SMAHADZIR
Morib, suatu ketika dahulu terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Kuala Langat, Selangor kerana mempunyai pantai peranginan yang indah. Bagaimanapun, pelbagai isu timbul termasuk soal kebersihan, selain persaingan dengan destinasi peranginan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan Pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Pantai Morib semakin pudar.
Morib, suatu ketika dahulu terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Kuala Langat, Selangor kerana mempunyai pantai peranginan yang indah. Bagaimanapun, pelbagai isu timbul termasuk soal kebersihan, selain persaingan dengan destinasi peranginan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan Pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Pantai Morib semakin pudar.
Penulis yang tinggal tidak jauh
dari Pantai Morib iaitu sekitar 5 km sahaja jaraknya, mendapati sambutan
pelancong terhadap pantai ini ‘kurang meriah’ suatu ketika dulu. Ini kerana
soal kebersihan yang utama di mana air limpahan dari kandang ternakan babi
telah dialirkan oleh pihak penternak ke laut. Justeru ia menjadi satu isu yang
begitu besar sehingga menenggelamkan kesohoran Pantai Morib sebagai pantai
pelancongan terkemuka di Selangor.
Taman tema air dari tempat penginapan
Tetapi kini, sejak landskap
Pantai Morib diubahsuai seterusnya diperbaharui dengan pelbagai prasarana
tambahan dilakukan, Pantai Morib semakin terkenal kembali. Isu air kandang babi
kian dilupakan dan dari hari ke hari semakin ramai pengunjung yang datang ke
pantai ini untuk berehat. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang
bersama rakan dan tidak kurang juga yang datang bersama pasangan masing-masing.
Taman tema air yang ekslusif dan bertaraf mewah
Tidak berapa jauh dari Pantai Morib ini anda boleh mengunjungi Morib Gold Coast Resort. Berbanding Sepang Gold Coast atau Golden Palm Tree Sepang Gold Coast yang berkonsepkan penginapan ala hotel tengah laut bertaraf antarabangsa, Morib Gold Coast Resort lebih berkonsepkan penginapan sekeluarga di taman tema air.
Dikatakan juga bahawa Morib
Gold Coast Resort merupakan antara sebab mengapa Pantai Morib kian terkenal
semula. Morib Gold Coast Resort terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai
Morib dan berdekatan Istana Pantai Bahagia milik baginda Sultan Selangor. Kewujudan
Morib Gold Coast Resort ini telah menukar persepsi negatif para pengunjung
terhadap Morib yang sekian lama dihenyak oleh isu air kandang babi.
Morib Gold Coast dilihat dari laut
Sewaktu Morib Gold Coast Resort
belum dibina, sejujurnya, penulis tidak menyangka ada tempat peranginan seperti
itu akan dibuka di Morib memandangkan prestasi pantai itu yang tidak lagi
sepopular dahulu, selain keliru dengan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Tetapi
selepas melihat sendiri keindahan landskap, taman tema airnya yang direka
cantik, 40 gazebo tepi pantai yang dijadikan restoran makanan laut eksklusif
serta kawasan pantai yang telah dibersihkan, membuatkan penulis teruja untuk membawa
keluarga merasa sendiri menginap di pusat peranginan itu.
Apa yang boleh dikatakan, Gold
Coast Morib mempunyai keunikan tersendiri. Terletak di tanah seluas 5.6 hektar
dan dibina dengan pelaburan RM180 juta oleh usahawan terkenal Datuk Alex Tan,
destinasi penginapan ini mula menerima pengunjung termasuk sepanjang musim cuti
sekolah.
Salah sebuah kemudahan yang terdapat di Morib Gold Coast
Menurut Pengurus Besar Gold
Coast Morib Resort Sdn. Bhd., Lau Cheong Leong, buat masa ini hanya 448 studio
suite lengkap dengan jakuzi yang dihias indah dengan konsep Bali, Jepun dan
Oriental boleh disewa pengunjung pada harga promosi lebih kurang RM250.00
semalam. Beliau berkata, sebanyak 128 unit kondominium dua bilik dan 64 unit
tiga bilik masing-masing berharga RM400 ke atas dan RM500 ke atas di resort tersebut.
Di bahagian belakang taman tema air ini terdapat khemah atau dewan terbuka yang dikhaskan untuk majlis pernikahan, hari jadi, kenduri tertentu dan sebagainya
Selain itu, katanya, Gold Coast
Morib juga menyediakan tujuh bilik mesyuarat dan dewan bankuet yang unik kerana
kesemua dinding dan bumbungnya diperbuat daripada kaca. Tambah beliau, pihaknya
juga membuka tiga jenis restoran iaitu kopitiam yang menawarkan harga seperti
kopitiam di luar, lounge dan restoran
makanan laut yang memberi peluang kepada pengunjungnya memilih sendiri apa yang
hendak dimakan di ‘pasar ikan’ yang disediakan.
Tetapi buat masa sekarang
pengunjung yang datang menginap di sini hanya boleh makan di restoran
sementara, mandi di taman tema yang boleh memuatkan 1,000 orang pada satu masa
dan bersiar-siar di tepi pantai serta menikmati keindahan alam semula jadi
dengan menyertai aktiviti river cruise
di Sungai Jugra. Restoran makanan laut yang dinamakan Pavalion By The Sea pula menyediakan
pelbagai jenis makanan laut segar dan di sini pengunjung akan dihiburkan dengan
persembahan live band, selain
menikmati keindahan laut dan lampu berwarna-warni yang dipasang di semua pokok
di kawasan itu.
betapa cantik dan selesanya Morib Gold Coast
Pihak pentadbiran Gold Coast
Morib juga menanam 150 pokok kelapa di pantai tempat peranginan ini agar
suasana nampak lebih tropika dan hijau. Seterusnya Pengurus Besar Gold Coast
Morib Resort Sdn. Bhd. itu memberitahu penulis bahawa pihaknya juga sedang
membina 300 unit hotel bajet pada harga antara RM100 hingga RM150 semalam,
lengkap dengan pusat membeli-belah yang mempunyai 300 unit kedai, dijangka siap
pada tahun 2013.
Kata beliau, pembinaan hotel
bajet adalah bagi memberi peluang kepada semua golongan yang mempunyai bajet
kecil untuk datang bercuti ke Gold Coast Morib. Bagi penulis, Gold Coast Morib
ini memang sesuai untuk keluarga, organisasi atau kumpulan yang ingin
berseminar, syarikat yang mahu mengadakan hari keluarga serta pelancong
tempatan dan luar yang cintakan alam semula jadi.
Setakat ini, Gold Coast Morib
Resort telah menerima pengunjung luar negara dan banyak permintaan untuk mereka
datang berkumpulan termasuk dari Taiwan, Korea dan Jepun memandangkan tempat
ini begitu dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),
iaitu kira-kira 35 minit perjalanan. Tidak lama lagi, Gold Coast Morib juga
akan membuka taman tema air kepada orang ramai yang tidak menginap. Bayaran
masuk adalah RM30 termasuk satu hidangan makanan untuk dewasa dan kanak-kanak
(RM15).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan