SMAHADZIR
SUMBANGANNYA dalam bidang perubatan bukan sahaja
diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar
Ibnu Sina ialah Abu Ali Al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih
dikenali sebagai Avicenna. Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan
dengan 980 Masehi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang
bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti
geometri, logik, matematik, sains, feqah, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan
termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada
sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut. Ibnu Sina mula menjadi
terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibnu Nas Al-Samani
yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang
perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran Al-Syeikh
Al-Rais (Mahaguru Pertama).
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam.
Bukunya Al Qanun fil Tabib telah
diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa
Inggeris dengan judul Precepts of
Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak
ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai
bahan rujukan asas di universiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan
sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para
pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi
judul Remedies for The Heart yang
mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan
dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya.
Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja.
Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik,
astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.
Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah
menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar
menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith
iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya. Di samping
menjadi zenith dalam bidang
perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking
yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang
penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah
yang mengandungi hasil sastera kreatif.
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah
beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah
menulis sebuah buku berjudul Al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah.
Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah Al-Farabi
yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan
perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani
khususnya Hippocrates.
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang
dinamakan humours iaitu darah, lendir
(phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini,
kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur
tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan
apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan
yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan
satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit
yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani
ini dan mengislamkannya.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri
daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini
memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada
unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud
ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain
keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan
yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat
dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang
falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal
Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani
seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian.
Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka
dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam
Al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih
merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan
Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang
dinamakan sebagai wajib Al-wujud
ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara
sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin Al-wujud) terbit daripada wajib Al-wujud yang tidak ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang
daripada wajib Al-wujud sebab Dia
berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan
bagi wajib Al-wujud untuk melimpahkan
atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis
oleh Ibnu Sina dalam bab Himah Ilahiyyah
dalam fasal ‘Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.’
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan
sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah.
Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al’Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli
Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan Al-Farabi. Antara
percanggahan yang diutarakan oleh Al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap
kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu
Sina dan Al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan
kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu
Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan
beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu
falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul
dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya
sendiri iaitu Al-Farabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan