Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada
segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti
berikut:
1. Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan
taat.
2. Istilah: Taat, tunduk, patuh dan merendah
diri kepada Allah s.w.t.
Jelasnya, ibadah ialah pengabdian diri
sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah
dan ketaatan. Firman Allah: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari
benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan
bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.’
(Al-Baqarah:1-2)
Hubungan Akidah Dan Ibadah
Bila seseorang itu telah mempunyai akidah yang kukuh
maka:
1. Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada
Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya: ‘Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia
melainkan untuk beribadah kepada-Ku.’ (Adz-Dzariyat: 56) Perintah dalam ayat
ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah s.w.t semata-mata,
menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah SWTdan hikmah diciptakan jin
dan manusia.
2. Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang
selain dari ketaatan kepada Allah s.w.t. Firman Allah: ‘Dan sesungguhnya Kami
telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah
SWTdan jauhilah thaghut.’ (Al-Nahl:36) Thoghut ialah semua yang disembah
atau yang dipatuhi selain Allah. Membina kehidupan di dunia menurut
peraturan-peraturan Allah.
Ruang Lingkup Ibadah Dalam Islam
Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan
manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah s.w.t
demi mencapai keredhaan-Nya serta dikerjakan menurut cara-cara yang
disyariatkan oleh-Nya.
Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah
kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal
dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali bertemu Allah s.w.t
di hari pembalasan nanti. Hakikat ini ditegaskan oleh Allah s.w.t di dalam
Al-Quran: ‘Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk
menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi
orang-orang yang bertaubat).’ (Al-Mulk:2)
itu
ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat
seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja
amal yang diredhai oleh Allah s.w.t dalam tempoh tersebut.
Pembahagian Ibadah Umum Dan Khusus
Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
Ibadah Khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan
sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat,
haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan
seumpamanya. Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut
garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan
berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang
dilakukan sendiri oleh Rasulullah s.a.w tanpa boleh ditambah atau dikurangkan
atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah s.a.w:
‘Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.’ (Sahih Bukhari)
Ibadah Umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan
ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.
Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.
Syarat Amal Untuk Mendapat Status Ibadah
Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam
telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah,
iaitu:
1. Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah
bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
2. Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang
baik atau kerana Allah s.w.t.
3. Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan
seelok-eloknya bagi menepati sabda Rasulullah s.a.w: ‘Sesungguhnya Allah
SWTsuka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan
memperelokkan kerjanya.’ (Muslim)
4. Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah
sentiasa menurut hukum-hukum syarak dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi
orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas
hak-hak orang.
5. Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti
solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.
Salah Faham Terhadap Pengertian Ibadah
Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan
konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya
bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada
tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan
orang-orang tertentu.
Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di
dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga
meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap
ibadah.
Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu
kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan umat
Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan
bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah
s.w.t.
Malah terdapat juga orang yang berpendapat
bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan
masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah
tanggapan-tanggapan yang amat salah.
Hikmah Dan Falsafah Ibadah Solat, Puasa, Zakat, Dan Haji
Solat
Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca
ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan berdoa. Demikian juga dengan
ibadah perbuatan dengan berdiri, duduk, ruku dan sujud. Terdapat di sana ibadah
akal dengan berfikir, dan merenung makna Al-Quran. Di sana terdapat ibadah hati
dengan ikhlas, khusyuk mencintai Allah SWTdan merasakan Allah SWTsenantiasa
memerhati dan mengamati amal hamba-Nya.
Solat juga menjadikan seseorang itu
benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah s.w.t. Setiap kali dia
bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah s.w.t. Rasa
takut dan berharap terhadap Allah s.w.t yang ditanam oleh ibadah solat ini akan
memimpin di dalam seluruh hidupnya hinggakan seluruh tindak-tanduknya
dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung di dalam solat tersebut.
Zakat
Zakat bereti kesucian dan kebersihan. Ini bererti
kesucian dan kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak mungkin dapat dicapai tanpa
dia memberikan hak saudara-saudaranya yang miskin terhadap harta bendanya
melalui zakat. itu di dalam Islam zakat
adalah satu asas persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri
sendiri yang selalu menjadi punca kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di
antara asas penting bagi penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertakwa.
Puasa
Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang
bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman-Nya: ‘Hai orang-orang yang
beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas
orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.’
Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman
dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi untuk kepentingan Islam melalui
menanggung kesusahan, kelaparan, kedahagaan dan keletihan. Puasa yang
disyariatkan sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan dalam diri mukmin daya
juang, keikhlasan dan sifat konsisten (istiqamah) yang mana kesemuanya
akan menambahkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Haji
Allah s.w.t telah berfirman: ‘Dan serukanlah umat manusia
untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu)
dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang
datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.’ (Al-Hajj:27)
Seseorang Mukmin yang telah melalui seluruh
proses haji ini akan kekal bersama-sama pengalaman melaksanakan ibadah
tersebut. Hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun. Malahan
hatinya akan sentiasa rindu untuk terus berkunjung semula ke Tanah Suci demi
untuk mencurahkan rasa kecintaannya kepada Allah SWTdi Baitullah.
Kepentingan Ibadah Dalam Membina Ummah
Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada
seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan
kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang benar-benar khusyuk akan
mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia merasakan jijik untuk
dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran.
Sebagaimana firman Allah s.w.t: ‘Bacalah
serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran
dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah
dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah
SWTadalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah
SWTmengetahui akan apa yang kamu kerjakan.’ (Al-Ankabut:45)
Roh yang dibawa oleh sistem zakat pula
mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang
yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki adalah dengan
satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t dengan
mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan Allah s.w.t
iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad fisabilillah.
Tujuan utama puasa pula ialah untuk
mewujudkan takwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat takwa di
dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan sepenuh hatinya
dalm melaksanakan segala perintah Allah s.w.t, sanggup melakukan tugas-tugas
yang berat dalam mentaati Allah s.w.t dan lebih mengutamakan kepentingan umat
Islam daripada kepentingan peribadinya.
Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi
seluruh ummat Islam mengukuhkan kesatuan Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan
tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat memimpin ummat manusia.
Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika
dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat,
bersatu dan diredhai oleh Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan