat
hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu
Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah s.w.t menurunkan ayat Al-Quran sebagai
penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah r.a di atas fitnah yang dilemparkan ke
atasnya.
Allah s.w.t berfirman dalam surah
Al-Nuur ayat 19, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya
tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan
ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang
demikian.”
Membuat fitnah itu dipandang
berat dan berat dan dilarang oleh agama Islam sebab ia boleh menimbulkan
permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan
huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan
perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua
anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman
Allah s.w.t pada hari kiamat.
Akhirnya peliharalah diri dari
perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan
masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang
membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar
seperti membuat dan menabur fitnah. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat
191 bermaksud: “Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya
daripada pembunuhan.” Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan
yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari
Allah s.w.t.
Wallahhu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan