SMAHADZIR
IBN KHALDUN atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman
bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan
732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap
di Serville, Itali, dan Sepanyol. Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika
Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.
Sebagaimana yang
beliau sebutkan sendiri dalam riwayat hidupnya (at-Ta’rif bi bni Khaldun),
keluarganya berasal daripada keturunan Khaldun yang berasal dari Arab Selatan,
datang ke Sepanyol pada tahun-tahun awal masa pembukaan Sepanyol oleh tentera
Arab Muslimin; kemudian mereka menetap di Carmona, kemudian berpindah ke
Seville dan memainkan peranan penting dalam perang-perang saudara pada abad
ke-9 itu, dan mereka dianggap termasuk ke dalam satu daripada tiga keluarga
yang terpenting dalam kota itu.
Dalam abad-abad
berikutnya keluarga Ibnu Khaldun itu secara berturutan memegang jawatan-jawatan
pentadbiran dan politik yang tinggi di bawah pemerintahan kerajaan Umayyah,
Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun; pakar-pakar lain keluarga itu berkhidmat dalam
tentera dan beberapa orang dari mereka terkorban dalam peperangan az-Zallaqah
(1086) yang buat sementara waktu menghentikan pengambilan kembali Sepanyol oleh
tentera Kristian.
Bagaimanapun selepas
kejatuhan Seville, keluarga Ibnu Khaldun berpindah ke Tunis, di mana Ibnu
Khaldun dilahirkan, dan juga di mana beliau mendapat pendidikan awalnya. Di
sana juga, semasa dalam umur belasan tahun beliau masuk dalam perkhidmatan
Sultan Mesir iaitu Sultan Barquq; bagaimanapun minatnya kepada ilmu dan
pendidikan menyebabkan beliau meninggalkan perkhidmatan itu dan berpindah ke
Fez; di sini timbul lama suasana tidak tenang dari segi politiknya yang
ditandai dengan persaingan dari segi politik yang memberi kesan atas kerjayanya.
Masa yang tidak aman
ini termasuk ke dalamnya masa tiga tahun yang di dalamnya beliau berlindung di
kampung kecil Qalat ibn Salamah di Algeria, di situlah beliau berpeluang untuk
mengarang kitab Al-Muqaddimah yang terkenal itu, yang berupa jilid
pertama daripada kitab sejarah dunia yang menjadikan beliau mendapat nama yang
kekal abadi antara para pakar sejarah, sosiologi dan falsafah.
Keadaan tidak menentu
dalam kerjayanya masih berterusan, dengan negeri Mesir menjadi tempat beliau
menetap dalam 24 tahun terakhir dalam umurnya. Di sini beliau hidup dalam
keadaan mendapat kemasyhuran dan penghormatan sehingga beliau dilantik sebagai
Ketua Hakim dalam mazhab Maliki dan juga guru yang memberi kuliah di Universiti
Al-Azhar yang masyhur itu; tetapi dikatakan kedengkian menyebabkan beliau
dipecat dari jawatannya sebanyak lima kali.
Dalam hidupnya Ibnu
Khaldun terpaksa berpindah dari suatu istana ke sebuah istana yang lain,
kadangkala dengan keinginannya sendiri, kadang-kadang pula terpaksa melakukan
demikian kerana rancangan seteru-seterunya atau raja-raja yang berkuasa penuh.
Beliau mendapat banyak pengajaran daripada hubungannya dengan para pemerintah,
duta-duta, pakar-pakar politik dan para ulama dan sarjana di Afrika Utara,
Sepanyol di bawah kerajaan Islamnya, Mesir, dan lain-lain wilayah Islam.
Kitabnya yang
terkenal sekali ialah Al-Muqaddimah atau Pendahuluan yang
merupakan kitab terbesarnya (masterpiece) dalam persuratan tentang
sejarah, falsafah dan sosiologi, termasuk pendidikan. Tema utama daripada kitab
yang monumental ini ialah untuk menganalisis fakta-fakta psikologi, ekonomi,
alam sekitar, dan kemasyarakatan yang memainkan peranan dalam proses memajukan
peradaban manusia dan perjalanan sejarahnya.
Beliau membuat
analisis tentang dinamika hubungan kumpulan-kumpulan dan menunjukkan bagaimana
kesetiakawanan, atau perpaduan sosial (as-asabiyyah) melahirkan satu
tamadun baru dan juga kekuasaan siasah. Beliau berpendapat adanya ulangan yang
berlaku hampir-hampir sebagai rentak yang sama dalam proses naik turun dan
jatuhnya peradaban manusia. Beliau membuat analisis tentang faktor-faktor yang
membawa ke arah yang sedemikian. Pandangan-pandangan beliau yang revolusioner
dan asli itu menarik perhatian ulama dan sarjana Islam, juga para pemikir Barat.
Dalam pemerhatiannya
tentang pengajian sejarah beliau berupa sarjana pertama, pengasas, dalam
meletakkan laporan-laporan sejarah di bawah dua ujian iaitu ujian kemunasabahan
pada akal dan ujian hukum sosial dan fizikal yang diperhatikan. Beliau menunjukkan
ada empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:
1. menghubungkan
peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah sebab dan musabab;
2. mengambil kiasan
antara yang telah lalu dengan apa yang berlaku masa akan datang;
3. mengambil kira kesan
dari alam sekitar dalam apa yang berlaku;
4. mengambil kira kesan
daripada keadaan-keadaan perekonomian dan perkara-perkara yang diwarisi.
Ibnu Khaldun
memulakan pengajian sejarah secara kritikal. Beliau memberi pengajian dan
penelitian secara analisis ke atas peradaban manusia, permulaannya,
faktor-faktor yang membawa kepada pembangunannya, dan juga faktor-faktor yang
membawa kepada kejatuhannya. Dengan itu nampaknya beliau mula mengasaskan satu
ilmu baharu, iaitu ilmu berkenaan dengan pembangunan sosial atau sosiologi
sebagaimana yang dipanggil sekarang ini. Beliau menulis demikian:
‘Saya telah menulis
dalam bidang sejarah sebuah buku yang di dalamnya saya bincangkan sebab-sebab
dan kesan-kesan pembangunan dan perkembangan negara-negara dan
peradaban-peradaban, dan saya ikuti satu cara yang bukan biasa dilakukan orang
bagi menyusun bahan-bahan kitab itu, dan saya ikuti jalan yang bukan biasa
dilakukan dan yang baharu dalam menulisnya.’
Dengan memilih kaedah
atau cara istimewa dan baharu dalam analisis, beliau mencipta dua ilmu baharu
iaitu historiologi atau analisis dan kajian sejarah sebagai ilmu khusus dan
juga sosiologi sekali gus. Beliau berhujah menyatakan bahawa sejarah adalah
tertakluk kepada hukum sarwajagat dan beliau menyatakan kriteria untuk
kebenaran sejarah. Kaedah untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang
palsu dalam sejarah ialah berdasarkan kepada kemungkinannya berlaku atau
mustahilnya berlaku.
Ertinya ialah: kita
mesti memeriksa masyarakat manusia dan bezakan antara ciri-ciri yang bersifat
asasi yang penting dan yang tidak boleh terpisah daripadanya dalam tabiat
kejadiannya dan apa yang bersifat mendatang, dan yang tidak perlu diambil kira,
dengan mengenali secara lebih jauh lagi apa yang tidak mungkin menjadi milik
baginya.
Kalau kita lakukan
ini, maka kita ada peraturan untuk membezakan kebenaran sejarah daripada
kesilapan dengan cara kaedah pendalilan (kaedah demonstratif) yang tidak ada
syak lagi padanya. Ia adalah dasar yang murni, yang dengannya pakar sejarah
boleh mengesahkan apa-apa yang mereka laporkan. Oleh kerana beliau memberi
penekanan kepada akal fikiran dan keperluannya dalam menghakiki sejarah dan
peristiwa-peristiwa kemasyarakatan, setengah sarjana mendakwa beliau cuba
menolak pengetahuan agama yang biasa dan konvensional dan menggantikannya
dengan akal fikiran dan falsafah rasional. Ini tidak berasas sama sekali.
Boleh diperhatikan
bahawa setengah aliran berfikir mengajar perkara-perkara yang tidak rasional
tetapi ini bukan sifat Islam yang selalu memberi penekanan kepada pemerhatian
dan pencerapan serta pemikiran, dan ia memberi peringatan kepada mereka yang
tidak membawa iman kerana tidak menggunakan akal fikiran dan renungan.
Dalam surah
Al-Baqarah ayat 164 terdapat ayat yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dalam
penciptaan langit dan bumi, dalam pergantian siang dan malam, dan berlayarnya
kapal-kapal melalui lautan untuk faedah umat manusia, dan hujan yang Tuhan
turunkan dari langit, dan kehidupan yang diadakan-Nya melaluinya kepada bumi
yang meninggal dunia, dan haiwan-haiwan semua jenisnya yang ada di serata bumi,
dan perubahan angin dan awan yang mengekori yang ditundukkan antara langit dan
bumi - (di dalam ini semuanya) sesungguhnya ada tanda-tanda bagi orang-orang
yang bijaksana dan berfikir.’
Dan dalam (2.170),
ada ayat yang bermaksud: Bila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang Allah
telah wahyukan. Mereka berkata: Tidak: kami akan ikuti jalan-jalan datuk nenek
kami. Apa? Walaupun datuk nenek mereka tidak mempunyai mempunyai ilmu kebijaksanaan
atau akal serta bimbingan? Tentang kaedah penyelidikan beliau memberi penekanan
tentang perlunya perkara-perkara kemasyarakatan dan peristiwa sejarah diberi
analisis secara saintifik dan objektif.
Beliau menyatakan
bahawa semua yang berlaku dalam sejarah dan mesyarakat itu bukannya hasil
daripada perkara-perkara yang berlaku secara berkebetulan, tetapi semuanya
dikawal oleh undang-undangnya yang tersendiri, undang-undang yang boleh dicari
dan didapati dan kemudian boleh diaplikasikan dalam penyelidikan tentang
masyarakat, tamadun dan sejarah. Beliau menyatakan bahawa para pakar sejarah
membuat kesilapan dalam penyelidikan mereka tentang peristiwa sejarah kerana
tiga faktor iaitu:
1. kejahilan mereka
tentang hakikat dan keadaan peradaban dan umat manusia;
2. sikap prejudis atau
prasangka mereka;
3. sikap mereka
bertaklid mengikut laporan-laporan yang diberi oleh orang lain tanpa usul
periksa.
Ibnu Khaldun
menunjukkan bahawa kemajuan yang sebenarnya serta pembangunan datang melalui
kefahaman yang tepat tentang sejarah dan kefahaman yang tepat dan benar itu
boleh dicapai melalui pemerhatian terhadap tiga perkara penting iaitu:
1. Seseorang pakar
sejarah itu hendaklah jangan ada prasangka dengan apa cara sekalipun sama ada
pro atau kontra terhadap sesuatu perkara sama ada manusia atau idea
2. Seseorang itu
hendaklah mengesahkan dan memeriksa laporan-laporan yang didapati. Beliau
hendaklah mempelajari apa yang boleh dipelajari seboleh-bolehnya berkenaan
dengan pakar-pakar sejarah dan laporan-laporan yang didengari dan dibaca
3. Seseorang itu
hendaklah memeriksa akhlak mereka yang berkenaan serta adakah mereka itu
beramanah dalam ilmu sebelum diterima laporan-laporan mereka. Seseorang itu
hendaklah jangan membataskan sejarah kepada penelitian tentanhg sejarah politik
dan ketenteraan sahaja ataupun berita-berita berkenaan dengan para pemerintah
dan negara-negara sahaja. Ini kerana sejarah bukan sahaja terdiri daripada yang
demikian sahaja bahkan terdiri daripada penelitian terhadap suasana-suasana
kemasyarakatan, kesagamaan dan perekonomian.
Al-Muqaddimah itu dikenali sebagai
kitab yang penting semenjak dari masa hayat pengarangnya sendiri lagi.
Jilid-jilid kitabnya yang lain itu berbicara berkenaan dengan sejarah dunia. Kitab
Al-Ibar - membicarakan sejarah bangsa Arab, sejarah para penguasa semasa,
penguasa-penguasa Eropah sezaman dengannya, sejarah Arab zaman purba, Yahudi,
Yunani, Rom, Parsi purba, dan sejarah Islam, dan sejarah Mesir dan sejarah
Afrika Utara, terutamanya sejarah bangsa Barbar dan kabilah-kabilah yang berdekatan.
Jilid terakhir Al-Tasrif,
sebahagian besarnya membicarakan hal kehidupan beliau sendiri. Sebagaimana
halnya dengan kitab-kitabnya yang lain, ia ditulis dari segi perspektif
analitikal dan memulakan cara baharu dalam menulis seni biografi. Kitab yang
ditulisnya tentang matematik tidak ditemui. Ringkasnya, pengaruh Ibnu Khaldun
dalam sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, sains politik, dan pendidikan
-pendeknya jasanya dalam epistemologi Sunni - kekal dan mendominasi sampai ke
zaman kita ini.
Beliau juga diakui
sebagai pemimpin dalam menulis biografi dan pembaharu dalam pendidikan dan
psikologi pendidikan serta penulisan persuratan yang indah dan tinggi
kualitinya dalam bahasa. Buku-bukunya telah diterjemahkan ke dalam banyak
bahasa Barat dan Timur, dan menimbulkan pengaruh dalam perkembangan pelbagai
cabang ilmu.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibnu Khaldun
mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti Al-Quran, al-hadith,
perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya
ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad
bin Abd al-Salam. Ibnu Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga
disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat
Islam mengkajinya.
Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibnu Khaldun dalam
ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al-Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya
masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa. Ibnu Khaldun telah membincangkan
beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti keadilan (al adl), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation),
dan fairness. Berhubung dengan
keadilan (justice), Ibnu Khaldun
telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan
sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara
akan hancur dan musnah.
Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami
sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan.
Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau
membuat dakwaan palsu terhadap orang lain.
Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu
yang berlawanan dengan Islam.Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain
secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga
sebagai paling tidak adil.
Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta
seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta
cara yang tidak betul.Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan
sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibnu
Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh
Islam.
Berdasarkan analisis mendalam, didapati kesemua teori
ekonomi dan idea Ibnu Khaldun tentang manusia berdasarkan kepada
prinsip-prinsip dan falsafah Islam. Ibnu Khaldun tidak melihat fungsi utama
manusia dalam aktiviti perekonomiannya seumpama haiwan ekonomi (economic animal). Sebaliknya beliau
menganggap manusia itu sebagai manusia Islam (Islamic man/homo Islamicus) yang memerlukan pengetahuan ekonomi
untuk memenuhi misinya di atas muka bumi ini.
Dalam hal ini, Ibnu Khaldun menekankan perlunya manusia
menjauhi perbuatan jahat. Sebaliknya manusia wajib mengikuti ajaran Islam
sebagai model untuk memperbaiki dirinya dan mesti memberikan keutamaan kepada
kehidupan akhirat.
Ibnu Khaldun mengemukakan teori bahawa kehidupan
perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran
dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh
dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor
terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah
tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir.
Selain itu beliau berpendapat bahawa kenaikan yang tetap
pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Dalam hal ini
beliau menyarankan agar masyarakat melakukan perancangan supaya setiap bidang
pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga
buruh bergantung rapat dengan pasaran. Di sini dapatlah dinyatakan bahawa teori
pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh, dan pertukaran yang
dikemukakan oleh Ibnu Khaldun 100 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang
juga mengemukakan teori yang sama.
Ibnu Khaldun tidak secara jelas membezakan antara teori
nilai diguna (use value) dengan nilai
pertukaran (exchange value). Tetapi beliau dengan tegas berhujah bahawa nilai
sesuatu barangan bergantung kepada nilai buruh yang terlibat dalam proses
pengeluaran. ‘
Semua usaha manusia dan semua tenaga buruh perlu
digunakan untuk mendapatkan modal dan keuntungan. Tidak ada jalan lain bagi
manusia untuk mendapatkan keuntungan melainkan melalui penggunaan buruh,’ kata
Ibnu Khaldun.
Menurut Ibnu Khaldun harga barangan terdiri daripada tiga
elemen utama iaitu gaji atau upah, keuntungan, dan cukai. Ketiga-tiga elemen ini
merupakan pulangan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, beliau membahagikan
ekonomi kepada tiga sektor iaitu sektor pengeluaran, pertukaran, dan
perkhidmatan awam.
Menurut Ibnu Khaldun, nilai atau harga sesuatu barangan
sama dengan kuantiti buruh yang terlibat dalam pengeluaran barangan berkenaan.
Harga buruh merupakan asas kepada penentuan harga sesuatu barangan dan harga
buruh itu sendiri ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran dalam
pasaran. Manakala keuntungan terhasil daripada perbezaan yang diperoleh oleh
peniaga antara harga jualan dengan harga belian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan