Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Kata syariat telah beredar luas di kalangan umat muslim.
Bahkan, dalam Al-Quran sendiri, kata tersebut telah dipakai antara lain dalam
surah al-Jatsiyah ayat 18. Pemakaian kata tersebut mengacu kepada makna ajaran
dan norma agama itu sendiri. Dalam perkembangan Islam munculnya tiga kata iaitu
tarekat, hakikat dan makrifat, telah mengakibatkan terbatasnya pengertian
syariat sehingga lebih banyak mengacu pada norma hukum. Sedangkan tiga kata
lainnya menjadi terma yang terkenal dalam tasawuf. Lantaran itu ada baiknya
kita lebih dahulu berbicara tentang tasawuf itu sendiri.
Mengenai golongan tasawuf ada dua pendapat.
Pertama, mereka adalah golongan spiritual dalam umat Islam yang berada di
tengah-tengah dua golongan lainnya yang disebut golongan formal dan golongan
intelektual. Golongan intelektual ini terdiri dari ulama-ulama mutakallim
(ahli teologi), sedangkan golongan formal terdiri dari ulama-ulama muhaddits
dan fuqaha.
Kedua, bahawa tasawuf itu hanyalah suatu
kecenderungan spiritual yang membentuk etika moral dan lingkungan sosial
khusus. Sehingga seharusnya kita katakan seorang muhaddttsin sekaligus
juga ulama sufiyah, begitu juga seorang mutakallimin sekaligus
juga ulama sufiyah.
Ajaran tasawuf pada dasarnya merupakan
sebahagian dari prinsip-prinsip Islam sejak awal. Ajaran ini tidak ubahnya
merupakan usaha mendidik diri dan keluarga untuk hidup bersih dan sederhana,
serta patuh melaksanakan ajaran-ajaran agama dalam kehidupannya sehari-hari.
Ibnu Khaldun mengungkapkan, pola dasar
tasawuf adalah kedisiplinan beribadah, konsentrasi tujuan hidup menuju Allah s.w.t
(untuk mendapatkan redha-Nya), dan usaha membebaskan diri dari keterikatan
mutlak pada kehidupan duniawi, sehingga tidak diperhambakan harta atau takhta,
atau kesenangan duniawi lainnya.
Kecenderungan seperti ini secara umum terjadi
pada kalangan golongan muslim angkatan pertama. Pada angkatan berikutnya (abad
2 Hijrah) dan seterusnya, secara beransur-ansur terjadi pergeseran nilai
sehingga orientasi kehidupan duniawi menjadi lebih berat. Ketika itulah
angkatan pertama golongan muslim yang mempertahankan pola hidup sederhananya
lebih dikenali sebagai golongan sufiyah.
Keadaan tersebut berlanjutan hingga mencapai
puncak perkembangannya pada akhir abad 4 Hijrah. Dalam masa tiga abad tersebut
dunia Islam mencapai kemakmuran yang melimpah, sehingga di kalangan atasan dan
menengah terdapat pola kehidupan mewah, seperti kita dapat lihat dalam karya
sastera Kisah Seribu Satu Malam pada masa kejayaan kekhalifahan
Abbasiyah.
Pada masa itu gerakan tasawuf juga mengalami
perkembangan yang tidak terbatas hanya pada amalan hidup bersahaja saja, tetapi
mulai ditandai juga dengan berkembangnya suatu cara penjelasan teoritis yang
kelak menjadi suatu disiplin ilmu yang disebut ilmu tasawuf.
Pada tingkat perkembangan inilah muncul
beberapa terma yang dulunya tidak lazim dipakai dalam ilmu-ilmu keislaman.
Usaha penalaran para ulama muhaddits dan fuqaha dalam menjabarkan
prinsip-prinsip ajaran Islam mengenai penataan kehidupan individu dan
masyarakat yang sudah berkembang selama tiga abad - dengan munculnya disiplin
ilmu Tasawuf - terjadilah pemisahan antara dua pola penalaran, iaitu produk
penalaran ulama muhaddits dan fuqaha yang disebut syariat, dan
produk penalaran ulama tasawuf yang disebut hakikat.
Selanjutnya para fuqaha pun disebut
ahli syariat dan para ulama tasawuf disebut ahli hakikat. Pada tahap
perkembangannya, secara beransur-ansur pola fikir dan pola hubungan antara ahli
syariat dan ahli hakikat makin berbeza. Dan ini menimbulkan banyak pertentangan
antara kedua golongan tersebut. Perbezaan tersebut ditandai dengan beberapa hal
berikut:
1. Ahli syariat menonjolkan - kadang-kadang
secara berlebih-lebihan - soal pengalaman agama dalam bentuk yang formalistik
(syiar-syiar lahiriah). Sedang di lain pihak, para ahli hakikat menonjolkan
aspek-aspek batiniah ajaran Islam.
2. Adanya teori-teori ahli hakikat yang
menggusarkan para ahli syariat, misalnya teori al-fana fi ‘l-lah
(peleburan diri dalam Allah) yang dikemukakan oleh Abu Yazid al-Busthami dan
teori Hub al-Lah (cinta Allah) hasil pemikiran Rabi’ah al-’Adawiyah
serta teori Maqamat-Ahwal (terminal-terminal dan situasi-situasi)
ciptaan Dzunn-un al-Mishri. Semua itu dianggap sebagai ajaran aneh oleh para
ahli syariat.
3. Sebahagian ahli hakikat tidak merasa terikat
dengan syiar-syiar agama yang ritual-formalistik. Mereka berkata, kalau
seseorang sudah mencapai darjat wali, dia sudah bebas dari ikatan-ikatan
formal. Padahal, para pendahulu mereka sangat berdisiplin dalam pengalaman
syariat.
4. Ahli hakikat mendakwa, siapa yang telah
sampai perjalanan rohaniahnya kepada Allah s.w.t dan sudah terlebur dirinya
dalam diri Allah s.w.t, maka dia akan mampu menaklukkan alam dan melakukan
hal-hal yang luar biasa (keramat).
Jurang pemisah yang semakin hari semakin
melebar antara ahli syariat dan ahli hakikat makin menjadi-jadi pada sekitar
akhir abad kelima Hijrah, dan Imam Ghazali berusaha memulihkannya. Dalam kaitan
inilah beliau tampil dengan karya besarnya iaitu Ihya ‘Ulum al-Din.
Dalam buku ini beliau mempertemukan teori-teori syariat dengan teori-teori
hakikat Ternyata usaha al-Ghazali ini sangat membantu dalam merukunkan kembali
antara para ahli syariat dengan ahli hakikat.
Di negara kita agak jarang dikenali atau
diketahui tetapi di Indonesia kita lebih banyak mengenali ajaran tasawuf
melalui lembaga keagamaan tidak formal yang namanya ‘tarekat’ - asal kata
tarekat. Di Jawa Timur contohnya, kita akan temui Tarekat Qadiriyah yang cukup
dikenali, di samping Tarekat Naqsyabandiyah, Syadziliyah, Tijaniyah dan
Sanusiyah.
Dalam satu dasawarsa terakhir ini, kita
melihat adanya langkah lebih maju dalam perkembangan tarekat-tarekat tersebut
dengan adanya koordinasi antara berbagai macam tarekat tersebut melalui ikatan
yang dikenali dengan nama Jam’iyah Ahl al-Tarekat al-Mu’tabarah.
Pada tahun lima puluhan, kerajaan Mesir telah
menempatkan pembinaan dan koordinasi tarekat-terekat tersebut di bawah Jabatan
Bimbingan Nasional (Wizarah al-Irsyad al-Qaumi). Pertimbangannya ialah,
bagaimanapun kewujudan penganut-penganut tarekat itu merupakan sebahagian dari
potensi bangsa atau umat, yang berhak mendapatkan perlindungan dalam rangka
tertib kemasyarakatan suatu negara.
Untuk lebih mengenali adanya tarekat itu, ada
baiknya kita mempersoalkan bilakah munculnya tarekat (al-thuruq al-shufiyah)
tersebut dalam sejarah perkembangan gerakan tasawuf. Dr. Kamil Musthafa
al-Syibi dalam tesisnya tentang gerakan tasawuf dan gerakan syi’ah
mengungkapkan bahawa tokoh pertama yang memperkenalkan sistem tarekat itu ialah
Syekh Abdul Qadir al-Jilani (meninggal dunia pada tahun 561 Hijrah/1166 Masehi)
di Baghdad. Ajaran tarekatnya menyebar ke seluruh penjuru dunia Islam, yang
mendapat sambutan luas di Aljazair, Ghinia dan Jawa, Indonesia
Sedangkan di Mesir, tarekat yang ramai
pengikutnya ialah Tarekat Rifa’iyyah yang dibangunkan oleh Sayid Ahmad
al-Rifa’i. Dan tempat ketiga diduduki oleh tarekat ulama penyair kenamaan
Parsi, Jalal al-Din al-Rumi (meninggal dunia pada tahun 672 Hijrah/1273
Masehi). Beliau membuat tradisi baru dengan menggunakan alat-alat muzik sebagai
sarana zikir. Kemudian sistem ini berkembang terus dan meluas.
Dalam period berikutnya muncul tarekat
al-Syadziliyah yang mendapat sambutan luas di Moroco dan Tunisia khususnya, dan
dunia Islam bahagian Timur pada umumnya. Yang juga perlu dicatat di sini ialah
munculnya Tarekat Sanusiyah yang mempunyai disiplin tinggi mirip disiplin
tentera. Di bawah syeikhnya yang terakhir iaitu Sayyid Ahmad al-Syarif
al-Sanusi berjaya menggalang satu kekuatan penentangan rakyat yang mampu
memerangi kolonial Itali, Perancis dan Inggeris secara berturut-turut, dan
akhirnya membebaskan wilayah Libya.
Mungkin sifat keras dari iklim yang dibentuk
Tarekat Sanusiyah inilah yang mewarnai Mu’ammar al-Qadafi mengambil alih
kekuasaan dan berkuasa sehingga saat ini sebagai Ketua Negara tersebut. Nicholson
mengungkapkan hasil pengkajiannya bahawa sistem hidup bersih dan bersahaja (zuhud)
adalah dasar semua tarekat yang berbeza-beza itu. Semua pengikutnya dididik
dalam disiplin tersebut, dan pada umumnya tarekat-tarekat tersebut walaupun
beragam namanya dan metodnya, tetapi ada beberapa ciri yang menyamakannya
iaitu:
1. Ada upacara khusus ketika seseorang diterima
menjadi penganut (murid). Ada kalanya sebelum yang berkenaan diterima menjadi
penganut, dia harus terlebih dahulu menjalani masa persiapan yang berat.
2. Memakai pakaian khusus (sedikitnya ada tanda
pengenalan)
3. Menjalani riyadlah (latihan dasar)
berkhalwat. Menyepi dan berkonsentrasi dengan sembahyang dan puasa selama
beberapa hari (kadang-kadang sampai 40 hari).
4. Menekuni pembacaan zikir tertentu (aurad)
dalam waktu-waktu tertentu setiap hari, ada kalanya dengan alat-alat bantu
seperti muzik dan gerak badan yang dapat membina konsentrasi ingatan.
5. Mempercayai adanya kekuatan ghaib atau tenaga
dalaman pada mereka yang sudah terlatih, sehingga dapat melakukan
perkara-perkara yang di luar kebiasaan.
6. Penghormatan dan penyerahan menyeluruh kepada
syeikh atau pembantunya yang tidak boleh dibantah
Dari sistem dan metod tersebut Nicholson
menyimpulkan bahawa tarekat-tarekat sufi merupakan bentuk organisasi yang
tersusun untuk membina suatu pendidikan moral dan solidariti sosial. Sasaran
akhir dari pembinaan individu dalam pola hidup bertasawuf adalah hidup bersih,
bersahaja, tekun beribadah kepada Allah s.w.t, membimbing masyarakat ke arah
yang diredhai Allah, dengan jalan pengamalan syariat dan penghayatan hakikat
dalam sistem atau metod tarekat untuk mencapai makrifat.
Apa yang dimaksudkan dengan kata makrifat
dalam terma mereka ialah penghayatan puncak pengenalan keesaan Allah s.w.t dalam
wujud semesta dan wujud dirinya sendiri. Pada titik pengenalan ini akan terpadu
makna tawakkal dalam tauhid, yang melahirkan sikap pasrah keseluruhan kepada
Allah s.w.t, dan melepaskan dirinya dari kebergantungan mutlak kepada sesuatu
selain daripada Allah s.w.t.
Sumber rujukan:
1. Abu ‘l-Hasan al-Nadawi, Rijal al-fikri wa
‘l-Da’wah fi ‘l-lslam.
2. Ahmad Amin, Dhuha al-Islam dan Zhuhur
al-Islam.
3. Imam al Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din.
4. Ibn Khaldun, al-Muqaddimah.
5. Kamil Mushthafa al-Syibli, al-Shilah bain
al-Tashawwuf wa ‘l-Tasyayyu’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan