Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Dalam melayari laman web, saya terbaca sebuah artikel
yang berjudul terorisis. Dalam tulisan itu penulisnya mengulas tentang sebuah
fenomena yang cukup membimbangkan dalam perkembangan gerakan Islam moden.
Kebimbangan yang cukup beralasan kerana ditunjang kenyataan objektif yang telah
terjadi dalam beberapa tahun terakhir di mana agama mulai bergeser dari nilai
kelembutan menuju bentuk kekerasan.
Memang hanya sedikit dari segi kuantiti
mereka yang tergerak untuk melakukan kekerasan dengan alasan agama tersebut,
tetapi akibat yang ditimbulkan melebihi akibat yang dibimbangkan oleh mereka
sendiri terhadap golongan progresif yang mereka anggap muslim-muslim yang wajar
dipersoalkan keislamannya.
Dalam ulasannya, penulis artikel tersebut
mempersoalkan dengan nada sindiran yang tidak kurang tajam terhadap prinsip
yang dipegang oleh golongan ini. Pada satu sisi mereka seringkali protes ketika
dituduhkan bahawa Islam disebarkan dengan pedang, sedang pada sisi lain mereka
sendiri masih berpegang pada prinsip dikotomi Darul Islam dan Darul
Harb.
Sedangkan golongan Islam yang lebih
mementingkan kedamaian dan cinta kasih menganggap mereka ini sebagai
orang-orang Muslim yang keliru dalam memahami Islam yang sebenarnya. Tetapi
anggapan ini dengan sendirinya tertolak dengan kenyataan bahawa mereka
mendasari prinsip-prinsip gerakan dengan inti ajaran yang menjadi dasar
legitimasi mereka.
Berpegang Pada Prinsip
Sebagaimana yang diulas oleh penulis tersebut
dengan menyemak wawancara akhbar Tempo dengan Imam Samudera boleh
disimpulkan bahawa Imam Samudera sama sekali tidak keliru dalam memahami Islam.
Beliau berpegang pada prinsip ajaran yang menurutnya sahih dan layak untuk
diadopsi menjadi prinsip pergerakan.
Selain wawancara tersebut, penulis artikel
itu juga mengulas realiti yang sedang berlangsung secara umum dan yang beredar
di sekitar lingkungan beliau sendiri secara khusus sehingga beliau
menyimpulkan: ‘Cara berfikir Imam Samudera ini kalau diturut sampai ke tingkat
ideologi dan teologi akan terlihat kemiripannya dengan rakan-rakannya yang
memandang dunia ini dalam kategori dar al-Islam dan dar al-harb/kufr.
Bezanya, tentu saja Imam Samudera sudah berjaya mewujudkan keyakinannya,
sedangkan kawan-kawannya yang lain tinggal didorong sedikit lagi. Atau dalam
bahasa Imam Samudera, kawan-kawan tersebut masih ‘pengecut’.’
Dari ulasan tersebut, saya melihat penulis
artikel tersebut perlahan-lahan terseret kepada pandangan yang membenarkan
bahawa Islam dulu disebarkan melalui pedang lalu cuba mengajak orang-orang
Islam untuk meninggalkan cara yang beliau anggap keliru tersebut sebagaimana
beliau tuliskan pada bahagian akhir tulisan: ‘Mari kita tunjukkan bahawa
cara-cara yang pernah dilakukan para sahabat dengan menyebarkan Islam melalui
pedang itu keliru.’
Anggapan penulis yang menyatakan bahawa benar
Islam dulu disebarkan melalui pedang adalah sama dengan golongan keras yang
beliau ulas itu. Hanya bezanya, beliau menganggap cara itu keliru dan harus
ditinggalkan sedang golongan keras termasuk di antaranya bibit-bibit baru yang
masih berpegang pada dikotomi darul Islam dan darul harb
menganggap cara itu sebagai dalil yang boleh dijadikan prinsip pergerakan.
Kalau yang dimaksudkan dengan cara
‘disebarkan melalui pedang’ itu adalah kenyataan objektif dari sejarah yang
pernah terjadi dalam Islam dulu tentu kita semua memang mengakui
peperangan-peperangan yang telah terjadi tersebut. Tetapi apakah peperangan itu
bertujuan untuk menyebarkan Islam sehingga boleh kita sebut Islam disebarkan
melalui pedang? Walau pada masa sekarang kita menganggapnya sebagai cara yang
keliru atau barangkali peperangan-peperangan itu sendiri bukan tujuan utamanya
untuk menyebarkan Islam?
1. Pertama sekali mengamati pendapat yang
dilontarkan.
2. Kedua, mengamati kembali sejarah Semenanjung
Arab ketika kita melihat tawaran yang dilontarkan dalam setiap peperangan yang
dilancarkan, berupa:
·
ajak
mereka masuk Islam
·
kalau
mereka enggan, suruh mereka bayar jizyah
·
kalau
enggan masuk Islam dan enggan bayar jizyah, maka perangilah mereka.
Tiga tawaran yang diberikan memang disebutkan
dalam buku-buku sejarah dan dalam atsar-atsar yang sahih. Bahkan juga
sahih bahawa Rasulullah s.a.w setelah Fathu Mekah mengirimkan surat ke berbagai
wilayah Arab waktu itu untuk meminta mereka tunduk dan menawarkan
perkara-perkara tersebut.
Pada tawaran kedua jelas disebutkan apabila
enggan masuk Islam maka harus bayar jizyah. Kalau demikian, boleh kita
bayangkan seandainya waktu itu mereka
memilih tawaran kedua saja, boleh jadi Islam tidak menyebar luas seperti
sekarang dan tawaran itu juga bererti bahawa peperangan yang pernah terjadi
bukan bertujuan agar wilayah yang diserang mengganti keyakinan agar menjadi
Islam.
Kalau peperangan itu bertujuan menyebarkan
Islam dan penyebaran itu memang harus dengan pedang, semestinya tawaran kedua
itu tidak perlu dan hanya dengan itu boleh kita benarkan peperangan yang
dilancarkan memang menginginkan agar-agar orang-orang yang diserang masuk
Islam.
Persoalan seterusnya, kalau peperangan itu
bukan bertujuan menyebarkan Islam dan anggapan atau keyakinan kebanyakan orang
bahawa menyebarkan Islam dengan pedang itu adalah anggapan atau keyakinan yang
keliru, lalu untuk apa peperangan itu mesti terjadi?
Untuk menjawab persoalan ini, penting bagi
kita untuk melihat kembali sejarah Semenanjung Arab dan sekitarnya dan
peristiwa-peristiwa yang berlangsung ketika itu. Kemudian bagaimana kedudukan
sosial budaya bangsa Arab yang terdiri dari kabilah-kabilah bebas di wilayahnya
masing-masing. Dan dari sana boleh kita fahami bahawa peperangan yang terjadi
lebih menunjukkan peranan Islam dan inti ajarannya yang mengutamakan
nilai-nilai persatuan, nilai-nilai perdamaian, dan membangkitkan kembali jati
diri manusia untuk tetap menjadi manusia yang bermartabat.
Sebelum Islam datang, Semenanjung Arab
merupakan wilayah konflik peperangan antara dua empayar besar iaitu Romawi dan
Persia. Sedangkan orang-orang Arab sendiri ketika itu tercerai-berai dalam
kabilah-kabilah yang tidak sedikit dan di antara mereka sendiri terjadi
peperangan dahsyat yang tidak kunjung habisnya.
Saling Berebut Untuk Menguasai Wilayah
Peperangan-peperangan yang terjadi di antara
mereka secara substansi berbeza dengan peperangan antara Romawi dan Persia yang
lebih terfokus kepada perluasan wilayah, hegemoni politik, dan ekonomi.
Sehingga wajar saja di satu wilayah tertentu kabilah Aus dan Khazraj sedang
berperang (terkenal dengan hari Buast), sedang di wilayah lain merupakan
rebutan strategik antara Romawi dan Persia.
Kabilah-kabilah Arab yang ada di wilayah
rebutan strategik tidak terkait dengan peperangan kabilah lain tetapi mereka
secara tidak langsung terlibat dengan peperangan yang berlangsung di wilayah
perebutan itu. Seperti misalnya dinasti Sasanid yang menyokong Persia dan
al-Manadzirah yang menyokong Romawi.
Pergolakan peperangan terus berlangsung
bertahun-tahun yang pada intinya orang-orang Arab tidak lagi menjadi tuan di
tanahnya sendiri. Masing-masing berada dalam pengaruh kekuatan asing yang
saling berebut untuk menguasai wilayah.
Pada waktu yang sama, Mekah adalah daerah
yang tandus dan tidak diambil kira oleh kekuatan-kekuatan besar tersebut.
Secara geografi dalam perhitungan ekonomi dan politik kedua empayar yang
berseteru, Mekah juga dipandang tidak strategik, sehingga Mekah merupakan
wilayah yang jauh dari konflik.
Pada sisi lain, kabilah-kabilah Arab mengakui
eksistensi dan kepemimpinan Quraisy di Mekah dengan sistem pengaturan yang
sistematik dan demokratik yang dibangun dan disempurnakan semenjak masa Qusay
ibn Kilab. Amat demokratiknya, sehingga berhala setiap kabilah diletakkan di
Kaabah dan pada setiap tahun ada jadual-jadual resmi yang sudah diatur dan
biasanya didahului dengan pertemuan dan perayaan resmi, seperti Pasar Ukaz di
pinggir kota Mekah yang sangat terkenal di mana setiap penyair kabilah
bertanding untuk menunjukkan kebolehan dan ada ‘dewan juri’ dari para
sasterawan yang sudah diakui berbagai kabilah.
Tidak jarang, pertandingan ini juga
seringkali membuahkan pertumpahan darah kerana bagi kabilah Arab waktu, bagi
kabilah yang tidak mempunyai penyair sebaiknya tidak usah tunjuk diri. Sebulan
(lebih kurang) setelah Pasar Ukaz, para kabilah kemudian menuju Mekah untuk
mengadakan perayaan dan melakukan peribadatan mereka.
Merupakan hikmah yang luar biasa dari sebuah
kebesaran Allah yang maha menentukan, di Mekah yang tidak masuk dalam konflik
ketika itu dan tidak strategik menurut kekuatan-kekuatan yang berperang dalam
kepentingan mereka tetapi mempunyai pengaruh strategik di kalangan
kabilah-kabilah Arab sendiri.
Pada ketika Mekah sudah mulai dibawa masuk ke
dalam konflik yang ditandai dengan penyerangan tentera bergajah Abrahah dari
Yaman dan para ketua Quraisy ketika itu hanya boleh pasrah dan menyerahkan
semuanya kepada Rabbul Bait (ungkapan Abdul Muttalib). Dan kekuatan dahsyat pun
terjadi, tentera-tentera ini dikalahkan oleh burung-burung Ababil yang
melemparkan mereka dengan batu dari Sijjil. Pada ketika itu dan di negeri
inilah Muhammad s.a.w dilahirkan.
Setelah berhasil membangunkan kembali mental
dan spiritual kabilah-kabilah Arab dengan agama dan keyakinan yang diemban oleh
Muhammad s.a.w di mana konflik sosial, agama, dan budaya berakhir dengan Fathu
Mekah, mulailah risalah rahmatan lil alamin menggema di seluruh wilayah
Semenanjung Arab dan mengajak kepada seluruh wilayah untuk menjadi tuan di
negeri sendiri bukan menjadi tawanan lebih-lebih lagi hamba kekuatan asing yang
hanya ingin memperluaskan wilayah kekuasaan dan melindungi kepentingannya saja.
Tidak syak lagi, yang menolak bererti perang,
sedang yang mahu menjadi tuannya sendiri dengan membayar jizyah
dipersilakan tanpa harus merubah keyakinannya, dan yang menerima Islam menjadi
keyakinannya lebih dialu-alukan lagi.
Tentu saja sudah boleh diduga dengan akal
yang sederhana, Romawi dan Persia tidak mungkin dengan begitu mudah melepaskan
wilayah yang mereka kuasai dengan susah payah dan perang bertahun-tahun. Dan
dengan ini, peperangan tidak lagi antara Romawi dan Persia tetapi ditambah
kekuatan ketiga yang juga sudah mandiri ingin membebaskan wilayahnya agar
menjadi tuan di tanah sendiri.
Tidak seperti dulu lagi, kekuatan ketiga ini
kalau tidak berperang sesama mereka, berperang untuk membela kekuatan yang
disokongnya, penyokong Persia atau penyokong Romawi. Kalau peperangan tiga
kekuatan besar ini melebar hingga ke luar wilayah Arab, itu merupakan
konsekuensi yang wajar dari peperangan yang terus berlanjutan.
Gulibatir Ruum
Peperangan Romawi dan Persia ini juga yang
sebelumnya sudah diberitakan oleh Al-Quran dan merupakan sebahagian dari
mukjizatnya ‘Gulibatir Ruum’. Dengan demikian boleh diteliti lagi ternyata
peperangan-peperangan yang berlangsung bukan untuk menyebarkan Islam tetapi
untuk manusia menjadi tuan di negeri sendiri dan menjadi manusia yang utuh dan
bermartabat (i’tizaz bin nafsi).
Kerana prinsip yang jelas seperti itulah,
ketika Saidina Umar r.a. menerima surat permintaan dari penguasa Mesir untuk
membebaskan mereka dari tindasan dan kekuasaan Romawi, beliau mengirimkan
pasukan yang dipimpin oleh Amr bin ‘Ash dan memberikan pesan agar jangan sama
sekali menyentuh gereja apalagi menghancurkannya dan memberikan kebebasan
kepada penduduk peribumi bagaimana kepercayaan yang mereka yakini.
Bahkan ketika sudah berjaya menguasai Mesir,
Amr bin ‘Ash menemui kebiasaan yang tidak manusiawi dari penduduk Mesir berupa
mempersembahkan manusia untuk Sungai Nil. Setiap tahun Sungai Nil mengalami
banjir dan menurut keyakinan mereka kerana dewa marah sehingga ada yang perlu
dikorbankan untuk dewa sungai tersebut.
Melihat kenyataan ini, Amr bin Ash
mengirimkan surat kepada Saidina Umar menceritakan hal tersebut. Saidina Umar
r.a. membalas suratnya dengan mengatakan kepada Amr bin Ash supaya menghentikan
perbuatan tersebut dan apabila kamu baca suratku ini lemparkanlah ke Sungai
Nil.
Semenjak itu, Sungai Nil tidak pernah mengalami
banjir lagi yang menyebabkan kerosakan sawah-sawah penduduk. Dengan sikap
seperti itu, kita boleh menyaksikan sendiri gereja-gereja tua masih kukuh
hingga sekarang di Mesir seperti gereja tergantung di Mathariyah dan gereja
tertua di dunia di daratan Sinai. Dan kalau penduduk Mesir kemudiannya ramai
yang memeluk Islam, saya kira merupakan sesuatu yang wajar ketika menerima
sikap dan perlakuan seperti itu.
Peperangan dengan Romawi masih terus
berlangsung sampai pada masa Abbasiyah, dan bukan tidak mungkin perang Salib
sebenarnya juga adalah kesinambungan dari peperangan-peperangan tersebut. Salah
satu kemenangan terhadap Romawi itu sendiri terdapat dalam syair-syair Mutanabbi
yang memuji Saifud Daulah yang berjaya memenangi pertempuran, awal qasidahnya
berbunyi ‘ala qadri ahlil ‘azmi ta`til ‘aza`imu-wa ta`ti ‘ala qadril kiraami
al-makaarimu @ wa ta’zhumu fi ‘ainis shagiiri shigaaruhaa - wa tashguru
fi ‘ainil azhiimi al-’azhaa`imu.
Akhthal adalah salah seorang dari trio
pujangga (Farazdaq, Jarir, Akhthal) pada zaman Umawiyah. Beliau adalah seorang
pemeluk Nasrani dan dikenali sebagai orang yang takut kepada pendeta. Apa saja
kata pendeta, beliau paling tidak berani membantah. Yang terpenting di sini,
semua riwayat tidak ada yang menyebutkan Akhthal membayar jizyah dan
beliau tetap Nasrani bahkan bakatnya membuatkan beliau menjadi salah seorang
penyair terbaik yang digolongkan oleh Abdus Salam dalam Thabaqatnya
sebagai penyair teratas pada masa Umawiyah.
Ini hanya salah satu contoh dari sekian
banyak contoh yang ada. Seperti juga salah seorang penterjemah pada zaman
al-Ma’mun (awal perkembangan ilmu pengetahuan) adalah seorang Yahudi.
Jihad Dalam Al-Quran
Jihad yang disebutkan dalam Al-Quran dalam
makna angkat senjata adalah wajib ketika memang terjadi peperangan dan itu
berlaku pada masa-masa tersebut. Dan bahkan Al-Quran sendiri menyebutkan
seandainya dalam peperangan itu kemudian pihak musuh mengajak perdamaian maka
itu harus disambut dengan baik dan jangan sampai dilanggar kecuali mereka
sendiri melanggarnya.
Dan pada saat-saat seperti itu wajar saja
jika ada dikotomi antara Darul Islam dan Darul Harb dan itu
diperlukan secara lebih khusus lagi oleh para fuqaha yang melakukan
penelitian hukum kondisional. Sayangnya Darul Harbi yang bererti wilayah
konflik peperangan itu diertikan oleh kalangan tertentu sebagai wilayah yang
harus diperangi. Betapa jauh maknanya dengan yang dimaksudkan oleh penggunaan
istilah itu sebenarnya.
Boleh disemak kembali pembicaraan tentang darul
harbi dalam kitab-kitab fikih lebih banyak membicarakan tentang tawanan
perang, gencatan senjata, dan berbagai kes hukum yang berkaitan dengan suasana
yang tidak dalam damai sehingga menghasilkan hukum yang boleh jadi berbeza
dengan wilayah damai.
Dengan prinsip seperti itu boleh dimaklumi
bahawa orang-orang muslim yang berada di Kanada misalnya harus menerapkan hukum
yang berlaku dalam suasana damai bukan hukum yang berlaku dalam suasana perang.
Memang sekali lagi agak aneh kalau makna seperti itu tiba-tiba masa sekarang darul
harbi diertikan sebagai wilayah yang layak diperangi. Perubahan makna ini
lebih tajam lagi setelah ditonjolkan oleh Sayyid Qutub pada era 50-an.
Pandangan Yang Keliru
Dari kenyataan sejarah yang ada itu, anggapan
bahawa Islam disebarkan melalui pedang merupakan sebuah pandangan yang keliru
dan itu sama sekali bukan cara Islam dalam menyebarkan ajarannya dan peperangan
yang terjadi bukan kerana perintah atau ajaran bahawa peperangan itu harus
dilakukan untuk menyebarkan agama. Peperangan yang berlangsung ketika itu tidak
juga kerana masyarakat pada masa awal Islam keliru dalam menerapkan cara
menyebarkan ajaran tetapi merupakan konsekuensi yang berlanjutan dari
peperangan yang memang sedang berlangsung.
Alasan paling utama di mana Islam dan
ajarannya sangat berperanan adalah mempersatukan kembali kekuatan yang hancur
dan terpecah-belah dan mengambil kembali wilayah yang telah diduduki pihak
asing dan menjadi tuan di negeri dan tanah sendiri. Sedangkan penyebaran Islam
sendiri tetap berlaku prinsip rahmatan lil alamin dan itulah kenyataan
disaksikan sejarah masuknya Islam di wilayah nusantara ini yang memang jauh
dari wilayah konflik peperangan Romawi dan Persia tersebut.
Kekeliruan anggapan itu lebih lagi bagi
mereka yang menganggap angkat senjata untuk menyebarkan Islam sebagai suatu
kewajiban dan prinsip yang harus ditegakkan.
Wallahhu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan