Sabtu, 25 Mei 2013

KAJIAN SENI MUZIK KERONCONG DI SELANGOR

OLEH:
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


MUKADIMAH DARI PENYELIDIK

MELIHAT arah perkembangan seni muzik tradisional Melayu khususnya keroncong semenjak beberapa tahun kebelakangan ini yang tidak begitu memberang-sangkan, maka dibimbangi seni ini akan bertambah terpencil, langka dan akhirnya mungkin melenyap sama sekali dari alam kesenian Melayu. Sekitar tahun 20-40-an, seni muzik keroncong begitu diminati dan disanjung tinggi oleh seluruh rakyat. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini seni muzik keroncong ini mulai memasuki zaman kemalapan dan hanya segelintir kecil saja masyarakat yang meminatinya. Penulis yakin, seni muzik keroncong ini akan bertambah terpencil seandainya tiada usaha-usaha konkrit diambil untuk menyelamatkannya daripada terus pupus dan melenyap dari kamus warisan kita.

Kita harus menerima hakikat bahawa zaman kian hari kian berubah. Begitu juga dengan kesenian pada keseluruhannya yang pastinya akan berubah dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman dan peralihan selera. Apabila ini berlaku maka kebudayaan masyarakat juga turut berubah. Malangnya perubahan yang berlaku adakalanya telah merosakkan bentuk seni yang sedia ada.

Seni muzik tradisional bagi sesuatu masyarakat mesti mengandungi ciri-ciri tempatan yang tulen. Ia mestilah berasal daripada kawasan di mana masyarakat itu tinggal. Ia adalah hasil ciptaan penduduk tempatan dan yang diwarisi sejak turun temurun. Tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang boleh menjamin bahawa seni muzik mereka bebas daripada pengaruh muzik asing terutama dari negara-negara jiran. Kebudayaan sesuatu bangsa atau masyarakat diketahui dipengaruhi oleh unsur luar pada suatu ketika dalam sejarahnya, melainkan jika masyarakat itu sangat terpencil dan tidak pernah langsung mengadakan hubungan dengan bangsa lain sepanjang sejarahnya.

Pengaruh tersebut wujud dalam pelbagai cara, ada yang meninggalkan kesan yang mendalam dan ada juga yang hanya meninggalkan kesan yang sedikit sahaja. Kesan yang ditinggalkan oleh unsur asing tersebut boleh didapati dalam kebudayaan masyarakat yang terlibat sehingga sekarang.

Kajian ini cuba memberi maklumat kepada masyarakat mengenai salah satu jenis muzik tradisional Melayu iaitu keroncong yang sudah lama bertapak di bumi Malaysia ini. Menurut catatan sejarah, seni muzik keroncong ini berasal dari Pulau Jawa dan dibawa oleh orang-orang Jawa yang berhijrah beramai-ramai pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 untuk mencari kerja di Johor dan di beberapa buah kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia terutama di Selangor dan Perak. Semenjak itu seni muzik keroncong mulai diterima oleh masyarakat tempatan. Lama kelamaan corak muzik ini telah bertukar sedikit demi sedikit kendatipun bentuk asalnya masih kekal.

Sehinggga tahun 1950-an, hampir semua lagu keroncong adalah yang dibawa dari negara Indonesia. Tetapi selepas itu ada pencipta tempatan yang telah berjaya menghasilkan lagu keroncong bercorak Melayu. Di dalam kajian ini ada dipaparkan beberapa orang tokoh penggiat, kumpulan penggiat, pencipta lagu dan penyanyi lagu keroncong tempatan yang berusaha gigih menyemarakkan kesenian ini di kalangan masyarakat.

Adalah diharapkan kepada masyarakat peminat seni muzik keroncong khasnya dan pencinta muzik tradisional Melayu amnya, akan dapat membaca kajian ini seterusnya menjadikannya wadah informasi demi menambah pengetahuan mereka dalam bidang muzik keroncong, seterusnya menjaga, mempertahan dan terus menyemarakkan kesenian ini biar lestari sepanjang zaman. Penulis amat menyanjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Selangor kepada penulis dalam menghasilkan kajian ini.


SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


PENDAHULUAN

TIDAK dapat dinafikan bahawa penulisan dan kajian mengenai seni muzik sudah agak banyak dilakukan sama ada secara ilmiah mahupun bukan ilmiah. Ini termasuklah usaha-usaha penulis, sarjana dan juga pengkaji budaya yang telah membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek yang tentunya turut menyentuh tentang seni muzik. Namun begitu, kajian yang penulis lakukan hanya terbatas kepada seni muzik keroncong sahaja. Dalam menyelusuri aspek ini, penulis cuba mendapatkan sebanyak boleh fakta yang berkaitan daripada pelbagai sumber yang terdapat di Selangor terutama melalui individu yang penulis ketahui mempunyai maklumat dan pengetahuan mengenai kesenian terbabit.

Melalui beberapa bahan bacaan, penulis dapati muzik keroncong bermula pada zaman keagungan agama Islam lagi. Keroncong mula bertapak di Indonesia dan kemudian berkembang ke Tanah Melayu. Oleh kerana faktor kekurangan hiburan di Tanah Melayu, kemasukan lagu keroncong ke Tanah Melayu diterima baik oleh masyarakatnya pada masa itu dan ianya dijadikan sebagai salah itu hiburan. Muzik keroncong juga bukan sahaja untuk dijadikan lagu, malah turut dijadikan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis seperti perayaan, konsert-konsert beraneka ragam dan pertunjukan di hotel.

Muzik keroncong boleh dipelbagaikan. Hal ini dapat dilihat dari dulu lagi kerana keroncong digunakan sebagai persembahan tetapi sekarang sudah terdapat perubahan dalam melodinya kerana telah diubahsuai dan telah ditambah dengan melodi baru zaman sekarang. Keadaan seperti ini membolehkan muzik keroncong menarik minat anak-anak muda zaman sekarang agar dapat mewujudkan perasaan minat akan muzik tradisional seperti ini. Kebiasaannya, keroncong memaparkan suatu sifat baik yang boleh memupuk nilai-nilai murni kepada orang yang mendengarnya dengan penuh penghayatan.

Kemasukan seni muzik keroncong ke Tanah Melayu dapat menambahkan lagi seni kebudayaan kepada masyarakat Tanah Melayu dalam aspek kesenian dan budaya. Pada mulanya seni muzik keroncong yang dimainkan oleh masyarakat tempatan adalah lagu yang berasal dari Indonesia, namun secara perlahan masyarakat Tanah Melayu semakin berminat dan mencipta lagu-lagu keroncong bercorak kemelayuan. Perkara yang mengecewakan ialah seni muzik keroncong telah berubah dari yang asal akibat peredaran zaman, dan kini seni muzik ini semakin kurang mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan remaja.

Hal ini disebabkan golongan remaja pada masa ini terdedah kepada muzik yang popular sahaja. Walaupun seni muzik ini berasal dari negara jiran namun ia tetap dikekalkan dalam kebudayaan Melayu. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan program muzik keroncong yang telah dilancarkan pada tahun 1997. Pelaksanaan program ini adalah untuk menjadikan muzik keroncong sebagai muzik alternatif yang digemari ramai di samping dapat membina jati diri generasi muda.

Hasil daripada proses pembentukan jati diri ini menghasilkan modal insan yang memahami realiti diri, bangsa dan dapat memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Akhirnya generasi muda dapat menggunakan kekuatan pemahaman ini untuk mengharungi cabaran globalisasi ke arah menghasilkan masyarakat Melayu glokal.

PERMASALAHAN KAJIAN

Kajian ini adalah untuk mendokumentasikan pelbagai aspek tentang seni muzik keroncong di Selangor secara amnya termasuk sejarah asal usul, tokoh-tokoh penggiat, peralatan muzik yang digunakan, langgam lagu, jenis-jenis muzik keroncong, evolusi alat muzik dan lain-lain lagi. Selain itu kajian ini juga bermatlamat untuk mencari apakah keistimewaan seni muzik keroncong berbanding dengan kesenian lain di negeri Selangor di samping melihat apakah sebab kesenian ini kurang mendapat perhatian generasi remaja atau generasi muda dan langkah-langkah yang harus diambil agar ianya tidak pupus ditelan gelombang zaman.

OBJEKTIF KAJIAN

Pertama sekali penyelidikan dibuat untuk mengkaji sejarah dan asal usul seni muzik keroncong di Selangor. Keduanya adalah untuk mendokumentasikan nama tokoh-tokoh dan kumpulan penggiat, peralatan muzik yang digunakan, langgam lagu, jenis-jenis muzik keroncong, evolusi alat muzik dan lain-lain lagi. Seterusnya adalah untuk mengangkat dan memartabatkan seni muzik keroncong ini sebagai salah satu kesenian tradisional negeri Selangor. Penyelidik juga berharap agar seni muzik keroncong ini dapat diperkenalkan dan diperkembangkan di kalangan generasi muda sekarang agar tidak pupus ditelan zaman.

Kajian ini memperlihatkan asal usul seni muzik keroncong mula bertapak di Selangor. Di samping itu kajian ini ingin mencari mengapa dan kenapa seni muzik keroncong ini kurang diminati dan jarang diberi perhatian oleh generasi remaja atau generasi muda. Apakah disebabkan oleh pengaruh dari luar atau disebabkan oleh ketidaksesuaian zaman yang semakin hari semakin berubah.

BATAS KAJIAN

Kajian telah dijalankan dengan membuat wawancara dengan beberapa orang individu tempatan yang dipercayai mempunyai banyak maklumat tentang seni muzik keroncong di Selangor. Selain itu kajian juga didapati dari bahan-bahan bacaan seperti majalah lama, buku, jurnal, kertas kerja dan sebagainya di perpustakaan, internet dan juga orang-orang perseorangan.

Individu yang ditemui penulis ialah Encik Wahid bin Bahari, 64 tahun, pemimpin Kumpulan Keroncong Gema Sari. Encik Wahid bin Bahari merupakan seorang penggiat yang banyak pengalaman dalam mengendalikan kumpulan muzik keroncong dan kumpulan ini banyak mengadakan persembahan di pelbagai program di seluruh negara. Beliau telah diwawancara penulis pada tanggal 8hb April 2013 di rumah beliau di No 5, Taman Seri Bayu, Morib, Kuala Langat, Selangor.

Individu seterusnya yang ditemui penulis ialah Encik Bakri Darus, pemimpin kumpulan Badan Budaya Seri Kayangan (BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah Melayu (KTM). Encik Bakri Darus merupakan seorang tokoh yang banyak pengalaman dalam mengendalikan sebuah kumpulan muzik keroncong dan kumpulan ini banyak mengadakan persembahan di pelbagai program di serata negeri. Beliau telah diwawancara penulis pada 16hb April 2013, di Lot 5340, Jln Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.

Turut juga diwawancara ialah Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali, pemimpin Kumpulan Keroncong Warisan, yang beralamat di Lot 1450, Lorong Bahagia, Sijangkang, Telok Panglima Garang. Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali merupakan seorang penggiat seni muzik keroncong yang tidak asing lagi di daerah Kuala Langat. Beliau juga telah banyak melahirkan album genre asli, langgam, ago-go dan keroncong penyanyi-penyanyi tempatan. Wawancara telah diadakan pada tanggal 3hb Mei 2013.

Selain itu turut juga diwawancara bagi memenuhi kajian ini ialah Encik Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden pada tanggal 18hb Mei 2013. Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden beralamat di Jalan Haji Yusof Dua, Batu 14, Jenjarom. Encik Bunadi bin Ridzuan bersama kumpulannya juga aktif mempersembahkan lagu-lagu keroncong kepada warga seluruh Selangor terutama untuk majlis-majlis perkahwinan dan juga majlis-majlis rasmi kerajaan.

Tidak lupa juga penulis mewawancara Encik Abdul Rahman bin Basuni, ketua Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden yang beralamat di Batu 39, Kampung Olak Lempit, Banting. Wawancara telah diadakan pada tanggal 20hb Mei 2013. Seperti kumpulan-kumpulan keroncong yang lain, Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden ini juga banyak mengadakan persembahan lagu-lagu keroncong di serata daerah di seluruh negeri Selangor.

Juga turut diwawancara ialah Puan Raftah Bachik, seorang penyanyi lagu-lagu Asli berirama keroncong yang tidak asing lagi di negeri Selangor. Lagu keroncong sudah sebati dengan dirinya. Apa tidaknya seawal usia 11 tahun lagi Raftah Bachik sudah didedahkan dengan irama ini. Jadi tidak hairanlah dalam usia 58 tahun beliau masih lagi aktif menyanyi dan menerima undangan persembahan. Tanpa publisiti meluas beliau tetap aktif menyanyi malah kerap menerima undangan persembahan untuk majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan, pusat pengajian tinggi, jabatan kebudayaan dan lain-lain. Tidak hairanlah beliau pernah menerima pencalonan untuk Anugerah Tokoh Wanita Selangor 2006 yang bertemakan seni dan budayanita. Raftah Bachik berjaya meraih tempat ketiga. Beliau telah diwawancara penulis pada 16hb April 2013 di Lot 5340, Jln Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.

Selain itu, tokoh seni muzik keroncong yang turut diwawancarai penulis ialah Encik Samsudin Lamin. Beliau juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu keroncong yang tidak asing lagi di negeri Selangor. Beliau yang juga merupakan pengusaha Bengkel Seni Samsudin Lamin sering mengadakan pelbagai persembahan nyanyian di serata negeri Selangor termasuk di radio dan televisyen. Namanya mula dikenali menerusi lagu Tatih Tatih Adik, manakala lagu wajibnya jika diundang menjayakan persembahan adalah Kasih Sayang, Buah Hati Kasih Orang dan Cinta Wayang. Beliau telah diwawancara penulis pada 26hb Mei 2013 di Tingkat 3, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Di atas sebab-sebab yang telah dijelaskan tadi, penulis memilih individu-individu ini sebagai tokoh yang wajar ditemui dan diwawancara untuk pengisian kajian budaya ini. Penulis yakin, dengan pengalaman, pengetahuan dan penglibatan mereka yang begitu lama dalam bidang kebudayaan khususnya dalam seni muzik keroncong, dapat membantu menambahkan lagi maklumat untuk kajian budaya ini.

METODOLOGI KAJIAN

Dalam usaha untuk menjalankan kajian penyelidikan ini terdapat beberapa kaedah yang telah penulis gunakan bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat. Kajian yang telah penulis jalankan ini mempraktikkan dua kaedah utama iaitu kajian lapangan atau field research dan kajian perpustakaan atau library research. Sementara sumber-sumber sekunder pula diperolehi daripada maklumat-maklumat yang relevan.

Kaedah perpustakaan meliputi usaha-usaha pengumpulan sumber-sumber bertulis di institusi seperti perpustakaan daerah, perpustakaan peribadi, makalah, jurnal, kertas kerja, majalah dan buku termasuk bahan-bahan yang didapati dari arkib. Kaedah lisan digunakan untuk mendapatkan maklumat lisan mengenai seni muzik keroncong daripada individu yang sudah diakui pengetahuannya. Rumusan akan dibuat untuk disesuaikan dengan kajian yang dijalankan di Selangor.

SUMBER KAJIAN

Dalam kajian ini, penulis telah menggunakan dua jenis sumber iaitu sumber sekunder dan sumber lisan. Sumber sekunder meliputi bahan-bahan dan maklumat-maklumat bercetak seperti buku, makalah, majalah, kertas kerja, jurnal, internet dan kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan seni muzik keroncong di Selangor.

Sumber lisan pula diperolehi daripada wawancara atau temubual dengan individu dan penggiat yang berpengetahuan dalam seni muzik keroncong di Selangor. Rujukan serta kajian telah dijalankan di Perpustakaan Negeri Shah Alam, Perpustakaan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Perpustakaan Daerah Banting.

Kajian ini akan menyentuh secara ringkas tentang latar belakang serta sejarah asal usul seni muzik keroncong yang terdapat di Selangor ini. Juga tentang tokoh-tokoh dan kumpulan penggiat, langgam lagu, jenis-jenis muzik keroncong, karakteristik muzik keroncong, keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri Selangor, muzik keroncong sebagai satu hasil evolusi seni, evolusi alat muzik keroncong, peralatan dan jenis muzik keroncong, tokoh penggiat seni keroncong awal, penerus seni keroncong, lagu keroncong yang popular, dan lain-lain lagi.
                               
Seterusnya mendokumentasikan seni muzik keroncong sebagai salah satu kesenian tradisional negeri Selangor. Turut disentuh ialah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh badan-badan kesenian dalam memajukan lagi seni muzik keroncong, demi masa depan seni muzik keroncong lebih cemerlang supaya kebudayaan tempatan yang bakal pupus ini dapat disemarakkan semula. Penyelidik juga berharap agar seni muzik keroncong ini dapat diperkenalkan dan diperkembangkan di kalangan generasi muda sekarang agar tidak pupus ditelan zaman.

.1

SENI MUZIK KERONCONG

SEJARAH telah mencatatkan bahawa seni muzik keroncong mulai masuk ke Malaysia sekitar awal abad ke-19 dan awal abad ke-20 atau tepatnya sekitar tahun 1940. Muzik keroncong dibawa masuk ke negara ini oleh masyarakat Pulau Jawa yang merantau ke negara ini untuk berdagang, mencari pekerjaan dan sebagainya. Para pendatang yang merupakan berbagai bangsa dan kaum ini kebanyakannya terus menetap dan bermastautin di sini secara tidak disedari. Sebagaimana yang berlaku, ramai pekerja itu yang membawa keluarga mereka dan memulakan kehidupan baru di negara yang baru.

Seperti kebanyakan para pendatang asing, selain mereka mencari nafkah, mereka juga membawa kesenian dan kebudayaan mereka. Seperti pendatang dari Sumatera Barat misalnya, mereka membawa kesenian caklempong, demikian juga pendatang dari Jawa. Pendatang dari Jawa membawa kesenian mereka berupa gamelan, wayang kulit, barongan, kuda kepang, ketoprak, silat dan juga keroncong.

Daerah-daerah yang banyak kegiatan-kegiatan seni tradisi Jawa seperti gamelan, barongan, silat dan keroncong ini adalah pastinya daerah yang banyak didatangi masyarakat Jawa seperti di negeri Johor, Perak, Selangor dan juga Pulau Pinang. Di daerah-daerah ini terutamanya di negeri Johor dan Selangor masih boleh kita temui persembahan-persembahan keroncong. Pada mulanya lagu-lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu dari Indonesia tetapi lama kelamaan selepas Perang Dunia Kedua ada pencipta tempatan yang mencipta lagu keroncong bercorak Melayu seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham Zubir Said, Allahyarham Johan Bahar dan ramai lagi.

Keroncong adalah sejenis muzik Indonesia yang memiliki hubungan sejarah dengan sejenis muzik Portugis yang dikenal sebagai fado. Sejarah keroncong di Indonesia dapat ditarik hingga akhir abad ke-16, sewaktu kekuatan Portugis mulai melemah di Nusantara. Keroncong bermula dari muzik yang dimainkan para hamba dan opsir Portugis dari daratan India (Goa) serta Maluku. Bentuk awal muzik ini disebut moresco.

Keroncong dikatakan bermula di Pulau Jawa pada abad ke-16 sewaktu pengaruh Portugis mula bertapak di kawasan Tenggara Asia. Ketika itu, seni muzik gamelan digemari di seluruh Pulau Jawa. Alat-alat muzik Barat telah digunakan untuk memainkan lagu-lagu daerah termasuk gamelan. Proses penyesuaian ini mengambil masa yang lama. Hasilnya seni muzik keroncong menjadi sempurna pada akhir abad ke-19. Namun begitu corak muzik keroncong ini berubah dari semasa ke semasa.

Menurut Allahyarham Dr Ariff Ahmad dalam bukunya yang berjudul Seni Muzik Keroncong terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bentuk seni keroncong dengan seni muzik gamelan mempunyai beberapa aspek yang hampir sama misalnya rentak dan bentuk melodinya. Muzik gamelan dimainkan dengan cara yang teratur, tetapi muzik keroncong dapat ditokok tambah mengikut perasaan pemain-pemainnya. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam persembahan keroncong juga lebih luas.

Muzik keroncong berkembang ke Malaysia dengan kedatangan orang-orang Jawa pada awal abad ke-20. Di kalangan kaum Baba dan Nyonya Melaka, lagu keroncong sangat digemari. Di Indonesia, ramai keturunan Cina yang meminati lagu keroncong dan ada antara mereka yang menjadi pencipta terkenal.

SEJARAH KERONCONG

Maksud keroncong menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah lagu irama dan lagu Melayu dan sejenis irama lagu yang lembut biasanya menggunakan alat muzik yang dipetik dan digesek.

Keroncong berasal dari Betawi (Jakarta) pada abad ke-16 dan ke-17 sewaktu Portugis mula bertapak di kawasan Asia Tenggara. Pada mulanya, melodi Portugis dinyanyikan dengan iringan beberapa buah gitar oleh orang Portugis berkulit hitam yang dikenali sebagai Mardijkers. Lama-kelamaan pada akhir abad ke-19 hasil seni muzik keroncong menjadi sempurna, namun begitu muzik keroncong ini berubah dari semasa ke semasa. Ia dimainkan oleh orang Serani dari kelas bawahan (orang peranakan dari bangsa Belanda dengan bangsa Indonesia) di Betawi.

Keroncong dinyanyikan oleh kaum lelaki Serani yang dipanggil ‘Budaya Keroncong’. Mereka berjalan-jalan di bandar-bandar Betawi pada waktu malam sambil menyanyikan pantun bertemakan kasih sayang dan asmara yang ditujukan kepada kaum perempuan. Selain itu, melodi-melodi keroncong dinyanyikan dalam teater komedi stambul yang muncul di Surabaya pada tahun 1981. Pada awalnya, melodi-melodi ini diiringi oleh kod yang dimainkan dengan gitar, piano, atau alat muzik yang sedia ada dalam komedi stambul. Melodi-melodi ini dikenali sebagai Stambul I dan Stambul II.

Namun menurut Allahyarham Dr Ariff Ahmad, seni muzik keroncong di Malaysia dikatakan berasal dari Indonesia, dibawa oleh para pedagang yang datang berdagang ke Tanah Melayu suatu ketika dulu. Di Indonesia sendiri, menurut Erant Heins (dalam Harmunah, 1987: 7) sebelum abad XVI, datanglah kapal-kapal Portugis ke kepulauan ini. Mereka mengadakan perhubungan perdagangan hampir di seluruh pelosok Indonesia di samping mengembangkan agama Kristian Katolik.

Perdagangan Portugis ini hanya menggunakan kapal-kapal, tetapi menimbulkan perhambaan-perhambaan. Dan akhirnya meninggalkan bekas di Afrika, India, Sri Lanka, dan Malaysia yang dikenali dengan istilah Indo Portugis dan disebut pula dengan istilah ‘Portugis Hitam’. Orang-orang hitam ini merupakan keluarga baru yang disebut sebagai Mahardika dalam bahasa Sanskrit.

Di Eropah pada suatu ketika dahulu, masyarakat Barat memandang bangsa Indo itu sebagai bangsa yang rendah darjatnya dan yang hanya mewarisi tabiat-tabiat tidak baik dari orang tua mereka. Pendapat ini ditentang oleh ahli atau pakar sejarah dan bukti menyatakan bahawa orang yang berdarah campuran pada umumnya ulung dalam berbagai ilmu, termasuklah orang yang berdarjat tinggi. Pandangan yang salah seperti inilah yang mungkin mempengaruhi tabiat para ahli, sehingga mereka hanya berniat untuk menyelidiki apa yang dipandang asli sahaja, dan nyatalah bahawa sejarah muzik keroncong telah diketepikan oleh para ahli muzikologi serta para ahli sejarah muzik (Tobing dalam Harmunah, 1987: 8)

Pada tahun 1511, bangsa Portugis di bawah pimpinan Alfonso d’ Albuquerque telah menawan Melaka yang waktu itu dipimpin oleh Sultan Alaudin Riayat Syah. Setelah 11 tahun berada di Melaka, maka pada tahun 1522 pedagang-pedagang Portugis meneruskan perjalanan mereka ke Ternate dan Ambon dan telah singgah di beberapa buah pulau. Kerana datang dari jauh mereka kesepian disebabkan berpisah dengan ahli keluarga masing-masing.

Untuk mengisi kesepian tersebut mereka membawa alat muzik ukulele iaitu alat muzik seperti gitar kecil. Bunyi yang keluar dari alat tersebut dan nyanyian merdu yang didendangkan oleh pedagang Portugis tersebut terasa asing dan aneh kedengarannya di telinga masyarakat peribumi Nusantara, kerana masyarakat peribumi biasa mendengar notasi pentatonik pelog dan slendro sedangkan ketika itu yang mereka dengar adalah notasi diatonik.

Berbekalkan hanya alat muzik ukulele yang dimulai dari muzik soliter (dimainkan seorang diri), maka berabad-abad kemudian tumbuhlah menjadi muzik keroncong yang kita kenali sekarang. Bermain alat muzik secara seorang diri menimbulkan kebosanan, sehingga mereka mulai bermain dengan rakan-rakan yang lain dengan menambah alat muzik yang lain seperti tempurung kelapa, kentung buluh, rebana dan lain-lain lagi. Dengan demikian alat muzik keroncong tidak wujud seperti yang ada sekarang tetapi memerlukan waktu atau evolusi yang sangat panjang.

Dari riwayat ringkas tersebut, kita tidak menafikan bahawa ada unsur muzik keroncong yang berasal dari luar ialah alat muziknya, tetapi bentuk muziknya (muzik keroncong) bukanlah bentuk muzik asing melainkan benar-benar hasil karya nenek moyang kita sendiri. Adapun terjadi adaptasi terhadap corak muzik yang datang dari luar justeru merupakan kreativiti nenek moyang kita yang sewajarnya kita hargai.

Sejak mulai masuknya muzik keroncong ke Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pada penghujung abad 19 oleh orang-orang dari Indonesia, khususnya dari Jawa yang bekerja di negara ini, keroncong pun mulai berkembang dan mulai diminati oleh penduduk setempat. Di kalangan kaum Baba dan Nyonya Melaka, lagu keroncong sangat digemari.

Menurut Allahyarham Dr Ariff Ahmad lagi, pada mulanya lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh orang setempat adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Akan tetapi lama-kelamaan, selepas Perang Dunia Kedua, ada pencipta lagu yang mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada akhir-akhir ini Mahzan Manan dan beliau sendiri (Dr Ariff Ahmad).

Pada tahun 1950-an, di negeri Johor khususnya di Johor Bahru telah terbentuk beberapa kumpulan muzik keroncong seperti ‘Suara Timur Keroncong Orkes’ di Kampung Setulang Darat, ‘Pepat Keroncong Party’ di Kampung Tambatan dan Mohd. Amin Johor Bahru, dan ‘Mawar Puteh Keroncong Party’ di Kampung Chik Ami Ngee Heng yang diketuai oleh Encik Omar bin Abu Samah.

Ketika itu, muzik keroncong biasanya dipersembahkan di majlis jamuan atau pesta. Kini keroncong telah mulai bertukar corak, sesuai dengan peredaran masa dan selera terutama cara persembahannya. Gubahan muzik keroncong dibuat untuk permainan pancaragam (orkestra) dan kumpulan gitar rancak (kugiran).

Di Malaysia, program pengembangan muzik keroncong telah dilaksanakan sejak tahun 1997. Program ini bermula dengan pengambilan 5 orang tenaga pengajar keroncong dari Indonesia. Dari sini muncul pembentukan bengkel-bengkel muzik atau tempat latihan muzik keroncong. Bengkel ini telah diadakan dengan perasmiannya pada 15-18 Jun 1999 di Pusat Kegiatan Seni, Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Bengkel-bengkel muzik keroncong itu telah melahirkan banyak kumpulan muzik keroncong di beberapa buah daerah, antara lain di Johor seperti Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Segamat. Sepanjang tahun 2000, sering diselenggarakan pertandingan muzik keroncong dan nyanyian lagu-lagu keroncong di seluruh daerah negeri Johor oleh Dewan Kesenian di sana, yakni Yayasan Warisan Johor. Setiap tahun pertandingan keroncong seperti ini rutin dilaksanakan.

MUZIK TRADISIONAL

Apakah muzik tradisional mempunyai jawapan yang berbeza mengikut pengetahuan dan pengalaman seseorang. Ada orang yang berpendapat bahawa muzik tradisional bagi sesuatu bangsa haruslah mengandungi ciri-ciri tempatan yang tulen dan ia mestilah berasal dari kawasan di mana bangsa itu tinggal. Ia adalah hasil ciptaan penduduk tempatan dan yang telah diwarisi turun-temurun. Ini tidak semestinya benar kepada kesemua bangsa.

Menurut Dr. Ariff Ahmad dalam Keroncong - Selangor Traditional Music, tidak ada bangsa yang boleh mengatakan bahawa seni muzik tradisional kepunyaannya itu adalah bebas daripada apa-apa pengaruh asing atau pengaruh luar. Dalam sejarah kesenian tiap-tiap bangsa dalam dunia ini, kebudayaan semua masyarakat adalah dipengaruhi oleh orang-orang luar pada sesuatu ketika, melainkan bangsa itu sangat terpencil dan tidak pernah berhubung dengan bangsa lain. Pengaruh ini adalah dalam berbagai bentuk, ada yang mendalam dan ada yang sedikit sahaja tetapi meninggalkan kesan yang masih boleh dilihat dalam kebudayaan bangsa itu sehingga sekarang.

Seni muzik dari Timur Tengah pada suatu ketika dahulu dibawa oleh orang-orang Islam dari sana ke Eropah semasa mereka menguasai sebahagian besar benua Eropah. Seni muzik mereka masih boleh dikesan dalam beberapa seni muzik tradisional di Sepanyol, Portugal, Greece, Itali dan beberapa buah negara lain walaupun pada masa ini bentuk seni muzik itu sudah berubah.

Pada mulanya seni muzik yang dibawa ke sesuatu tempat oleh kaum-kaum yang menjelajah atau yang mempunyai hubungan rapat melalui perniagaan atau perkongsian dalam hal-hal tertentu mungkin menjadi hiburan sahaja kepada orang-orang asing itu. Tetapi lambat-laun, penduduk tempatan yang selalu terdedah kepada seni itu mula berminat kepada seni muzik orang-orang asing tersebut dan ingin pula memainkannya. Setelah mempelajari cara memainkan alat-alat muzik asing itu mereka cuba pula memainkan lagu-lagu mereka dengan mengubah-suai cara permainan dan penggunaan alat-alat muzik asing itu kepada cara mereka sendiri.

Ini berlaku pada permainan muzik tradisional ghazal, khususnya Ghazal Johor. Jenis muzik ini wujud dengan cara pendedahan seni muzik Timur Tengah kepada seni muzik masyarakat di India dan di sana bentuk aslinya telah bertukar kepada bentuk tradisional India. Ia kemudian dibawa pula oleh pedagang-pedagang India ke Malaysia di mana perubahan baru pula berlaku.

SENI MUZIK TRADISIONAL DI MALAYSIA

Mengikut sejarah kawasan ini, Tenggara Asia telah dijelajahi oleh bangsa-bangsa lain dari Timur dan Barat seperti pedagang-pedagang China, India, Arab dan akhirnya oleh penjajah-penjajah dari Eropah. Masing-masing telah meninggalkan banyak kesan kesenian mereka dalam kesenian penduduk tempatan dan ini termasuk dalam seni muzik orang-orang di kawasan ini. Daripada bentuk lagu dan rentak kepada jenis alat-alat muzik yang digunakan seni muzik tradisional tempatan boleh dikatakan penuh dengan pengaruh-pengaruh seni muzik asing itu.

Namun demikian, pengaruh-pengaruh asing itu ada yang bertukar bentuk mengikut keadaan hidup atau kebudayaan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai pegangan kepada adat resam tradisi dan kepercayaan mereka yang asli. Keadaan ini tidak mudah bertukar atau diubah dalam masa yang singkat dan ada kalanya ia tidak bertukar tetapi disesuaikan sahaja dengan bentuk baru. Contohnya dalam rentak muzik seperti joget, inang, zapin dan asli, bentuk asalnya tidak berubah. Cuma yang berubah adalah alat-alat yang digunakan. Ini berlaku dengan adanya perubahan cara permainan muzik dan selera peminat mengikut keadaan masa.

Seperti yang telah berlaku di Malaysia semenjak beberapa tahun yang lalu, berbagai jenis muzik asing telah mempengaruhi seni muzik di negara ini. Berbagai cara permainan muzik telah diperkenalkan seperti jazz, rock and roll, latin, twist, ago-go dan berbagai lagi tetapi cara permainan muzik tradisional masih juga kekal walaupun tidak begitu terdedah.

KARAKTERISTIK MUZIK KERONCONG

Menurut Dr. Ariff Ahmad seterusnya, muzik keroncong termasuk kelompok muzik yang nikmatnya bila disajikan di dalam ruangan. Ritme yang mendayu-dayu, mengalir, dan seolah tanpa hambatan serta sentakan yang mengejutkan. Meskipun dalam permainan muziknya sering muncul hentakan vokal mahupun jeritan filler biola serta flute (seruling) namun semua masih dalam koridor akord yang sedang dimainkan. Rupanya semua lentingan yang melesat itu justru menambah tatanan sajian muzik keroncong semakin cantik.

Manakala menurut Encik Bakri Darus pula, muzik keroncong secara umum dibawakan dengan tempo andante, moderato. Pemilihan tempo demikian bukan tanpa alasan. Dengan tempo lambat memberi kesempatan pada para pemain untuk boleh mencacah ketukan dalam ritme-ritme permainannya. Tempo lambat juga memberi kesempatan pada para pemain atau penyanyi untuk boleh leluasa berimprovisasi pada bahagian-bahagian frase tertentu di mana mereka boleh melakukan itu.

Menurut beliau lagi, tempo lambat juga dimaksudkan untuk lebih boleh menyampaikan ‘pesan’ dari lagu yang dibawakan. Hal paling utama tempo lambat lebih boleh membawa suasana damai, tenang, dan tenteram. Rupa-rupanya perkara inilah yang akhirnya membentuk karakter genre muzik ini ‘lambat’ dan lebih dekat kepada ‘mengantuk’ bahkan ada yang menilainya sebagai ‘malas’. Bila hal ini yang menonjol dalam tampilan muzik keroncong maka ada benarnya jika generasi muda akhirnya kurang meminati muzik dari genre ini.

Sementara itu, menurut Encik Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden, Jenjarom, tempo permainan muzik keroncong cenderung lambat. Harmoni yang telah pakem membuatkan sajian muzik keroncong boleh hadir seperti apa yang dimahukan, semua teratur sesuai dengan susunan. Puncaknya muzik keroncong boleh membawa penikmatnya berada pada suasana damai, tenang, dan tenteram (tidak bising). Hal ini signifikan dengan perkembangan psikologi orang tua. Kalangan orang tua suka kepada benda yang namanya keteraturan, suka segala sesuatu yang sesuai dengan rencana dan tidak keluar dari tatanan. Keadaan ini tentu agak bertentangan dengan jiwa generasi muda yang suka akan cabaran. Masa yang sedang berada pada masa keemasan untuk memunculkan daya kreasi yang ditandai dengan munculnya keinginan-keinginan untuk membuat yang serba berbeza, penuh kejutan dan tentu glamour.

Namun menurut Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali, pemimpin Kumpulan Keroncong Warisan, Teluk Panglima Garang pula, muzik keroncong memiliki kekhususan yang unik dan berbeza dengan muzik-muzik yang berkembang di kalangan muda zaman sekarang. Kerana unik, ternyata menimbulkan kesan sukar.

Apabila diajukan soalan, ‘Apakah muzik keroncong memang sukar untuk dipelajari dan dimainkan?’ Beliau berkata, ‘Jawabannya boleh tidak dan boleh ya.’

Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, secara menyeluruh kekhususan muzik keroncong boleh digolongkan kepada beberapa segi, iaitu tampak pada bentuk, harmoni, ritme, jenis alat muzik yang digunakan, dan pembawaan. Untuk boleh bermain muzik keroncong, sesebuah kumpulan muzik dituntut supaya memiliki kemampuan asas dalam bermain muzik. Kemampuan asas ini yang nantinya akan membawa pemain hingga boleh mencerna teknik permainan pada muzik keroncong. Kemampuan mencerna teknik permainan muzik keroncong akan menghasilkan individu pemain yang mampu dengan mudah memainkan muzik keroncong secara teknik individu mahupun kekompakan secara kelompok.

Kumpulan Keroncong Gema Sari sedang menjalani latihan sebelum mengadakan persembahan

Menurut Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali seterusnya, ‘Kita harus berprinsip bahawa segala apa pun yang sukar kalau kita ikuti, perhatikan, pelajari dan lakukan dengan bersungguh-sungguh tentu boleh. Begitu juga dengan muzik keroncong, jadi tidak benar ada alasan bahawa bermain muzik keroncong sukar.’

LAGU KERONCONG ASING DAN MONOTON

Lagu-lagu keroncong di telinga kalangan muda memang terasa asing dan aneh. Penyajian vokal yang dibawakan oleh para penyanyi keroncong memberi kesan lamban dan melankolik. Lamban kerana memang lagu keroncong sebahagian besar menggunakan tanda tempo andante yang bererti lambat. Pembawaan melodi dan syairnya (vokal) bersifat improvisatoris, bercengkok dan gregel, juga secara portamento, sedangkan ritme sering tidak tepat pada pukulan yang seharusnya.

Jadi agak ditunda sedikit, yang dalam istilah keroncong disebut ‘menggantung matt’, atau istilah lain dalam bahasa Jawa disebut ‘nggandhul’. (Harmunah. 1987: 30). Pembawaan vokal yang demikian memberi kesan tidak tegas dan semahu-mahunya. Hal ini bertentangan dengan karakteristik jiwa generasi muda yang serba menghentak, tegas, cepat, dan gemerlap, meskipun kadang-kadang muncul juga lembut dan manisnya.

Dari segi lagu-lagu yang dibawakan, rupa-rupanya khazanah kekayaan lagu-lagu dari muzik keroncong lamban dalam pertambahan referensinya. Sehingga yang muncul dalam setiap kali penampilan lagu-lagunya cenderung monoton. Ditambah bila dilihat dari bentuk lagunya, lagu-lagu keroncong memiliki beberapa bentuk yang sudah tetap (baku). Bentuk-bentuk itu adalah keroncong asli, langgam keroncong, stambul I, dan stambul II.

Meskipun pada perkembangannya, akhirnya muncul lagu bentuk ‘ekstra’. Untuk lagu-lagu dari jenis keroncong asli, langgam keroncong, stambul I, dan stambul II memiliki pola baku. Memang ada benarnya bila ada pandangan bahawa lagu dan muzik keroncong itu monoton bahkan cenderung kurang boleh berkembang. Namun perlu dilihat juga bahawa pada bentuk lagu ekstra, muzik dan lagu keroncong memiliki keluasan untuk boleh digarap dan berkembang dalam permainannya sesuai dengan keinginan individu mahupun kelompok penyaji. Contoh-contoh tersebut boleh dilihat pada lagu-lagu pop keroncong (Hetty Koes Endang), lagu-lagu pop keroncong manca negara, lagu-lagu pop keroncong instrumental, dan lain-lain lagi. Sedangkan kumpulan muzik keroncong yang boleh membawa keinginan jiwa muda boleh dicontohkan seperti kumpulan Kembara M Nasir.

2

SENI MUZIK KERONCONG NEGERI SELANGOR

MENYENTUH soal apakah jenis muzik tradisional bagi sesuatu kawasan, misalnya negeri Selangor, jawapannya tidak mudah diberi oleh kerana sukar ditetapkan apakah yang dimaksudkan dengan ‘kawasan’. Ia boleh menjadi satu daerah kecil atau satu kawasan yang luas. Ia juga mungkin satu kawasan geographical atau politikal.

Ini bermakna sempadan kawasan itu berbeza, satu disebabkan oleh keadaan alam seperti adanya lautan atau banjaran gunung dan yang lagi satu sempadan buatan yang ditetapkan oleh manusia yang berpihak-pihak. Kedua-dua jenis sempadan ini menghasilkan dua bentuk perhubungan atau interaksi di antara penduduk yang berjiran, berasingan sama sekali atau rapat seolah-olah tidak ada perbezaaan langsung.

Negeri Selangor adalah termasuk dalam kategori yang kedua iaitu kawasan politikal dan perbezaannya dengan negeri Perak di utara dan dengan Negeri Sembilan di selatan tidaklah begitu ketara apatah lagi di kawasan sempadan. Negeri Selangor adalah kecil dalam pengertian kawasan kesenian. Keadaan ini memerlukan kita membuat peninjauan ke kawasan yang lebih luas seperti seluruh Semenanjung dan mungkin Nusantara. Kita perlu fikir adakah kesenian Selangor berbeza daripada kesenian kawasan-kawasan di sekelilingnya dan jika ada apakah bentuknya dan apa sebabnya menjadi begitu serta adakah kesenian itu istimewa bagi negeri Selangor sahaja. Ini mungkin tidak benar.

Mengikut kajian sejarah, Selangor banyak dipengaruhi oleh orang-orang dari Sumatera terutama dari daerah Aceh dan orang-orang Bugis dari Sulawesi Selatan. Kebudayaan mereka itu boleh dikesan dalam cara hidup orang-orang Selangor. Keadaan yang sama juga berlaku di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia seperti di Kedah, Perak dan Johor di mana orang-orang Aceh dan Bugis dipercayai telah lama mengadakan lawatan dan perhubungan perdagangan dengan orang-orang tempatan.

Kemudian berlaku pula fenomena kedatangan pekerja-pekerja atau buruh kasar dari Jawa dalam tahun-tahun 20-an dan 30-an yang bekerja sementara di pantai barat Semenanjung dan ada di antara mereka terus menetap di kawasan tempat mereka bekerja seperti di Kuala Selangor, Kelang dan Sijangkang. Pada masa yang sama juga orang-orang dari Sumatera Tengah (Mandiling dan Rawa) telah datang untuk meneroka beberapa kawasan di Selangor seperti di Ulu Langat, Kajang dan beberapa daerah lain dan setelah beberapa ketika, ada di antara mereka balik ke negara asal mereka. Mereka juga ada yang terus menetap di tempat yang mereka terokai. Ini juga berlaku di beberapa buah negeri lain. Dengan ini maka bertambahlah lagi pengaruh-pengaruh Sumatera Tengah di beberapa kawasan di Selangor.

Tetapi dalam bidang seni muzik, pengaruh mereka ini tidak pula terkemuka. Yang lebih banyak meninggalkan kesan adalah seni muzik yang dibawa oleh orang-orang dari Jawa yang banyak didapati di daerah Kuala Selangor, Kelang dan Banting. Di antara seni muzik tradisional yang mereka perkenalkan ialah keroncong, satu seni muzik yang masih dimainkan di beberapa tempat di Selangor dan dalam siaran radio dan televisyen. Pada masa ini masih ada lagi beberapa kumpulan keroncong di Selangor. Tetapi di negeri-negeri lain sudah tidak ada lagi kumpulan muzik seperti itu melainkan satu dua di Melaka dan Pulau Pinang.

KERONCONG SEBAGAI SENI MUZIK TRADISIONAL NEGERI SELANGOR

Pada masa ini belum ada mana-mana negeri yang mengambil seni muzik keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri seperti ghazal di Johor, boria di Pulau Pinang, dan gamelan di Pahang dan Terengganu. Pada suatu pertemuan tidak lama dahulu, Selangor telah bercadang untuk mengambil keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri Selangor. Tetapi tidak ada tindakan tegas atau tindakan susulan yang konkrit diambil untuk menggalak dan memberikan taraf yang sewajarnya kepada seni tersebut.

Dari segi bentuk aslinya, seni muzik keroncong boleh diterima sebagai mempunyai sifat tradisional terutama rentak, lagu dan alat-alat muzik yang digunakan. Ia juga memerlukan penyanyi khas yang mempunyai suara dan gaya yang terlatih. Jika dibandingkan dengan seni muzik tradisional yang lain yang boleh didapati di Selangor seperti muzik asli, kompang, hadrah dan sebagainya, cuma muzik keroncong sahaja yang difikirkan boleh diketengahkan. Ia masih mempunyai ramai peminat terutama di kalangan orang-orang dewasa dan ada juga di kalangan anak-anak muda. Ia masih boleh mempertahankan kedudukannya dalam zaman rock, malah ia juga boleh meresap dalam muzik sezaman. Jenis-jenis muzik tradisional lain mungkin tidak dapat berbuat demikian.

Sebagai salah satu bentuk kesenian yang berkembang di kalangan masyarakat, kehadiran muzik keroncong mempunyai beberapa fungsi, iaitu fungsi pendidikan, fungsi hiburan, fungsi ekonomi dan fungsi sosial.

1. Fungsi Pendidikan

Karya seni dalam bentuk lagu-lagu keroncong merupakan salah satu media penting untuk pendidikan informal bagi masyarakat. Nilai-nilai pendidikan dapat diperoleh melalui lirik atau senikata yang tertuang dalam lagu. Masyarakat dapat memahami ajaran agama, budi pekerti dan ajaran lainnya yang berguna dalam meningkatkan eksistensinya.

2. Fungsi Hiburan

Muzik atau lagu merupakan salah satu jenis bentuk konsumsi bagi keperluan batin manusia yang tergolong dalam keperluan sekunder. Ketika mereka mengalami ketegangan atau tekanan perasaan setelah menyelesaikan suatu pekerjaan, atau sedang mengalami masalah, dengan mendengar muzik merupakan salah satu usaha untuk melepaskan ketegangan. Muzik merupakan salah satu hiburan yang cukup mudah untuk didapati baik melalui radio, televisyen, komputer, MP3, mahupun hand phone.

3. Fungsi Ekonomi

Sebelum menjadi sebuah hasil komoditi, muzik keroncong hanyalah sebagai karya seni yang berfungsi sebagai penyegar rohani atau hiburan kala sedang beristirahat. Namun, kewujudannya kini telah beralih fungsi, di samping berfungsi sebagai hiburan juga berfungsi ekonomi. Hal ini berkat hasil sentuhan teknologi moden yang merupakan hasil budaya populer sehingga menjadikan lagu-lagu tersebut mulai memperlihatkan eksistensinya melalui bentuk penyajian.

Berbagai bentuk modifikasi dicipta untuk mengemaskini lagu-lagu tersebut agar dikenali dan populer di kalangan masyarakat. Kemasan dalam bentuk kaset dan VCD ternyata mendapat sambutan yang hangat dari masyarakat, terutama bagi penggemar lagu-lagu keroncong. Larisnya peredaran kaset dan VCD tidak saja menguntungkan bagi pemilik modal iaitu studio rakaman, tetapi juga penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu turut mendapat keuntungan dari segi material.

4. Fungsi Sosial

Ungkapan-ungkapan seni, baik seni diluhung mahupun ‘hiburan’ di samping memiliki nilai estetika, tentulah juga mempunyai fungsi-fungsi sosialnya. Fungsi sosial dalam kesenian dapat dilihat dari isi yang terdapat pada suatu bentuk kesenian yang bertujuan untuk mempengaruhi masyarakat atau penonton agar boleh berbuat sesuatu yang positif terhadap lingkungan sekitarnya.

Fungsi sosial dalam muzik keroncong, boleh dilihat dari peranan lagu-lagu keroncong yang dinyanyikan untuk kepentingan sosial dalam masyarakat, seperti misalnya dalam kegiatan kesyukuran, acara pernikahan dan lain-lain lagi, dengan tujuan untuk menghibur para undangan yang menghadiri acara tersebut.

MUZIK KERONCONG SEBAGAI SATU HASIL EVOLUSI SENI
                                                    
Seni muzik keroncong boleh diterima sebagai satu hasil evolusi seni yang istimewa lahir daripada gabungan kesenian tempatan. Ia juga adalah penyesuaian selera peminat seni muzik tempatan yang secara sedar berusaha mempertahankan seni muzik asli mereka sambil menerima perubahan dan selera baru.

Tidak dinafikan jika dilihat dari segi alat-alat yang digunakan dalam permainan muzik keroncong, kesemua alat itu adalah alat-alat yang dibawa dari Barat. Cuma fungsi dan cara memainkan tiap-tiap alat itu sahaja yang berbeza. Ada pendapat yang mengatakan muzik keroncong dibawa oleh orang Portugis pada zaman mereka berkuasa di Asia Tenggara. Tetapi jika dikaji dengan teliti tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan ciri-ciri muzik keroncong sebagaimana yang ada sekarang ini ada dalam seni muzik di Portugal.

Mungkin ada juga yang berpendapat kerana ramainya orang keturunan Portugis yang menetap di beberapa daerah di Jakarta yang diketahui sangat gemar kepada lagu-lagu berentak keroncong, maka dikatakan keroncong berasal dari Portugal. Kemungkinan ada pendapat mengatakan bahawa alat-alat muzik yang berasal dari Barat digunakan dalam muzik keroncong seperti gitar, ukulele, biola dan sebagainya. Ada sejenis alat muzik tradisional dari beberapa daerah di Portugal dan Sepanyol yang masih dimainkan dikenali sebagai charanga. Ia mempunyai bentuk seakan-akan ukulele dan dimainkan sebagai alat pengiring untuk penyanyi.

Oleh kerana alat itu sangat dominan dan ada persamaannya dengan cara permainan alat yang menggantinya iaitu ukulele yang mengikut cara dahulu, dimainkan untuk mengiring penyanyi dalam persembahan lagu keroncong, maka seni itu dikaitkan dengan seni muzik dari Portugal. Ia tidak mudah diterima.

Jika dilihat dari segi cara permainan muzik keroncong dan dibandingkan dengan muzik gamelan yang sangat terkenal di Pulau Jawa terutama di Jawa Tengah dan di Jawa Barat atau Sunda, banyak boleh diperhatikan persamaannya daripada rentaknya hingga kepada melodinya.

Kemasukan seni muzik Barat pada ketika itu mulanya tidak diterima oleh peminat-peminat muzik Jawa, tetapi lama-kelamaan dengan adanya pendedahan kepada muzik asing itu ada di antara peminat muzik Jawa terpengaruh dan ingin menguasai permainan alat-alat Barat tersebut. Apa yang berlaku adalah pengaruh permainan muzik orang Portugis itu dapat dimanfaatkan oleh pemuzik-pemuzik yang tinggal berdekatan dengan membuat penyesuaian permainan alat-alat Barat itu ke dalam permainan gamelan mereka.

Alat-alat muzik Barat yang mempunyai fungsi dan bunyi yang hampir sama dengan muzik gamelan digunakan untuk memainkan lagu-lagu gamelan. Akhirnya, kacukan antara alat muzik Barat dengan gamelan ini melahirkan sejenis muzik yang dinamakan keroncong.

EVOLUSI ALAT MUZIK KERONCONG

Menurut Dr. Ariff Ahmad, Gelang Keroncong merupakan istilah yang telah digunakan sebelum Muzik Keroncong. Ukulele merupakan asal muzik keroncong. Ukulele diiringi oleh tempurung kelapa, kentung buluh, dan sebagainya. Pada awal abad ke-16, alat muzik rebana dimasukkan ke dalam alat muzik keroncong. Kemudian masuk pula alat muzik mandolin, tetapi hanya bertahan sehingga abad ke-19 sahaja.

Pada tahun 1930, (keterangan oleh Supardi dari Radio Orkestra Surakarta, Indonesia) harmonika digunakan sebagai alat yang memainkan melodi. Kemudian violin atau biola juga digunakan sebagai alat yang memainkan melodi. Seterusnya, rebana digantikan dengan petikan gitar. Pada tahun 1934, gitar digantikan dengan cello yang dipetik secara pizzicato. Akhir tahun 1940, flute dan juga tenor banyo (cak) dimasukkan ke dalam ensemble keroncong.

Akhirnya alat muzik keroncong terdiri daripada 7 jenis alat iaitu biola (violin), seruling (flute), gitar, ukulele (cuk), tenor banyo (cak), cello dan double bass.

3

PERALATAN DAN JENIS MUZIK KERONCONG

MENURUT Encik Wahid bin Bahari, 64 tahun, pemimpin Kumpulan Keroncong Gema Sari, alat-alat muzik yang lazim digunakan terdiri daripada 7 jenis alat yang kesemuanya berasal dari Eropah. Alat itu ialah biola (violin), seruling (flute), gitar, ukulele (cuk), tenor banyo (cak), cello dan double bass. Kesinambungan alat-alat ini sangat penting kerana ia saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap alat akan memainkan rentak masing-masing kerana setiap alat mempunyai peranan masing-masing.

1. Biola Atau Violin

Biola merupakan alat yang tidak asing lagi di dalam seni muzik semenjak mula digunakan pada kurun ke-11 lagi. Menurut Dr. Ariff Ahmad, alat ini telah digunakan pada kali pertama pada tahun 1520. Pada masa dahulu ia dibuat dengan tangan. Antonio Stradivari (1640-1737) merupakan pembuat biola terkenal yang berasal dari Itali. Beliau berjaya menghasilkan biola yang paling tinggi mutunya dan dapat mengeluarkan suara yang baik. Sehingga sekarang beberapa biola buatannya masih ada lagi dan setiap satunya berharga berjuta-juta dolar.

Biola merupakan alat muzik terkecil dalam keluarga gesek. Biola boleh dimainkan dengan cara digesek ataupun dipetik bergantung kepada keinginan pemainnya. Biola termasuk dalam alat muzik chordophone. Chordophone adalah alat muzik yang sumber bunyinya berasal dari dawai (tali) (Banoe, 2003: 83). Biola moden mulai berkembang di Itali sekitar tahun 1600 (Prier, 1993: 68). Biola kemudiannya mulai dibuat dengan cara yang halus, proses atau teknologi reka bentuknya sesuai dengan teknologi dan prinsip estetika (Nawang, 2009: 14).

Biola menggunakan 4 tali yang diperbuat dari dawai dan dilaras dengan tali terbuka dari tertinggi iaitu:

  • Tali pertama - E
  • Tali Kedua - A
  • Tali Ketiga - D
  • Tali Keempat - G 

Menurut Encik Wahid bin Bahari, kompas atau jarak di antara not yang paling rendah kepada yang paling tinggi yang boleh dimainkan dengan biola adalah 31/2 oktaf iaitu mulai dari not ke bawah di tali keempat terbuka (Not G) kepada (Not D) yang dipicit di tali pertama hampir kekuda alat itu. Suara atau bunyi biola dihasilkan dengan menggunakan penggesek kayu (bow) yang dipasang dengan tali-tali halus biasanya dari ekor kuda. Manakala pada masa sekarang ia diperbuat daripada tali nylon

Menurut Encik Abdul Rahman bin Basuni, ketua Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden, Kampung Olak Lempit, Banting, adakalanya ia boleh dipetik (pizzicato) seperti memetik tali gitar untuk mengeluarkan bunyi yang berbeza daripada digesek. Tetapi ia jarang dilakukan di dalam muzik klasik.

Peranan Biola

Manakala menurut Encik Bakri Darus, pemimpin kumpulan Badan Budaya Seri Kayangan (BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah Melayu (KTM) pula, peranan biola adalah sebagai pemimpin atau sebagai alat yang membawa melodi. Adakalanya ia memainkan iringan secara counter melody atau melodi pengiring. Selain itu, ia boleh digunakan sebagai permulaan lagu mengikut gubahan atau susunan lagu. Hal ini selalunya dibuat semasa memainkan lagu-lagu jenis keroncong asli. 

Kata beliau, pemain keroncong haruslah bersefahaman dengan pemain alat pembawa melodi yang satu lagi supaya tidak timbul pertelingkahan sesama sendiri. Jika tidak hasil persembahan akan menjadi tidak kemas dan kurang teratur. Biasanya masing-masing akan muncul ke tengah atau bermain secara solo atau berseorangan untuk membawa melodi atau meneruskan permainan secara perlahan di belakang atau tidak seharusnya menonjol. Hal ini sama juga dilakukan semasa penyanyi sedang menyanyi.

Menurut Encik Wahid bin Bahari, kebiasaannya pemain biola ini berperanan sebagai pemimpin dan dia akan memainkan melodi apabila berhenti sementara daripada menyanyi di tengah-tengah lagu. Pemain biola juga haruslah mengkaji dan memahami cara mengiringi yang bercorak keroncong iaitu ada not-not hiasan (bunga-bunga), asli yang digunakan dalam permainan muzik keroncong sahaja. Corak yang pelbagai ini diperolehi dari penghayatan dari seorang pemain biola terhadap seni muzik keroncong melalui pengalaman atau pendedahan kepada seni itu.

Nada panjang pendek biola

Ujar beliau lagi, belum ada lagi satu teori mengenainya seperti yang terdapat dalam cara at leap dalam muzik Barat. Pada masa ini sudah ada percubaan untuk menulis dengan menggunakan notasi muzik tetapi ia agak susah kerana setiap pemain bermain mengikut caranya tersendiri yakni mengikut coraknya yang bebas. 

Sebuah biola terdiri dari beberapa bahagian iaitu scroll, peg box, pegs, fingerboard, tali (strings), soundboard, bridge, f-hole, tuner, tail piece, chin rest, dan end button (Corbeil, 1987: 477). Badan biola terdiri dari dua papan berbentuk melengkung, umumnya permukaan biola dibuat dari kayu spruce (sejenis kayu cemara) yang dipahat sehingga memiliki bentuk simetris (Nawang, 2009: 19). Apabila dilihat, terdapat dua lekukan di badan biola yang menyerupai huruf C pada kedua sisinya. Lekukan ini berfungsi untuk memberikan ruang bagi penggesek biola (bow) untuk bergerak. Pada permukaan atas biola terdapat dua lubang resonansi (f-hole) yang berbentuk menyerupai huruf F. Leher biola (neck) biasanya dibuat dari kayu mapel (Nawang, 2009: 20). Pada bahagian ini terdapat papan jari (fingerboard) yang biasanya dibuat dari kayu eboni (Carvello, 1991: 133). Kayu eboni sering dipilih kerana sifatnya keras dan tahan lama.

Bahagian tengah biola terdapat sound post yang dipasang di dalam badan biola (Sadie, 2002: 703). Sound post ini berfungsi sebagai penahan jambatan biola (bridge). Lengkungan di bahagian atas bridge berfungsi untuk menahan tali supaya dapat digesek sendiri-sendiri ataupun secara bersamaan. Selain itu, bridge juga berfungsi untuk menghantarkan getaran suara dari tali ke badan biola.

Biola mempunyai empat tali yang masing-masing mempunyai penalaan berbeza, iaitu g, d’, a’, dan e”. Dahulu tali dibuat dari perut binatang, tetapi lama kelamaan pembuatan tali mulai dikembangkan dengan cara dicampur dengan logam (Nawang, 2009: 24). Hasil yang diperoleh dari proses ini adalah tali lebih kuat, lebih padat, dan lebih seimbang sehingga menghasilkan volume yang lebih besar. Sekarang ini tali biola dibuat dari besi padat, besi untingan, atau berbagai bahan sintetik yang dilapisi dengan bermacam-macam logam untuk menyesuaikan massa, diameter, dan kadar airnya (Nawang, 2009: 25). Tali berbahan sintetik ini lebih sensitif dengan perubahan kelembaban.

Sebuah biola dilengkapi dengan penggesek biola (bow) yang berfungsi untuk menghasilkan suara atau nada. Gesekan yang dihasilkan oleh tali dan penggesek biola (bow) menyebabkan tali bergetar dan menghasilkan nada. Perancang penggesek biola (bow) moden adalah Francois Tourte (Carvello, 1991: 136). Penggesek biola (bow) terdiri dari beberapa bahagian, iaitu point, stick (kayu penggesek), hair (bubat), nut, dan screw (sekrup) (Corbeil, 1987: 478). Pada hujung bawahnya terdapat screw yang digunakan untuk mengetatkan hair sewaktu digunakan untuk bermain dan untuk mengendurkan hair pada waktu akan disimpan. Di sisi screw tersebut juga terdapat pegangan untuk jari. Jika busur biola rajin digosok dengan rosin akan membuatkan cengkaman busur ke tali menjadi lebih stabil dan dapat membantu teknik getaran (Nawang, 2009: 23).

Biola mempunyai register dari nada g-e’’’’, tetapi register yang boleh dihasilkan dengan baik dari nada g-b’’’ (c’’’’) (Harmunah, 2004: 76).

a. Teknik Permainan Biola

Kemampuan seorang pemain biola untuk memainkan sebuah karya muzik harus didukung oleh keterampilan dalam menguasai sebuah alat muzik. Hal ini bertujuan supaya pemain dapat memainkan sebuah karya muzik sesuai dengan apa yang diharapkan oleh komponis, baik secara intonasi mahupun ekspresi pembawaannya. Pada permainan biola diperlukan kepekaan solfegio yang baik agar bunyi dapat dihasilkan tepat sesuai dengan tinggi-rendahnya nada (pitch). Menurut Banoe (2003: 384), solfeggio merupakan kaedah latihan pendengaran. Solfegio menjadi hal yang sangat penting kerana alat muzik biola tidak memiliki fret (garis-garis papan nada) seperti pada alat muzik gitar sebagai penanda untuk menentukan tinggi-rendahnya nada (pitch).

Untuk mengetahui letak suatu nada dengan intonasi yang benar diperlukan latihan terus menerus sehingga jari-jari tangan kiri dapat secara automatik menekan nada-nada yang diinginkan dengan intonasi tepat. Selain itu, seorang pemain biola juga harus berlatih berulang-ulang mendengar nada untuk mempertajamkan daya pendengaran sehingga dapat membezakan nada-nada dengan intonasi yang kurang tepat walaupun hanya sedikit saja.

Teknik permainan biola meliputi kelincahan jari tangan kiri dalam memainkan nada-nada yang berpengaruh pada intonasi dan kekuatan tangan kanan untuk menggesek biola yang sangat berpengaruh pada suara terutama tone colour, panjang pendek nada dan volume yang dimainkan.

  1. Legato adalah cara main secara bersambung sebagai lawan staccato (Banoe, 2003: 248). Menurut Sukohardi (2001: 54) legato adalah garis lengkung yang ditempatkan di atas atau di bawah nada, yang menghubungkan dua nada atau lebih. Dari pendapat tersebut dapat disimpulkan bahawa legato adalah teknik memainkan nada untuk menghasilkan suara yang menyambung dan tidak terputus-putus dalam satu gesekan.

  1. Staccato adalah cara main pendek-pendek, yang ditandai dengan satu titik di atas atau di bawah sebuah not bersangkutan (Banoe, 2003: 392). Sedangkan menurut Sukohardi (2001: 55) staccato adalah tanda untuk memendekkan bunyi suatu nada. Dari pendapat tersebut dapat disimpulkan bahawa staccato adalah teknik memainkan nada untuk menghasilkan suara yang pendek-pendek dan putus-putus dengan letak hair penggesek tetap menempel pada tali.

  1. Detache adalah terpisah; terputus-putus (Kodijat, 2004: 28). Detache adalah teknik menggesek dengan terputus-putus dan penggesek tidak diangkat dari tali, setiap nada satu gesekan.

  1. Spiccato adalah teknik gesekan biola dengan sentuhan penggesek yang dilompat-lompatkan, caranya sama cepat namun jatuh gesekan dengan teknik detache (Banoe, 2003: 390). Dalam teknik ini tiap nada dimainkan dengan cara melompat-lompatkan penggesek untuk menghasilkan suara yang sangat pendek.

  1. Glissando adalah teknik permainan muzik dengan cara menggelincirkan satu nada ke nada lain yang berjarak jauh secara berjinjang baik jinjang diatonik mahupun kromatik (Banoe, 2003: 166). Glissando merupakan teknik membunyikan nada dengan memainkan serentetan nada menyambung secara cepat dan halus.

  1. Tremolo adalah getar; bergetar; cara main dengan menggetarkan nada; pukulan roffel pada drum; gesekan pendek bolak-balik pada kedudukan nada tertentu dengan kecepatan tinggi (Banoe, 2003: 419). Dalam permainan biola, teknik tremolo adalah teknik gerakan bow naik dan turun dengan sangat cepat, biasanya dimainkan di bahagian hujung penggesek.

  1. Pizzicato adalah dengan cara dipetik; teknik permainan alat muzik dawai dengan cara dipetik (Banoe, 2003: 337). Pizzicato adalah teknik memainkan nada dengan cara memetik tali. Teknik ini tidak hanya dimainkan pada tangan kanan, namun boleh juga dimainkan pada tangan kiri. Dalam sebuah karya muzik, setelah ada tanda pizzicato biasanya terdapat tanda arco. Menurut Banoe (2003: 30) arco adalah gesek; digesek. Cara main dengan digesek. Arco dalam permainan biola ertinya sesudah permainan pizzicato tali kembali digesek menggunakan penggesek (bow).

  1. Accent adalah aksen; tekanan (Kodijat, 2004: 2). Accent terletak di atas atau di bawah nada. Accent adalah memainkan nada dengan cara memberikan penekanan pada nada tertentu.

  1. Col legno adalah perintah memainkan alat muzik gesek dengan dibalik, bukan digesek dengan dawai geseknya melainkan dengan belakang penggesek sesuai dengan tuntutan komposisi bagi mendapatkan kesan suara seram (Banoe, 2003: 248). Dalam permainan biola, col legno merupakan teknik tangan kanan iaitu menggesek biola dengan menggunakan belakang penggesek (bahagian kayu).

  1. Double stop adalah teknik permainan alat muzik berdawai, yakni dengan cara menekan dua dawai sekali gus (Banoe, 2003: 122). Double stop dalam teknik tangan kanan adalah teknik memainkan biola dengan cara menggesek dua nada secara bersamaan sehingga menghasilkan bunyi akor. Selain dua nada, tiga atau empat nada juga boleh dimainkan secara bersamaan masing-masing disebut triple stop dan quadruple stop.

Selain teknik permainan tangan kanan, teknik permainan tangan kiri mempunyai peranan yang sangat penting kerana berhubungan dengan intonasi dan kecepatan tangan kiri dalam menekan nada-nada.

  1. Penjarian adalah tata jari; petunjuk penggunaan jari (Banoe, 2003: 145). Kode penjarian biola untuk tangan kiri menggunakan kode angka, iaitu 0, 1, 2, 3, dan 4. Kode angka 0 digunakan untuk memainkan nada dalam kedudukan tali terbuka (jari tidak menekan tali). Kode angka 1 untuk jari telunjuk, kode angka 2 untuk jari tengah, kode angka 3 untuk jari manis, dan kode angka 4 untuk jari kelingking.

  1. Double stop adalah teknik permainan alat muzik berdawai, yakni dengan cara menekan dua dawai sekali gus (Banoe, 2003: 122). Selain terdapat di dalam teknik tangan kanan, double stop juga terdapat di dalam teknik tangan kiri. Double stop dalam teknik tangan kiri adalah teknik memainkan biola dengan cara menekan dua nada secara bersamaan sehingga menghasilkan bunyi akor.

  1. Vibrato adalah bergetar, dengan gelombang getaran menurut pilihan pemain atau sesuatu nada tertentu (Banoe, 2003: 430). Vibrato merupakan teknik tangan kiri, iaitu menggerakkan jari tangan kiri yang menekan pada tali dengan cepat secara maju mundur sehingga menimbulkan suara bergetar.

  1. Ornamen adalah suatu simbol dalam notasi muzik, yang berfungsi sebagai hiasan nada-nada dalam sebuah karya muzik (Mudjilah, 2004: 68). Menurut Banoe (2003: 313) ornament adalah hiasan; nada hias. Berikut adalah beberapa penjelasan tentang ornamen:

    • Acciaccatura adalah nada hiasan yang ditulis dengan simbol not kecil dengan garis melintang (miring) tepat pada not tersebut, cara memainkan nada hias tersebut iaitu dimainkan tepat sebelum jatuh ketukan (Mudjilah, 2004: 68).

    • Appogiatura adalah nada hiasan yang ditulis dengan simbol not kecil tanpa garis melintang, cara memainkan nada hias tersebut iaitu dimainkan tepat pada ketukan sehingga nada pokok yang mendapat nada hias menjadi bergeser (Mudjilah, 2004: 69).

    • Gruppetto adalah nada hiasan yang terdiri dari empat nada, iaitu nada atas, nada asas, nada bawah, dan nada asas (Mudjilah, 2004: 71). Menurut Banoe (2003: 174) gruppetto adalah not hias (ornamen) berupa lambang berbentuk huruf S yang diletakkan melintang pada sebuah not tertentu.

    • Mordent adalah nada hiasan yang terdiri dari tiga nada, iaitu nada asas, nada atas, dan nada asas (Mudjilah, 2004:70). Menurut Banoe (2003: 281) mordent adalah not hiasan (ornamen) yang ditandai dengan lambang garis patah-patah di atas not tertentu.

    • Trill adalah nada yang dimainkan secara bergantian dengan nada terdekat di atasnya dan dimainkan secara cepat (Banoe, 2003: 420). Trill ditandai dengan tanda di atas not tertentu.

b. Teknik Permainan Biola Keroncong

Teknik permainan biola yang digunakan dalam muzik keroncong pada dasarnya menggunakan gaya pembawaan vokal keroncong (Harmunah, 1987:24). Adapun teknik permainan tersebut adalah seperti berikut:

1. Teknik cengkok

Teknik cengkok merupakan salah satu teknik yang menjadi ciri khas muzik keroncong. Setiap pemain biola keroncong menggunakan teknik ini dalam setiap permainannya sebagai ciri dan gaya pembawaan permainan biola keroncong. Cengkok ialah nada hiasan yang memperkembangkan kalimat lagu, ertinya mengisi, memperindah, dan menghidupkan kalimat lagu (Harmunah, 1987: 28). Kadang-kadang teknik cengkok tidak tertulis dalam partitur tetapi dimainkan secara improvisasi.

2. Teknik gregel

Teknik gregel ialah hiasan yang terdiri dari dua nada dan bergerak cepat (Harmunah, 1987: 28). Seperti teknik cengkok, teknik gregel kadang-kadang juga tidak tertulis dalam partitur tetapi dimainkan secara improvisasi.

3. Teknik nggandul

Menurut Soeharto (1996: 103), dalam muzik keroncong, nggandhul bermakna jatuhnya nada sengaja dibuat tidak tepat dengan ketukan tetapi sengaja dibuat agak sedikit terlambat. Teknik nggandul dalam permainan biola keroncong merupakan teknik gaya pembawaan melodi-melodi iaitu bermain dengan ketukan lebih lambat dari ketukan dasarnya yang tertulis dalam notasi atau sedikit tidak tepat dengan tempo.

2. Seruling Atau Flute

Seterusnya menurut Encik Bakri Darus, seruling juga dikenali sebagai flute dipercayai telah digunakan sejak kurun ke-12 lagi. Tetapi dari dahulu lagi seruling atau flute juga digunakan untuk alat muzik yang hampir sama bentuknya, cuma ia ditiup pada pangkal alat dan dipegang tegak bukannya melintang seperti sekarang. Jenis itu dipercayai digunakan sejak tahun 2000 Sebelum Masehi lagi. Mulai kurun ke-17 seruling atau flute telah memegang peranan penting dalam pemainan muzik klasik dan gubahan yang memberikan seruling peranan sebagai alat solo.

Seruling atau flute pada masa kini telah direka oleh Theobald Beohm (1793-1881). Ia dibuat dengan berbagai jenis, yang kecil sekali dikenali sebagai Picollo, yang besar sedikit dikenali sebagai Alto Flute yang biasanya digunakan dalam gubahan klasik Barat. Alto Flute mengeluarkan bunyi yang lebih rendah.

Kompas Flute bermula dengan not C yang di bawah sekali kepada not yang tertinggi iaitu not A, lebih sedikit 21/2 oktaf jaraknya.

Menurut Encik Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden, Jenjarom, alat muzik seruling atau flute pada masa kini tidak sama dengan seruling bambu atau seruling buluh. Seruling merupakan sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh manakala flute ini dibuat daripada perak atau logam yang bersalut dengan perak. Selain itu, ada juga flute yang diperbuat daripada sejenis kayu hitam. Pada asalnya permainan keroncong menggunakan seruling dan akhirnya ditukar kepada flute. Hal ini kerana pemain lebih bebas bermain flute disebabkan oleh kemampuan alat itu yang mempunyai kompas yang tinggi.

Peranan Flute

Menurut Encik Bunadi bin Ridzuan seterusnya, peranan flute sama seperti biola iaitu memainkan melodi dan juga mengiringi secara counter melody serta memainkan not-not hiasan. Bunyi flute memberi keasyikkan kepada peminatnya jika pemain mempunyai banyak pengalaman dan berkebolehan dalam menggunakan aliran not bercorak keroncong. Adakalanya flute dan juga biola bermain secara duet sama ada secara harmonik atau unisen.

3. Cuk

Menurut Dr Ariff Ahmad, cuk merupakan satu alat yang diadaptasi daripada alat ukulele yang diperkenalkan oleh pelajar-pelajar Eropah yang menjelajah di kawasan Timur pada kurun ke-16. Cuk berperanan sebagai alat pengiring kerana ia cuma digunakan untuk bermain kord-kord sahaja. Ukulele berasal daripada satu alat yang dikenali dengan nama charanga yang dibawa dari Eropah.

Menurut Encik Bakri Darus pula, alat ini menggunakan 8 tali nilon yang mempunyai fungsi yang sama dengan ukulele. Cuk dipasang dengan 3 atau 4 tali nilon dan larasnya boleh ditukar ikut nada lagu. Pemain harus mahir menukar laras dengan cepat. Pemain juga perlu menukar kedudukan jari untuk bermain kord-kord untuk lagu yang dipersembahkan.

Peranan Cuk

Menurut Encik Bakri Darus lagi, cuk dimainkan untuk mengiringi lagu secara kord, dipetik secara strumming. Cara itu sudah berubah kepada memainkan secara petikan dan arpegio dengan kord yang berasaskan kord yang sedang dimainkan. Terdapat juga kumpulan keroncong yang menggunakan dua alat cuk dalam persembahan mereka. Biasanya petikan tiap-tiap pemain berlainan dan biasanya bertingkah.

Laras tali cuk adalah seperti berikut:

1. Untuk jenis lagu yang menggunakan 4 tali yang berkembang secara madura.

  • Tali Pertama - A
  • Tali Kedua - B
  • Tali Ketiga - C
  • Tali Keempat - D

2. Untuk jenis 3 tali:

  • Tali Pertama - E
  • Tali Kedua - B
  • Tali Ketiga - G

Ada beberapa cara memetik cuk sambil mengiringi lagu-lagu mengikut kemahiran pemain. Asasnya adalah seperti berikut:

4. Cak

Cak ialah satu alat muzik pengiring dalam permainan keroncong. Ia bergabung dengan alat cuk dan bertingkah. Pada masa dahulu alat yang digunakan untuk mengiringi keroncong adalah banjo atau mandolin dan alat itu dimainkan dengan cara memetik not asas pada kord yang dimainkan dengan cara tertentu.

Peranan Cak

Menurut Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali, pemimpin Kumpulan Keroncong Warisan, Teluk Panglima Garang, cak memainkan kord menggunakan rentak up beat. Cak direka baru oleh pemuzik Indonesia berbentuk seakan-akan cuk tetapi menggunakan 3 tali dawai yang berpasangan seperti mandolin. Tiada lubang bulat pada badan alat tetapi digantikan dengan lubang-lubang kecil. Dengan itu suara yang dihasilkan lebih nyaring dan tinggi.

Laras tali cak adalah mengikut kesukaan pemain biasanya adalah seperti berikut:

  • Tali Pertama - A
  • Tali Kedua - B
  • Tali Ketiga - C

Jika tali pertama ditukar nadanya, maka tali kedua dan ketiga ditukar mengikut susunan di atas. Cara petik cak biasanya bertingkah dengan cuk tetapi ditukar coraknya sedikit untuk menyedapkan persembahan.

5. Gitar

Alat gitar yang digunakan adalah jenis kotak atau akustik dan menggunakan tali dawai untuk tali pertama dan kedua. Tali ketiga hingga keenam dibuat daripada dawai yang dibalut dengan logam. Tali nylon tidak digunakan kerana ia tidak mengeluarkan suara yang sesuai.

Menurut Encik Wahid bin Bahari, pemimpin Kumpulan Keroncong Gema Sari, Kampung Kancong Darat, Banting, gitar memainkan iringan yang berbentuk counter melody atau adakalanya rangkaian not-not yang naik ke atas menurun berasaskan kod yang dimainkan. Kord saja yang jarang dipetik melainkan untuk memberi tekanan kepada sesuatu lagu ataupun pada permulaan lagu.

Melaras tali gitar adalah seperti biasa iaitu:

  • Tali pertama - E
  • Tali kedua - B
  • Tali ketiga - G
  • Tali keempat - D
  • Tali keenam - E

Peranan Gitar

Cari menjari kord adalah seperti biasa, walaupun tidak selalu dimainkan. Kebanyakkan pemain gitar keroncong bermain sekitar tali pertama, kedua dan ketiga sahaja. Menurut Encik Wahid bin Bahari lagi, pemain lebih banyak menggunakan jari telunjuk, jari tengah dan jari manis sahaja. Kebiasaannya pemain gitar kurang menonjol. Biasanya alat cuk berbunyi lebih jelas.

6. Cello

Menurut Encik Bakri Darus, cello ialah alat yang tergolong dari keluarga biola tetapi dalam keroncong asli ia dipetik (pizzicato) dan mempunyai peranan yang lebih dinamik dan lincah untuk menambahkan ketegasan rentak. Kini cello telah diubah dengan menggunakan tiga tali sahaja. Hal ini untuk memudahkan ia dimainkan kerana biasanya hanya tiga tali sahaja yang digunakan.

Menurut Encik Bakri Darus, di Indonesia terdapat syarikat yang membuat cello khas untuk keroncong. Alat cello pertama kali diperkenalkan pada tahun 1572 direka oleh Andrea Amati dari Cremona. Cello dilaras mengikut pilihan pemain.

Laras cello yang menggunakan empat tali ialah:

  • Tali pertama - C
  • Tali kedua - G
  • Tali ketiga - D
  • Tali keempat - A

Laras cello yang menggunakan tiga tali ialah:

  • Tali pertama - C
  • Tali kedua - G
  • Tali ketiga - D atau C (bawah)

Peranan Cello

Menurut Encik Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden, Jenjarom, cello adalah alat yang menggantikan gendang yang digunakan dalam muzik gamelan.

7. Double Bass

Seterusnya, menurut Encik Bunadi bin Ridzuan lagi, double bass merupakan alat terbesar dalam keluarga biola dan mula terkenal pada awal kurun ke-16. Ada pelbagai saiz double bass yang digunakan mengikut kehendak pemain. Tali double bass diperbuat daripada dawai dan juga nylon. Double bass merupakan alat yang paling mudah dimainkan kerana ia menekankan rentak seperti yang dilakukan oleh gong dalam gamelan. Ia dilaras mengikut laras biasa jika menggunakan 4 tali iaitu:

  • Tali pertama - G
  • Tali kedua - D
  • Tali ketiga - A
  • Tali keempat - E

Laras double bass tiga tali iaitu:

  • Tali pertama - G
  • Tali kedua - D
  • Tali ketiga - A

Peranan Double Bass

Menurut Encik Wahid bin Bahari, double bass biasanya hanya dimainkan satu bit sahaja dalam satu bar. Adakalanya, ia dimainkan pada bit pertama atau ketiga pada bit pertama, ketiga dan keempat. Cara terakhir itu diberi nama cara ‘rumba’. Pemian double bass selalunya akan bermain tidak lebih dari apa yang ditetapkan. Jika tidak ia akan mengganggu cello.

JENIS-JENIS MUZIK KERONCONG

Terdapat empat jenis muzik keroncong iaitu:

  1. Keroncong Asli
  2. Keroncong Langgam
  3. Keroncong Ekstra
  4. Stambul 

    • Stambul 1
    • Stambul 2

Menurut Encik Bakri Darus, lagu-lagu keroncong dicipta mengikut jenis-jenis yang sudah ditetapkan iaitu keroncong asli satu dan dua, keroncong langgam, stambul 1 dan 2 dan keroncong ekstra.

Ujar beliau, keroncong asli hanya menggunakan 28 bar sahaja iaitu tidak termasuk intro dan terdiri dari 3 bahagian. Pada permulaan lagu hanya satu atau dua alat solo sahaja dimainkan dan ianya menggunakan tempo bebas. Penutup lagu ataupun dipanggil coda, ianya sama sahaja dengan permulaan iaitu menggunakan satu atau dua alat solo sahaja. Manakala pada bar ke 8 dan 9 ianya mempunyai selingan. Muzik keroncong asli tidak diulang dan menggunakan key major.

Seterusnya ialah keroncong langgam. Menurut Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali, muzik keroncong langgam mempunyai bentuknya tersendiri. Jumlah bar yang terdapat dalam keroncong langgan ialah 32 bar tidak termasuk permulaan dan penutup. Ianya menggunakan tanda masa 4/4, manakala bentuk atau form keroncong langgam ialah A A B A. Ianya berbeza dengan keroncong asli dari segi menggunakan alat semasa permulaan. Keroncong langgam tidak dimulai dengan alat solo dan tidak mempunyai bridge. Keroncong langgam menggunakan tanda nada major atau minor.

Stambul juga dikategorikan dalam jenis-jenis ciptaan. Menurut Encik Wahid bin Bahari, terdapat 2 jenis stambul iaitu stambul satu dan dua. Jumlah bar yang digunakan oleh stambul satu ialah 16 bar dan menggunakan tanda masa 4/4. Lagu stambul satu tidak begitu terkenal kerana lagunya pendek dan biasanya tidak meninggalkan kesan. Stambul satu menggunakan form A B. Intro dan penutup adalah bebas. Stambul satu dimainkan dengan tempo yang sederhana dan berbunyi sedih.

Stambul dua pula hampir sama dengan stambul satu tetapi jumlah barnya adalah 16x2 iaitu 16 bar pertama diulang. Stambul dua menggunakan tanda masa 4/4 dan bentuk formnya A B. Senikatanya berupa rangkap pantun, ada juga yang tidak menggunakan patun sebagai senikata. Ianya bebas menggunakan alat solo atau suara tanpa iringan muzik.

Selain itu, menurut Encik Bakri Darus, keroncong ekstra adalah lagu-lagu yang diadaptasikan daripada lagu-lagu tradisional atau rakyat yang sudah ada. Ianya bersifat riang dan jenaka. Keroncong ekstra sangat terpengaruh oleh bentuk-bentuk lagu tradisional. Ianya tidak mempunyai bentuk tertentu pada jumlah bar atau rangkapnya oleh kerana lagu asal boleh diambil dari mana-mana sahaja.

Manakala menurut Dr Ariff Ahmad, muzik keroncong lebih condong pada progresi akord dan jenis alat yang digunakan. Sejak pertengahan abad ke-20 telah dikenali paling tidak tiga macam keroncong, yang dapat dikenali dari pola progresi akordnya. Bagi pemuzik yang sudah memahami alurnya, mengiringi lagu-lagu keroncong sebenarnya tidaklah susah, sebab cukup menyesuaikan pola yang berlaku. Pengembangan dilakukan dengan menjaga konsistensi pola tersebut. Selain itu, terdapat pula bentuk-bentuk campuran serta adaptasi.

1. Keroncong Asli

Menurut Encik Bakri Darus, keroncong asli memiliki bentuk lagu A - B - C. Kebanyakan dibawakan sebanyak dua kuplet utuh (dari atas). Alur chordnya seperti tersusun di bawah, iaitu:

*| I , , , | I , , , | v , , , | V , , , | II , , , | II , , , | V , , , | V , , , | V , , , | V , , , |
*| IV , , ,| IV , , ,|IV , , , | V , , , | I , , , | I , , , | V , , , | V , , , | I , , , | IV , V , |
*| I , , , | IV , V , | I , , ,| I , , , | V , , , | V , , , | I , , ,|

Keroncong asli kadang-kadang juga dimulai oleh prospel terlebih dahulu. Prospel adalah seperti intro yang mengarah ke nada atau chord awal lagu, yang dilakukan oleh alat muzik melodi seperti seruling atau flute, biola, atau gitar.

2. Langgam

Menurut Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali pula, bentuk lagu langgam ada dua versi. Yang pertama ialah A - A - B - A dengan pengulangan dari bahagian A kedua. Beza sedikit pada versi kedua, yakni pengulangannya terus pada bahagian B. Meski sudah memiliki bentuk baku, namun pada perkembangannya irama ini lebih bebas diekspresikan. Penyanyi serba boleh Hetty Koes Endang misalnya, beliau sering merakam lagu-lagu bukan keroncong dan langgam menggunakan irama yang sama, dan kebanyakan tetap dinamakan langgam. Alur chord-nya seperti berikut:

*| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , , | I , , , | I , , , |
*| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , , | I , , , | I , , , |
*|IV , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | II , , , | II , , , | V , , ,| V , , ,|
*| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , , | I , , , | I , , , |

Bentuk adaptasi keroncong terhadap tradisi muzik gamelan dikenali sebagai langgam Jawa, yang berbeza dari langgam yang dimaksudkan di sini. Langgam Jawa memiliki ciri khusus pada penambahan instrumen antara lain siter, kendang (boleh diwakili dengan modifikasi permainan cello ala kendang), saron, dan adanya bawa atau suluk berupa introduksi vokal tanpa instrumen untuk membuka sebelum irama dimulai secara utuh.

3. Stambul

Stambul merupakan jenis keroncong yang namanya diambil dari bentuk sandiwara yang dikenali pada akhir abad ke-19 hingga separuh awal abad ke-20 di Indonesia dengan nama komedi stambul. Nama ‘stambul’ diambil dari Istambul di Turki.

Stambul memiliki dua jenis progresi akord yang masing-masing disebut sebagai Stambul I dan Stambul II. Stambul dimulai oleh penyanyi itu sendiri, atau intro lagu bukan dari alat muzik melainkan dari penyanyi tanpa iringan instrumen terlebih dahulu.

4

TOKOH DAN PENGGIAT SENI MUZIK KERONCONG SELANGOR

SEMENJAK seni muzik keroncong bertapak di bumi Tanah Melayu khususnya dan di negeri Selangor amnya, ramai tokoh penggiat seni ini muncul. Kemunculan mereka telah menyemarakkan dunia seni keroncong dengan pelbagai bentuk aktiviti tersendiri sehingga ada yang diberi anugerah tertentu hasil dari usaha yang telah mereka sumbangkan.

TOKOH PENGGIAT SENI KERONCONG AWAL

Menurut Dr Ariff Ahmad, penggiat keroncong kebanyakannya berasal dari Singapura dan penglibatan awal mereka adalah dalam kumpulan-kumpulan yang memainkan alat muzik pada ketika itu. Pengiat seni muzik keroncong ini berasal dari keluarga yang menetap di kawasan kampung. Oleh kerana itu, mereka mudah terdedah kepada muzik keroncong yang banyak dimainkan oleh masyarakat terutamanya golongan tua pada masa itu.

Dengan pendedahan sebegitu, minat dalam jiwa mereka terhadap lagu keroncong telah menyebabkan mereka ingin belajar lebih mendalam terhadap muzik keroncong. Mereka bermula dengan mempelajari not-not muzik, kemudian bermain alat muzik dan akhirnya menghasilkan lagu keroncong. Pendedahan yang besar terhadap lagu keroncong pada masa dahulu telah memudahkan penggiat seni muzik keroncong ini menghasilkan lagu keroncong dan diterima oleh semua golongan masyarakat pada ketika itu. Ditambah pula dengan kekurangan genre muzik lain, muzik keroncong mendapat tempat di hati masyarkat pada masa itu dan menggalakkan lagi penggiat seni muzik keroncong untuk menghasilkan lagu keroncong.

Kini lagu keroncong ciptaan mereka masih lagi kedengaran di corong-corong radio tetapi kurang mendapat sambutan daripada masyarakat dan seni muzik keroncong ini masih diteruskan oleh beberapa nama baru seperti Tan Sri S. M Salim dan M. Nasir sehingga kini. Antara tokoh-tokoh awal penggiat seni keroncong ialah:


1. Johar Bahar

Lagu Selamat Tinggal Bungaku kini menjadi ucapan terakhir kepada penciptanya, Allahyarham Johar Bahar kepada dunia seni dan orang yang disayangi. Sejak diciptakan pada 1948, Selamat Tinggal Bungaku tidak pernah usang. Hasil karya ini menjadi khazanah seni dan salah satu daripada lagu yang meniupkan semangat cintakan tanah air kepada yang menghayatinya.

Selamat Tinggal Bungaku adalah sebuah karya roman perjuangan yang dalamnya ada nilai-nilai romantis dan kecintaan kepada negara. Irama daripada sentuhan Allahyarham Johar Bahar yang lembut telah menghantar semangat juang yang tinggi kepada perwira negara. Ketika negara menjadi rebutan penjajah kemudian bertelingkah dengan saudara serumpun Indonesia, kemudian pula diceroboh oleh tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah, irama dan lagu menjadi wadah untuk mencari ketenteraman, semangat dan penawar kekecewaan. Di sinilah hadirnya manusia seperti Allahyarham Johar Bahar yang bercakap dalam bahasa muziknya.

Malah lagu Selamat Tinggal Bungaku dihasilkan daripada milieu zaman perang. Hal yang sama juga berlaku di Indonesia di mana pencipta lagu-lagu patriotik mengambil pendekatan roman perjuangan. Allahyarham Johar Bahar menjadi kesinambungan kepada Ismail Marzuki di Indonesia yang banyak mencipta lagu-lagu patriotik yang popular di negara itu seperti Selendang Sutera, Melati Di Tapal Batas, Bandung Selatan Waktu Malam dan Terang Bulan Di Malaysia.

Tetapi ketika menggelegak semangat berjuang, sebahagian besar lagu-lagu patriotik memilih irama march yang rancak. Tetapi Allahyarham Johar Bahar mencipta lagu berirama perlahan seperti keroncong untuk menyemarakkan perjuangan. Menerusi lagu-lagu ciptaannya, Allahyarham Johar Bahar memilih untuk menyemaikan kecintaan kepada keindahan negara sebagai pendekatan patriotisme. Apa lagi dengan irama yang perlahan yang memberi ruang kepada minda menterjemah laras kata dan seninya.

Biarpun Allahyarham Johar Bahar telah hilang dari pandangan tetapi tetap subur di jiwa sebahagian besar daripada kita. Karya lagu yang ditinggalkan menyeru kepada kecintaan kepada keindahan alam negara ini dan kasih sayang kepada manusianya. Allahyarham Bahar Johar telah menghembuskan nafas terakhir, pada hari Sabtu tanggal 24 September 2005 pada usia 84 tahun sebenarnya telah lama ‘hilang’ apabila keuzuran membataskan rutin hidupnya. Tetapi Allahyarham terus berbakti kepada negara ini apabila kita terasa betapa indahnya negara yang satu ini dalam lagu Banjaran Titiwangsa, Gunung Kinabalu atau Malaysia Tanah Airku.

Hati kita pasti akan berdetik dan berkata, “Oh indahnya tanah airku” sebaik saja selesai mendengar lagu Banjaran Titiwangsa yang dinyanyikan semula oleh Broery Marantika akhir tahun 1980-an lalu. Malah kita juga pasti terasa betapa cinta itu menjadi obor perwira ke perbatasan apabila menghayati lagu Pahlawanku nyanyian Saloma dan Selamat Tinggal Bungaku dinyanyikan oleh Tan Sri S.M Salim, Mariam Ahmad dan juga Allahyarham Rafeah Buang.

Bagi penulis, Allahyarham Johar Bahar yang dilahirkan pada 25 Februari 1921 itu adalah seorang nasionalis. Allahyarham berjuang dengan mencipta lagu bercorak patriotik kendatipun memilih irama yang perlahan dan romantis. Allahyarham Johar Bahar tentu percaya bahawa irama yang lembut juga boleh membuatkan manusia dibakar semangat perjuangannya.

Biarpun Allahyarham Johar Bahar telah lenyap daripada pandangan kita tetapi peninggalannya akan terus memberi manfaat terhadap penghayatan kepada tanah air. Lagu-lagunya adalah karya besar yang tidak akan mengalah dek peredaran zaman, tidak luput dalam lipatan sejarah.

Ketika ini mungkin namanya tidak kerap disebut. Tetapi setiap kali lagunya berkumandang di radio, orang akan mendapat manfaat sekurang-kurang membuatkan mereka berfikir sejenak tentang negara ini. Selain meninggalkan khazanah muzik, Allahyarham Johar Bahar juga meninggalkan anak didiknya yang tidak kurang hebatnya. Antaranya ialah Datuk Ibrahim Bachik dan Datuk Johari Salleh. Sementara salah seorang anaknya iaitu Profesor Madya Khairil Johari Johar menjejaki langkahnya hingga menjadi ahli akademik dalam bidang muzik.

Keindahan seni kata dan irama lagu Banjaran Titiwangsa, Malaysia Tanah Airku atau Gunung Kinabalu adalah hujan emas di negera kita, hujan batu di negara orang. Pesan orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama. Tetapi apalah yang ada pada nama kalau tanpa khazanah yang ditinggalkan untuk dimanfaatkan zaman berzaman kemudiannya? Justeru itu Allahyarham Johar Bahar bukan saja telah meninggalkan nama, Allahyarham juga telah meninggalkan pesan supaya kita mencintai negara ini. Allahyarham juga telah meninggalkan ceritera tentang kasih sayang sesama manusia yang tertera dalam syahdunya susun atur irama serta baik senikatanya.

Apa kata mereka tentang Allahyarham Johar Bahar:

1. Tan Sri Dato’ S. M Salim

Tan Sri Dato’ S. M Salim atau nama sebenarnya Salim Sheikh Mohammad, berkata lirik lagu Selamat Tinggal Bungaku ciptaan Johar Bahar yang liriknya dihasilkan oleh Hasnah Mohd. Yunus itu menyentuh perasaan kerana ia menggambarkan isi hati perajurit yang terpaksa berpisah dengan orang tersayang. Sebenarnya lagu itu sering dinyanyikan oleh Orkes Rindu Malam dan S. M Salim sendiri selalu menyanyikan lagu tersebut setiap kali diundang mengadakan persembahan menghiburkan perajurit di seluruh negara. Waktu itu lagu tersebut belum dirakamkan dalam mana-mana album.

“Lama kelamaan, lagu itu seperti sudah sebati dan saya pun minta izin untuk merakamkannya pada tahun 60-an. Allahyarham Johar Bahar bersetuju,” ujar S.M Salim. Menurut S.M Salim, dia mengenali Allahyarham Johar Bahar kerana mereka sama-sama bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Katanya, sepanjang tempoh mengenali Allahyarham, belum sekali dia melihat Allahyarham meninggikan suara atau bermasam muka dengan orang lain. Sebab itu, kata S. M Salim, dia sering mencari ruang mengusik Allahyarham dan menunggu masa untuk melihat Allahyarham naik angin.

“Allahyarham adalah seorang yang pendiam tetapi disenangi oleh semua orang kerana dia jenis yang tidak suka ambil tahu hal orang lain. Dia akan buat kerja dia sahaja. Saya sering tertunggu-tunggu nak tengok wajahnya bila marah. Tetapi sampai akhir hayatnya, saya tidak berpeluang melihat,” ceritanya lagi. Tegasnya, Allahyarham Johar Bahar amat kental dengan semangat patriotik dan pegangannya itu disalurkan menerusi lagu. “Allahyarham adalah seorang anak seni jati. Karya-karyanya lahir daripada jiwa dan sebab itulah lagu-lagu ciptaannya mampu bertahan hingga kini. Bezanya lagu ciptaan Allahyarham banyak berentak keroncong,” katanya.

2. Datuk Ibrahim Bachik

Sementara itu seorang lagi aktivis seni yang rapat dengan Allahyarham Johar Bahar ialah Datuk Ibrahim Bachik. Menurut Datuk Ibrahim Bachik, dia mula mengenali Allahyarham Johar Bahar pada tahun 1968 ketika bertugas di Radio Malaysia, Bahagian Melayu di Rumah Persekutuan. Perkenalannya dengan Allahyarham amat erat.

“Apabila kami dipindahkan ke Angkasapuri, saya bertugas sebagai juruhebah dan Johar pula di bahagian perpustakaan. Dia juga yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk menghasilkan lagu-lagu berirama puisi,” katanya. Malah sewaktu bertugas sebagai Penerbit Rancangan Orkestra di radio, Datuk Ibrahim Bachik banyak memberi peluang kepada Orkestra Bertali Johar Bahar mengadakan persembahan setiap minggu. Datuk Ibrahim Bachik yang merupakan guru vokal bebas untuk korporat atau individu itu berkata bahawa kebanyakan lagu ciptaan Johar Bahar lahir daripada jiwa.

Katanya, sebagai pemimpin orkestra, Johar Bahar tidak pernah garang dengan pemuzik atau penyanyi. Sebaliknya, kalau mana-mana ahli melakukan kesilapan, dia akan tegur dengan nada bergurau. “Sikapnya yang susah marah itu membuatkan dia disenangi oleh semua orang. Selain itu satu lagi tanda yang dia ada berhampiran kita adalah bau cerutnya,” katanya sambil tersenyum. Baginya, Allahyarham Johar Bahar adalah seorang komposer dan sahabat yang sukar untuk dicari ganti.

3. Jamaluddin Alias

Jamaluddin Alias, penyanyi lagu-lagu patriotik menganggap usaha dan kesungguhan Allahyarham Johar Bahar yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jo dalam memupuk semangat cintakan tanah air sukar dicari ganti. “Kelebihan Allahyarham sebagai komposer lagu patriotik ialah penghayatan beliau semasa mencipta sesebuah lagu yang mampu menyentuh emosi pendengar. Semua lagu beliau cukup hebat. Sebagai penyanyi, saya dapat menghayati keindahan melodi serta menyelami liriknya setiap kali mengalunkan hasil ciptaan beliau,” katanya.

Walau memiliki kebolehan serta bakat dalam bidang seni, kata Jamaluddin, Allahyarham Johar Bahar seorang yang tidak kedekut ilmu serta tidak pernah menolak apabila ada sesiapa meminta tunjuk ajar. Jamaluddin mendapat bimbingan Allahyarham Johar Bahar ketika menyertai Orkes Rindu Malam pimpinan arwah pada 1955. “Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah. Walau beliau seorang yang pendiam, tetapi kami akrab bagaikan adik-beradik. Lagipun kami sama-sama tinggal di Kampung Semarang, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Masa lapang banyak dihabiskan bersama untuk berlatih menyanyi dan sebagainya. Dengan bimbingan arwah juga saya muncul sebagai juara Bintang Radio 1961 kategori irama langgam dan asli,” jelasnya.

Mengenali Allahyarham Johar Bahar yang tidak gemar mencampuri urusan orang lain, katanya, hasil gubahan beliau sering menjadi sanjungan penyanyi dan komposer Singapura dan Indonesia. “Tetapi arwah bukan jenis yang suka menonjolkan diri atau merungut itu ini. Dia hanya buat kerja dia tanpa banyak soal. Bagaimanapun, jasa beliau dalam menaikan semangat patriotik melalui lagu-lagu wajar dikenang dan diberi penghargaan yang sewajarnya,” katanya.

4. Datuk Johari Salleh

Bagi Datuk Johari Salleh, Allahyarham Johar Bahar mempunyai gaya dan keistimewaan tersendiri dalam mencipta lagu-lagu patriotik berirama perlahan. Mengenali Allahyarham Johar Bahar sejak menyertai RTM pada 1961, katanya lagu-lagu beliau mampu memberi semangat tanpa perlukan melodi rancak.

“Jika kebanyakan lagu patriotik lain berentak rancak, Allahyarham lebih cenderung pada lagu-lagu patriotik berirama sentimental sesuai dengan sifat beliau yang pendiam dan lemah lembut. Itulah istimewanya ciptaan beliau. Walau berirama sentimental, gubahannya terbukti mampu memupuk semangat patriotik dan menjadi ingatan dan sanjungan hingga ke hari ini,” katanya.

Masing-masing berkhidmat sebagai komposer di RTM, katanya, Allahyarham Johar Bahar banyak memberi tumpuan pada muzik keroncong dan asli untuk rakaman siaran radio. Jarang berbincang tentang muzik mahupun lagu-lagu gubahan masing-masing, hubungan mereka lebih sebagai sahabat baik yang berterusan sehingga ke akhir hayat Allahyarham. Kedua-duanya pernah bergabung tenaga dalam menghasilkan lagu Selamat Pergi Pahlawan semasa Konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.

“Allahyarham lebih dihormati sebagai seorang yang lebih senior dan berpengalaman dalam gubahan lagu-lagu patriotik. Beliau umpama mentor kepada komposer-komposer muda dengan sikap beliau yang tidak lokek walau tidak begitu ramah serta lebih memberi tumpuan kepada kerjanya,” jelasnya.

Mengenali Allahyarham Johar Bahar yang sentiasa merendah diri, beliau tidak pernah merungut walau hasil ciptaan beliau ke udara tanpa menyebut namanya sebagai komposer. Walau jauh lebih berpengalaman, namun beliau sentiasa menghormati kebolehan komposer-komposer muda serta suka membantu apa yang perlu. Kata Datuk Johari lagi, kenangan paling manis apabila Allahyarham menyuarakan hasrat untuk menamakan anaknya sempena nama beliau.

Bagi Datuk Johari Salleh, itu merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana komposer berbakat seperti Allahyarham Johar Bahar, ingin menjadikannya sebagai idola untuk anak beliau. Kini, ternyata impian tersebut bukan satu mimpi kerana Profesor Madya Khairil Johari Johar bukan sahaja komposer, tetapi juga pensyarah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

5. Profesor Madya Khairil Johari Johar

Profesor Madya Khairil Johari Johar (Ketua Jabatan Seni dan Persembahan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor) pula memberitahu, bapanya yang dipanggil babah itu seorang yang amat penyabar, tidak banyak cakap dan sangat merendah diri. “Dia tidak menonjol tetapi amat kreatif. Sayang sekali, dia tidak sempat mencipta lagu untuk menceritakan tentang kegemilangan Putrajaya,” kata Khairil.

Profesor Madya Khairil Johari Johar yang juga aktif dalam penciptaan lagu serta banyak menyertai pertandingan mencipta lagu mengakui, bapanya menjadi mentor dan pendorong utamanya dalam bidang penciptaan. “Babah selalu berpesan jika mahu mencipta lagu, ciptalah irama dan lirik yang mudah tetapi berkesan. Babah juga banyak mengajar saya tentang erti kesabaran. Katanya, kalau buat sesuatu mesti sabar. Mungkin itu juga yang membuatkan dia mempunyai jati diri yang tinggi,” kata Profesor Madya Khairil Johari Johar.

Malah bagi Profesor Madya Khairil Johari Johar, walaupun nama bapanya tidak segah seniman lain namun dia yang berkelulusan dari Berklee School Of Music, Boston, Amerika Syarikat ini tetap berbangga apabila saban tahun lagu ciptaan bapanya seperti Malaysia Tanah Airku berkumandang dan didendangkan dalam setiap acara sambutan hari kemerdekaan.

2. Zubir Said

Zubir Said dilahirkan pada 22 Julai 1907. Beliau merupakan anak sulung kepada seorang penghulu bernama Mohamad Said bin Sanang. Beliau memulakan karier muziknya di Singapura pada awal tahun 1930-an dengan kumpulan bangsawan City Opera. Kerjaya sebagai pemimpin Orkestra Studio Malay Film Production (MPF) milik Shaw Brothers bermula pada tahun 1949 di mana beliau banyak menghasilkan lagu-lagu untuk filem. Lebih dikenali sebagai Pak Zubir, beliau dianggap guru kepada ramai penggubah lagu termasuk P. Ramlee.

Lagu-lagu ciptaan beliau kebanyakkannya berunsurkan tradisional, moden dan patriotik. Antara lagu-lagu Zubir Said yang popular sehingga hari ini ialah lagu Sayang Disayang nyanyian asal Rubiah dan telah dirakamkan semula oleh Katrina Dahari. Zubir Said juga menghasilkan lagu-lagu untuk kanak-kanak seperti Semoga Bahagia, Orang Singapura dan satu kejayaan besar dalam hidupnya ialah lagu ciptaan beliau Majulah Singapura telah dipilih sebagai lagu kebangsaan Republik Singapura. Zubir Said meninggal dunia pada tahun 1987 di Singapura. Antara lagu keroncong Zubir Said yang terkenal ialah Sayang Disayang.

Sayang Disayang

Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu
Kuburan... kuburan

Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang disayang

Hatiku rindu
Orang jauh tak lupa dari
Kenangan… kenangan

Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang disayang

3. Ahmad Ja’afar

Ahmad Ja’afar dilahirkan di Sumatera, Indonesia pada 30 Ogos 1919. Bapanya seorang ejen wayang gambar bisu sementara bapa saudaranya pula ialah seorang tukang biola yang menjadi penghias lagu-lagu hiburan semasa filem-filem bisu ditayangkan. Penglibatan seriusnya dalam bidang muzik bermula setelah berhijrah ke Singapura pada tahun 1946. Perkenalannya dengan pemuzik Osman Ahmad memudahkan laluannya untuk menjadi pemuzik di kota tersebut.

Pada tahun 1950, beliau berpeluang mencipta lagu Ibu sebagai lagu tema filem yang sama tajuknya dan dinyanyikan oleh P. Ramlee. Beliau kemudian diberi kepercayaan menghasilkan lagu-lagu untuk filem Penghidupan dan beberapa buah lagu lagi. Antara lagunya yang masih segar ialah Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Saloma.

Lagu-lagu ciptaannya turut didendangkan oleh Ahmad Daud, Nona Asiah, dan R Azmi. Ahmad Ja’afar pernah mengasaskan Orkes Rayuan Kencana yang amat popular pada tahun 1950-an kerana sering diundang oleh Radio Malaysia di Singapura. Beliau turut memimpin Orkestra HMV untuk mengiringi rakaman lagu-lagu P. Ramlee ke piring hitam. Beliau kini mengajar muzik setelah bersara dari Perbadanan Penyiaran Singapura pada tahun 1992.

4. P. Ramlee

P. Ramlee dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Rabu, Hari Raya Aidilfitri, 22 Mac 1929, dengan nama asal Teuku Zakaria merupakan anak tunggal kepada pasangan Teuku Nyak Puteh dan Che Mah Hussin. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa, seterusnya di Penang Free School sehingga Free School sehingga Perang Dunia Kedua di mana beliau memasuki sekolah tentera Laut Jepun (Kaigun).

Penglibatan P. Ramlee dalam dunia muzik bermula dengan menganggotai pancaragam ‘Sinaran Bintang Sore’ pancaragam ‘Teruna Sekampung’ seterusnya berpindah ke pancaragam ‘Mutiara’ dan menggabungkan diri dengan pancaragam keroncong pemuda Indonesia sebagai pemain biola utama. Kariernya dalam bidang seni muzik bermula selepas menang dalam pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang di mana beliau dilamar oleh B.S. Rajhans seorang pengarah filem dari Shaw Brothers, Singapura.

Di Studio Malay Film Production, Jalan Ampas Singapura, P. Ramlee ditugaskan sebagai penyanyi latar (playback singer) kepada S. Rommai Noor. Beliau berlakon dalam filem pertamanya iaitu Chinta dan diberi peluang untuk mengarah filem pertamanya, Penarik Beca yang membawa anugerah ‘Pengarah Terbaik’ pada tahun 1956.

P. Ramlee menimba ilmu dalam bidang seni muzik dari komposer veteran seperti Zubir Said, Osman Ahmad dan Yusof B. Selain mencipta dan menggubah lagu, P. Ramlee juga menulis lirik bagi lagu-lagu ciptaannya. Oleh kerana hambatan tugas beliau meminta rakan setugasnya untuk membantu menulis lirik lagu iaitu S. Sudarmaji, Jamil Sulong, H. M. Rohaizad dan muridnya, Yusnor Ef.

Air Mata Di Kuala Lumpur merupakan lagu perpisahannya sementara Laksamana Do Re Mi adalah filem terakhir beliau. Sepanjang hayatnya beliau telah berlakon dalam 66 filem, mengarah 37 filem, mencipta banyak lagu di mana 250 buah lagu telah menjadi popular. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan sakit jantung.

5. Wawang Wijaya

Seniman ini barangkali namanya tidak sesohor seniman-seniman lain yang kita kenali. Namun, kekebalan jiwanya terhadap kesenian keroncong membuatkan Wawang Wijaya muncul sebagai satu-satunya pemuzik tersohor yang tiada tolok bandingnya di rantau Nusantara.

Sebilangan besar rakyat Malaysia kurang kenal siapa itu Wawang Wijaya. Andai yang mengenali seniman ini sekalipun, mereka barangkali, orang-orang yang pernah rapat dengan beliau, individu yang pernah berguru dengannya atau penonton dan peminat setia beliau. Sayang sekali, Wawang sudah tiada lagi di muka bumi ini untuk terus mengalunkan muzik keroncong yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Bahkan, kerugian besar dapat dirasakan oleh para karyawan muzik muda khususnya serta pengkaji-pengkaji muzik Melayu kerana di dada Wawang Wijaya sarat dengan ilmu yang boleh mengajak kita untuk sama-sama meningkatkan apresiasi terhadap kesenian muzik serantau umumnya dan tentunya keindahan muzik keroncong.

Berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa orang kenalan Allahyarham Wawang Wijaya, beliau lebih banyak memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kesenian seperti memenuhi undangan bermain muzik di acara-acara yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan negara. Wawang Wijaya juga sangat gemar berkongsi ilmu dan mengajar dan mengasah bakat anak-anak muda dalam muzik keroncong serta mengajar di pusat-pusat pengajian tinggi selain diundang memberikan ceramah mengenai keroncong adalah keutamaannya.

Sebetulnya, pengaruh lelaki yang dilahirkan di Jogyakarta, Indonesia pada penghujung era penjajahan Jepun ini sangat besar dalam perkembangan muzik keroncong di rantau ini. Lalu, bukan sesuatu yang mengejutkan pemergian Wawang Wijaya ke rahmahtullah akan terus dikenang di kalangan rakan-rakan rapat serta sebilangan besar tokoh-tokoh kenamaan negara yang sering dihiburkan oleh seniman yang berasal dari negara jiran itu.

“Saya pasti akan merindui beliau. Allahyarham banyak membantu saya mengasah bakat dalam bidang nyanyian khususnya lagu-lagu keroncong. Sebagai seorang guru, banyak ilmu dan nasihat Allahyarham yang akan menjadi bekalan buat saya selama-lamanya,” ujar Jamilah Abu Bakar, salah seorang anak murid yang sangat dikasihi Allahyarham Wawang Wijaya.

Hubungan Wawang dengan Jamilah Abu Bakar bukan sekadar hubungan guru dan anak murid, sebaliknya sudah seperti saudara kandung. Masakan tidak, keluarga Jamilah khususnya ayah dan ibunya, Abu Bakar Ismail serta Kamariah Che’ Soh sudah begitu akrab dengan Allahyarham sementelah Wawang sebatang kara di Malaysia.

“Oleh kerana beliau bersendirian di sini, maka kami antara yang mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham. Cuma, saya serta isteri dan Jamilah agak sedih dan ralat kerana tidak berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata Abu Bakar. Kesedihan Abu Bakar ada sebabnya kerana Wawang Wijaya disedari meninggal dunia sendirian di kediamannya di sebuah apartmen di Apartmen Lestari, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor oleh polis yang memecah masuk pintu rumahnya.

Beberapa jam sebelum meninggal dunia, Abu Bakar ada menerima panggilan telefon daripada Allahyarham Wawang Wijaya memaklumkan kelas muzik keroncong Jamilah terpaksa dibatalkan memandangkan beliau kurang sihat. Itulah perbualan terakhir antara Abu Bakar dengan Allahyarham Wawang Wijaya. Sebetulnya persahabatan antara Abu Bakar sekeluarga dengan Allahyarham Wawang Wijaya bermula pada 2007 pada acara Festival Pertandingan Akhir Keroncong Remaja Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam.

Mengimbas kenangan silam itu, Abu Bakar berkata, pada malam itu Jamilah yang baru berusia 11 tahun dijemput sebagai penyanyi undangan menyampaikan dua buah lagu keroncong, Stambul Baju Biru dan Sate Kajang. “Kami diperkenalkan kepada Wawang Wijaya oleh tokoh pemuzik keroncong tanah air, Abdullah Safri. Tertarik dengan persembahan nyanyian Jamilah, Wawang Wijaya menawarkan diri untuk melatih anak saya,” kata Abu Bakar bercerita detik permulaan perkenalan dengan Allahyarham Wawang Wijaya.

Kasih sayang sebagai seorang guru terhadap anak muridnya terpancar pada peribadi Allahyarham Wawang Wijaya yang begitu mengagumi minat Jamilah kerana jarang sekali Wawang Wijaya bertemu dengan si kecil yang mempunyai kecenderungan pada muzik keroncong. Keakraban itu juga membuatkan Wawang Wijaya menganggap Jamilah seperti anak kandungnya sendiri dan memanggil anak muridnya itu dengan panggilan Puteri. Jamilah dan Wawang Wijaya juga sering bersama-sama memenuhi undangan persembahan di banyak tempat.

Biarpun jasad Wawang Wijaya sudah tiada lagi, namun dalam diri Abu Bakar dan Jamilah terutamanya, kekentalan semangatnya, ketabahannya menghadapi pancaroba kehidupan seorang diri tetap bersemadi dalam sanubari mereka.

Mengimbas kembali fasa kehidupan Wawang, apa yang perlu pembaca ketahui mengenai seniman ini ialah beliau didedahkan dengan muzik keroncong melalui datuknya. Pada tahun 1977, Wawang Wijaya berhijrah ke Kuala Lumpur dan semenjak itu, beliau aktif dengan kumpulan keroncong O.K. Malindo (sebuah kumpulan keroncong dari Melaka yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik keroncong Indonesia dan Malaysia).

Selang tujuh tahun, Wawang Wijaya ditawarkan sebagai pensyarah keroncong Indonesia di Universiti Teknologi Mara dan pada tahun 1995 di Universiti Sains Malaysia. Beliau juga antara pengasas Orkes Keroncong Putra Malaysia yang pernah diundang mengadakan persembahan di Belanda pada tahun 2003 dan 2005. Ketika di sana juga, beliau bersama rombongan yang lain mengadakan persembahan di Den Haag.

Dalam satu tulisan beliau, Allahyarham Wawang Wijaya pernah menyuarakan kebimbangan terhadap minat dan kecenderungan masyarakat terhadap muzik keroncong yang sudah semakin pudar. Paling utama, beliau ada mempersoalkan ke mana destinasi masa depan muzik keroncong seandainya minat dan kecenderungan generasi muda terhadap genre muzik itu sudah berakhir.

PENERUS SENI KERONCONG

Di negeri Selangor ada beberapa buah kumpulan penggiat seni muzik keroncong yang masih aktif mempersembahkan irama keroncong dalam setiap persembahan mereka. Kumpulan-kumpulan penggiat tersebut adalah seperti Kumpulan Gema Sari, dipimpin oleh Encik Wahid bin Bahari yang bertapak di Kampung Kancong Darat, Kuala Langat, Kumpulan Warisan, diketuai Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali yang bertapak di Sijangkang, Telok Panglima Garang, dan Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden diketuai Encik Bunadi bin Ridzuan bertapak di Jenjarom.

Juga Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden yang diketuai Encik Abdul Rahman bin Basuni bertapak di Olak Lempit, Banting, Kumpulan Gema Irama diketuai Bakri bin Darus bertapak di Meru, Klang, Kumpulan Keroncong Lukisan diketuai Samsudin Mohammad bertapak di Ampang, Kumpulan Keroncong Bunga Mawar diketuai Encik Mohd Yatim bin Haji Shukor bertapak di Bestari Jaya, Kumpulan Keroncong Carmala diketuai Encik Hashim bin Malek bertapak di Shah Alam, termasuk satu lagu kumpulan iaitu Kumpulan Keroncong Port Klang yang diketuai Encik Harry bin Ismail bertapak di Pelabuhan Klang.

1. Kumpulan Gema Sari

Kumpulan Gema Sari telah ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Encik Wahid bin Bahari. Encik Wahid bin Bahari yang dilahirkan pada tanggal 3hb Februari 1949 di Kampung Kancong Darat, Kuala Langat kini sudah berusia 64 tahun dan mula berkecimpung dalam bidang muzik sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ketika itu beliau bersama-sama rakan-rakannya bergiat dalam kugiran. Kugiran pertama yang beliau tubuhkan bersama rakan-rakannya mengetengahkan lagu-lagu pop dan beberapa tahun kemudian barulah bertukar kepada irama keroncong.

Beliau bertukar ke irama keroncong kerana amat meminati irama ini yang katanya begitu lembut dan sarat dengan ketenangan. Sewaktu ditubuhkan, Kumpulan Gema Sari terdiri daripada Encik Yahya Osman (sudah meninggal dunia) selaku pemain cak dan cuk, Encik Wahid sendiri sebagai pemain ukulele, Encik Mohd Salleh pemain biola, Encik Mohd Sehap pemain gitar, dan Encik Jumi bin Misran pemain double bass dan cello. Dua orang penyanyi kumpulan ini ialah Encik Mohd Rais dan Cik Yong Mohd Salleh (anak kepada Encik Mohd Salleh, pemain biola).

Sepanjang Kumpulan Gema Sari berdiri sebagai sebuah kumpulan seni muzik keroncong, kumpulan ini telah mengadakan pelbagai persembahan di seluruh negara. Sekitar tahun 1960-an kumpulan ini telah diberi kesempatan untuk memberikan persembahan mereka di kelab-kelab malam sekitar bandar raya Kuala Lumpur, Kelang dan Petaling Jaya. Sekitar tahun 1970-an mereka beralih ke rumah-rumah kenduri, fun-fare dan juga menerima undangan organisasi-organisasi kerajaan. Sekitar tahun 1980-an, kumpulan ini mengorak langkah ke hotel-hotel di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Antara penyanyi terkenal yang pernah diiringi oleh Kumpulan Gema Sari ialah Allahyarham Dato’ Ahmad Jais, Mariam Ahmad, Raftah Bahik, Samsudin Lamin, Dato’ Malik Ridzuan, Alias Shah, Lela Shahrin dan juga Ana Rafali. Menurut Encik Wahid bin Bahari, sekitar tahun 1970-an, kumpulan ini menerima bayaran sekitar RM700-RM800 pada setiap kali persembahan namun kini telah bertambah melebihi RM2,000 mengikut jarak ke tempat persembahan.

2. Kumpulan Warisan

Kumpulan Warisan mempunyai keahlian seramai 15 orang dan diketuai Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali. Kumpulan ini bertapak di Lot 1450, Lorong Bahagia Batu 8, Kg. Sijangkang 42500 Teluk Panglima Garang, Selangor. Kumpulan ini sering mengadakan persembahan bukan saja di sekitar daerah Kuala Langat tetapi juga di seluruh negeri Selangor. Di samping mengadakan persembahan muzik keroncong, Kumpulan Warisan juga sering membuat rakaman untuk penyanyi-penyanyi baru. Lagu-lagu yang dirakam merupakan lagu-lagu lama yang diberi nafas baru termasuk juga lagu-lagu keroncong dan asli.

Sehingga kini Kumpulan Warisan telah menjelajah seluruh negeri Selangor, Perak, Melaka dan juga Negeri Sembilan untuk memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga majlis-majlis sambutan perayaan tertentu.

3. Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden

Kumpulan Seni Warisan Cempuling Moden Olek Lempit mempunyai keahlian seramai 20 orang. Kumpulan ini diketuai Encik Abdul Rahman bin Basuni bertapak di Batu 39, Kg. Olak Lempit Banting, 42700 Kuala Langat, Selangor. Setiausaha kumpulan ini ialah Encik Abd. Rahman bin Abd. Rahim.

Kumpulan Seni Warisan Cempuling Moden Olek Lempit bukan saja terkenal di daerah Kuala Langat tetapi juga terkenal di lain-lain daerah berdekatan seperti Sepang, Hulu Langat dan juga Klang. Kumpulan ini sering dijemput untuk mengadakan persembahan dalam pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis anjuran pelbagai jabatan dan organisasi. Asalnya Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden ini adalah kumpulan keroncong asli namun apabila permintaan terhadap lagu-lagu keroncong semakin berkurangan, kumpulan ini bertukar kepada kontemporari namun masih mengekalkan identiti keroncong dalam setiap persembahan mereka.

4. Kumpulan Gema Irama

Kumpulan Gema Irama merupakan sebuah kumpulan keroncong yang tidak asing lagi di sekitar daerah Klang, Selangor. Kumpulan ini diketuai Ahmed Bakri bin Mat Darus bertapak di Lot 5340, Jln Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru 42200 Klang, Selangor. Setiausaha kumpulan ini ialah Puan Raftah Bachik, seorang penyanyi lagu-lagu keroncong yang tidak asing lagi di negara kita.

Sehingga kini Kumpulan Gema Irama telah menjelajah seluruh negeri Selangor, untuk memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga majlis-majlis sambutan perayaan tertentu. Kumpulan ini juga sering mendapat pelbagai tempatan sama ada di hotel-hotel mahupun di majlis-majlis orang kenamaan.

5. Kumpulan Keroncong Lukisan

Kumpulan Keroncong Lukisan mempunyai keahlian seramai 15 orang dipengerusikan oleh Encik Samsudin Mohammad. Kumpulan Keroncong Lukisan bergerak aktif di E-3-11, Pangsapuri Sri Melor, Jalan Ukay Perdana 4, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.

Sepanjang Kumpulan Keroncong Lukisan berdiri sebagai sebuah kumpulan seni muzik keroncong, kumpulan ini telah mengadakan pelbagai persembahan di seluruh negara. Kumpulan ini telah diberi kesempatan untuk memberikan persembahan mereka di pelbagai program anjuran orang-orang kenamaan dan juga menerima undangan organisasi-organisasi kerajaan.

6. Kumpulan Keroncong Bunga Mawar

Kumpulan Keroncong Bunga Mawar mempunyai keahlian seramai 15 orang dan diketuai Encik Mohd Yatim bin Haji Shukor. Kumpulan ini bergiat aktif di alamat Batu 8, Kampung Asahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor.

Sehingga kini Kumpulan Keroncong Bunga Mawar telah menjelajah seluruh negeri Selangor, untuk memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga majlis-majlis sambutan perayaan tertentu. Kumpulan ini juga sering mendapat pelbagai tempatan sama ada di hotel-hotel mahupun di majlis-majlis orang kenamaan.

7. Kumpulan Keroncong Carmala

Kumpulan Carmala yang beralamat di No. 604, Blok 9 Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor merupakan sebuah kumpulan seni muzik keroncong yang bergerak aktif sejak sekian lama. Kumpulan ini mempunyai keahlian seramai 15 orang dan diketuai Encik Hashim bin Malek.

Seperti kumpulan-kumpulan seni muzik keroncong yang lain, sehingga kini Kumpulan Keroncong Bunga Mawar juga telah menjelajah seluruh negeri Selangor, untuk memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga majlis-majlis sambutan perayaan tertentu. Kumpulan ini juga sering mendapat pelbagai tempatan sama ada di hotel-hotel mahupun di majlis-majlis orang kenamaan.

Pengggiat Individu

Sehingga kini, lagu keroncong masih lagi dimainkan oleh penggiat seni yang meminati muzik keroncong di persada seni muzik Malaysia. Dengan adanya penerus-penerus yang masih memperjuangkan seni muzik ini seperti M. Nasir, Tan Sri S.M. Salim, Katrina Dahari, Yusni Hamid dan ramai lagi, lagu keroncong tidak akan berkubur begitu sahaja dan ianya akan terus dikenali oleh generasi akan datang. Syarikat EMI (M) Bhd merupakan syarikat yang masih giat merakamkan lagu-lagu keroncong yang dihasilkan oleh penggiat-penggiat seni masa kini.

Manakala penerus seni muzik keroncong yang dapat dipaparkan dalam kajian ini antaranya ialah Allahyarham Dr Ariff Ahmad, Raftah Bachik, Dato’ M. Nasir, Mariam Ahmad dan Samsudin Lamin.

1. Allahyarham Dr Ariff Ahmad

Allahyarham Dr. Ariff Ahmad ialah seorang yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan merupakan seorang karyawan tamu di Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah menceburkan diri dalam bidang kesenian selama 40 tahun dan berkhidmat di Radio Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti Malaysia, Institut Teknologi Mara dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selain menjadi pensyarah, beliau juga pernah menerbitkan album dan filem untuk Radio Malaysia, Filem Negara Malaysia dan Universiti Malaysia. Antara lain, beliau pernah menerbitkan album sulung gesekan biola solo Hamzah Dolmat, album Gamelan Malaysia dan album Keroncong Selangor.

Sebagai seorang penggiat seni muzik, beliau amat menggemari seni muzik keroncong. Hasil minat yang mendalam terhadap muzik keroncong, beliau telah berjaya menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Seni Muzik Keroncong dan diterbitkan di Malaysia oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. Di dalam buku tersebut beliau menulis mengenai seni muzik keroncong, bentuk asas seni muzik keroncong, perkembangan lagu keroncong, lirik lagu keroncong dan nota lagu keroncong.

Antara lagu-lagu yang telah beliau hasilkan ialah Alam Ria, Batu Belah, Bukit Kayangan, Bukit Melawati, Bumi Ilhamku, Dalam Ingatanku, Di Kala Senja, Empang Pecah, Jangan Menjeling, Suara Kasih, Yang Dipuja, Siapa Itu, Di Samping Mu dan Tiada Tanda. Semua lagu ini adalah hasil ciptaan beliau dan lagu yang dihasilkan adalah bercorak Melayu.

2. Raftah Bachik

Raftah Bachik atau nama sebenarnya Siti Ramlah Md Sotan, penyanyi veteran yang sinonim dengan lagu-lagu asli dan keroncong sekitar tahun 1960-an sehinggalah sekarang. Walaupun telah melalui perjalanan yang panjang dalam bidang seni, rasa cintanya terhadap irama itu tidak pernah pudar. Semangatnya kuat untuk mempopularkan keroncong dan asli walaupun ia kurang mendapat tempat di hati masyarakat kini.

Mengimbau kembali detik-detik awal pembabitan beliau dalam bidang seni, Raftah Bachik berkata dirinya amat bertuah kerana bapa dan bapa saudaranya berdarah seni. Beliau mula menyanyi seawal usia 11 tahun lagi. Bapa beliau adalah pelakon bangsawan manakala bapa saudara Bachik Abdul Hamid, adalah pemimpin Orkes Rangkaian Seni Pelabuhan Klang. Waktu itu bapa saudara beliau sering membuat latihan di rumahnya dan beliau pula selalu datang tengok. Dari situlah minat beliau timbul dan bapa saudara beliau juga memahami minat beliau. Demikian ujar beliau yang mengakui dua orang anak lelakinya turut meminati bidang seni.

Tambahnya, bapa saudaranya yang bertanggungjawab menggilap bakat seni beliau sehinggakan nama Raftah itu pun diberi olehnya. Dengan bimbingan bapa saudaranya, Raftah Bachik bersama Orkes Rangkaian Seni Pelabuhan Klang selalu mengadakan persembahan dengan menyanyikan lagu Gadis Remaja, Oh Bulan dan sebagainya selain lagu asli dan keroncong.

Menurutnya, tahun 1966 mencatatkan kenangan paling indah buatnya apabila menjuarai Bintang Radio seluruh Malaysia. Waktu itu beliau membawa lagu Bacang Manis. “Alhamdulillah sejak menjadi juara rezeki semakin murah dan saya sering menerima jemputan. Undangan menyanyi semakin meluas seperti di hotel-hotel, di Istana Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Istana Negara,” katanya yang mula menjejak kaki ke Radio Malaysia pada usia 15 tahun.

Menurut Raftah Bachik, sepanjang membuat persembahan beliau akan diiringi Badan Budaya Seri Kayangan (BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah Melayu (KTM) di bawah pimpinan suaminya, Bakri Darus. Beliau juga pernah menyertai Kumpulan The Wanderes awal tahun 1963 di bawah Ramlee Hashim dan hanya menjadi anggota kumpulan itu pada lewat tahun 60-an. Manakala dengan J Sham yang turut menjadi penyanyi utama The Wanderes, kumpulan itu sempat menghasilkan tiga EP (piring hitam) dari tahun 1968 hingga 1970.

Mengimbas kembali perjalanan seninya, Raftah Bachik berkata banyak pengalaman manis yang sukar dilupakan oleh beliau sehingga kini. “Paling manis apabila saya diberi peluang menyanyi di depan Almarhum Sultan Selangor. Saya bukan setakat menyanyi malah bersyair tentang riwayat keluarganya. Pernah juga satu ketika saya mengadakan persembahan di Kedah, seorang peminat menangis-nangis bila saya mula menyanyi. Saya sendiri hairan kenapa dia boleh menangis dan saya rasakan mungkin lagu itu ada kena mengena dengan dirinya,” katanya.

Menurut Raftah Bachik, penyanyi generasi sekarang lebih beruntung berbanding zamannya dulu yang terpaksa belajar sendiri jika ingin berjaya sebagai penyanyi. “Zaman saya dulu semuanya kena lakukan sendiri sebab tidak ada televisyen. Nak belajar sesuatu kena banyak dengar radio dan siaran ulangan,” katanya yang menyifatkan penyanyi sekarang ini bertuah kerana semua kemudahan lengkap.

Tambah beliau antara sebab beliau masih bertahan sehingga kini adalah berkat sokongan suami dan anak-anak. “Walau sesibuk mana pun menerima undangan menyanyi, sebagai isteri dan ibu, keluarga tetap menjadi keutamaan saya,” katanya. “Selagi saya diterima dan masih sihat saya akan terus menyanyi,” katanya lagi yang pernah merakamkan enam album dalam bentuk kaset dalam tahun 80-an secara solo, berduet dan kompilasi lagu.

Beliau akan terus memperjuangkan dan memperkembangkan muzik keroncong selaras dengan hasrat Selangor menjadikan keroncong sebagai muzik identiti Selangor atau irama Selangor.

3. Mariam Ahmad
                                         
Muzik keroncong mempunyai kelas dan kedudukan tersendiri berbanding dengan muzik pop yang lain. Kerana muzik keroncong juga, nama penyanyi Mariam Ahmad tersebar di kalangan kerabat diraja. Ini kerana Mariam Ahmad merupakan salah seorang penyanyi yang sering diundang menyanyi di majlis yang membabitkan kerabat diraja. Sehingga hari ini, Mariam antara pilihan utama kerana kemerduan suaranya setiap kali mengalunkan lagu-lagu keroncong.

Mariam Ahmad ketika dihubungi memberitahu, mungkin ini antara keistimewaan penyanyi keroncong dan asli yang kelihatan tidak popular tetapi kerap muncul di majlis-majlis rasmi di seluruh negara. “Ini penghormatan kepada saya dan rakan-rakan yang menyanyikan lagu keroncong. Walaupun lagu ini agak terpinggir tetapi keroncong tidak mati ditelan zaman,” ujar beliau.

Ketika mengadakan persembahan, dia kerap membawakan lagu-lagu Rindu Malam, Sepasang Bola, Keroncong Kemayuran dan Keroncong Batik Lepas. Katanya, lebih membanggakan lagi baginya apabila Kerajaan Negeri Selangor sendiri telah memberi pengikhtirafan muzik keroncong. Ujar Mariam, pengikhtirafan tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang amat membanggakan kerana keroncong tidak lagi terpinggir dari kelompok muzik popular.

Mengulas mengenai pembabitannya sebagai penyanyi, Mariam Ahmad memberitahu segala-galanya bermula ketika dia berada di alam persekolahan lagi hingga memasuki Maktab Perguruan Perempuan Melayu Durian Daun, Melaka. Tetapi segala pembabitannya dalam pertandingan nyanyian atau majlis keraian terpaksa dirahsiakan daripada ibu bapanya kerana mereka tidak bersetuju dia terlibat dalam dunia nyanyian.

Selepas berkahwin dengan Allahyarham Yusuf Yunus, Mariam Ahmad mendapat kebenaran untuk serius dalam bidang nyanyian kerana suaminya sendiri menggalakkan dia berkecimpung dalam bidang seni suara. Malah selama tiga tahun berturut-turut, Mariam menjuarai Pertandingan Bintang Radio Bahagian Keroncong pada tahun 1967, 1968 dan 1970. Katanya, selama dia menjadi penyanyi keroncong, hanya sekali dia merakamkan lagu menerusi EP dan berduet bersama Abdullah Harun dengan judul EP Ranjau Kasih. Rakaman tersebut dibuat pada akhir 60-an.

Mariam Ahmad yang berasal dari Tanjung Bidara, Melaka yang telah pun bersara sebagai guru sejak empat tahun lalu, kini memenuhi undangan menyanyi. Dia kini menetap di Taman Maluri, Kuala Lumpur. Katanya, dia masih berminat untuk merakamkan sebuah album keroncong dan asli tetapi sedar suasana muzik tempatan agak keberatan menerima lagu keroncong. “Syarikat rakaman di Malaysia mungkin tidak berminat untuk menerbitkan album keroncong kerana tidak ada pasaran. Tambahan pula keroncong di negara ini tidak sehebat keroncong di Indonesia,” katanya.

Mariam berkata, walaupun dia sudah lama menjadi penyanyi, dia tidak begitu berminat membenarkan ketiga-tiga anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi. Katanya, jika mereka berminat untuk bergelar penyanyi, mereka perlu mendalami ilmu muzik dari bawah sebelum benar-benar mengambil keputusan menjadi penyanyi.

4. Dato’ M. Nasir

Dato’ M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Bin Mohamad ialah seorang penyanyi, penggubah lagu, pelakon serta pelukis yang menetap di Malaysia. Beliau dilahirkan di Singapura pada 4 Julai 1957. Beliau juga dikenali dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia. Selain itu, Dato’ M. Nasir merupakan pengasas Kumpulan Kembara pada tahun 80-an dan beliau adalah pemilik Luncai Emas Sdn. Bhd.

Selaku komposer, Dato’ M. Nasir merupakan insan yang bertanggungjawab terhadap kegemilangan artis-artis terkenal tanah air antaranya Dato’ Siti Nurhaliza, Hattan, Misha Omar, Ziana Zain dan Mawi. Antara lagu ciptaannya ialah Sekuntum Mawar Merah, Mustika, Hati Emas, Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Keroncong Untuk Ana dan lain-lain lagi.

Beliau juga telah banyak merakamkan album antaranya Sang Pecinta (2006), Kembara (1991), M. Nasir vs Ebiet G. Ade-Penyanyi Nusantara (2002) dan Senandung Sayang duet bersama Aishah (2001). Salah satu filem yang dibintanginya dan memberi impak yang cukup besar kepada rakyat Malaysia ialah Puteri Gunung Ledang dan beliau memegang watak sebagai Hang Tuah yang turut digandingkan dengan Datin Tiara Jacquelina.

Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang penggiat aktif yang meneruskan perjuangan seni muzik keroncong di Malaysia. Lagu keroncong beliau yang paling popular ialah Keroncong Untuk Ana. Oleh sebab itu, minatnya terhadap lagu keroncong amat mendalam. Beliau telah menyanyikan lagu Seri Kandi Cinta dalam versi irama keroncong.

3. Samsudin Lamin

Meskipun berusia 74 tahun, cinta penyanyi dan pemuzik veteran, Samsudin Lamin terhadap lagu Melayu asli tidak pernah surut. Sehingga kini, dia yang pernah mendapat bimbingan Tan Sri P. Ramlee terus giat memperjuangkan lagu irama tradisional, malah ilmu diraih sepanjang lebih lima dekad diwariskan kepada generasi muda yang berminat.

Bapa empat anak, sembilan cucu dan tiga cicit ini gagah mengusahakan Bengkel Seni Samsudin Lamin yang berdiri megah di laman kediamannya demi melahirkan pelapis yang bakal menyemarakkan kembali irama tradisional yang kian terpinggir. Karier seni Samsudin Lamin bermula dengan persembahan bangsawan pada tahun 1959. Bukan saja memiliki suara yang bagus, Samsudin Lamin juga mampu bermain instrumen tradisional dengan baik. Kelebihan dimiliki berjaya menarik perhatian ramai penggiat seni zaman itu, tidak terkecuali Tan Sri P. Ramlee.

Samsudin Laimn yang bekerjasama erat dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menerusi program Seni Budaya Negara, meluahkan kebimbangannya terhadap genre Melayu asli terutama genre keroncong yang kian suram dan pandangan sinis generasi muda terhadap muzik yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara.

Selagi ada hayat, saya akan terus berjuang. Terus-terang, saya risau melihat lagu Melayu asli makin terpinggir apabila golongan muda lebih ghairah memuja pengaruh muzik asing. Jika tidak diperkasakan, irama keroncong akan hilang dalam tempoh tidak lama lagi. Sewajarnya kita berbangga dengan irama tradisional, tetapi sangat menyedihkan apabila ada anak muda langsung tidak mahu mendengarnya. Kalau dulu, wujud macam-macam program yang menyemarakkan irama tradisional seperti joget, ghazal, keroncong dan sebagainya tetapi kini tidak lagi. Kalau ada pun, lebih kepada tarian. Saya masih berpegang kepada pesanan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika mengiringi persembahannya selama dua tahun, ‘pelihara irama Melayu asli kerana ia warisan bangsa kita,” ujar beliau sewaktu diwawancara.

“P. Ramlee mahu saya terus setia dengan irama ini meskipun zaman berubah. Saya faham apa yang ingin dia sampaikan dan kerana itu masih perkembangkan irama ini meskipun orang tak suka. Mungkin orang muda pandang rendah pada irama ini tetapi tahukah mereka, genre ini juga boleh raih pendapatan lumayan? Saya mendapat undangan menyanyi di banyak acara anjuran kerajaan dan majlis diraja. Paling minimum, bayaran untuk dua lagu RM3,500. Tak mustahil satu hari nanti, satu lagu RM5,000. Jadi siapa cakap lagu irama Melayu asli tidak ada harga dan permintaan?”


LAGU-LAGU KERONCONG SELANGOR

1. Bukit Kayangan

Berdiri megah bersejarah
Suasana kini indah
Bukit Kayangan terkenal sudah
Bukit bertuah

Dipandang puncak jelas bersih
Mencapai awan putih
Bukit Kayangan bagaikan dicipta
Yang Maha Esa

Korus:
Tersergam indah istana raja
Bukit Kayangan terletaknya
Seperti mahligai kayangan
Dipandang

Berdiri megah serta gagah
Bentuknya yang terpilih
Bukit Kayangan tak berubah
Lambang pengasih

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


2. Semalam Di Morib

Teringat daku
Waktu duduk di sampingmu, sayang
Bagaikan syurga dalam dunia
Dilamun cinta

Baru semalam
Kita bertemu di Morib, sayang
Mata bertentang mmeberi salam
Cinta ajaib

Korus:
Di saat itu kita janji
Akan cuba lagi berjumpa
Tapi kini apa terjadi
Kau hilang tanpa kata

Ketika mana
Ombak memukul di pantai, sayang
Ingin kuserah jiwa raga
Kasih disemai

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


3. Pertemuan

Pertemuan pertama
Di persimpangan desa
Sewaktu kuberkhidmat jasa
Pertemuan menggoda
Memanah jantung kalbu
Aku resah dalam gelora

Hasrat untuk berjuang
Untuk negeri tercinta
Negeri Selangor yang kujulang
Aku tak rela lupa
Janji sumpah setia
Pada tanah air tercinta

Korus:
Kuulang ke desa
Kuharap berjumpa
Mungkinkah kita bersua
Harapan hampa
Kau yang kutunggu
Tak kunjung tiba

Kini aku bersedia
Menyerahkan segala
Untuk mempertahankan negara
Agar hasrat jiwa
Tidak tersisa saja
Mengubat rasa hati duka

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


4. Tanah Yang Subur

Tanah yang subur
Di negeri yang satu
Kusanjung kubersyukur
Setiap waktu

Korus:
Sepanjang doa
Aku memuja alam semesta
Di negeri yang kusanjung tinggi
Selangor

Kan kurindu dikau
Jika di rantau
Kan kukenang jua
Lambang bahagia

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


5. Semalam Di Morib

Bersamalah menuju Subang Jaya
Kini alam nyata
Tanda yakin diri
Mencapai hasrat hati

Di sana kita lihat kemajuan
Tempat bertumpuan
Bandar yang dicipta
Untuk mencapai bahagia

Korus:
Walau apa pun menghalang
Tidak gentar menentang
Yakin diri membina cita
Negara yang dijulang

Di Subang Jaya sudah ternyata
Kini bandar maju
Bandar yang dicipta
Tetap berwajah ayu

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


6. Ampang Pecah

Di Kuala Kubu
Kisah konon berlaku
Ampangnya pecah
Melanda air melimpah

Korus:
Ditiup bayu
Hujan lebat berlalu
Ampang yang kukuh
Musnah akhirnya roboh

Kampung hanyut ke hilir
Dilanda air mengalir
Musnah bangun semula
Yang lalu dilupa saja

Di Kuala Kubu
Kisah dalam cerita
Kisah dahulu
Tinggal kenangan saja

Ampangnya roboh
Kesan air nan laju
Kampungnya runtuh
Kisah Kuala Kubu

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


7. Bukit Melawati

Memang indah bak dicipta
Suasana alam murni
Pandangan serata
Di Bukit Melawati

Di sanalah tinggal kisah
Sejarahnya jiwa sateria
Memperjuang maruah
Menentang sengketa

Tanah nan luas lebar
Nampak ke pantai permai
Hijau terbentang jua
Nyiur melambai

Korus:
Jauh di tepi ladang
Kampung yang aman damai
Tempat tumpuan orang beramai

Disanjung rakyat jelata
Dikunjung dipuja puji
Bukit bersejarah
Bukit Melawati

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


8. Penjual Tapai

Mari abang dan kakak
Marilah beli tapai manis ini
Mari cuba mari, mari merasa
Kalau cuba nanti tuan tak lupa

Korus:
Dari pagi sampai petang
Di tepi jalan banting
Kududuk menjual tapaiku
Tetap habis dibeli orang

Tapai enak rasanya
Cubalah jangan kau berasa sangsi
Sebungkus saja tetap tak puas rasa
Tentu tuan mahu sebungkus lagi

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


9. Batu Belah

Di Kelang asal kisah
Ibu merajuk ke batu
Hilang kasih musnah sayang
Di batu belah

Sejarah dikenang
Kisah anak tersayang
Walaupun terhalang bertunas kembang

Di Kelang bandar setia
Kisah batu belah sakti
Kisah ibu merajuk diri
Kisah berseni

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


10. Sumpah Abadi
                
Aku berdoa agar aman sentiasa
Negeri Selangor maju dan bahagia
Aku bersumpah akan taat setia
Berpegang tangan bekerjasama

Aku berdoa akan terus ke depan
Negeri selangor gagah dan mulia
Kan kupertahan dengan jiwa dan raga
Saling membantu usaha tenaga

Korus:
Mari kita bersama
Menempuh dugaan
Mari kita sepakat
Mencapai idaman

Mari bersumpah
Menyahut seruan
Jejak langkah ke depan
Menuju impian

Aku bercita terus memberi jasa
Untuk Selangor negeriku cinta
Rela berjuang demi kebahagiaannya
Rela berkorban harta dan nyawa

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


11. Tiupan Bayu

Di kala kuterima berita
Darimu yang lama kukenang
Kusedang asyik duduk berlega
Di dalam taman Kota Kelang

Kutatap apa yang dikata
Ingatanku melayang jua
Di tiupan bayu nun melanda
Jiwaku yang bergelora

Korus:
Di angin lalu aku menyeru
Kubisik hasrat hati
Kujawab dengan harapan
Janjiku tetap suci

Di dalam taman Kota Diraja
Di mana bermulanya cerita
Daun-daun jadi saksinya
Janji-janji sumpah setia

Lagu: Ariff Ahmad
Lirik: Ariff Ahmad


LAGU KERONCONG YANG POPULAR

Secara umumnya, lirik lagu keroncong memuja rasa cinta dan asmara, alam sekeliling, tanah air, dan bangsa atau mesej moral yang menjadikan keroncong sangat digemari. Antara lagu irama keroncong yang popular di Malaysia ialah Selamat Tinggal Bungaku yang dihasilkan oleh Allahyarham Johar Bahar. Beliau merupakan seorang komposer yang terkenal pada zaman 1940-an. Lagu Selamat Tinggal Bungaku ini dinyanyikan oleh Tan Sri S.M. Salim.

Selain itu, antara lagu-lagu keroncong yang dihasilkan oleh Allahyarham Johar Bahar yang popular ialah Malaysia Tanah Airku, Banjaran Titiwangsa, dan Gunung Kinabalu. Lagu-lagu ini pernah dinyanyikan oleh beberapa orang penyanyi terkenal seperti Mariam Ahmad, Allahyarhamah Rafeah Buang, dan mendiang Broery Marantika. Semasa hayatnya, Johar Bahar giat memperjuangkan lagu-lagu dengan irama keroncong kerana beliau percaya bahawa irama yang lembut juga boleh membakar semangat patriotisme anak bangsa.

1. Selamat Tinggal Bungaku

Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu di mana nak tujukan
Setitik airmata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira ku kirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik diri mu sendiri

Lagu: Johar Bahar/ Ahmad Wan Yet
Lirik: Johar Bahar

2. Keroncong Untuk Ana

Benarkah tiada bagiku
Ruang di hatimu untukku bertapak
Walaupun sejengkal jari
Agar dapatku berdiri
Di ambang pintumu

Ke mana hilangnya keroncong
Oh! Cinta yang kita
Nyanyikan bersama

Ataupun aku yang bersalah
Hanya menepuk tangan
Sebelah saja

Ana.. Ana..
Ana.. Ana..

Tiadaku sangka akhirnya
Kau tutup semua
Pintu cinta untukku
Hinggaku termanggu tiada
Arah nak ku tuju
Membawa hatiku

Lagu: M. Nasir
Lirik: S. Amin Shahab

3. Kuala Lumpur

Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat masyhur sangat permai
Kotanya bersih
Hawa nyaman saban hari

Hidup aman kelak bangsa
Satu hati
Ibu negeri Malaysia

Memperkenalkan makmur
Diserata dunia
Jikalau tuan ingin akan menghibur
Sila datang Kuala Lumpur

Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat mashyur sangat permai
Kotanya bersih
Hawa nyaman saban hari

Hidup aman kelak bangsa
Satu hati
Ibu negeri Malaysia

Memperkenalkan makmur
Diserata dunia
Jikalau tuan ingin akan menghibur
Sila datang Kuala Lumpur

Muzik: P. Ramlee
Lirik: Ainol Jamal
Penyanyi: Saloma
Filem: Ragam P. Ramlee

4. Pahlawanku

Pahlawanku
Pergilah berjuang untuk bangsa
Jangan ragu
Namamu tetap dipuja

Biar mati
Sebagai pahlawan yang sejati
Jangan undur
Jasamu kelak bertabur

Selamat kau pergi
Selamat kembali
Dengan hati suci
Dan tak takut mati

Pahlawanku
Menuju ruang ke medan perang
Jangan takut
Sebagai askar berjuang

5. Malaysia Tanah Airku

Malaysia oh tanah airku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat kucinta
Yang kupuja sepanjang masa

Sawah mu terbentang meluas
Tumbuh-tumbuhan hijau merendang
Bukitmu lurusnya terbentang
Tak jemu mataku memandang

Sungguh indah di Malaysia
Negeri yang kaya raya
Tempat pusat berniaga
Terkenal di seluruh dunia

Malaysia negeriku Malaysia
Pusaka tinggalan moyangku
Tetap sentosa hidup merdeka
Malaysia tanah airku

Lagu-lagu keroncong yang dihasilkan ini mempunyai nilai-nilai sentimental yang tersendiri. Setiap lagu mempunyai gaya penyampaian yang berbeza. Selain itu, setiap baris ayat mengandungi maksud yang mendalam berdasarkan tema lagu tersebut. Kebanyakan lagu yang dihasilkan bertemakan kenegaraan, percintaan terhadap ibu bapa mahupun kekasih serta semangat patriotik.

Lagu-lagu ini bukan sahaja diminati oleh golongan tua malah golongan muda juga turut mula meminati karya seni lagu keroncong ini. Ini kerana, rentak irama keroncong ini tidak terlalu berat untuk didengar. Rentak iramanya yang lembut pasti akan membuat pendengarnya merasakan ketenangan jiwa dan mengasyikkan.

Kini, rakyat Malaysia yang menggemari lagu-lagu keroncong ini boleh mendengar terus di corong-corong radio seperti Radio FM Klasik terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Di sini, para peminat lagu keroncong boleh mendapatkan maklumat berkaitan penyanyi serta lagu keroncong itu sendiri.

Oleh itu, lagu-lagu keroncong yang dicipta mempunyai nilai-nilai tertentu yang boleh dijadikan panduan serta pengajaran untuk kita semua. Dalam hal ini, anak-anak muda zaman sekarang perlu menanamkan minat untuk mendengar lagu-lagu seperti ini kerana ia dapat memberi impak yang besar dalam diri mereka serta dapat mengubah persepsi mereka terhadap lagu-lagu seperti ini.

SESUAI DENGAN DASAR KEBUDAYAAN NEGARA

Dari segi sifat dan konsep serta strukturnya, seni muzik keroncong sangat sesuai dengan Dasar Kebudayaan Negara kita kerana seni muzik keroncong merupakan hasil adunan kesenian yang berteraskan kebudayaan asal masyarakat Melayu di rantau ini. Seni muzik keroncong di negara ini dilihat mempunyai masa depan yang baik kerana cita rasa muzik ini mempunyai keserasian dalam kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Seni muzik keroncong ternyata mempunyai falsafah keindahan tersendiri kerana alunannya yang sopan dan tertib. Namun kini seni muzik keroncong terhad kepada golongan orang-orang dewasa sahaja. Bagi mereka yang berjiwa muda, muzik keroncong seolah-olah tidak dapat masuk ke dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu, muzik keroncong kini semakin dipinggirkan kerana genre muzik hiburan yang lain lebih mendapat tempat di dalam jiwa mereka. Justeru, satu usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan supaya seni muzik keroncong ini dapat diterima secara sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat.


5

USAHA-USAHA YANG PERLU DILAKUKAN

BANYAK kebudayaan, kesenian, adat, tradisi dan sebagainya milik masyarakat di Selangor zaman dahulu telah langka, sudah lenyap dan ada sesetengahnya bakal pupus sekiranya tidak dilakukan sesuatu bagi menghidupkannya semula. Demikanlah juga dengan seni muzik keroncong ini.

Dari kajian yang telah penulis laksanakan, penulis dapati antara sebab-sebabnya yang dikenal pasti ialah pemain-pemain muzik pada zaman ini tidak begitu berminat untuk mempelajari muzik keroncong kerana ia memerlukan ketekunan mengikut peraturan yang dikehendaki. Hanya segelintir penggiat seni yang berminat untuk mengembangkannya dan menjadi penerus kepada seni muzik ini.

Dari segi nilai komersial, seni muzik keroncong ini tidak begitu tinggi dan menarik. Mungkin disebabkan perkara inilah juga ramai penerbit muzik tidak berani mengambil risiko menanggung kerugian bagi menghasilkan album keroncong ini kerana pasarannya yang terhad. Tetapi seni muzik ini tidak boleh dibiarkan terus lenyap dalam industri muzik tanah air bagi menghargai perjuangan penggiat-penggiat terdahulu yang berusaha mengembangkan seni muzik ini.

Namun, pada hakikatnya, seni muzik ini mungkin boleh diperkembangkan lagi jika adanya usaha-usaha untuk mempopularkannya kembali. Pihak-pihak tertentu seperti radio, televisyen, penerbit-penerbit album muzik dan video seharusnya memberi penumpuan kepada perkembangan muzik ini. Selain itu, seni muzik ini juga boleh dijadikan salah satu mata pelajaran dalam subjek muzik di Institusi-institusi Pengajian Tinggi.

Oleh itu, sebagai generasi penyambung warisan, nilai sezaman harus disuntik agar generasi baru dapat mengenali dan menerima seni muzik ini. Namun begitu, nilai tradisional seni muzik ini tidak perlu diubah secara total agar keaslian muziknya dapat dikekalkan.

AKTIVITI BADAN-BADAN KESENIAN

Badan-badan kesenian harus digalakkan menubuhkan kumpulan keroncong mereka sendiri dan latihan-latihan boleh diadakan dengan kerjasama orang-orang perseorangan yang berpengalaman dalam bidang seni ini. Pelatih-pelatih dari Indonesia juga boleh dijemput untuk membantu dalam program ini. Cara permainannya tidak begitu sukar dan boleh dipelajari oleh mereka yang berminat dan berbakat. Persembahan keroncong di Indonesia sangat diminati dan berbagai program seperti pertandingan nyanyian lagu-lagu keroncong dan persembahan kumpulan diadakan tiap-tiap tahun. Program ini mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat di seluruh negara.

Adalah elok jika dicontohi kegiatan-kegiatan yang sedang diusahakan dalam memperkembangkan seni muzik gamelan di negara ini. Seni muzik gamelan sekarang ini sedang mendapat galakan yang baik dan banyak kumpulan ditubuhkan oleh badan-badan tertentu seperti pusat-pusat pengajian tinggi, badan-badan berkanun, sekolah-sekolah dan sebagainya. Sambutan umum juga telah menunjukkan bahawa seni muzik gamelan mempunyai masa depan yang cerah.

Untuk menentukan supaya tindakan menghidupkan kembali seni muzik keroncong berjalan dengan baik dan berkesan, program-program yang berupa jangka panjang harus difikirkan. Selain daripada latihan, seni ini juga perlu diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran muzik di sekolah. Ini bukan setakat memperkenalkan seni itu sahaja. Kegiatan memainkan seni muzik ini juga harus diadakan di kalangan murid-murid supaya mereka mengenalinya dengan lebih dekat lagi dan seterusnya menghayati seni itu.

Mungkin untuk menggalakkan generasi muda memainkan seni keroncong, boleh juga dirancangkan supaya permainannya bercampur dengan cara moden iaitu dengan menggunakan alat-alat elektronik. Begitu juga dengan gaya suara yang dikatakan istimewa untuk menyanyikan lagu-lagu keroncong, boleh juga disesuaikan dengan gaya moden jika perlu.

AKTIVITI MEMAJUKAN SENI MUZIK KERONCONG

Pertandingan juga boleh diadakan dalam bidang mencipta lagu-lagu keroncong, menyanyi dan persembahan kumpulan. Ini harus dihebahkan ke seluruh negara seperti yang pernah diadakan pada satu ketika dahulu oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM). Untuk Selangor pula boleh juga diadakan pertandingan di peringkat negeri dengan menyediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Pertandingan seperti ini mestilah diadakan selalu, sekurang-kurangnya sekali setahun dan kegiatan-kegiatan yang ada hubungannya dengan seni muzik itu haruslah diadakan sepanjang tahun.

Selain daripada mendapat galakan dari pihak media massa, siaran radio dan televisyen, pihak pengeluar album, kaset dan cakera padat juga harus memberi kerjasama mengeluarkan lebih banyak album yang mengandungi lagu-lagu keroncong dan dipasarkan secara meluas. Penyanyi-penyanyi yang sudah terkenal boleh juga membantu dalam rancangan ini dengan memilih beberapa lagu keroncong semasa mereka mengadakan persembahan.

Untuk menjamin seni ini kekal dimajukan, generasi muda perlu sentiasa didedahkan kepada seni muzik keroncong. Selain daripada mengadakan pendidikan di bangku sekolah, anak-anak muda juga mestilah digalakkan memainkan seni muzik ini. Mungkin bentuk permainannya diubahsuai kepada bentuk baru dengan tidak banyak menukarkan bentuk aslinya.

Kumpulan pop misalnya boleh juga digalakkan supaya memainkan lagu-lagu keroncong walaupun berbentuk moden iaitu cuma menggunakan rentak keroncong sahaja seperti yang dilakukan di Indonesia. Walaupun ini menjejaskan sedikit bentuk aslinya, kesenian muzik itu masih boleh dimaju dan dipertahankan.

Peredaran masa dan pertukaran selera perlu juga diambil kira dalam merancang kemajuan sesuatu jenis seni kerana sesuatu seni itu harus hidup dan bukan statik. Cara ini bukanlah yang paling sesuai tetapi ada kalanya ia adalah tindakan yang perlu dibuat untuk menjaga masa depan sesuatu seni itu.

MASA DEPAN SENI MUZIK KERONCONG

Untuk seni muzik keroncong terus berkembang, banyak rancangan perlu disediakan terutama mendedahkan seni itu kepada khalayak ramai dengan cara-cara yang berkesan dan yang boleh menarik perhatian umum. Ini bermakna, tindakan keras harus diambil untuk meletakkan kembali seni itu ke mercu yang tinggi. Pihak-pihak yang berpengaruh dan mempunyai kuasa seperti kerajaan negeri misalnya, haruslah menentukan supaya seni ini diberi perhatian yang serius.

Ia sangat memerlukan sokongan semua pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi pihak swasta juga. Bantuan dan galakan yang lebih positif harus diberikan kepada kumpulan-kumpulan muzik keroncong. Sebagai tindakan awal, mereka haruslah diundang untuk mengadakan persembahan di setiap majlis keraian rasmi dan di persembahan-persembahan pentas. Jika perlu mereka boleh ditaja secara tetap oleh badan-badan tertentu seperti syarikat-syarikat mewah di Selangor.

Perbelanjaan yang terlibat untuk menubuhkan sebuah kumpulan keroncong tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang perlu disediakan untuk menubuhkan kumpulan rock misalnya. Untuk membeli alat-alat muzik yang digunakan dalam kumpulan keroncong perbelanjaan yang diperlukan dianggarkan tidak melebihi RM 6,000 sahaja. Ini adalah untuk membeli alat-alat penting seperti biola, seruling (flute), gitar, cello, ukulele, cak dan double bass.

Pelbagai cara dan usaha telah dijalankan dalam proses pengembangannya, namun penerimaannya masih di tahap yang lama. Media elektronik khususnya yang merupakan satu media yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang efektif kepada masyarakat perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengembangkan lagi seni muzik keroncong kepada masyarakat masa kini.

Pihak berkuasa media elektronik khususnya radio dan televisyen harus memainkan peranan yang lebih agresif bagi mempopularkan muzik tradisional khususnya muzik keroncong. Pihak siaran televisyen pula, program muzik keroncong harus diperkenalkan agar dapat ditonton, didengar, dan dihayati oleh seluruh rakyat.

Secara keseluruhannya, diharapkan seni muzik keroncong dapat diperkembangkan lagi kepada generasi sekarang supaya tidak luput ditelan zaman. Muzik keroncong boleh dipelbagaikan agar dapat diterima di dalam jiwa remaja masa kini yang lebih berminat kepada genre muzik yang lain seperti hip hop dan rock. Hal ini membolehkan muzik keroncong akan terus dimartabatkan oleh generasi kini dan akan datang agar khazanah lagu rakyat dan tradisional ini terus hidup di dalam jiwa mereka.

Dengan mengenali sejarah evolusi dan perkembangan lagu keroncong, serta lagu-lagu tradisional di dalamnya, diharapkan dapat menarik minat masyarakat tua dan muda, kemudian menghayati dan akhirnya melibatkan diri dalam menghargai nilai seni budaya bangsa.

Harapan dan aspirasi semua agar muzik keroncong menjadi satu gagasan untuk mengangkat dan memperkasakan muzik warisan bangsa dan akan diteruskan kesinambungannya sehingga berada di singgahsana persada muzik dan dapat menyaingi mana-mana genre muzik bertaraf dunia.

SUMBER, RUJUKAN DAN BIBLOGRAFI

  1. Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (1999). ‘Erti Yang Sakti - P. Ramlee’. Pelanduk Publication 12-13
  2. Arrif Ahmad (2001). ‘Seni Muzik Keroncong’. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  3. Buku Ensiklopedia. Utusan Publication and Distribution.
  4. Buku Senandung Warisan, 2004
  5. Buku Seni Muzik Keroncong, 2001
  6. Hajah Noresah bt Baharom (1997). ‘Kamus Dewan Edisi Ketiga’. Hulu Kelang: Dewan Bahasa dan Pustaka. 657
  7. Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006). ‘Lagu Rakyat Memupuk Kesantunan Melayu’. Hulu Kelang: Dewan Bahasa dan Pustaka. 276-289
  8. Tan Sooi Beng dan Patricia Matusky (1997). ‘Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan Sinkretik’. Pulau Pinang: Sinaran Bros Sdn. Bhd. 343-451
  9. Tan Sooi Beng dan Patricia Matusky (1999). ‘Pengantar Muzik Malaysia, Buku II’. Pulau Pinang: Practical Printer. 46-51
  10. Zubir Said (2004). ‘Senandung Warisan’. Arkib Negara Malaysia
  11. Wawancara dengan Encik Abdul Rahman bin Basuni pada 20hb Mei 2013, di Batu 39, Kampung Olak Lempit, Banting.
  12. Wawancara dengan Encik Bakri Darus pada 16hb April 2013, di Lot 5340, Jln Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.
  13. Wawancara dengan Encik Bunadi bin Ridzuan pada tanggal 18hb Mei 2013 di Jalan Haji Yusof Dua, Batu 14, Jenjarom.
  14. Wawancara dengan Encik Samsudin Lamin pada 26hb Mei 2013 di Tingkat 3, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
  15. Wawancara dengan Encik Wahid bin Bahari pada 8hb April 2013 di No 5, Taman Seri Bayu, Morib, Kuala Langat, Selangor.
  16. Wawancara dengan Puan Raftah Bachik pada 16hb April 2013 di Lot 5340, Jln Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.
  17. Wawancara dengan Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali pada tanggal 3hb Mei 2013 di Lot 1450, Lorong Bahagia, Sijangkang, Telok Panglima Garang.

LAMPIRAN 1

Cara Bermain Biola


Biola adalah alat muzik yang berbentuk hampir sama dengan gitar, perbezaanya adalah untuk memainkan biola kita harus menggunakan busur agar dapat membunyikan dawai atau talinya. Tali biola memiliki 4 dawai. Masing-masing tali mempunyai nada yang berbeza, iaitu (G, D, A, E). Bagi anda yang masih belum mengetahui bentuk biola, di bawah ini adalah gambar biola.

Kedudukan Memegang Biola

  1. Kedudukan badan harus berdiri tegak dengan kedudukan kaki agar sedikit terbuka.
  2. Telapak kaki membentuk sudut sebesar 30 darjah dengan kedudukan kepala menghadap ke depan dengan tegak.
  3. Letakan biola di atas bahu kiri dan sepit biola di antara dagu dan bahu anda.
  4. Usahakan tangan kiri dapat bergerak dengan bebas.
  5. Selalu rasa selesa dan rileks sewaktu bermain biola sehingga dapat memberikan kesan yang positif.

Kedudukan Jari Pada Fret Biola

Kedudukan jari pada fret biola menentukan nada yang akan berbunyi sewaktu kita menggesekkan busur biola. Anda harus menghafal atau setidak-tidaknya memahami kedudukan jari pada fret biola, kerana ini adalah pelajaran asas yang harus anda kuasai. Untuk gambar kedudukan jari pada fret biola, dan nada yang akan muncul, lihat gambar di bawah:

Memegang Busur Biola

  1. Pegang bahagian busur di tengah dengan menggunakan tangan kiri, dengan hujung mengarak ke sebelah kiri dan pangkal ke sebalah kanan.
  2. Telapak tangan kanan harus dihadapkan ke atas, dengan ibu jari didekatkan pada ruas jari tengah sehingga akan membentuk tangan ‘bundar’
  3. Balik tangan kanan, kemudian gerakan tangan kanan anda seperti orang menggesek biola.
  4. Ulangi gerakan ini dengan jari telunjuk menyentuh di bahagian atas dari penggesek.
  5. Tempatkan ibu jari tangan kanan di bawah kayu penggesek dengan kedudukan jari yang lain tetap. Ibu jari sedikit melengkung dan rileks.
  6. Hujung jari kelingking ditalakan di atas pangkal penggesek, kemudian kelingking harus dalam keadaan rileks.
  7. Jari telunjuk dan jari kelingking berfungsi untuk mengatur tekanan pada tali biola
  8. Jari tengah dan jari manis lebih berfungksi untuk membantu jari telunjuk dan kelingking untuk menguatkan pegangan tangan pada penggesek biola.

Cara Bermain Cuk

Cuk biasanya memiliki 3 atau 4 dawai atau tali. Jenis tali cuk adalah nylon, berbeza dengan tali gitar biasa. Untuk memainkan cuk, perlu cara yang tersendiri. Tidak semua orang yang boleh bermain gitar dapat bermain cuk, begitu juga sebaliknya. Cuk juga mempunyai sebuah kunci atau chord untuk membentuk sebuah satuan nada gitar.

Kunci atau chord cuk untuk yang bertali 3 dan bertali 4 itu berbeza. walaupun hanya ada sedikit perbezaan. Anda harus menghafal minima kunci dasarnya saja, contohnya: C, D, Dm, E, Em, F, G, A, Am, B, Bm. Inilah kunci lengkap cuk.

Cara Bermain Cak

 


Cak adalah alat muzik yang berbentuk seperti gitar, bezanya alat muzik ini mempunyai ukuran yang 3 kali lebih kecil dari gitar biasa. Talinya yang hanya 3 atau 4 membuatkannya aneh jika dimainkan. Sama seperti gitar, untuk memainkan cak, anda juga harus menggunakan chord atau kunci. Kunci cak sangat sederhana, dan lebih mudah dipelajari daripada kunci gitar biasa atau gitar elektrik.

3 ulasan:

  1. Terimakasih, tulisan yang menarik.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Salam Keroncong. Setelah saya baca ulang ada tulisan " Budaya Keroncong " Menurut saya sebenarnya adalah " Buaya Keroncong " maksudnya orang yang sangat setia sehingga kesehariannya selalu bergiat dengan keronconng, biasanya ditujukan untuk penyanyi. Sperti juga dijelaskan dalam tulisan ini : Oleh para musisi keroncong Indonesia Pak Gesang di beri julukan Buaya Keroncong yang artinya pakar untuk musik keroncong. Asal mula Gesang di sebut Buaya Keroncong ini terkait dengan lagu yang dibuatnya yaitu Bengawan Solo. Bengawan Solo adalah sungai yang berada di sekitar kawasan Surakarta. Seperti yang diketahui buaya adalah reptile yang memiliki di habitat atau di sungai. Dan dihabitatnya buaya merupakan predator ganas yang tak terkalahkan. Pengandaian itulah yang membuat Gesang di sebut Buaya Keroncong yang artinya pakar keroncong yang tak akan terkalahkan.

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA