Selasa, 13 November 2012

Menuju Kesempurnaan Iman


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Bersyukur apabila mendapat nikmat. Sabar apabila mendapat kesulitan. Tawakal apabila mempunyai rancangan atau program. Ikhlas dalam segala amal perbuatan. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan. Jangan usil dengan kekayaan orang.
Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang. Jangan sombong kalau memperolehi kejayaan. Jangan tamak kepada harta. Jangan terlalu keterlaluan dalam cita-cita akan sesuatu kedudukan. Jangan hancur kerana kezaliman. Jangan goyah kerana fitnah. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri. Jangan campuri harta dengan harta yang haram.
Jangan sakiti ayah dan ibu. Jangan usir orang yang meminta-minta. Jangan sakiti anak yatim. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil. Banyak berkunjung ke rumah Allah s.w.t (masjid). Lakukan sembahyang dengan ikhlas dan khusyu. Lakukan sembahyang fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid. Biasakan sembahyang malam. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah s.w.t. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat. Sayangi dan santuni fakir miskin.
Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah s.w.t. Jangan marah berlebih-lebihan. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan. Bersatulah kerana Allah s.w.t dan berpisahlah kerana Allah s.w.t. Berlatihlah konsentrasi fikiran. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi.
Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis atau syaitan. Jangan percaya ramalan manusia. Jangan terlampau takut miskin. Hormatilah setiap orang. Jangan terlampau takut kepada manusia. Jangan sombong, takabur dan besar kepala. Berlakulah adil dalam segala urusan. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah s.w.t. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran. Perbanyakkan silaturrahim. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam. Bicaralah secukupnya.
Beristeri atau bersuami kalau sudah sedia segala-galanya. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan. Hormatilah kepada guru dan ulama.
Sering-sering berselawat kepada nabi. Cintai keluarga Rasulullah s.a.w. Jangan terlalu banyak hutang. Jangan terlampau mudah berjanji. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti berborak (membebel) yang tidak berguna. Bergaullah dengan orang-orang soleh.
Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi. Jangan membenci seseorang kerana fahaman dan pendiriannya. Jangan benci kepada orang yang membenci kita. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuai pilihan
Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan. Jangan melukai hati orang lain. Jangan membiasakan berkata dusta. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita. Jangan membuka aib orang lain.
Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara.
Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa. Hargai prestasi dan pemberian orang. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan. Sediakan waktu untuk bersenam yang sesuai dengan norma-norma agama dan kedudukan diri kita. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fisikal atau mental kita menjadi terganggu.
Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan  berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum  dipastikan kebenarannya. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban.
Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan  dan tidak berlebihan. Jangan memforsir diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari  kenyataan kehidupan. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap  kejahatan akan melahirkan kerusakan. Jangan gembira di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan  orang.

Laluan Menuju Ke Kubur

a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat dan mengeji
b. Hindarkan perasaan iri hati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan emas atau perak
d. Sucikan qadha’ hajat dengan istibra (berak atau kencing)

Laluan Untuk Berjumpa Izrail

a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mukmin
c. Bayar semula kadha’ yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada Allah s.w.t

Laluan Untuk Bertemu Mungkar Nangkir

a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati

Laluan Untuk Memberatkan Timbangan

a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh Allah s.w.t

Laluan Memantapkan Amalan

a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada Allah s.w.t
d. Banyakkan sedekah dan khairat

Laluan Melalui Titian Sirat Al-Mustakim

a. Kasihilah aulia Allah s.w.t
b. Berbaktilah kepada kedua ibu bapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syarak
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

Laluan Menjauhkan Diri Dari Neraka

a. Banyakkan membaca Al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

Laluan Untuk Memasuki Syurga

a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan Allah s.w.t
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk Allah s.w.t

Laluan Berjumpa Dengan Rasulullah s.a.w

a. Kasihilah Nabi Allah s.w.t
b. Kasihilah Rasulullah s.a.w
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh Allah s.w.t
d. Banyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w

Laluan Untuk Bertemu Allah s.w.t

a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada Allah s.w.t
c. Betulkan dan baikkan iktikad kepada Allah s.w.t
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA