Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan
suatu peruntukan khas anugerah Allah s.w.t kepada pimpinan negara atau negeri
Islam yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya.
Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah
al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w Kemudian diikuti pula
pada zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin dan zaman selepasnya.
Fungsi dan tugasnya amat penting dalam
menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang
memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira
kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia.
Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam
menentukan hukum-hukum menerusi al-Siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan
kerajaan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil
gabungan antara para ulama dan kumpulan profesional seperti yang pernah
dilakukan pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid ketika baginda
meminta Al-Qadhi Abu Yusuf menyediakan rangka cadangan kutipan hasil-hasil
pertanian termasuklah menyediakan infrastruktur ke arah menjayakan projek
tersebut begitu juga mengenai sistem pengairan yang baik dan teratur.
Maka dengan kerjasama Osman bin Hunaif,
seorang juruukur yang terkenal pada masa itu, maka petua Al-Qadhi Abu Yusuf
telah berjaya dihasilkan dan dikenali dengan nama al-Kharaj.
Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah
negara yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulama dan
profesional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang,
peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa
dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang
konkrit.
Pembahagian Hukum Syarak
Sepanjang kajian dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa
hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
Pertama:
Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang kulliyah
iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan
tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari
Kiamat. Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan akidah, akhlak, ibadah,
undang-undang keluarga (pusaka), hudud
dan qisas.
Kedua:
Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang juz’iyah.
Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana
perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa
dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.
Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura
boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau
konsepnya kekal dan tidak berubah seperti mana yang berlaku selepas kewafatan
baginda s.a.w khususnya pada zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a.
Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang
pernah diungkapkan oleh para ulama dengan kata mereka: ‘Di sana terdapat
beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan
kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada
hukumnya.’
Sebagai contoh, seperti mana tindakan Saidina
Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy
yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya pada zaman baginda
Rasulullah s.a.w, pada zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman
pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).
Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang
dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.
Pengertian Siasah Syar’iyyah
Para ulama mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah
iaitu:
1. Takrif Am
Siasah Syar’iyyah mengikut takrif am diertikan sebagai
peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir
negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak
walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy.
Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan
dan undang-undang sama ada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana
dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar
negara.
Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan
dengan siasah syar’iyyah ialah Al-Hukum al-Sultaniyah karangan
Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah
al-Syar’iyyah fi Islah al-ra’I wa ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah
dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.
Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara
yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat
jelata dalam semua aspek kehidupan.
2. Takrif Khas
Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang
dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa
tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan. Ianya
seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di
dalam keadaan darurat.
Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang
hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu
tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun
tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti
mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain
disebat sebanyak seratus kali.
Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah
syar’iyyah, para ulama memberikan beberapa contoh antaranya seperti
berikut:
1. Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri
yang berulang kali melakukan jenayah tersebut
2. Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan
mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti
mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa
besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan
barang yang dicuri masih berada di tangannya. Sedangkan jika menurut hukum fiqh
biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan
bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah
menafikan tuduhan tersebut
3. Rasulullah s.a.w pernah disoal mengenai unta
dan kambing yang hilang di padang pasir. Baginda menyuruh agar sekiranya
kambing-kambing itu dijumpai hendaklah mereka mengurungnya sehingga didapati
tuannya dan diserahkan kepadanya semula. Adapun mengenai unta-unta yang hilang,
baginda mengarahkan agar binatang tersebut dibiarkan begitu sahaja sehinggalah
tuannya menjumpainya. Hukum ini berkuat kuasa sehinggalah zaman Saidina Othman
bin Affan r.a. Pada zaman baginda keadaan
dan suasana agak berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana perompak dan
penyamun bermaharajalela hatta di padang pasir. Lantaran itu, baginda
memerintahkan agar unta dan kambing yang hilang ditangkap dan dikurung
sementara menunggu kehadiran tuan empunya, sedangkan sebelum itu apa yang dibimbangkan
hanyalah binatang-binatang buas seperti singa dan harimau. Kambing sebagai
binatang yang kecil dan lemah tentunya tidak mampu melawan binatang buas
tersebut seperti mana unta. Pada zaman Saidina Ali r.a. pula, segala
perbelanjaan untuk menjaga binatang tersebut diambil daripada Baitul Mal.
4. Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke
atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.
5. Penulisan mushaf pada zaman Saidina
Abu Bakar r.a.
6. Mengadakan jabatan-jabatan pada zaman Saidina
Umar r.a.
7. Dasar Saidina Umar r.a. mengekalkan
tanah-tanah yang dibuka di Iraq kepada tuan-tuan empunya di samping mengenakan
cukai (al-kharaj) ke atas tanah tersebut sekiranya mereka masih menganut
agama asal mereka keputusan Saidina Umar r.a. membuang daerah seorang pemuda di
Madinah yang bernama Nasr bin Haliaj. Pemuda ini memiliki rupa paras yang amat
kacak sehingga mempesonakan seorang gadis di kota suci itu. Mulanya Umar r.a
mengarahkan pemuda itu dicukur. Namun, rupa parasnya masih lagi cantik. Akhirnya
dia dibuang daerah ke Basrah, Iraq. Pada hemat Saidina Umar r.a., jika pemuda
tersebut masih dibiarkan berada di Madinah, kemungkinan besar gadis-gadis lain
turut terpesona dengan kekacakannya. Ini suatu fitnah yang besar terutama di
kota suci Madinah. Berlainan sekiranya kalau pemuda itu di Basrah sebab beliau
dikira terasing di tempat orang. Lagipun, mungkin dia akan bersikap lebih
waspada terhadap dirinya.
Hukum-Hukum Yang Diputuskan Menerusi Siasah Syariyyah
Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan
menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai
hukum-hukum syariah. Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah
yang umum seperti mana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah
yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum.
itu,
penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di
dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah
kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.
Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan
kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan
memastikan keamanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat
ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada
sebarang kepentingan diri.
Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah
syar’iyyah lebih bersifat fleksibel. Walau bagaimanapun, para ulama
melarikkan syarat-syarat berikut:
1. Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dan
kerajaan Islam yang menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya.
Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah
syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut. Maka
dalam konteks, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang setakat ini
diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk mentadbir maka kita sudah berupaya untuk
mengeluarkan hukum-hukum dan peraturan-peraturan menerusi al-Siasah
al-Syar’iyyah lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan urusan dalam
negara, begitu juga urusan luar yang berada di dalam bidang kuasa kita.
2. Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan
dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan
prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a
al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid
al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa
al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).
3. Tiada sebarang percanggahan yang hakiki
dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat am di
setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dalil tersebut tetapi hanyalah
sebagai syariat atau peraturan sementara seperti mana masalah penetapan harga
barang ataupun sejak asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan
perkara berkaitan. Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya yang berjudul Al-Turuq
al-Hukmiyah Fi Siasah al-Syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a.
yang bermaksud: ‘Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah
syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh
ulama (imam) telah bersikap demikian.’
Imam Al-Syafi’e r.a. menegaskan, katanya,
‘Tiada siasah dikira sah melainkan ianya hendaklah bertepatan dengan kehendak
syarak.’
Ibn ‘Uqail r.a. pula menyatakan: ‘Siasah
ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan
dan terhindar jauh daripada kebinasaan walaupun itu tidak pernah dinyatakan
oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu’. Inilah siasah
yang dikatakan siasah syar’iyyah yang adil dan saksama.
Berdasarkan kepada penjelasan di atas,
dapatlah kita simpulkan bahawa saluran al-Siasah al Syar’iyyah
sepatutnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita sebagai individu Islam yang
bersifat haraki yang mengambil tempat sebuah negara Islam moden di rantau ini.
Kita sesungguhnya memiliki sekurang-kurangnya dua fakta utama dalam memenuhi
keperluan siasah syar’iyyah iaitu:
1. Timbulnya isu-isu dan masalah-masalah baru
yang memerlukan jawapan yang tepat.
2. Wujudnya kumpulan ilmuan yang terdiri
daripada ulama dan professional yang dapat dimanfaatkan dalam melengkapkan lagi
organisasi pengurusan dan pentadbiran masyarakat.
Sama-sama kita berdoa semoga Allah s.w.t
sentiasa menganugerahkan taufik dan hidayah-Nya serta mengekalkan kerajaan yang
sedia ada dalam usahanya untuk meluaskan sempadan pemerintahannya dan
meyakinkan kepada masyarakat umum betapa Islam sebagai pilihan utama mereka
pada masa dahulu, sekarang dan untuk selama-lamanya.
Wallhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan