Jumaat, 19 Julai 2013

PANTUN: Wawasan Dulu Terserlah Sudah


SMAHADZIR

Warisan seni zaman berzaman,
Gurindam seloka perahan minda;
Pantun ini bukan kecaman,
Sekadar jenaka gurauan senda.

Gurindam seloka perahan minda,
Ilham berkejaran tatkala sabar;
Sekadar jenaka gurauan senda,
Tersisip sindiran sebagai iktibar.

Ilham berkejaran tatkala sabar,
Tenang bersemadi dalam nubari;
Tersisip sindiran sebagai iktibar,
Menilai peribadi dan maruah diri.

Tenang bersemadi dalam nubari,
Harmoni terasa dipuput bayu;
Menilai peribadi dan maruah diri,
Suatu bangsa bernama Melayu.

Harmoni terasa dipuput bayu,
Laksana dihias kencana saduran;
Suatu bangsa bernama Melayu,
Yang dikias pelbagai gelaran.

Laksana dihias kencana saduran,
Pinggir pedaka pahlawan sakti;
Yang dikias pelbagai gelaran,
Tersayat luka memedihkan hati.

Pinggir pedaka pahlawan sakti,
Sundang berbalut dari Semarang;
Tersayat luka memedihkan hati,
Kekal berparut sampai sekarang.

Sundang berbalut dari Semarang,
Buat sandaran di anjung seri;
Kekal berparut sampai sekarang,
Jadi cabaran mengubah diri.

Buat sandaran di anjung seri,
Umbut tepus di dalam talam;
Jadi cabaran mengubah diri,
Supaya terhapus gelaran silam.

Umbut tepus di dalam talam,
Berbunga ungu keliling berukir;
Supaya terhapus gelaran silam,
Kononnya dungu macam Pak Pandir.

Berbunga ungu keliling berukir,
Di tiang seri mengadap pintu;
Kononnya dungu macam Pak Pandir,
Tugas diberi jadi tak tentu.

Di tiang seri mengadap pintu,
Bingkai kayu berjurai renda;
Tugas diberi jadi tak tentu,
Kiasan Melayu tidak berminda.

Bingkai kayu berjurai renda,
Membelai tiara di puncak semayam;
Kiasan Melayu tidak berminda,
Sekadar juara bersabung ayam.

Membelai tiara di puncak semayam,
Duduk bersila di bantal hiasan;
Sekadar juara bersabung ayam,
Pak Kaduk pula jadi kiasan.

Duduk bersila di bantal hiasan,
Sambil berborak meraga cindai;
Pak Kaduk pula jadi kiasan,
Menang sorak kampung tergadai.

Sambil berborak meraga cindai,
Kain sentung berbunga melati;
Menang sorak kampung tergadai,
Mengharapkan untung jadi realiti.

Kain sentung berbunga melati,
Di atas rakit dikebas bajingan;
Mengharapkan untung jadi realiti,
Usaha sedikit lebih berangan.

Di atas rakit dikebas bajingan,
Musim panen hujan menimpa;
Usaha sedikit lebih berangan,
Umpama Mat Jenin di puncak kelapa.

Musim panen hujan menimpa,
Ganas mendatang beriring ribut;
Umpama Mat Jenin di puncak kelapa,
Jatuh terlentang nyawa tercabut.

Ganas mendatang beriring ribut,
Hiba merenung malinja mengurai;
Jatuh terlentang nyawa tercabut,
Impian menggunung hancur berderai.

Hiba merenung malinja mengurai,
Hampa padi berguni sarat;
Impian menggunung hancur berderai,
Hidup jadi tambah melarat.

Hampa padi berguni sarat,
Serunai mendayu di senja hari;
Hidup jadi tambah melarat,
Bangsa Melayu di tanah sendiri.

Serunai mendayu di senja hari,
Daun bayam gugur bertapuk;
Bangsa Melayu di tanah sendiri,
Laksana ayam mati di kepuk.

Daun bayam gugur bertapuk,
Pohon pedada tumbuh di pongsu;
Laksana ayam mati di kepuk,
Selagi minda jumud dan lesu.

Pohon pedada tumbuh di pongsu,
Anak haruan beremut di kolong;
Selagi minda jumud dan lesu,
Warna kemajuan berlorek bolong.

Anak haruan beremut di kolong,
Menjadi mangsa toman betina;
Warna kemajuan berlorek bolong,
Martabat bangsa dipandang hina.

Menjadi mangsa toman betina,
Sembunyi segera tindakan bijak;
Martabat bangsa dipandang hina,
Maruah negara turut dipijak.

Sembunyi segera tindakan bijak,
Di lubang tanah bawah jerami;
Maruah negara turut dipijak,
Ini pernah kita alami.

Di lubang tanah bawah jerami,
Tunjang ara akar berbulu;
Ini pernah kita alami,
Sewaktu negara dijajah dahulu.

Tunjang ara akar berbulu,
Tempat panggu syaitan dan pari;
Sewaktu negara dijajah dahulu,
Minda dibelenggu kebebasan digari.

Tempat panggu syaitan dan pari,
Tepi teratak subur menerung;
Minda dibelenggu kebebasan digari,
Macam katak di bawah tempurung.

Tepi teratak subur menerung,
Burung perling mati digodam;
Macam katak di bawah tempurung,
Dunia sekeliling bagai terpadam.

Burung perling mati digodam,
Pelatuk nanar di kayu beluti;
Dunia sekeliling bagai terpadam,
Mentari bersinar tak membawa erti.

Pelatuk nanar di kayu beluti,
Suara sang balam bersahut manja;
Mentari bersinar tak membawa erti,
Siang dan malam sama sahaja.

Suara sang balam bersahut manja,
Unggas bergegas mencari makan;
Siang dan malam sama sahaja,
Semakin cergas penjajah menekan.

Unggas bergegas mencari makan,
Batang tembusu dibuat tuas;
Semakin cergas penjajah menekan,
Doktrin palsu disebar meluas.

Batang tembusu dibuat tuas,
Perdu pulasan di pinggir tubir;
Doktrin palsu disebar meluas,
Bersalut manisan terukir di bibir.

Perdu pulasan di pinggir tubir,
Dihubub bayu ranting terkulai;
Bersalut manisan terukir di bibir,
Supaya Melayu menjadi longlai.

Dihubub bayu ranting terkulai,
Jatuh menujah hujung batasan;
Supaya Melayu menjadi longlai,
Hasrat menjajah terus-terusan.

Jatuh menujah hujung batasan,
Congkak kayu jadi kurnia;
Hasrat menjajah terus-terusan,
Biar Melayu hilang di dunia.

Congkak kayu jadi kurnia,
Wira perkasa beradu sama;
Biar Melayu hilang di dunia,
Lenyap bangsa lenyaplah agama.

Wira perkasa beradu sama,
Terima padah di tangan arjuna;
Lenyap bangsa lenyaplah agama,
Tertegak sudah hasrat rencana.

Terima padah di tangan arjuna,
Lalu berbalah menunjuk sasa;
Tertegak sudah hasrat rencana,
Tetapi Allah lebih berkuasa.

Lalu berbalah menunjuk sasa,
Panas baran dada terbakar;
Tetapi Allah lebih berkuasa,
Rahmat kesedaran disubur mekar.

Panas baran dada terbakar,
Tiup tetuang panjang berjela;
Rahmat kesedaran disubur mekar,
Bangun berjuang menuntut bela.

Tiup tetuang panjang berjela,
Mengusik rusa di belantara nyaman;
Bangun berjuang menuntut bela,
Membebas nusa dari cengkaman.

Mengusik rusa di belantara nyaman,
Bagai rentaka meluah letusan;
Membebas nusa dari cengkaman,
Hidup merdeka sebagai insan.

Bagai rentaka meluah letusan,
Tubuh rengsa menggigil segala;
Hidup merdeka sebagai insan,
Maruah bangsa ditegakkan semula.

Tubuh rengsa menggigil segala,
Murup aroma gerbak setanggi;
Maruah bangsa ditegakkan semula,
Martabat agama dijulang tinggi.

Murup aroma gerbak setanggi,
Segar terasa menghapus duka;
Martabat agama dijulang tinggi,
Negara dan bangsa perlu merdeka.

Segar terasa menghapus duka,
Berarak keluang di bawah mega;
Negara dan bangsa perlu merdeka,
Peranan pejuang amat berharga.

Berarak keluang di bawah mega,
Buah semangka sajian enak;
Peranan pejuang amat berharga,
Hasrat merdeka dipohon lunak.

Buah semangka sajian enak,
Menjalar melata di atas para;
Hasrat merdeka dipohon lunak,
Menjulang senjata bukanlah cara.

Menjalar melata di atas para,
Tanah Rompin subur dibajak;
Menjulang senjata bukanlah cara,
Minda pemimpin teruji bijak.

Tanah Rompin subur dibajak,
Sungguh serasi ditanam nangka;
Minda pemimpin teruji bijak,
Secara diplomasi kita merdeka.

Sungguh serasi ditanam nangka;
Disulam betik bergilir-gilir;
Secara diplomasi kita merdeka,
Tanpa setitik darah mengalir.

Disulam betik bergilir-gilir,
Buluh disayat pagar dicegat;
Tanpa setitik darah mengalir,
Kesejahteraan rakyat tidak tergugat.

Buluh disayat pagar dicegat,
Monyet dan kera dapat dihalang;
Kesejahteraan rakyat tidak tergugat,
Kemakmuran negara dapat dijulang.

Monyet dan kera dapat dihalang,
Pagar disangga kanan dan kiri;
Kemakmuran negara dapat dijulang,
Ekonomi warga tegak berdiri.

Pagar disangga kanan dan kiri,
Kukuh menampan walau ditabrak;
Ekonomi warga tegak berdiri,
Itu harapan paling semarak.

Kukuh menampan walau ditabrak,
Siap siaga bertindak segera;
Itu harapan paling semarak,
Diganggu juga petualang negara.

Siap siaga bertindak segera,
Awas sentiasa di pohon cenderai;
Diganggu juga petualang negara,
Paduan bangsa mahu diburai.

Awas sentiasa di pohon cenderai,
Biar tersanggat haluan musuh;
Paduan bangsa mahu diburai,
Harmoni tergugat memarak rusuh.

Biar tersanggat haluan musuh,
Banir tolang tempat menembak;
Harmoni tergugat memarak rusuh,
Berjaya dihalang dari merebak.

Banir tolang tempat menembak,
Bidik dituju mencari mangsa;
Berjaya dihalang dari merebak,
Wawasan maju jadi selesa.

Bidik dituju mencari mangsa,
Tersengkang suara mati diragu;
Wawasan maju jadi selesa,
Pembangunan negara tidak terganggu.

Tersengkang suara mati diragu,
Dibebat rami humban ke paya;
Pembangunan negara tidak terganggu,
Dasar ekonomi baru berjaya.

Dibebat rami humban ke paya,
Haiwan mencecap rezeki di baruh;
Dasar ekonomi baru berjaya,
Nikmat dikecap rakyat seluruh.

Haiwan mencecap rezeki di baruh,
Tempat rimbunan pohon selepat;
Nikmat dikecap rakyat seluruh,
Jurang kemiskinan berjaya dirapat.

Tempat rimbunan pohon selepat,
Limau kedangsa dahan berduri;
Jurang kemiskinan berjaya dirapat,
Martabat bangsa mula berdiri.

Limau kedangsa dahan berduri,
Berkulit kasar seimbas puru;
Martabat bangsa mula berdiri,
Hasil dasar ekonomi baru.

Berkulit kasar seimbas puru,
Dibarut lampin nampak beruas;
Hasil dasar ekonomi baru,
Gagasan pemimpin berminda luas.

Dibarut lampin nampak beruas,
Dibawa senteri keluar kawasan;
Gagasan pemimpin berminda luas,
Negara industri jadi wawasan.

Dibawa senteri keluar kawasan,
Bertemu fakir hidup sengsara;
Negara industri jadi wawasan,
Penswastaan diukir membina negara.

Bertemu fakir hidup sengsara,
Tanah bendang tumbuh berembang;
Penswastaan diukir membina negara,
Pelbagai bidang maju berkembang.

Tanah bendang tumbuh berembang,
Petani kempunan harum setanggi;
Pelbagai bidang maju berkembang,
Sektor pembangunan menjulang tinggi.

Petani kempunan harum setanggi,
Atur kembara ke tepian sumur;
Sektor pembangunan menjulang tinggi,
Ekonomi negara subur dan makmur.

Atur kembara ke tepian sumur,
Menjinjing raga meredah pagi;
Ekonomi negara subur dan makmur,
Projek mega berteknologi tinggi.

Menjinjing raga meredah pagi,
Rasa merengsa menyusur tanjung;
Projek mega berteknologi tinggi,
Kemampuan bangsa terus disanjung.

Rasa merengsa menyusur tanjung,
Pedih lidah mengunyah kuinin;
Kemampuan bangsa terus disanjung,
Hilang sudah gelaran Mat Jenin.

Pedih lidah mengunyah kuinin,
Buah senduduk dikenyap-kenyap;
Hilang sudah gelaran Mat Jenin,
Nama Pak Kaduk turut melenyap.

Buah senduduk dikenyap-kenyap,
Pasang lamunan ceria tergambar;
Nama Pak Kaduk turut melenyap,
Di hadang bangunan Menara Berkembar.

Pasang lamunan ceria tergambar,
Kasih ditagih gadis pingitan;
Di hadang bangunan Menara Berkembar,
Putrajaya canggih jadi sebutan.

Kasih ditagih gadis pingitan,
Cinta tercalar angkara janji;
Putrajaya canggih jadi sebutan,
LRT menjalar turut dipuji.

Cinta tercalar angkara janji,
Tengah segara derita disimbah;
LRT menjalar turut dipuji,
Bukti negara mampu berubah.

Tengah segara derita disimbah,
Gelombang gigih meredah gagah;
Bukti negara mampu berubah,
MSC canggih tersergam megah.

Gelombang gigih meredah gagah,
Pantai selamat angin menderu;
MSC canggih tersergam megah,
Teknologi maklumat di alaf baru.

Pantai selamat angin menderu,
Ikan ketuka disambar undan;
Teknologi maklumat di alaf baru,
Langit terbuka tiada sempadan.

Ikan ketuka disambar undan,
Laut membiru tersarat rahsia;
Langit terbuka tiada sempadan,
Cabaran baru warga Malaysia.

Laut membiru tersarat rahsia,
Jadi idaman pengutip batu;
Cabaran baru warga Malaysia,
Akal dan iman jadi penentu.

Jadi idaman pengutip batu,
Tatapan tamu di tengah beranda;
Akal dan iman jadi penentu,
Menyaring ilmu ke dalam dada.

Tatapan tamu di tengah beranda,
Cantik digerudi bersulam kencana;
Menyaring ilmu ke dalam dada,
Supaya jadi bangsa berguna.

Cantik digerudi bersulam kencana,
Arca gagak kemas dibaji;
Supaya jadi bangsa berguna,
Martabat tegak maruah terpuji.

Arca gagak kemas dibaji,
Tinggi lampai beriak berang;
Martabat tegak maruah terpuji,
Seperti dicapai Melayu sekarang.

Tinggi lampai beriak berang,
Jalan mendada hati berkobar;
Seperti dicapai Melayu sekarang,
Bangsa berminda tabah dicabar.

Jalan mendada hati berkobar,
Tidak tertahan dendam ditebus;
Bangsa berminda tabah dicabar,
Segala cemuhan sudah terhapus.

Tidak tertahan dendam ditebus,
Musuh diburu sampai ke baruh;
Segala cemuhan sudah terhapus,
Melayu baru berpandangan jauh.

Musuh diburu sampai ke baruh,
Memohon ehsan seikhlas hati;
Melayu baru berpandangan jauh,
Semua wawasan jadi realiti.

Memohon ehsan seikhlas hati,
Mandi di sumur tidak berbaju;
Semua wawasan jadi realiti,
Rakyat makmur negara maju.

Mandi di sumur tidak berbaju,
Tidak tertahan sejuk membeku;
Rakyat makmur negara maju,
Amanah saham membuka pintu.

Tidak tertahan sejuk membeku,
Pandangan kabur ceria menghilang;
Amanah saham membuka pintu,
Banyak melabur esok gemilang.

Pandangan kabur ceria menghilang,
Daun setampin nampak meyongyat;
Banyak melabur esok gemilang,
Wawasan pemimpin terhadap rakyat.

Daun setampin nampak meyongyat,
Ditampar bayu menujah-nujah;
Wawasan pemimpin terhadap rakyat,
Bangsa Melayu berubah wajah.

Ditampar bayu menujah-nujah,
Bangsa Melayu berubah wajah,
Taraf hina ke puncak mulia.

Mendung sirna disingkap suria,
Mudik ke hulu membawa madah;
Taraf hina ke puncak mulia,

Wawasan dahulu terserlah sudah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA