Selasa, 13 November 2012

Siasah Syar’iyyah Dan Perlaksanaannya Pada Masa Kini


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan suatu peruntukan khas anugerah Allah s.w.t kepada pimpinan negara atau negeri Islam yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya. Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w Kemudian diikuti pula pada zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin dan zaman selepasnya.
Fungsi dan tugasnya amat penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia.
Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum-hukum menerusi al-Siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan kerajaan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil gabungan antara para ulama dan kumpulan profesional seperti yang pernah dilakukan pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid ketika baginda meminta Al-Qadhi Abu Yusuf menyediakan rangka cadangan kutipan hasil-hasil pertanian termasuklah menyediakan infrastruktur ke arah menjayakan projek tersebut begitu juga mengenai sistem pengairan yang baik dan teratur.
Maka dengan kerjasama Osman bin Hunaif, seorang juruukur yang terkenal pada masa itu, maka petua Al-Qadhi Abu Yusuf telah berjaya dihasilkan dan dikenali dengan nama al-Kharaj.
Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah negara yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulama dan profesional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang, peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang konkrit.
                              
Pembahagian Hukum Syarak

Sepanjang kajian dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Pertama:
Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang kulliyah iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari Kiamat. Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan akidah, akhlak, ibadah, undang-undang keluarga  (pusaka), hudud dan qisas.

Kedua:
Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang juz’iyah. Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.
Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau konsepnya kekal dan tidak berubah seperti mana yang berlaku selepas kewafatan baginda s.a.w khususnya pada zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a.
Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang pernah diungkapkan oleh para ulama dengan kata mereka: ‘Di sana terdapat beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada hukumnya.’
Sebagai contoh, seperti mana tindakan Saidina Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya pada zaman baginda Rasulullah s.a.w, pada zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).
Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.

Pengertian Siasah Syar’iyyah

Para ulama mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah iaitu:

1. Takrif Am
Siasah Syar’iyyah mengikut takrif am diertikan sebagai peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy.
Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan dan undang-undang sama ada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar negara.
Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan dengan siasah syar’iyyah ialah Al-Hukum al-Sultaniyah karangan Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah al-Syar’iyyah fi Islah al-ra’I wa ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.
Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat jelata dalam semua aspek kehidupan.

2. Takrif Khas
Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan. Ianya seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di dalam keadaan darurat.
Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain disebat sebanyak seratus kali.
Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah syar’iyyah, para ulama memberikan beberapa contoh antaranya seperti berikut:

1.      Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri yang berulang kali melakukan jenayah tersebut
2.      Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan barang yang dicuri masih berada di tangannya. Sedangkan jika menurut hukum fiqh biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah menafikan tuduhan tersebut
3.      Rasulullah s.a.w pernah disoal mengenai unta dan kambing yang hilang di padang pasir. Baginda menyuruh agar sekiranya kambing-kambing itu dijumpai hendaklah mereka mengurungnya sehingga didapati tuannya dan diserahkan kepadanya semula. Adapun mengenai unta-unta yang hilang, baginda mengarahkan agar binatang tersebut dibiarkan begitu sahaja sehinggalah tuannya menjumpainya. Hukum ini berkuat kuasa sehinggalah zaman Saidina Othman bin Affan r.a. Pada  zaman baginda keadaan dan suasana agak berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana perompak dan penyamun bermaharajalela hatta di padang pasir. Lantaran itu, baginda memerintahkan agar unta dan kambing yang hilang ditangkap dan dikurung sementara menunggu kehadiran tuan empunya, sedangkan sebelum itu apa yang dibimbangkan hanyalah binatang-binatang buas seperti singa dan harimau. Kambing sebagai binatang yang kecil dan lemah tentunya tidak mampu melawan binatang buas tersebut seperti mana unta. Pada zaman Saidina Ali r.a. pula, segala perbelanjaan untuk menjaga binatang tersebut diambil daripada Baitul Mal.
4.      Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.
5.      Penulisan mushaf pada zaman Saidina Abu Bakar r.a.
6.      Mengadakan jabatan-jabatan pada zaman Saidina Umar r.a.
7.      Dasar Saidina Umar r.a. mengekalkan tanah-tanah yang dibuka di Iraq kepada tuan-tuan empunya di samping mengenakan cukai (al-kharaj) ke atas tanah tersebut sekiranya mereka masih menganut agama asal mereka keputusan Saidina Umar r.a. membuang daerah seorang pemuda di Madinah yang bernama Nasr bin Haliaj. Pemuda ini memiliki rupa paras yang amat kacak sehingga mempesonakan seorang gadis di kota suci itu. Mulanya Umar r.a mengarahkan pemuda itu dicukur. Namun, rupa parasnya masih lagi cantik. Akhirnya dia dibuang daerah ke Basrah, Iraq. Pada hemat Saidina Umar r.a., jika pemuda tersebut masih dibiarkan berada di Madinah, kemungkinan besar gadis-gadis lain turut terpesona dengan kekacakannya. Ini suatu fitnah yang besar terutama di kota suci Madinah. Berlainan sekiranya kalau pemuda itu di Basrah sebab beliau dikira terasing di tempat orang. Lagipun, mungkin dia akan bersikap lebih waspada terhadap dirinya.

Hukum-Hukum Yang Diputuskan Menerusi Siasah Syariyyah

Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai hukum-hukum syariah. Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah yang umum seperti mana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum.
 itu, penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.
Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan memastikan keamanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada sebarang kepentingan diri.
Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah syar’iyyah lebih bersifat fleksibel. Walau bagaimanapun, para ulama melarikkan syarat-syarat berikut:

1.      Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dan kerajaan Islam yang menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya. Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut. Maka dalam konteks, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang setakat ini diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk mentadbir maka kita sudah berupaya untuk mengeluarkan hukum-hukum dan peraturan-peraturan menerusi al-Siasah al-Syar’iyyah lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan urusan dalam negara, begitu juga urusan luar yang berada di dalam bidang kuasa kita.
2.      Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).
3.      Tiada sebarang percanggahan yang hakiki dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat am di setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dalil tersebut tetapi hanyalah sebagai syariat atau peraturan sementara seperti mana masalah penetapan harga barang ataupun sejak asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan perkara berkaitan. Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya yang berjudul Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siasah al-Syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a. yang bermaksud: ‘Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh ulama (imam) telah bersikap demikian.’

Imam Al-Syafi’e r.a. menegaskan, katanya, ‘Tiada siasah dikira sah melainkan ianya hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak.’
Ibn ‘Uqail r.a. pula menyatakan: ‘Siasah ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan terhindar jauh daripada kebinasaan walaupun itu tidak pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu’. Inilah siasah yang dikatakan siasah syar’iyyah yang adil dan saksama.
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa saluran al-Siasah al Syar’iyyah sepatutnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita sebagai individu Islam yang bersifat haraki yang mengambil tempat sebuah negara Islam moden di rantau ini. Kita sesungguhnya memiliki sekurang-kurangnya dua fakta utama dalam memenuhi keperluan siasah syar’iyyah iaitu:

1.      Timbulnya isu-isu dan masalah-masalah baru yang memerlukan jawapan yang tepat.
2.      Wujudnya kumpulan ilmuan yang terdiri daripada ulama dan professional yang dapat dimanfaatkan dalam melengkapkan lagi organisasi pengurusan dan pentadbiran masyarakat.

Sama-sama kita berdoa semoga Allah s.w.t sentiasa menganugerahkan taufik dan hidayah-Nya serta mengekalkan kerajaan yang sedia ada dalam usahanya untuk meluaskan sempadan pemerintahannya dan meyakinkan kepada masyarakat umum betapa Islam sebagai pilihan utama mereka pada masa dahulu, sekarang dan untuk selama-lamanya. 
Wallhualam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan