Khamis, 4 Julai 2013

Az-Zuhri (Tokoh Pertama Membukukan Hadis)


SMAHADZIR

DI AWAL sejarah perkembangan Islam, hadis belum ditulis. Rasulullah sendiri melarang orang menulis hadis seperti diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi, ‘Laa taktubuu ‘anni wa man kataba ‘anni ghairal qur’ani falyamhuhu.’ Maksudnya, ‘Janganlah kamu sekalian menulis (hadis) dariku. Dan barangsiapa yang telah menulis dariku yang bukan Al-Quran, hendaklah dihapus.’

Larangan menulis hadis di atas dapat difahami lantaran ketika itu Al-Quran masih dalam proses turun, Rasulullah khawatir adanya pencampur-adukan dan kerancuan antara Al-Quran dan Al-Hadis jika yang terakhir ini diizinkan ditulis. Namun di saat akhir perkembangan Islam, tepatnya pada Fathu Makkah Rasulullah pernah menyuruh salah seorang sahabat menuliskan hadis untuk seorang sahabat lain dari jauh bernama Abu Syah.

Ironisnya, setelah baginda meninggal dunia dan pemerintahan dipegang oleh Khulafaur Rasyidun, penulisan hadis secara formal belum juga dilakukan. Padahal para sahabat sebagai perawi hadis secara beransur-ansur semakin ramai yang meninggal dunia. Hal ini mengindikasikan kebimbangan akan adanya hadis-hadis yang tidak terlaporkan (terungkap). Penulisan hadis baru terwujud ketika Dinasti Umayyah dipimpin oleh Khalifah bijak Umar Bin Abdul Aziz dalam masa yang relatif pendek (99–101 Hijrah).

Ketika itu beliau memerintahkan kepada semua gabernornya terutama gabernor Madinah Hazm agar membukukan hadis sebagai pedoman amaliah masyarakat Islam. Pada masa inilah (tahun 100 Hijrah) hadis secara resmi digalakkan untuk dibukukan. Imam Az-Zuhri guru dari Imam Auza’I dan Imam Malik menerima amanat pembukuan itu. Beliau merupakan pakar hadis terbesar pada masanya dan amat dikenali di kalangan pakar hadis. Imam Malik sendiri pernah memberikan kesaksian akan kewibawaan Imam Az-Zuhri, gurunya.

Katanya, ‘Bila Imam Az-Zuhri memasuki kota Madinah, tak seorang pun pakar hadis lain berani menyampaikan hadisnya di depannya. Sampai beliau beranjak keluar kota itu. Demikian pula jika sejumlah ulama senior datang ke kota Madinah, orang ramai tidak begitu ghairah menyambut mereka, dibandingkan dengan kedatangan Imam Az-Zuhri ke kota itu. Jika Imam besar ini datang, maka penduduk pun beramai-ramai berdesak-desakan memohon fatwanya.’

Muhammad Bin Syihab Az-Zuhri lahir pada tahun 50 Hijrah. Pada masa pemerintahan Muawiyah Bin Abi Sufyan, pendiri Dinasti Bani Umayyah. Beliau lahir pada zaman akhir masa sahabat. Meskipun demikian beliau masih menemui sahabat-sahabat besar pakar hadis yang menjadi rujukan ilmunya. Beliau masih bertemu dengan sahabat Anas Bin Malik, Abdullah Bin Umar, Jabir Bin Abdullah dan Sahal Bin Saad, yang kesemuanya itu merupakan pakar dalam bidang hadis.

Di samping itu beliau masih mendapatkan rujukan lain yakni dari para tabi’in senior seperti Abu Idris Al-Kaulani, Salim Bin Abdullah Bin Umar, Said Bin Musayyab dan tokoh-tokoh tabi’in senior yang lain. Tokoh ini sejak mudanya sudah jelas terlihat keistimewaannya dibandingkan tokoh-tokoh yang lain. Baik keistimewaan dalam hal kerakusannya terhadap ilmu (curiosity), ketajaman otaknya dan kekuatan hafalannya yang tak tertandingi. Konon kekuatan hafalannya yang lain daripada yang lain itu berhasil menghafal Al-Quran hanya dalam waktu yang amat pendek saja, lapan puluh hari! Sungguh luar biasa!

Kesaksian lain diberikan oleh Khalifah Hisyam Bin Abdul Malik, pengganti Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, ketika beliau ingin menguji seberapa kuat hafalannya. Saat itu beliau ingin agar Az-Zuhri menrakamkan hadis kepada anaknya dengan dibantu seorang jurutulis. Dengan lancarnya beliau menrakamkan sebanyak empat ratus hadis Rasulullah yang ditulis oleh jurutulis tersebut. Beberapa bulan sesudah itu, Khalifah Hisyam kembali memanggil lagi Imam Az-Zuhri.

Kepadanya Khalifah berpura-pura menyatakan kekecewaannya lantaran hilangnya catatan empat ratus hadis tempo-hari yang telah ditulisnya. Menanggapi keluhan itu Imam Az-Zuhri berkomentar mudah, ‘Sudahlah kamu tidak usah bimbang, saya masih cukup segar menghafalnya. Untuk itu yang penting sediakan saja jurutulis untuk saya rakamkan lagi!’

Setelah segalanya siap, mulailah Imam Az-Zuhri menrakamkan empat ratus hadis Rasulullah yang katanya telah hilang catatannya itu. Si Jurutulis mencatatnya dengan cermat setiap kata yang keluar dari lisan Imam. Setelah selesai, diserahkanlah catatan itu kepada Khalifah Hisyam. Khalifah meneliti dan mengkonfrontasikan dokumen baru itu dengan catatan lamanya.

Ternyata hasilnya luar biasa. Tak ada satu katapun yang berbeza antara catatan lama dengan catatan baru. Kedua catatan yang berisi empat ratus hadis itu persis sama! Atas dasar itulah Khalifah Hisyam menyuruh Imam mengajarkan hadis pada anaknya. Imam Az-Zuhri hidup selama waktu lebih kurang 74 tahun. Beliau meninggal dunia pada tahun 124 Hijrah sewaktu Imam Malik (Imam Darul Hijrah) mulai tumbuh berkembang menggantikan kedudukannya sebagai pakar hadis. Ada beberapa hal yang perlu dicatat dari beliau lantaran jasanya itu.

1.     Beliau adalah orang pertama yang membukukan hadis. Langkahnya itu kemudian diikuti oleh pakar-pakar hadis sesudahnya sehingga lahirlah kitab-kitab hadis mu’tabar seperti: Al-Muwaththa’ susunan Imam Malik; Sahih Bukhari oleh Imam Bukhori; Sahih Muslim oleh Imam Muslim dan kitab-kitab hadis lainnya yang tak terhitung jumlahnya.
2.     Kebanyakan hadis yang diriwayatkannya jarang diriwayatkan oleh pakar yang lain. Dengan demikian hadisnya akan melengkapi dan memperkaya terhadap hadis lain.
3.     Beliau amat cermat dalam menilai sanad hadis. Lantaran itu beliau selalu mendorong agar perawi menyebutkan sanad ketika meriwayatkan hadis. Sebab, tanpa adanya sanad orang akan dapat mengatakan apa saja yang dimaui tanpa diketahui apakah suatu hadis itu sahih atau tidak.
4.     Beliau adalah pengabdi sejati terhadap hadis. Beliau mempunyai himpunan atau koleksi hadis sebanyak dua ribu lebih dan beliau juga melatih (menyiapkan pengganti-penggantinya) dengan jalan mengajar dan membiayai atau memfasilitasi segala keperluan yang diperlukan.


Dalam hal ini Imam Malik mengatakan bahawa beliau mengumpulkan orang-orang yang belajar hadis dan memberikan makanan dan perlengkapan lainnya dalam musim dingin atau musim panas. Namun yang perlu dikesalkan, koleksi hadisnya itu telah hilang tidak dapat dikesan sehingga sekarang. Sungguh, kita telah kehilangan perbendaharaan ilmu yang berharga melebihi nilai emas dan perak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA