Syed Mahadzir Syed Ibrahim
DUA orang pelajar agama lelaki berjalan kaki menuju
sekolah agama mereka sehabis cuti panjang. Tiba di pinggir sungai, mereka mendapati
seorang gadis cantik yang sedang kebingungan. Dia tidak berani menyeberangi
sungai yang cukup deras itu. Lalu dia minta si pelajar agama senior agar
bersedia menggendongnya untuk menyeberang. Yang diminta tolong menolehkan
wajah, pura-pura tidak mendengar, dan menyeberang sendirian. Tanpa diminta,
pelajar agama junior mendukung gadis tersebut, dan menyeberangkannya sampai di
tebing sungai.
Kedua pelajar agama pun meneruskan
perjalanan. Menjelang tiba di gerbang sekolah agama, pelajar agama senior bertanya
dengan keras, ‘Kenapa kau dukung perempuan yang bukan muhrim tu tadi? Bukankah
guru kita dan kitab-kitab dah mengajar supaya kita tidak boleh bersentuhan
dengan perempuan bukan muhrim?’
Pelajar agama junior berhenti melangkah dan
menyahut, ‘Rupanya kamu masih menggendong perempuan itu? Saya sudah
meninggalkannya di tepi sungai tadi...’
Si pelajar agama senior menganggap ajaran
agama adalah harga mati yang berlaku di segala tempat, di semua situasi, tanpa
kompromi. Dia tidak sudi menolong orang yang sangat memerlukan sekalipun.
Sepanjang pertolongan itu dia pandang sebagai melanggar harga mati tersebut.
Dia pun risau memikirkan perbuatan saudaranya yang dia anggap sebagai dosa itu.
Pelajar agama junior memperlakukan agama
sebagai pedoman hidup yang kontekstual, yang penerapannya harus disesuaikan
dengan situasi dan keadaan. Ringkasnya: agama harus sejalan dengan kemanusiaan
dan perkembangan sejarah umat manusia. Alasannya sederhana: agama adalah untuk
manusia. Bukan sebaliknya.
Dan dengan begitu barulah agama layak disebut
sebagai pedoman hidup, bukan ‘pedoman mati’ atau belenggu jiwa. Dia menerima
ajaran elementer bahawa ‘menyentuh’ bukan muhrim secara umum tidak dianjurkan,
tetapi di hadapannya ada perempuan muda yang gementar, yang perlukan bantuan untuk
boleh menyeberangi sungai. Akalnya dengan mudah memutuskan: ajaran agama yang
spesifik itu harus ditunda. Ada kepentingan lebih besar dan segera yang perlu
bantuannya. Setelah merampungkan tugas kemanusiaan itu, dia kembali mengerjakan
hal-hal lain tanpa apa-apa beban pun.
Dan dengan cara itu dia menepiskan ajaran
spesifik agama demi mengamalkan ajaran umumnya: berbuat baik kepada sesama,
membantu orang yang memerlukan. Si pelajar agama senior sebaliknya. Sudah tidak
berbuat apa-apa untuk menolong orang, padahal dia sangat mampu untuk itu,
fikirannya tentang apa yang dipandangnya sebagai dosa terus mencekam dirinya.
Ada peristiwa dramatis dalam kisah nyata
kerana kes menterjemahkan agama sebagai ‘pedoman mati’ tersebut. Para ulama
petugas di sebuah sekolah puteri di Arab Saudi persis si pelajar agama senior -
malah jauh lebih buruk. Sekolah yang mereka jaga terbakar, murid-murid berusaha
menyelamatkan diri tetapi dihalang dan digiring kembali masuk kerana
gadis-gadis itu dinilai berpakaian tidak wajar.
Petugas kebakaran yang datang untuk menolong pun dihalang
dengan alasan serupa: lelaki bukan muhrim diharamkan, bahkan sekadar untuk
melihat perempuan bukan muhrim dalam keadaan tidak berjilbab dan bertudung.
Puluhan murid itu pun mati terpanggang. Betapa mahalnya harga agama yang dianut
sebagai ‘pedoman mati,’ bukan pedoman hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan