SMAHADZIR
Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati nama dijulang
Budi dan jasa tegak dipancang
Seribu tahun tetap tak hilang
Biarpun hancur jasad di tanah
Bakti yang luhur tak akan musnah
Memang manusia pelbagai kerenah
Buruk dan baik tetap difitnah
Janganlah jadi warga kembiri
Pentingkan nafsu diri sendiri
Jasa dan bakti pemimpin berbudi
Dilupa dicaci dihina dikeji
Ingatlah wahai warga semua
Susah dan senang pejuang bangsa
Bangun membela agama dan nusa
Menyimbah darah dan air mata
Bukannya mudah memikul senjata
Meredah gunung hutan belantara
Menghapus musuh petualang negara
Supaya rakyat hidup sentosa
Nyawa dan badan jadi taruhan
Anak dan isteri diteman tangisan
Hanya berdoa ke hadrat Tuhan
Semoga pejuang dalam peliharaan
Begitu antara secebis kisah
Sengsara pejuang mengukir sejarah
Sepanjang hidup penuh gelisah
Asal negara tidak dijarah
Amatlah wajar kita hargai
Semua budi jasa dan bakti
Pejuang negara membebas pertiwi
Walau terkorban diri sendiri
Kalau tiada jasa dan bakti
Tak mungkin kita hidup begini
Mewah dan makmur setiap hari
Rezeki melimpah di sana sini
Insaflah diri marilah kita
Bersatu erat berganding sama
Sanjunglah budi dan jasa mereka
Bakti yang luhur usah dilupa
Inilah syair sejambak budi
Segunung bakti yang ditaburi
Pejuang bangsa seikhlas hati
Ukir kebebasan ibu pertiwi
Penjajah diusir untuk merdeka
Kehidupan rakyat lebih bermakna
Kekayaan meruah diagih sama
Satu negara dan satu bangsa
Setelah merdeka usaha dipadu
Membentuk rakyat berganding bahu
Hidup muhibah berjiwa satu
Anasir perosak diusir diburu
Pertanian dirancang membantu warga
Mencapai hidup ke tahap bangga
Rakyat disaran gembeling tenaga
Kesedaran dipupuk sepanjang masa
Usaha pemimpin tak pernah jemu
Cekal dan tabah mencurah ilmu
Setiap rakyat ikhlas dibantu
Hapus kemiskinan impian jitu
Hari dan minggu silih berganti
Lumrah pemimpin datang dan pergi
Wawasan dibawa tidak diragui
Kemajuan negara menjadi sari
Memang negara sentiasa berubah
Enam pemimpin pelbagai wadah
Membangunkan bangsa lebih bermaruah
Sudah tercatat dalam sejarah
Kalau direnung satu persatu
Memang berbeza dari dahulu
Pembangunan negara macam peluru
Hebat dan pesat canggih termaju
Realiti ini bukan ilusi
Dirancang bijak sepenuh hati
Perahan minda pemimpin berkualiti
Hasrat membangun negara industri
Pelbagai usaha digarap teliti
Walau dicemuh difitnah dicaci
Wawasan gemilang tetap direalisasi
MSC tersergam semaraklah IT
Warga dihijrah keluar diri
Dunia jumud ditinggalkan pergi
Dada disarat segala informasi
Rempuh cabaran pelbagai situasi
Hasrat pembangunan yang dicipta
Selaras dengan kehendak agama
Dunia akhirat seimbang tara
Diberkati Allah sepanjang masa
Semakin maju negara kita
Musuh mulai buat angkara
Menghasut rakyat mencaci mencela
Berwaspadalah jangan sampai terleka
Usah digadai maruah bangsa
Syiar agama jangan dinoda
Kalau diturut hati dan kata
Dijajah lagi negara kita
Jadilah insan berminda waras
Lihat sekeliling yang sudah jelas
Pembangunan negara tidak terbatas
Ekonomi rakyat memuncak pantas
Dunia siber menguasai kita
Membentuk rakyat mengubah minda
Teknologi maklumat di depan mata
Informasi meluas langit terbuka
Kalau dahulu berjalan kaki
Tumit melecet sebak di hati
Tapi sekarang lihatlah sendiri
Kereta nasional megah berlari
Jarak perjalanan semakin dekat
Utara selatan timur dan barat
Lebuh raya canggih memanjang hebat
Inilah bukti pembangunan pesat
KLIA, MSC projek raksasa
Menjulang nama di mata dunia
Walau dicaci dikeji dicela
Kini tersergam mengaut laba
Krisis ekonomi yang ganas melanda
Tidak merubah taat dan setia
Berganding bahu cegatkan semula
Menentang spekulator tamak haloba
Kemajuan negara mengundang dengki
Pelbagai pihak beriri hati
Termasuk rakyat negara sendiri
Yang punya visi agenda peribadi
Inilah cabaran yang kita hadapi
Sebagai rakyat mengenang budi
Bersama membenteng serangan keji
Supaya negara aman harmoni
Usah ditanya bakti dan jasa
Sumbangan negara kepada kita
Ikhlaskan hati rasionalkan minda
Adakah sumbangan untuk negara
Budi dan bakti yang kita terima
Tidak ternilai emas permata
Makmur haromoni sungguh bermakna
Tertegak maruah terpancang agama
Renung kembali kala dijajah
Kehidupan rakyat sarat gelisah
Kekayaan negara dikaut dijarah
Maruah bangsa dipijak parah
Ikhlas jasamu pemimpin terulung
Sampai ke mati tetap disanjung
Usahlah gusar usahlah murung
Budi luhurmu kukuh dijunjung
Biarlah Allah jadi neraca
Mengadili semua budi dan jasa
Membawa warga ke mercu jaya
Utuh mencegat martabat bangsa
Walaupun engkau diumpat cela
Anak Malaysia tak mudah tergoda
Musuh negara bijak menggula
Menghasut rakyat buat angkara
Sudah terbukti pembangunan nusa
Megah berdiri di mana saja
Papa kedana sudah berjaya
Membina hidup bahagia sempurna
Bersyukurlah kita ke hadrat Ilahi
Limpah rahmat-Nya untuk pertiwi
Inilah syair semulus nubari
Sejambak budi segunung bakti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan