Khamis, 4 Julai 2013

Malik Ben Nabi (Pemikir Dan Sarjana Yang Paling Menonjol)


 SMAHADZIR

MALIK BEN NABI dilahirkan di Constantine, sebuah kota di Algeria Timur pada tahun 1906. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah Madrasah Al-Quran di Perancis. Disebabkan kepintaran dan kepandaiannya, Malik mendapat biasiswa bagi meneruskan pengajiannya dalam kelas persediaan selama dua tahun di sekolah El-Djelis di Constantine.

Kemudian beliau memasuki sebuah madrasah yang melatih bakal hakim, guru, dan pembantu rumah sakit. Setelah memasuki madrasah berkenaan beliau didedahkan dengan kesusasteraan Perancis khususnya hikayat pengembaraan dan hikayat timur. Beliau berasal daripada keluarga yang sederhana, namun berjiwa besar. Semasa melanjutkan pengajian diperingkat tinggi di Constantine, beliau sempat bertemu dengan Syeikh Abdul Majid dan Profesor Martin. Tokoh inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran dan pembentukan sahsiah diri.

Setelah tamat pengajian, beliau pernah beberapa kali berkunjung ke Perancis. Seterusnya pada tahun 1930 beliau melanjutkan pengajian di Kolej Kejuruteraan. Setahun kemudian beliau berkahwin dengan wanita Perancis yang telah memeluk Islam. Semasa belajar, beliau terlibat dalam pelbagai Gerakan Pembaharuan. Di sinilah beliau banyak mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam serta mengikuti perkembangannya sama ada dari dalam atau luar Algeria seperti di Mesir, Hijaz, dan Maghribi.

Malik juga pernah menjawat jawatan Pegawai Pendaftar Mahkamah di Huran. Dalam tempoh itu beliau berpeluang bertemu dengan masyarakat untuk mengetahui masalah mereka yang berada di bawah penjajahan Perancis. Setelah Algeria merdeka pada tahun 1963, beliau menyandang jawatan Pengarah di Kementerian Pendidikan sehingga tahun 1967.

Berdasarkan sejarah awalnya, Malik tidak berhasrat untuk menjadi seorang ahli falsafah, namun perkembangan dan keadaan semasa mengubah segala-galanya. Keadaan ketika itu telah memberi kesan mendalam dalam diri dan keperibadian beliau. Pengalaman itu memberi inspirasi kepadanya dalam memperjuangkan Islam dan meninggikan ummah dan bangsa.

Sebenarnya, perjalanan hidup beliau semasa penjajahan Perancis menyedarkannya tentang kemunduran masyarakat Islam. Lebih-lebih lagi mereka cuba mengubah identiti dan thaqafah atau nilai-nilai kebudayaan Islam dalam diri masyarakat Islam. Keadaan ini menyebabkan beliau mahu membebaskan pemikiran penjajah dalam jiwa rakyatnya. Malik mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari dan membaca karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal. Oleh sebab itu, karya-karya tokoh Islam seperti Syeikh Al-Maulud bin Al-Mauhub, Ibnu Hasib dari Algeria, dan pemimpin Mesir seperti Muhammad Abduh secara tidak langsung telah mempengaruhi pemikiran beliau.

Selain itu, buku Risalah Tauhid karya Muhammad Abduh dan Keruntuhan Akhlak Dalam Politik Barat oleh Rashid Redha, telah menyedarkan Malik tentang masalah umat Islam. Masalah keruntuhan akhlak dan kemiskinan intelektual yang semakin ketara perlu diselamatkan.

Beliau banyak meninggalkan koleksi karya, buku, dan esei ilmiah yang dapat menyumbangkan ilmu pengetahuan dan dimanfaatkan oleh dunia Islam kini. Malik sering memberi tumpuan kepada persoalan tamadun Islam dan membuat perbandingan dengan urutan peristiwa semasa, isu-isu ekonomi, dan sains kemasyarakatan.

Karya beliau yang ditulis dalam Bahasa Arab telah diterjemahkan, antaranya ialah: Lobbdyk, The Problem of Culture; The Ideological Struggle In Colonised Countries; The New Social Editification; The Idea of an Islamic Commonwealth. Manakala hasil tulisannya dalam Bahasa Perancis pula ialah: The Qur’anic Phenomenon; Vocation De Li Islam; Reflections; Memoirs Malik; The Work of Orientalistes; Islam et Democratic; Islam In History and Society.

Malik telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. ciri-ciri keistimewaannya tersendiri, iaitu pemikiran yang amat tajam dan mendalam dari segi penghayatannya. Pandangannya tentang Islam sentiasa mendapat tumpuan cendekiawan-cendekiawan Islam di Timur Tengah dan Eropah kerana sering menyentuh sesuatu isu secara global.

Menurut beliau, masyarakat Islam boleh membina tamadun dan peradaban di persada alam Islam dengan kembali kepada fitrah diri mereka sendiri. Mereka perlu menghayati Islam dan membina akidah dalaman yang mantap. Kemudian mengangkat diri mereka ketahap peradaban yang terkini dengan memperlengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi semasa.

Isu-isu yang sering diutarakan oleh beliau adalah bersandarkan kepada nas-nas Al-Quran dan sirah Nabawi. Selain itu, beliau juga mengambil kira usul-usul Islam yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Oleh hal yang demikian, Malik dianggap sebagai pemikir dan sarjana yang paling menonjol di Algeria selepas Perang Dunia Kedua.

Sebagai seorang ahli falsafah, ketokohan beliau setanding dengan Iqbal. Nama beliau mula dikenali ramai kerana kebanyakan karyanya berkisar mengenai masyarakat Islam. Pemikirannya banyak menyentuh tentang penderitaan dan gejala sosial yang dialami masyarakat Islam. Cetusan idea beliau tidak hanya dijadikan kajian oleh sarjana-sarjana Islam, malah mula dipraktikkan oleh negara-negara Islam kini. Nama beliau mula dikenali di kalangan graduan-graduan Islam sejak kebelakangan ini.


Peranan dan jasa beliau amat berharga kepada dunia Islam. Misi beliiau adalah sama seperti ulama ulama silam Melayu. Antaranya ialah Syeikh Hadi Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Yang memperjuangkan bangsa mereka daripada belenggu penjajahan. Tokoh yang berkaliber dan berwibawa ini meninggal dunia pada 31 Oktober 1973.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan