Khamis, 4 Julai 2013

Al-Maududi (Pakar Bidang Pemikiran Dan Peradaban Islam)


SMAHADZIR

ROBOHNYA khilafah Islamiyah di Turki pada tahun 1924 benar-benar menjadi pukulan hebat kepada eksistensi ummat Islam. Khilafah Islam di Turki yang merupakan jangkar terakhir kekuatan dan simbol ummat, telah diobok-obok oleh Kamal At-Taturk, bapa sekularisme Turki yang tidak lain adalah boneka Barat yang dipasang di jantung pusat kekuatan Islam.

Lenyapnya kekuasaan penyatu ummat ini menimbulkan kegamangan yang sangat dalam di tubuh ummat yang tidak lagi memiliki garis komando tunggal. Sebab, telah dicabik-cabik dalam negara-negara kecil dengan kepentingan sangat beragam, sehingga mudah disulut dan dibakar.

Dari rasa kegamangan inilah muncul ‘kerinduan’ menggebu dalam dada ummat untuk melahirkan kembali Islam sebagai kekuatan dan sekali gus sebagai penyelamat dunia. Usaha-usaha ini dilakukan dengan cara pembentukan gerakan-gerakan Islam. Abul A’la Maududi adalah satu dari sekian orang yang peduli pada kondisi ummat tersebut. Dan tidak diragukan beliau adalah salah seorang penyumbang terbesar dan ‘pengawal’ kebangkitan ummat.

Riwayat Hidup

Sayyid Abul A’la Maududi lahir pada 25 September 1903, bertepatan dengan 3 Rejab 1321 di Awrangabad, Deccan. Ayahnya bernama Sayyid Ahmad Hasan. Beliau adalah anak bungsu dari lima bersaudara. Garis keturunannya bersambung langsung dengan Khwaja Qutbu’ddin Maududi Chisti, dari sini nama Maududi diambil, yang mendapat gelaran sebagai Syaikhul Syuyukh (guru-gurunya sufi) di India.

Para pendiri tarikat Chistiyyah ini memiliki garis keturunan yang bersambung pada Nabi. Oleh kerananya, nama mereka selalu digelar sayyid. Dari ibunya, Ruqaiyah Begum, nasabnya berasal dari keluarga utama asal Turki yang berimigrasi ke India pada saat Aurangzeb berkuasa dan pernah menjabat pos penting di pemerintahan Mughal.

Pada masa kecilnya, Maududi sangat disayang oleh ayahnya. Perhatian besar ayahnya yang penganut tasawuf inilah, menurut Maududi dalam autobiografinya, telah mempengaruhi sikap hidupnya. Terutama sekali dalam ideaalisme, kealiman dan kerendahan hati. Ahmad Hasan sangat memperhatikan pendidikan anak-anaknya.

Maka, beliau memandang perlu untuk mengajar sendiri anak-anaknya. Ayahnya menginginkan Maududi menjadi seorang maulawi (kiai), seorang pakar ilmu kalam dan sekaligus sebagai pemikir Islam. Sebelum anak-anaknya tidur, beliau selalu bercerita tentang orang-orang besar dalam Islam dan kebesaran sejarah Islam. Maududi memulai pendidikannya dengan belajar bahasa Parsi, Urdu dan kemudian Arab Di samping itu, beliau juga belajar mantiq (logika) fikih dan hadis. Dalam usianya yang sangat muda, Maududi memiliki keinginan yang menggebu untuk menulis. Namun ayahnya tidak mengizinkan.

Sebaliknya, beliau menyarankan anaknya banyak membaca lebih dahulu agar memiliki asas dan kematangan yang kukuh dalam berbagai ilmu. Pada tahun 1914, saat umurnya menjelang sebelas tahun, beliau masuk di Madrasah Fauqaniyah di Awrangabad. Sekolah ini berafiliasi pada Uthmaniyah University Hyderabad, yang mengajarkan ilmu-ilmu klasik dan moden sekali gus.

Maududi adalah tokoh yang tidak pernah puas dengan satu ilmu tertentu. Di usianya yang sangat muda, beliau telah bersentuhan dengan berbagai disiplin ilmu. Beliau telah belajar al-Miqat fil al-Mantiq dalam bidang logika, al-Quduri dalam bidang fiqh dan Shamail al-Tirmidzi dalam bidang Hadis. Usia sebelas tahun, beliau telah mampu menerjemahkan buku al-Mar’ah al-Jadidah karya Qasim, pengarang Mesir kenamaan dan sekali gus sangat liberal ke dalam bahasa Urdu. Penterjemahan ini adalah berkat kemampuannya yang sangat tinggi dalam bahasa Arab.

Pada tahun 1915 keluarganya pindah ke Hyderabad. Di sini beliau masuk madrasah Darul Ulum. Namun beliau tidak mampu melanjutkan sekolah di tempat itu kerana tidak lama setelah mereka sampai di Hyderabad, ayahnya jatuh sakit. Enam bulan kemudian beliau terpaksa meninggalkan Hyderabad menuju Bhopal untuk menemani ayahnya.

Penyakit ayahnya yang berkepanjangan dan krisis kewangan, telah memaksa Maududi untuk meninggalkan bangku sekolah dan harus menerima realiti hidup yang pahit. Dalam usia lima belas tahun, Maududi kecil sudah harus mampu menghasilkan wang melalui keringatnya sendiri.

Jurnalis Dan Penulis

Tatkala berada di Bhopal inilah beliau akrab dengan seorang ulama yang bernama Maulana Niyaz Fatihfuri. Niyaz yang melihat bakat besar dalam diri Maududi menyarankan, agar beliau menjadi seorang penulis. Saranan ini tidak ditolak Maududi yang sedar akan kemampuannya.

Sejak itulah beliau tidak jemu-jemunya belajar menulis. Dalam waktu tiga tahun (1921), beliau telah menjadi seorang penulis yang memiliki ciri khusus. Menulis kemudian menjadi bahagian sangat penting dalam segala aktiviti Maududi. Pada tahun 1918 bersama kakaknya, Abul-Khair, beliau bekerja sebagai editor di sebuah jurnal Madinah di Bijanpur.

Pada tahun 1919 beliau bertemu dengan Tajuddin, pimpinan tabloid mingguan Taj yang pro parti Kongres yang berpusat di Jabalpur. Ketika bekerja di tabloid inilah, beliau mulai mengenal dunia politik. Namun pada tahun 1920 tabloid ini ditutup kerana terlalu keras mengkritik kolonial Inggeris.

Pada tahun 1923 Maududi bekerja sebagai editor majalah al-Jamiat, sebuah majalah yang dikendalikan oleh Jamaat Ulama Hindu. Satu organisasi keulamaan terbesar di India. Tahun 1924 Maududi terlibat dalam Khilafat Movement yang didukung oleh Liga Muslim India.

Pada tahun yang sama Maududi juga dengan intens menterjemahkan beberapa buku bahasa Inggeris ke bahasa Urdu. Nama Maududi mulai mencorong ketika beliau dengan sangat giat menulis sebuah buku berjudul al-Jihad Fie al-Islam pada tahun 1930. Buku ini merupakan hasil siri tulisannya selama enam bulan yang muncul di majalah al-Jamiat dengan judul Islam Kaqanun-i-jang (Islam’s Law of War).

Buku-buku Maududi banyak mendapat sambutan dari berbagai kalangan dalam usaha mengembalikan Islam pada kejayaannya. Buku-bukunya seperti Toward Understanding Islam (Menuju Pemahaman Islam), Purdah (Hijab), Islamic Law and Constitutions (Hukum dan Konstitusi Islam) misalnya, merupakan buku-buku sangat berpengaruh dan banyak mendapat kajian serius para aktivis Muslim di berbagai negara Islam.

Bahkan bukunya yang berjudul Toward Understanding Islam yang terbit pada tahun 1930 menjadi buku pegangan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir. Karya lain Maududi yang tidak kalah pentingnya adalah bukunya yang berjudul Tafhimul Al-Quran. Sebuah buku tafsir yang beliau tulis sejak tahun 1942 dan baru selesai pada tahun 1972.

Jamaat Islami: Revolusi Damai

Untuk mewujudkan idea-idea besarnya itu, Maududi tidak saja menulis, melainkan juga mendirikan organisasi Islam yang kemudian menjelma menjadi Parti Islam yang disebut dengan nama Jamaat Islami (JT) yang didirikan pada 26 Ogos 1940 di Lahore. Tidak hanya idea-idea Maududi, JT ternyata juga realisasi dari idea-idea salah seorang pemikir besar Pakistan lainya, yakni Muhammad Iqbal.

Sebagai gerakan Islam, JT memiliki tujuan yang sangat jelas iaitu: mencapai redha Allah dengan cara penegakan ajaran agama di muka bumi. Keanggotaannya terbuka untuk semua orang. Namun untuk menjadi anggota JT diperlukan penyaringan yang ketat dan sangat selektif.

Pemilihan ditujukan untuk membuat asas pergerakan agar sangat kukuh dan tidak goyah. Sebab sebuah gerakan, dalam pandangan Maududi, jika tidak memiliki lapisan dasar yang kuat dan dengan pandangan yang sangat kuat, akan sangat mudah dipatahkan. Soliditi pandangan dan wawasan para anggota pertubuhan menjadi agenda utama gerakan ini.

Jalan yang dibawa ini sesuai dengan cara perubahan masyarakat yang diajarkan Maududi. Yakni perubahan yang dilakukan dari atas (top-down). Sebuah garapan yang mengincar tokoh-tokoh dan bukan massa. Sebab, dalam pandangan Maududi, perubahan sebuah masyarakat akan mudah berjalan jika para elit pemikirnya telah memahami Islam yang benar. Tidak hairanlah jika para pengikutnya berasal dari para golongan kampus.

Cara pemilihan yang ketat ini, agak sedikit menghambat parti ini untuk mengaut pengikut. Bahkan tidak jarang dianggap eksklusif, kerana membidik orang-orang tertentu. Tuduhan ini sebenarnya bersumber pada ketidakfahaman mereka terhadap cara dan tujuan JT.

Dalam rangka mengadakan perubahan, menurut Maududi, harus diadakan revolusi Islam (inqalab islami). Namun revolusi yang Maududi maksud bukanlah revolusi berdarah-darah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum komunis yang menginginkan perubahan dalam sekejap mata. Maududi menekankan, revolusi harus dilakukan dengan cara gradual dan dengan penanaman keyakinan akan kebesaran Islam.

Dalam sebuah pertemuan pada tahun 1945 beliau menyatakan bahawa yang beliau maksud dengan revolusi tidaklah mengerahkan seluruh massa. Revolusi yang dimaksudkan adalah inqilab-i-imamat (revolution in leadership). Beliau mengatakan, yang mengadakan perubahan bukanlah otak masyarakat umumnya, namun para penggerak masyarakat dan peminpinnya.

Maududi menyatakan, revolusi Islam adalah sebuah revolusi dengan esensi damai dan tanpa tumpahan darah. Lantaran itu beliau menekankan pendidikan sebagai sarana utama. Maududi sendiri dalam perjalanan hidupnya mengalami banyak cubaan yang dihadapi dengan gagah dan kukuh.

Beliau pernah divonis hukuman mati pada tahun 1954 kerana protesnya atas kes Ahmadiyah dan tuntutannya agar pemerintah menjadikan Ahmadiah sebagai minoriti-non muslim. Sewaktu mendengar keputusan hukuman mati itu, beliau berkata ‘Jika ajalku telah tiba, maka tidak ada seorang pun yang mampu mencegah kematianku, namun jika kematian belum saatnya maka apa pun usaha mereka tidak mungkin akan berhasil juga.’

Nyatanya hukuman itu dipinda menjadi hukuman 14 tahun dan akhirnya beliau dibebaskan pada tahun 1955 setelah mahkamah menyatakan tidak cukup bukti.

Jamaat Islami kini bukan hanya berada di Pakistan, namun juga di India, Bangladesh, Sri Lanka, Kashmir dan Afghanistan. Setiap jamaat atau jamaah yang ada di negeri itu memang tidak memiliki hubungan langsung secara bersatu dengan JI di Pakistan.


Namun pemikiran-pemikiran dan programnya mereka ambil dari idea-idea yang telah dicetuskan oleh Maududi. Maududi meninggal pada 22 September l979, kerana penyakit ginjal. Beliau dimakamkan di kota Lahore. Dan beberapa saat sebelum meninggal, beliau sempat mendapat anugerah Faisal King Award dari kerajaan Arab Saudi berkat aktivitinya dalam bidang pemikiran dan sumbangannya untuk peradaban Islam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA