SMAHADZIR
PADA zaman awal kedatangan Islam, masyarakat Islam tidak
begitu terdedah kepada ilmu falsafah. Walau bagaimanapun menjelang abad ke-3,
para sarjana Islam mulai memberikan perhatian kepada persoalan dan pemikiran
yang berkaitan dengan falsafah. Asas kepada falsafah yang dipelopori
oleh para ilmuwan Islam, berpaksikan ajaran Islam dan kalimah syahadah
bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan ketakwaan umat Islam. Berbeza dengan
falsafah Yunani yang lebih tertumpu kepada pencarian kebenaran berlandaskan
pemikiran dan logik semata-mata sehingga menimbulkan kekeliruan serta
kecelaruan yang tidak berpanjangan.
Aliran falsafah pada zaman Islam tidak sekadar
membataskan perbicaraan kepada persoalan yang berkaitan dengan metafizika
ketuhanan dan kejadian alam. Tetapi juga meliputi perbincangan yang berkaitan
dengan nilai-nilai akhlak, masyarakat, dan kemanusiaan. Walaupun ahli falsafah
pernah dicap oleh Imam Al-Ghazali sebagai golongan yang sesat lagi menyesatkan,
tetapi perkembangan ilmu falsafah itu telah berjaya membantu menyelesaikan
pelbagai persoalan keagamaan, ekonomi, politik, sosial, budaya, dan
bidang-bidang lain.
Wahyu sebenarnya tidak bercanggah dengan akal. Menerusi
paduan wahyu dan akal seperti yang dicernakan oleh para ilmuwan Islam telah
berjaya membantu meletakkan batu asas yang kukuh kepada pembinaan peradaban
Islam. Kerana itu, umat Islam digalakkan mencari dan menimba ilmu hatta sampai
ke negara China. Dorongan yang diberikan oleh Islam itu telah memberikan
semacam motivasi kepada para sarjana Islam untuk terus menggali dan mempelajari
pelbagai ilmu pengetahuan sama ada di timur ataupun barat.
Salah seorang ilmuwan tersebut ialah Al-Bironi atau nama
asalnya Abu Al-Raihan Muhammad ibn Ahmad Al-Bironi. Beliau dilahirkan pada
tahun 362 H (973 M) diBirun, ibu negara Khawarizm atau lebih dikenali sebagai Turkistan.
Gurunya yang terawal ialah Abu Nasr Mansur ibn Alt ibn Iraqin yang juga
merupakan seorang pakar ilmu matematik dan alam. Minat dan kecenderungannya
untuk mempelajari serta meluaskan dimensi ilmu pengetahuannya telah mendorong
Al-Bironi merantau sehingga ke negara India. Tetapi semasa berada di India,
Al-Bironi telah ditawan oleh Sultan Mahmood Al-Ghaznawi. Setelah menyedari
keilmuwannya beliau ditugaskan di istana sebagai salah seorang ulama.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Al-Bironi untuk mempelajari bahasa
Sanskrit dan bahasa lain di India.
Di sana beliau mengambil kesempatan untuk mengenali agama
Hindu dan falsafah India. Hasilnya beliau telah menulis beberapa buah buku yang
mempunyai hubungan dengan masyarakat India dan kebudayaan Hindu. Dalam satu
tulisannya, beliau menyatakan bahawa ajaran Hindu berasaskan konsep penjelmaan
yang mempunyai persamaan dengan syahadah Tauhid dalam Islam dan triniti dalam
agama Kristian.
Tembok penjara tidak menjadi penghalang kepada Al-Bironi
untuk terus menuntut dan menghasilkan karya-karya yang besar dalam pelbagai
bidang. Sumbangannya kepada ilmu dan peradaban India amat besar. Sumbangannya
yang paling penting ialah dalam penciptaan kaedah penggunaan angka-angka India
dan kajiannya mencari ukuran bumi menggunakan kiraan matematik. Beliau juga
telah berjaya menghasilkan satu daftar yang mengandungi peta dan kedudukan
ibu-ibu negara di dunia.
Semasa berada dalam tawanan itu, Al-Bironi juga
menggunakan seluruh ruang dan peluang yang ada untuk menjalinkan hubungan
antara para ilmuwan sekolah tinggi Baghdad dan para sarjana Islam India yang
tinggal dalam istana Mahmud al Ghaznawi.
Selepas dibebaskan, beliau telah menulis sebuah buku yang
berjudul Tahdid al Nih-ayat al Amakin
Lita’shih al Masafat al Masakin. Di samping itu, beliau turut mendirikan
sebuah pusat kajian astronomi mengenai sistem solar yang telah membantu
perkembangan pengajian ilmu falak pada tahun-tahun yang mendatang. Kajiannya
dalam bidang sains, matematik, dan geometrik telah menyelesaikan banyak masalah
yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.
Penguasaannya terhadap pelbagai ilmu pengetahuan dan
bidang telah menyebabkan beliau digelar sebagai ‘Ustaz fil Ulum’ atau guru
segala ilmu. Penulisannya tentang sejarah Islam telah diterjemahkan ke dalam
bahasa Inggeris dengan judul Chronology
of Ancient Nation. Banyak lagi buku tulisan Al-Bironi diterbitkan di Eropah
dan tersimpan dengan baiknya di Museum Escorial, Sepanyol. Dalam sepanjang
hidupnya Al-Bironi telah menghasilkan lebih 150 buah buku termasuk satu senarai
kajian yang mengandungi 138 tajuk.
Antara buku itu ialah Al-Jamahir
fi Al-Jawahir yakni mengenai batu-batu permata; Al-Athar Al-Baqiah berkaitan kesan-kesan lama tinggalan sejarah
dan Al-Saidalah fi Al-Tibb, tentang
ubat-ubatan. Karya ini dikatakan karyanya yang terakhir sebelum meninggal dunia
pada 1048 M. Al-Bironi bukan sahaja dapat menguasai bahasa Sanskrit dengan baik
tetapi juga bahasa-bahasa Ibrani dan Syria. Beliau yang memiliki ilmu
pengetahuan yang luas tentang falsafah Yunani menjadikannya seorang sarjana
agung yang pernah dilahirkan oleh dunia Islam.
Al-Bironi berjaya membuktikan bahawa gandingan falsafah
dan ilmu pengetahuan telah membolehkan agama terus hidup subur dan berkembang
serta membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh umat. Pemikiran
falsafahnya tidak semata-mata bersandarkan kepada imaginasi dan permainan logik
tetapi berdasarkan kepada kajian yang dilakukannya secara empirikal.
Kepakarannya dalam ilmu Islam tidak boleh dipertikaikan kerana dalam umur yang
masih muda lagi beliau telah menghasilkan sebuah karya besar yang berjudul Kitabul Asar al baqiya ‘Anil Quran al
Khaliya.
Sebelum ke India, Al-Bironi sering menjalinkan hubungan
dengan Ibnu Sina. Keadaan ini menjadi bukti pengiktirafan ilmuwan Islam lain
terhadap ketokohan dan kesarjanaannya. Sekali gus menjadikan beliau seorang
ahli falsafah Islam yang serba boleh dengan sumbangan yang telah memberikan
manfaat yang besar kepada manusia seluruhnya. Dalam masa yang sama, Al-Bironi
juga membuktikan bahawa golongan ahli falsafah bukan merupakan golongan yang
sesat dan hidup di awang-awangan. Sebaliknya mereka merupakan golongan ilmuwan
yang perlu diberi pengiktirafan. Peranan dan kedudukan mereka amat besar dalam
pembinaan tamadun Islam serta peradaban manusia.
Sesungguhnya kemunculan Al-Bironi sebagai tokoh ilmuwan tersohor telah
mengangkat martabat ahli falsafah daripada terus diberikan pelbagai stigma dan
label yang berbentuk negatif serta merubah peranan yang sepatutnya dimainkan
oleh ahli falsafah itu sendiri.
Trigonometri
Antara karya beliau dalam bidang ini ialah Istikhraj
al Autar fi al Daerah bi Khowasi al Khatti Al-Munhani Al-Waqi’ fiha. Beliau
menetapkan panjang sendeng bulatan1/10 lalu menentukan kosain dan seterusnya menjelaskan
sendeng yang baki. Beliau juga mencipta kaedah untuk mengira ukur lilit bumi
yang dinamakan kaedah Al-Bironi.
Astronomi
Antara karya-karya
beliau di dalam astronomi ialah Al-Amal bi al Asturlab dan Taqalidul
Haiah. Beliau juga mempunyai 18 rencana menyentuh tentang yang mana
disebutkan di dalam kitabnya yang berjudul Al-Pihris. Beliau juga telah
mengarang kitab Al-Qanun al Mas’udi fi al Haiah wa al Nujum, dengan
mengikut cara Batlimous. Ianya disusun dengan didahulukan muqaddimah dan
ditulis dalam tiga juzuk. Terkandung di dalamnya sebelas rencana dan
dibahagikan kepada 135 baBin Diriwayatkan bahawa buku ini telah dihadiahkan
kepada Sultan Al-Ghaznawi.
Alam Semula Jadi
Beliau juga menulis
di alam bidang geo kimia iaitu Al-Jamahir fi Ma’rifatu al Jawahir. Beliau
telah menentukan kadar berat pada 18 jenis galian dan batu bata. Di antara
kajiannya ialah menyentuh tentang pancutan air dan mata air yang naik ke atas
dan juga tentang berkumpulannya air di perut bumi di perigi-perigi. Beliau juga
membicarakan tentang cahaya keluar dari sesuatu yang dilihat ke mata.
Sejarah dan Kalendar
Pembukaan negara
Islam menjelaskan keagungan tamadun umat Arab di segi kebudayaan dan Ilmu,
samada ditimur ataupun barat. Perkara ini jelas dari karya Al-Bironi yang
menyentuh mengenai kemajuan Hindi khususnya dalam buku Tahqiq ma li al Hind
min Maqulah Maqbulah fi al ‘Aqli au Marzulah. Untuk mengarang buku ini
beliau telah mempelajari bahasa Hindi dan menjelajahinya selama 40 tahun.
Al-Bironi juga telah mengarang sebuah buku yang menyentuh tentang
perayaan-perayaan umat di dunia yang dinamakan Al-Asaru al Baqiah ‘Ani al
Kuruni al Khaliah.
Perubatan
Di antara karya-karya
beliau di dalam bidang ini ialah Kitabu al Sadliah fi al TiBin Di
dalamnya terkandung khasiat-khasiat akar kayu, rumput rampai, haiwan-haiwan dan
galian. Terdapat juga di dalamnya menyentuh keperluan dan cara beramal dengan
ubatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan