Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Sebagai seorang mukmin, kita tentunya berkeinginan untuk dapat
menghafal Al-Quran dan setiap kita pasti memimpikan agar dapat melahirkan
anak-anak yang hafal Al-Quran (hafidz atau hafidzah). Berikut ini ada beberapa
cara atau kaedah dasar untuk memudahkan menghafal, di antaranya:
1. Mengikhlaskan Niat Hanya Untuk Allah s.w.t
Memperbaiki tujuan dan bersungguh-sungguh menghafal
Al-Quran hanya kerana Allah s.w.t serta untuk mendapatkan syurga dan
keredhaan-Nya. Tidak ada pahala bagi siapa saja yang membaca Al-Quran dan
menghafalnya kerana tujuan keduniaan, kerana riyak atau sumah (ingin
didengar orang), dan perbuatan seperti ini jelas menjerumuskan pelakunya kepada
dosa.
2. Dorongan Dari Diri Sendiri, Bukan Kerana Terpaksa
Ini adalah asas bagi setiap orang yang berusaha untuk
menghafal Al-Quran. Sesungguhnya siapa yang mencari kelazatan dan kebahagiaan
ketika membaca Al-Quran maka dia akan mendapatkannya.
3. Membenarkan Ucapan Dan Bacaan
Perkara ini tidak akan tercapai kecuali dengan mendengar
dari orang yang baik bacaan Al-Qurannya atau dari orang yang hafal Al-Quran.
Rasulullah s.a.w sendiri mengambil atau belajar Al-Quran dari Jibril secara
lisan. Setahun sekali pada bulan Ramadhan secara rutin Jibril menemui baginda
untuk murajaah hafalan baginda. Pada tahun Rasulullah s.a.w diwafatkan,
Jibril menemui baginda sampai dua kali.
Para sahabat juga belajar Al-Quran dari
Rasulullah s.a.w secara lisan, demikian juga generasi-generasi terbaik selepas
mereka. Pada masa sekarang boleh dibantu dengan mendengar kaset-kaset murattal
yang dibaca oleh qari yang baik dan bagus bacaannya. Wajib bagi
penghafal Al-Quran untuk tidak menyandarkan kepada dirinya sendiri dalam hal
bacaan Al-Quran dan tajwidnya.
4. Membuat Matlamat Hafalan Setiap Hari
Misalnya merancang sepuluh ayat setiap hari atau satu
halaman, satu hizb, seperempat hizb atau boleh ditambah atau
dikurangi dari matlamat tersebut sesuai dengan kemampuan. Yang jelas matlamat
yang telah ditetapkan seboleh mungkin perlu dipenuhi.
5. Membaguskan Hafalan
Tidak boleh beralih hafalan sebelum mendapat hafalan yang
sempurna. Perkara ini dimaksudkan untuk memantapkan hafalan di hati. Dan yang
demikian dapat dibantu dengan mengamalkannya dalam setiap masa sepanjang siang
dan malam.
6. Menghafal Dengan Satu Mushaf
Hal ini disebabkan manusia boleh menghafal dengan melihat
sebagaimana mampu menghafal dengan mendengar. Dengan membaca atau melihat akan
terbekas dalam hati bentuk-bentuk ayat dan tempat-tempatnya dalam mushaf.
Bila orang yang menghafal Al-Quran itu
merubah atau mengganti mushaf yang biasa dia menghafal dengannya maka hafalannya
pun akan berbeza-beza juga dan ini akan menyukarkan dirinya.
7. Memahami Adalah Salah Satu Jalan Untuk Menghafal
Di antara hal-hal yang paling besar atau dominan yang
dapat membantu untuk menghafal Al-Quran adalah dengan memahami ayat-ayat yang
dihafalkan dan juga mengenali segi-segi keterkaitan antara ayat yang satu
dengan ayat yang lainnya.
sebab
itu seharusnyalah bagi penghafal Al-Quran untuk membaca tafsir dari ayat-ayat
yang dihafalnya, untuk mendapatkan keterangan tentang kata-kata yang asing atau
untuk mengetahui sebab turunnya ayat atau memahami makna yang sukar atau untuk
mengenal hukum yang khusus.
Ada beberapa kitab tafsir yang ringkas yang
boleh ditelaah oleh pemula seperti kitab Zubdatut Tafsir oleh Asy-Syaikh
Muhammad Sulaiman Al-Asyqar.
Setelah memiliki kemampuan yang cukup, untuk
meluaskan pemahaman, boleh menelaah kitab-kitab tafsir yang berisi penjelasan
yang panjang seperti Tafsir Ibnu Katsier, Tafsir Ath-Thabari, Tafsir As-Sadi
dan Adhwaaul Bayaan oleh Asy-Syanqithi. Wajib juga menghadirkan hatinya
pada ketika membaca Al-Quran.
8. Tidak Pindah Ke Surah Lain Sebelum Hafal Benar Surah
Yang Sedang Dihafal
Setelah sempurna satu surah dihafalkan, tidak sewajarnya
berpindah ke surah lain kecuali setelah benar-benar sempurna hafalannya dan
telah kukuh dalam dada.
9. Selalu Memperdengarkan Hafalan (Disemak Orang Lain)
Orang yang menghafal Al-Quran tidak sewajarnya
menyandarkan hafalannya kepada dirinya sendiri. Tetapi wajib atasnya untuk
memperdengarkan kepada seorang hafidz atau menyesuaikannya dengan mushaf.
Perkara ini dimaksudkan untuk mengingatkan kesalahan dalam ucapan, atau syakal
ataupun lupa.
Ramai sekali orang yang menghafal dengan
hanya bersandar pada dirinya sendiri, sehingga kadang-kadang ada yang salah
atau keliru dalam hafalannya tetapi tidak ada yang memperingatkan kesalahan
tersebut.
10. Selalu Menjaga Hafalan Dengan Murajaah
Bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Jagalah benar-benar Al-Quran
ini, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, Al-Quran lebih cepat terlepas
daripada unta yang terikat dari ikatannya.’
Maka seseorang yang menghafal Al-Quran bila
membiarkan hafalannya sebentar saja nescaya dia akan terlupa. Lantaran itu
hendaklah hafalan Al-Quran terus diulang setiap hari. Bila ternyata hafalan
yang ada hilang dalam dada tidak sewajarnya mengatakan: ‘Aku lupa ayat (surah)
ini atau ayat (surah) itu.’ Akan tetapi hendaklah mengatakan: ‘Aku dilupakan.’
11. Bersungguh-Sungguh Dan Memperhatikan Ayat Yang Serupa
Khususnya yang serupa atau hampir serupa dalam lafaz,
maka wajib untuk memperhatikannya agar dapat dihafal dengan baik dan tidak
tercampur dengan surah lain.
12. Mencatat Ayat-Ayat Yang Dibaca Atau Dihafal
Ada baiknya penghafal Al-Quran menulis ayat-ayat yang
sedang dibaca atau dihafalkannya, sehingga hafalannya tidak hanya di dada dan
di lisan tetapi dia juga dapat menuliskannya dalam bentuk tulisan.
Ramai penghafal Al-Quran yang ditemui, mereka
kadang-kadang hafal satu atau beberapa surah dari Al-Quran tetapi apabila
diminta untuk menuliskan hafalan tersebut mereka tidak boleh atau banyak
kesalahan dalam penulisannya.
13. Memperhatikan Usia Yang Baik Untuk Menghafal
Usia yang baik untuk menghafal ialah kira-kira dari umur
5 tahun hingga 25 tahun. Wallahu alam dalam batasan usia tersebut. Namun
yang jelas menghafal pada usia muda adalah lebih mudah dan lebih baik daripada
menghafal pada usia tua.
Pepatah ada mengatakan: Menghafal pada waktu
kecil seperti mengukir di atas batu, menghafal pada waktu tua seperti mengukir
di atas air.
Hal-Hal Yang Boleh Menghalangi Hafalan
Setelah kita mengetahui beberapa kaedah dasar untuk
menghafal Al-Quran maka sudah sewajarnya bagi kita mengetahui beberapa hal yang
menghalang dan menyulitkan hafalan agar kita dapat berwaspada dari
penghalang-penghalang tersebut. Di antaranya ialah:
1. Banyaknya dosa dan maksiat. Sesungguhnya dosa
dan maksiat akan melupakan hamba terhadap Al-Quran dan terhadap dirinya
sendiri. Hatinya akan buta dari zikrullah.
2. Tidak adanya usaha untuk menjaga hafalan dan
mengulangnya secara terus-menerus. Tidak mahu memperdengarkan (meminta orang
lain untuk menyemak) dari apa yang telah dihafal dari Al-Quran kepada orang
lain.
3. Perhatian yang berlebihan terhadap urusan
dunia yang menjadikan hatinya bergantung dengannya dan selanjutnya tidak mampu
untuk menghafal dengan mudah.
4. Bercita-cita menghafal ayat-ayat yang banyak
dalam waktu yang singkat dan pindah ke hafalan lain sebelum kukuhnya hafalan
yang lama.
Kita mohon pada Allah s.w.t semoga
Dia menganugerahkan dan memudahkan kita untuk menghafal kitab-Nya, mengamalkannya
serta dapat membacanya di tengah malam dan di siang hari. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan