SMAHADZIR
NAMA lengkap beliau
ialah Abu Abdul Al-Rahman Ahmad Bin Ali Bin Syuaib Bin Ali Bin Sinan Bin Bahr
Al-Khurasani Al-Qadi. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Imam Al-Nasa’i,
dilahirkan di daerah Nasa’ pada tahun 215 Hijrah. Ada juga riwayat yang
mengatakan bahawa beliau lahir pada tahun 214 Hijrah. Nama beliau dinisbahkan
kepada daerah Nasa’ (Al-Nasa’i), daerah yang menjadi ‘saksi bisu’ terhadap
kelahiran seorang pakar hadis yang terkenal. Antara jasa beliau yang menjadi
catatan sejarah Islam ialah beliau telah berhasil menyusun sebuah kitab
terkenal dalam kajian hadis, iaitu Al-Mujtaba’ atau lebih dikenali sebagai
Sunan Al-Nasa’i.
Sewaktu remaja,
beliau terkenal sebagai seorang insan yang gemar mencari ilmu. Masa-masa
terluang beliau dihabiskan dengan membaca dan menghafaz Al-Quran. Pada waktu
itu, untuk belajar membaca dan menghafaz Al-Quran, seseorang itu mesti selalu
bertandang ke madrasah kerana di situlah ilmu-ilmu seperti itu diadakan. Boleh
dikatakan semua madrasah yang ada di desa kelahirannya menjadi pusat menuntut
ilmu oleh Imam Al-Nasa’i.
Selain itu, beliau
juga belajhar pelbagai disiplin ilmu keagamaan daripada para ulama di
daerahnya. Pada usia-usia remaja, seiring dengan peningkatan tahap
keintelektualannya, Imam Al-Nasa’i mulai gemar melakukan lawatan intelektual ke
pelbagai penjuru dunia. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menggarap
serta menyerapkan ke dalam dadanya ilmu-ilmu keagamaan, terutama ilmu-ilmu
tentang disiplin hadis dan ilmu hadis.
Menurut catatan
sejarah, sewaktu beliau berusia lima belas tahun, beliau sudah berjaya
melakukan pengembaraan ke pelbagai wilayah Islam seperti Mesir, Hijaz, Iraq,
Syam, Khurasan dan sebagainya. Sebenarnya, lawatan intelektual yang sedemikian,
bahkan dilakukan pada usia yang terlalu muda, bukan merupakan hal yang aneh di
kalangan para ulama hadis.
Boleh dikatakan
hampir semua ulama hadis, terutama enam ulama hadis yang terkenal, gemar
melakukan pengembaraan intelektual ke pelbagai wilayah Islam semenjak usia
mereka masih belasan tahun. Proses mencari ilmu begini merupakan ciri khas
ulama-ulama hadis, termasuk Imam Al-Nasa’i.
Kemampuan intelektual
Imam Al-Nasa’i menjadi kian matang dan berisi dalam masa pengembaraannya. Namun
demikian, pada awal proses pembelajarannya di daerah Nasa’ tidak boleh
dikesampingkan begitu sahaja, kerana menurut catatan sejarah, di daerah
kelahiran inilah, beliau mengalami proses pembentukan intelektual, sementara
masa pengembaraannya dinilai sebagai proses kematangan dan peluasan
pengetahuannya.
Seperti imam-imam
atau para ulama terdahulu iaitu Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud,
dan Imam Al-Tirmidzi, Imam Al-Nasa’i juga tercatat dalam sejarah sebagai imam
yang mempunyai banyak guru dan muridnya. Para guru beliau yang nama mereka amat
harum tercatat oleh pena sejarah antara lain ialah Qutaibah Bin Sa’id, Ishaq
Bin Ibrahim, Ishaq Bin Rahawaih, Al-Harits Bin Miskin, Saidina Ali Bin Kasyram,
Imam Abu Dawud (penyusun Sunan Abi Dawud), serta Imam Abu Isa
Al-Tirmidzi (penyusun kitab Al-Jami’ atau Sunan Al-Tirmidzi).
Manakala murid-murid
yang setia mendengar, menghadiri serta mempraktikkan ilmu-ilmu daripada
fatwa-fatwa dan ceramah-ceramah beliau, antara lain ialah Abu Al-Qasim
Al-Thabarani (pengarang tiga buku kitab Mu’jam), Abu Ja’far Al-Thahawi,
Al-Hasan Bin Al-Khadir Al-Suyuti, Muhammad Bin Muawiyah Bin Al-Ahmar
Al-Andalusi, Abu Nashr Al-Dalaby dan Abu Bakar Bin Ahmad Al-Sunni.
Abu Bakar Bin Ahmad
Al-Sunni lebih dikenali kerana di samping sebagai murid kepada Imam Al-Nasa’i,
beliau juga tercatat sebagai ‘penyambung lidah’ Imam Al-Nasa’i terutama dalam
tugas-tugas meriwayatkan kitab Sunan Al-Nasa’i. Sudah menjadi fakta yang
tidak dapat dinafikan di kalangan pengkaji hadis dan ilmu hadis, para imam
hadis merupakan insan-insan istimewa yang memiliki ketekunan dan ketabahan yang
wajar diteladani. Dalam masa ketekunannya inilah, para imam hadis sering
menghasilkan karya yang amat berharga, tidak terhingga nilainya.
Begitulah yang
terjadi kepada Imam Al-Nasa’i. Karangan-karangan atau hasil tulisan beliau yang
sampai kepada kita dan telah diabadikan oleh pena sejarah antara lain ialah Al-Sunan
Al-Kubra, Al-Sunan Al-Sughra (kitab ini merupakan bentuk perampingan dari
kitab Al-Sunan Al-Kubra), Al-Khashais, Fadhail Al-Shahabah, dan Al-Manasik.
Menurut sebuah keterangan yang diberikan oleh Imam Ibnu Al-Atsir Al-Jazairi
dalam kitabnya yang berjudul Jami Al-Ushul, kitab ini disusun
berdasarkan pandangan-pandangan fiqh mazhab Syafie. Kini, tulisan Imam
Al-Nasa’i paling terkenal ialah Sunan Al-Nasa’i.
Sebenarnya, apabila
ditelusuri secara menyeluruh dan lengkap, akan terlihatlah oleh kita bahawa
penamaan karya monumental beliau sehingga menjadi Sunan Al-Nasa’i
sebagaimana yang kita kenal sekarang telah melalui proses yang amat panjang
iaitu dari Al-Sunan Al-Kubra, Al-Sunan Al-Sughra, Al-Mujtaba’, dan akhir
sekali barulah terkenal dengan sebutan Sunan Al-Nasa’i.
Buat pertama kali,
sebelum disebut dengan sebutan Sunan Al-Nasa’i, kitab ini terkenal
dengan sebutan Al-Sunan Al-Kubra. Setelah tamat menulis kitab ini,
beliau kemudian menghadiahkan kitab ini kepada Amir Ramallah iaitu seorang
pentadbir kota Ramallah sebagai tanda penghormatan. Amir Ramallah kemudiannya
telah bertanya kepada Al-Nasa’i, ‘Apakah kitab ini seluruhnya berisi
hadis-hadis yang sahih?’
Beliau menjawab
dengan penuh ikhlas dan jujur; ‘Ada yang sahih, was-was dan ada pula yang
hampir serupa dengannya.’ Kemudian Amir Ramallah berkata lagi, ‘Kalau demikian
halnya, maka pisahkanlah hadis yang sahih-sahih sahaja.’
Di atas permintaan
Amir Ramallah ini, beliau kemudiannya membuat pemisahan antara hadis-hadis yang
sahih, was-was dan sebagainya dengan teliti terhadap semua hadis yang terdapat
dalam kitab Al-Sunan Al-Kubra. Dan akhirnya beliau berhasil melakukan
kerja-kerja pemisahan tersebut terhadap Al-Sunan Al-Kubra, sehingga ia
menjadi Al-Sunan Al-Sughra.
Imam Al-Nasa’i sangat
teliti dalam membuat pemisahan hadis-hadis yang telah dimuatkan dalam kitab
pertama. Oleh kerananya, ramai ulama berkata bahawa kedudukan kitab Al-Sunan
Al-Sughra di bawah darjat Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim.
Dalam dua kitab terakhir, sedikit sekali hadis dhaif yang terdapat di dalamnya.
Justeru hadis-hadis
yang dimuatkan di dalam kitab kedua, iaitu Al-Sunan Al-Sughra merupakan
hadis-hadis pilihan yang telah dipilih dengan begitu teliti dan ketat, maka
kitab ini juga dinamakan Al-Mujtaba. Pengertian Al-Mujtaba
bersinonim dengan Al-Maukhtar, iaitu yang terpilih.
Ini adalah kerana
memang kitab ini berisi hadis-hadis pilihan, hadis-hadis hasil terpilih dari
kitab Al-Sunan Al-Kubra. Di samping Al-Mujtaba, dalam salah satu
riwayat, kitab ini juga dinamakan dengan Al-Mujtana. Ada pada suatu
waktu, kitab ini lebih terkenal dengan sebutan Al-Mujtaba, sehingga nama
Al-Sunan Al-Sughra seolah-olah tenggelam langsung ditelan keharuman nama
Al-Mujtaba itu. Dari Al-Mujtaba inilah kemudiannya kitab ini
tersohor dengan sebutan Sunan Al-Nasa’i, sebagaimana yang kita kenal
kini.
Di atas ada
disebutkan pertanyaan daripada Amir Ramallah kepada Imam Al-Nasa’i. Dalam hal
ini kita perlu menilai jawapan Imam Al-Nasa’i terhadap pertanyaan Amir Ramallah
itu secara kritis, di mana beliau mengatakan dengan sejujurnya bahawa
hadis-hadis yang termaktub dalam kitabnya tidak semuanya sahih, tetapi ada yang
was-was dan ada yang menyerupainya.
Beliau tidak
mengatakan bahawa di dalamnya terdapat hadis dhaif (lemah) atau maudhu’
(palsu). Ini bermakna beliau tidak pernah memasukkan sebuah hadis pun yang
dinilai sebagai hadis dhaif atau maudhu’, minima menurut pandangan beliau.
Setelah hadis-hadis yang ada di dalam kitab pertama dipilih dengan teliti,
sesuai dengan permintaan Amir Ramallah supaya beliau hanya menulis hadis yang
berkualiti dan sahih sahaja.
Dari sini dapatlah
kita ambil kesimpulan bahawa apabila hadis yang was-was tidak dimasukkan ke
dalam kitabnya, maka hadis yang dhaif dan maudhu’ tentu sahaja tidak layak
untuk disegandingkan dengan hadis-hadis yang sahih. Namun demikian, Ibnu
Al-Jauzy, iaitu pengarang kitab Al-Maudhuat (hadis-hadis palsu),
mengatakan bahawa hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Al-Sunan
Al-Sughra tidak semuanya sahih.
Menurutnya, ada yang
maudhu’ (palsu). Menurut Ibnu Al-Jauzy lagi, dia telah menemukan sepuluh hadis
maudhu’ di dalamnya. Seperti yang telah dijelaskan di atas, hadis itu semuanya
sahih menurut Imam Al-Nasa’i. Bagaimanapun, orang-orang yang terkemudian telah
menilai hadis tersebut ada yang maudhu’, itu merupakan pandangan berbentuk
subjektif dari penilai tersebut.
Dan masing-masing
mempunyai kaedah-kaedah tersendiri dalam menilai kualiti sesebuah hadis.
Begitulah juga kaedah yang digunakan oleh Imam Al-Nasa’i dalam menilai
kesahihan sesebuah hadis. Nampak ada perbezaan dengan kaedah yang diguna pakai
oleh Ibnu Al-Jauzy. Sehingga, memunculkan pandangan yang berbeza, dan itu
dirasakan sesuatu yang wajar terjadi.
Sudut pandang yang
berbeza akan menimbulkan kesimpulan yang berbeza pula. Kritikan pedas Ibnu
Al-Jauzy terhadap karya terkenal Imam Al-Nasa’i ini, menerima sanggahan yang
cukup keras pula daripada pakar hadis abad ke-9, iaitu Imam Jalal Al-Din
Al-Suyuti. Dalam Sunan Al-Nasa’i, memang terdapat hadis yang sahih,
was-was dan dhaif. Tetapi jumlahnya amat sedikit.
Imam Al-Suyuti pula
tidak sampai menghasilkan kesimpulan bahawa ada hadis maudhu’ yang termuat
dalam Sunan Al-Nasa’i, sebagaimana kesimpulan yang dibuat oleh Imam Ibnu
Al-Jauzy. Bagaimanapun, pendapat ulama yang mengatakan bahawa hadis yang ada di
dalam kitab Sunan Al-Nasa’i semuanya sahih, merupakan pandangan yang
menurut Muhammad Abu Syahbah, tidak didukung oleh penelitian mendalam dan jitu.
Imam Al-Nasa’i
merupakan tokoh Islam yang cermat dan teliti dalam meneliti dan memilih para
periwayat hadis. Beliau juga telah menetapkan syarat-syarat tertentu dalam
proses pemilihan hadis-hadis yang diterimanya. Dalam hal ini Abu Saidina Ali
Al-Naisapuri pernah mengatakan, ‘Orang yang meriwayatkan hadis kepada kami
adalah seorang imam hadis yang telah diakui oleh para ulama, beliau bernama Abu
Abd Al-Rahman Al-Nasa’i.’
Manakala Imam
Al-Naisapuri pula mengatakan, syarat-syarat yang ditetapkan Al-Nasa’i dalam
menilai para periwayat hadis lebih ketat dan teliti berbanding syarat-syarat
yang digunakan Muslim Bin Al-Hajjaj. Ini juga merupakan pendapat subjektif
daripada Imam Al-Naisapuri terhadap peribadi Al-Nasa’i yang boleh dikatakan
berbeza dengan pendapat ulama pada umumnya.
Ulama pada umumnya
lebih menekankan ketelitian penilaian Imam Muslim Bin Al-Hajjaj berbanding
Al-Nasa’i. Bahkan pendapat majoriti ulama ini pulalah yang meletakkan Imam
Muslim sebagai pakar hadis nombor dua, sesudah Al-Bukhari. Meskipun begitu,
bukan bermakna majoriti ulama merendahkan kredibiliti Imam Al-Nasa’i.
Imam Al-Nasa’i tidak
hanya pakar dalam bidang hadis dan ilmu hadis, tetapi juga pakar dalam bidang
fiqh. Al-Daruquthni pernah mengatakan, Al-Nasa’i adalah salah seorang Syeikh di
Mesir yang paling berketrampilan dan pakar dalam bidang fiqh pada masanya dan
paling mengetahui tentang hadis dan para perawi.
Al-Hakim Abu Abdullah
berkata, ‘Pendapat-pendapat Abu Abdul Al-Rahman mengenai fiqh yang diambil dari
hadis terlalu banyak untuk kita kemukakan seluruhnya. Sesiapa yang menelaah dan
mengkaji kitab Sunan Al-Nasa’i, mereka tentunya akan terpesona dengan keindahan
kata-katanya.’ Tidak pula pernah diketemukan riwayat yang jelas tentang
pandangan fiqh beliau.
Setahun menjelang
kematiannya, beliau berpindah dari Mesir ke Damsyik. Tidak ada ‘kata sepakat’
ulama tentang tempat meninggal beliau. Al-Daruqutni mengatakan, beliau
meninggal dunia di kota Mekah dan dikebumikan di antara Safa dan Marwah.
Pendapat yang serupa dikemukakan oleh Abdullah Bin Mandah daripada Hamzah Al-’Uqbi
Al-Mishri.
Manakala ulama yang
lain seperti Imam Al-Dzahabi, menolak pendapat tersebut. Beliau mengatakan
bahawa Imam Al-Nasa’i meninggal di Ramallah, sebuah daerah di Palestin.
Pendapat ini disokong oleh Ibnu Yunus, Abu Jaafar Al-Thahawi (murid Al-Nasa’i)
dan Abu Bakar Al-Naqatah. Menurut pendapat terakhir ini, Imam Al-Nasa’i
meninggal dunia pada tahun 303 Hijrah dan dikebumikan di Baitulmaqdis,
Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan