Syed Mahadzir Syed Ibrahim
‘Sesungguhnya Allah s.w.t telah memberi anugerah kepada
orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul
dari golongan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah,
membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan
Al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum kedatangan Nabi itu, mereka adalah
benar-benar dalam kesesatan yang nyata.’ (surah Ali ‘Imran: 164 )
Menurut teks ayat di atas, bahawa manusia berpotensi untuk tersesat dari
kehidupan yang sebenarnya. Mereka hidup tanpa konsep yang benar dan tanpa arah.
Sehingga Allah s.w.t mengutus seorang Rasul untuk menghantarkan manusia kepada
petunjuk dan hidup yang terarah. Sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w,
masyarakat Arab dikenali sebagai masyarakat jahiliyyah (tidak ma’rifah
kepada Allah s.w.t dan manhaj yang benar).
Beberapa ciri masyarakat jahiliyyah
adalah adalah seperti berikut:
1. Bodoh
Masyarakat jahiliyyah (dulu, sekarang dan yang
akan datang) adalah masyarakat yang bodoh dalam menentukan jalan hidup dan
peraturan-peraturan yang berlaku di masyarakat. Mereka hanya menduga-duga dan
mengikuti ajaran nenek moyang dahulu. Beberapa contoh tingkah laku bodoh yang
dilakukan masyarakat jahiliyyah ialah:
a. Menjadikan berhala-berhala yang mereka buat
sendiri sebagai sembahan. Akal sihat mereka sendiri sebenarnya menentang hal
ini, namun kerana budaya yang sudah
melekat, mereka tetap melakukannya.
b. Tukar menukar isteri. Dua keluarga dapat
mempertukarkan isteri mereka masing-masing. Si isteri harus mahu kerana itu merupakan aturan yang berlaku di dalam
masyarakat.
c. Poliandri yang bebas. Seorang wanita
mempunyai banyak pasangan. Pelacuran berkembang pesat, dan sebagai akibatnya
lahirlah bayi-bayi tanpa ayah yang jelas.
d. Pembunuhan terhadap bayi-bayi perempuan.
Masyarakat jahiliyyah amat merendahkan golongan wanita. Bagi mereka yang
memiliki bayi perempuan akan merasa malu dan segera mengubur bayi tersebut
hidup-hidup untuk menutup aibnya.
2. Perpecahan
Masyarakat jahiliyyah amat sering berperang,
kesombongan, kedengkian, keserakahan dan kebanggaan kelompok seringkali menjadi
penyulut api peperangan. Kehidupan masyarakat penuh dengan gejolak, tanpa ada
ketenteraman dan kedamaian kerana
perselisihan dan peperangan boleh terjadi waktu sahaja.
3. Kemiskinan
Ekonomi masyarakat pada masa itu sangat rapuh. Meski
perdagangan mereka sampai ke taraf eksport-import dan negeri mereka banyak
menyimpan kekayaan alam, namun kemiskinan dan kesenjangan sosial sangat terasa.
Hal ini disebabkan adanya sistem monopoli dan riba yang membudaya. Dan riba
tidak dapat memberikan keberkahan dan kemakmuran.
4. Kehinaan
Kerana selalu
diliputi peperangan antara suku dan ekonomi yang tempang, maka masyarakat jahiliyyah
menjadi masyarakat yang lemah, yang tidak punya harga diri. Mereka dipandang
sebelah mata oleh bangsa yang kuat, negara kuasa besar menganggap mereka bangsa
yang bodoh, sebagai bangsa yang hina yang mudah dihancurkan bila-bila masa
saja.
Keadaan yang demikianlah yang diungkap ayat
di atas sebagai kesesatan yang nyata dan itulah inti dari jahiliyyah
(Al-Quran surah 62/3). Di tengah-tengah keadaan seperti itu Allah s.w.t
menurunkan Rasul-Nya untuk mengubah dan membimbing masyarakat jahiliyyah
menjadi masyarakat Islamiyah. Rasulullah s.a.w mengemban tugas sebagai seorang
pembina umat (murobbi dan da’i) dengan langkah-langkah sebagai
berikut:
a. Tilawah
Melalui tilawah seseorang akan berinteraksi dengan kalam
Allah. Dari tilawah lisan, mata (bagi yang dapat melihat) dan hati mendapat
sentuhan bimbingan Rabbani. Tilawah yang disertai dengan tadabbur yang
khusyuk dapat mempertajamkan pandangan yang sudah tumpul, memusnahkan
pandangan-pandangan yang sempit dan mengubati hati yang sedang sakitt
(spiritual dan moral). Seseorang yang konsisten membaca Al-Quran dengan taddabur,
maka akan terbukalah belenggu-belenggu yang memborgol hati dan akan terpancar
pula cahaya Al-Quran di dalam jiwa.
b. Membersihkan Jiwa
Menyedarkan apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyyah
selama ini adalah salah dan membersihkan jiwa mereka dari syirik, dengki,
dendam dan penyakit maksiat lainnya. Di samping itu menanamkan kesedaran dan
semangat iman kepada Allah s.w.t, semangat ibadah yang sah dan berakhlak mulia.
c. Mengajarkan Al-Kitab Dan Al-Hikmah
Setelah jiwa mereka bersih, maka Rasul menanamkan
nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran, memberi contoh cara melaksanakannya,
dan mengamati secara cermat perkembangan masyarakat yang dibinanya.
Keseluruhan proses di atas itulah yang
disebut dengan nama tarbiyyah. Hasil dari tarbiyyah ini adalah
terbentuknya individu-individu muslim yang terwarnai nilai-nilai Qur’ani secara
menyeluruh. Dengan tarbiyyah itu manusia mendapat nikmat, anugerah yang
dapat menghantarnya menuju Khoiru Ummah.
Adapun ciri-ciri Khoiru Ummah adalah
seperti berikut:
1. Memiliki harga diri yang disegani
Pada masa itu masyarakat Islam menjadi pemimpin dunia,
suara mereka amat berpengaruh dan diambil kira oleh musuh. Bahkan nama-nama
seperti Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib dan lain-lain lagi adalah
nama-nama yang cukup disegani.
2. Kaya
Kerana memang pada
dasarnya negeri muslim adalah negeri yang kaya, maka ketika monopoli dan riba
dihilangkan maka kemakmuran dirasakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Orang
kaya yang sewenang-wenang akan ditindak. Zakat sebagai tiang ekonomi yang dapat
memberdayakan masyarakat luas.
3. Persaudaraan
Masyarakat hasil tarbiyyah Rasulullah s.a.w adalah
masyarakat yang tidak membeza-bezakan bangsa, warna kulit, bahasa, dan
kedudukan. Lantaran itu terdapat persaudaraan yang erat dalam masyarakat,
sebuah persaudaraan yang hakiki dan abadi.
4. Pandai
Kemajuan peradaban dunia dipelopori oleh masyarakat
Islam. Masyarakat Islam amat cenderung mengkaji ilmu pengetahuan kerana dimotivasi dan berpijak kepada Al-Quran. Ibnu
Rusyd, Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina adalah beberapa di antara sekian ramai
ilmuwan Islam.
Sekarang ini merupakan zaman globalisasi.
Rasulullah s.a.w sudah tidak ada, tetapi peranan tarbiyyah tetap
memegang tugasan penting, setidak-tidaknya ada 3 aspek yang menguatkan betapa
pentingnya tarbiyyah islamiyah dalam kehidupan manusia iaitu:
Pertama:
Dalaman ajaran Islam. Rasulullah s.a.w diutuskan untuk
membina dan mengarahkan manusia untuk keluar dari jahiliyyah menuju kehidupan
yang islami dan Rabbani (surah2/257)
Kedua:
Hakikat jiwa menghadapi dua persoalan.
1. Dalaman: Fitrah jiwa yang pada dirinya terdapat:
·
Kecenderungan
kepada takwa dan kecenderungan kepada kesesatan. Kecenderungan kepada takwa
hanya dapat dibimbing melalui Al-Quran.
·
Sementara
kecenderungan kepada kesesatan mendapatkan godaan dan rayuan syaitan, kecintaan
dunia dan nafsu syahwat. Untuk menghindari itu semua, maka diperlukan tarbiyyah
yang berfungsi mengarahkan, membangun, menjaga dan memelihara jiwa untuk
senantiasa berhubungan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
2. Luaran: Adanya musuh yang tidak hanya membuat
perencanaan yang matang tetapi juga merealisasikan, yang keduanya adalah
sebahagian langkah-langkah syaitan. Untuk menangkal serangan musuh diperlukan
kesedaran kolektif, dan tindakan terpadu
(amal jama’i) sebab berbagai persoalan tidak akan mampu
dipecahkan dan diselesaikan oleh seorang diri, sehebat atau sesoleh apa pun
dia.
Untuk itu Rasulullah s.a.w menekankan
wajibnya berjemaah, ‘Barangsiapa menghendaki pelataran yang luas, maka komitmenlah
dengan jemaah kerana syaitan suka dengan
orang yang menyendiri sedangkan terhadap dua orang syaitan menjauh.’ (Hadis
riwayat Tarmidzi, hasan sahih).
Akan tetapi amal jama’i di kalangan
kaum muslimin tidak akan terjadi kecuali jika didahului dengan proses tarbiyyah.
Sering kita temui orang-orang berkumpul dalam sebuah yayasan, organisasi, atau
politik; mereka tidak mampu beramal jama’i tetapi justeru terjadi
perpecahan dan permusuhan. Sangat mungkin hal itu terjadi kerana tidak ada tarbiyah di dalamnya.
Ketiga:
Waqiul ummah (kenyataan masyarakat dewasa ini). Masyarakat dewasa ini telah diserang
oleh sejenis virus yang mematikan iaitu virus buih (qutsa’) yang
meringankan bobot masyarakat dan membiat umat tidak punya arus. Yang menjadi
penyebab virus qutsa’ ini adalah kecintaan kaum muslimin terhadap
kehidupan dunia sekaligus membenci kematian. Virus qutsa’ ini
menyebabkan kaum muslimin menjadi santapan yang nikmat bagi para musuh Allah s.w.t.
Untuk membunuh virus tersebut, diperlukan
terapi (‘ilaj) yang namanya tarbiyyah yang insya-Allah dapat
menambah berat timbangan, bobot dan syaukah serta mendatangkan arus,
sehingga dapat menghancurkan thaghut.
Pembinaan ini harus rutin dilakukan, sebab
sesaat saja kita lengah, maka ketika itu juga syaitan dan pengikutnya akan
mendorong kita untuk kembali ke lembah jahiliyyah. Beberapa contoh
perbuatan di dalam masyarakat sekarang ini yang menunjukkan kemiripan bahkan
lebih parah dari masyarakat jahiliyyah adalah:
1. Penyembahan terhadap berhala berupa keris,
kuburan, jawatan, pangkat, wang dan sebagainya.
2. Kalau pada zaman jahiliyyah dulu hanya
bayi perempuan yang dikuburkan, tetapi pada zaman sekarang bayi yang belum
ketahuan laki-laki atau perempuan dibunuh hanya kerana untuk menutup aib dari perbuatan bejat orang
tuanya.
3. Pelacuran pada zaman sekarang lebih hebat dan
lebih canggih. Di samping diberikan kebenaan operasinya, juga tempat dan
fasilitinya. Dan yang lebih hebat lagi pelacuran ini melibatkan anak-anak
remaja bahkan laki-laki sebagai pelakunya.
4. Pergaulan bebas remaja-remaja usia sekolah
menengah yang semakin buta.
5. Perjudian pada zaman sekarang dikemas rapi.
Pelakunya tidak merasa berjudi bahkan menjadi bangga kerana dicap sebagai seorang dermawan.
6. Kenyataan lain adalah mudahnya masyarakat
Islam dipecah-pecah oleh bangsa atau masyarakat lain.
Persoalan tarbiyyah bukanlah persoalan
‘boleh atau tidak boleh. Sebab kalau disebut ‘boleh, maka semua orang boleh
mendengar ayat Al-Quran, boleh menyemak ketika diajarkan Al-Kitab dan Al-Hikmah
dan boleh menahan diri untuk meninggalkan perbuatan yang mengotori jiwa.
Persoalan tarbiyyah bukan sekadar
hanya di situ saja tetapi persoalan tarbiyyah adalah persoalan ‘mahu
atau tidak mahu’. Betapapun orang boleh mendengar, menyemak dan mengamalkan
Al-Quran tetapi kalau orang tersebut tidak mempunyai kemahuan yang kuat, maka
proses pembinaan tidak akan berjalan.
‘Sebaik-baik kalian adalah yang belajar Al-Quran
dan mengamalkannya.’ (Al-Hadis)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan