Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Kebanyakan kemerosotan terhadap Islam belakangan ini
terjadi akibat kebodohan, kesilauan rasa pemujaan keterlaluan terhadap
peradaban Barat. Menurut Prof. Naquib al-Attas, bukan hanya dari segi ajaran,
Islam membongkar dasar-dasar kepercayaan agama Kristian, tetapi kemuncuan Islam
pada awal abad ke-7 Masehi, juga memberikan halangan atau cabaran hebat
terhadap eksistensi politik, ekonomi, dan geografi Kristian.
Fajar Islam kemudian mengubah peta sejarah,
khususnya di kawasan Timur Tengah. Islam menggantikan kedudukan Kristian
sebagai agama dominan ketika itu. Secara panjang lebar hal ini dikatakan oleh
al-Attas dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin sebagai berikut:
‘Pada waktu fajar Islam mulai menyingsing
maka agama Kristian itu sudah pun menguasai kawasan yang luasnya melingkungi
Eropah Barat hingga ke Timur, termasuk Asia Barat dan Afrika Utara. Akan tetapi
impian agung dan idam-idaman yang tentu giat memujuk hasrat dan ghairah
penganjur serta penganut-penganut agama Kristian Barat itu tiba-tiba getar
gugur hancur akibat terbitnya Islam. Islamlah agama yang mula-mula mendakwahkan
peranannya sebagai agama yang bersifat menyeluruh bagi anutan segenap
masyarakat insani; agama yang merupakan fitrah atau mengandungi bawaan asal
sifat insani; yang mula-mula mendakwah bagi membetul dan melengkapkan
agama-agama lampau, khususnya agama Yahudi dan Kristian; yang mula-mula
menggugat dan menghancurkan dasar-dasar akidah agama Kristian.’
Kemudian gugatan serta kepercayaan batin
terhadap agama Kristian itu disusuli segera dengan cabaran zahir yang merupakan
perkobaran panji Islam, dalam masa sejarah yang sesingkat lebih kurang lima
puluh tahun sahaja, laksana api yang merebak menjalar keluar dari tanah Arab ke
Mesir; ke Afrika Utara (al-Maghrib); ke
Sepanyol; ke Iraq; ke Syria; ke Farsi; ke India dan China sehingga sampai juga
ke Kepulauan Melayu ini.
Dalam masa hampir dua ratus tahun sesudah
Hijratu’l-Nabiy, maka jajahan dan kawasan Islam itu luasnya lebih jauh besar
dari jajahan dan kawasan agama dan imperaturia manapun dalam dunia, dan
melingkungi kawasan-kawasan Eropah Barat dan Timur termasuk negeri Turki.
Orang-orang Islamlah yang pertama menawan orang Barat; yang pertama memainkan
peranan besar dalam menyanjung tinggi pelita ilmu pengetahuan ke Eropah dan
dengan demikian menerangi suasana gelap gelita yang menyelubungi dunia Barat
ketika itu; yang pertama melangsungkan pembicaraan akliah menerusi ilmu kalam
dengan para failasuf dan ahli teologi agama Kristian Barat.
Pukulan zahir batin yang hebat yang telah
dikenakan oleh Islam kepada agama Kristian dan kebudayaan Barat itu tentulah
terasa oleh hati sanubari bagai sebatan cemeti yang terlalu amat pedih
menggeleparkan, hingga memaksa keluar dari dalam kunhi jiwanya satu
laungan maha dahshat yang ngilunya masih dirasai santak kini.
Maka sesungguhnya tidak hairan bagi kita
jikalau agama Kristaan Barat dan orang Barat yang menjelmakan kebudayaan Barat
itu, dalam serang balasnya terhadap agama dan orang Islam, akan senantiasa
menganggap Islam sebagai bandingnya, sebagai tandingnya, sebagai taranya dan
seterunya yang tunggal dalam usaha mereka untuk mencapai kedaulatan duniawi.
Dan kita pun tahu bahawa tidaklah dapat Islam
itu bertolak-ansur dalam menghadapi serangan kebudayaan Barat, justeru sehingga
kebudayaan Barat itu tentulah menganggap Islam sebagai seterunya yang mutlak;
dan kesejahteraannya hanya akan dapat terjamin dengan kemenangannya dalam
pertandingan secara bermati-matian dengan Islam, sebab selagi Islam belum dapat
ditewaskan olehnya maka akan terus ada tandingan dan seteru yang tiada akan
berganjak daripada mencabar dan menggugat kedaulatan serta fahaman dasar-dasar
hidup yang didakyahkan oleh mereka.
Prof. Naquib al-Attas mengimbau agar kaum
Muslimin tidak alpa dan lena dalam mengemban tugasnya sebagai umat Islam. Umat
Islam tidak seharusnya secara bulat-bulat menerima dan mengharapkan harapan
yang sia-sia bantuan dan kerjasama serta persahabatan yang ikhlas dari yang
lain. Beliau mengajak umat Islam merenungkan makna firman Allah dalam surat
al-Baqarah 120: ‘Tiada akan orang Yahudi dan Kristian itu rela menerimamu
melainkan kau jua yang dikehendaki mereka mengikut cara agamanya. Katakanlah
(olehmu): Sesungguhnya petunjuk Allah – itulah satu-satunya petunjuk. Andai
kata kau mengikut hawa nafsu mereka, sesudah sampai kepadamu Ilmu yang
Sebenarnya, maka tiada akan kau dapati bagimu Pelindung mahupun Penolong yang
akan dapat mencegah tindak balasan Allah.’
Diingatkan oleh Prof. Naquib al-Attas dengan
bahasa yang lugas: ‘Bukankah pada zaman
kita ini pun jelas bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian, keduanya menjelmakan
sifat asasi kebudayaan Barat, memang tiada rela menerima baik seruan Islam dan
kaum Muslimin, melainkan kita juga yang dikehendaki mereka mengikut cara
agamanya, menganuti sikap hidup yang berdasarkan semata-mata keutamaan
kebendaan, kenegaraan dan keduniaan belaka. Dan agama dijadikannya hanya
sebagai alat bagi melayani hawa nafsu. Bukankah ilmu yang sebenarnya sudah
sampai kepada kita?
Maka mengapa pula kita membiarkan sahaja
nasib umat kita dipimpin oleh pemimpin-pemimpin politik, kebudayaan dan ilmu
pengetahuan dan juga para ulama yang lemah dan palsu yang sebenarnya tidak
sedar bahawa mereka sedang mengekori hawa nafsu kebudayaan Barat. Mereka
membayangi kebudayaan Barat dalam cara berfikir, dalam sikap beragama, dalam
memahami nilai-nilai kebudayaan dan mengelirukan faham serta tujuan ilmu.
Kepada kebudayaan Baratkah akan kita berlindung, akan kita memohon pertolongan,
yang akan dapat mencegah tindak balasan Allah kelak?
Berbeza dengan Samuel P. Huntington yang
sejak tahun 1960-an sudah menjadi penasihat politik Amerika Syarikat, dan
menulis bukunya, Clash of Civilizations and the Remaking of World Order,
untuk bahan merumuskan tindakan politik negaranya. Prof. Naquib al-Attas adalah
tokoh seorang ilmuwan dan akademik yang sangat prihatin dan berkecimpung dalam
hampir seluruh hidupnya dalam dunia pendidikan dan pengembangan ilmu
pengetahuan.
Prof. Naquib al-Attas sama sekali bukan ahli
politik. Beliau jenis ilmuwan tulen, ulama, yang meyakini bahawa masalah asas
yang dihadapi umat Islam dan dunia antarabangsa adalah masalah keilmuan (knowledge).
Beliau seperti mengikut jejak ulama-ulama Islam terdahulu seperti al-Shafii,
al-Ghazali, Imam Ahmad, dan sebagainya, yang bergiat dalam ilmu dan menjaga
kemandirian dan sikap kritis terhadap penguasa.
Sebagai ulama yang memiliki tanggungjawab
keilmuan dan penjagaan akidah dan eksistensi umat Islam, Prof. Naquib al-Attas
menyerukan agar kaum Muslim, di samping memahami Islam dengan baik juga
memahami secara mendalam realiti peradaban Barat. Beliau mencatat bahawa,
‘Kebanyakan orang Islam belum lagi mengetahui dan mengenali apa dia sebenarnya
kebudayaan Barat itu. Sebelum dapat kita mengukuhkan diri terhadap serangan
yang ditujukan kepada kita oleh kebudayaan Barat maka perlulah bagi kita
mengenali sifat-sifat asasi kebudayaan itu.’
Teori Prof. Naquib al-Attas tentang
sifat-sifat asasi peradaban Barat dan Islam telah menarik banyak perhatian
dunia antarabangsa. Buku-bukunya diterjemahkan dalam berbagai bahasa. Beliau
memiliki pendirian yang kukuh dan tajam, meskipun harus memberikan kritikan
secara langsung terhadap peradaban Barat di depan para cendekiawan Barat itu
sendiri.
Sebagai contoh, perhatian terhadap teori
Prof. Naquib al-Attas adalah apa yang dilakukan oleh sebuah yayasan The
Cranlana Program di Australia yang menerbitkan dua jilid buku berjudul Powerful
Ideas: Perspectives on the Good Society (2002). Buku ini menghimpun gagasan
pemikir-pemikir besar dalam sejarah umat manusia. Gagasan Prof. Naquib al-Attas
yang diambil adalah pemikirannya yang tertuang dalam sebuah tulisan
berjudul Dewesternization of
Knowledge.
Secara lebih sederhana, hakikat peradaban
Barat dijelaskan oleh Prof. Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum
Muslimin: ‘Biasanya yang disebutkan
orang sebagai kebudayaan Barat itu adalah hasil warisan yang telah dipupuk oleh
bangsa-bangsa Eropah dari kebudayaan Yunani kuno yang kemudian diadun pula
dengan campuran kebudayaan Rumawi dan unsur-unsur lain dari hasil cita-rasa dan
gerak-daya bangsa-bangsa Eropah sendiri, khususnya dari suku-suku bangsa
Jerman, Britain dan Perancis. Dari kebudayaan Yunani kuno mereka telah
meletakkan dasar-dasar falsafah kenegaraan serta pendidikan dan ilmu
pengetahuan dan kesenian; dari kebudayaan Rumawi purbakala mereka telah
merumuskan dasar-dasar undang-undang dan hukum serta ketatanegaraan.’
Agama Kristian, sungguhpun berjaya memasuki
benua Eropah, namun tidak juga mampu meresap ke dalam kalbu Eropah. Justeru
sesungguhnya agama yang berasal dari Asia Barat dan merupakan, pada tafsiran
aslinya, bukan agama baharu tetapi suatu kesinambungan dari agama Yahudi itu,
telah diambil alih dan diubah ganti oleh kebudayaan Barat demi melayani
ajaran-ajaran dan kepercayaan yang telah lama dianutnya sebelum kedatangan
‘agama Kristian’.
Mereka telah mencampuradukkan ajaran-ajaran
yang kemudian menjelma sebagai agama Kristian dengan kepercayaan-kepercayaan
kuno Yunani dan Rumawi, Mesir dan Parsi dan juga anutan-anutan golongan ‘Kaum
Biadab.’ Dengan sifat dan kedudukan agama Kristian, sebagai agama majoriti
bangsa Barat, seperti itu, maka kebudayaan Barat sejatinya bukanlah berdasarkan
pada agama, tetapi pada falsafah.
Dalam hal ini, pandangan Prof. Naquib
al-Attas sejajar dengan pandangan Iqbal, Sayyid Qutb, Ali an-Nadwi, Muhammad
Asad, dan ramai cendekiawan Muslim lainnya. Namun, pandangan Prof. Naquib
al-Attas tentang peradaban Barat ini kelihatan lebih mendalam dan sistematik.
Beliau berhasil meramu unsur-unsur pembentukan peradaban Barat itu dengan
proporsional, terutama ketika meletakkan kedudukan warisan Yunani Kuno, Romawi,
dan Kristian dalam peradaban Barat.
Dengan mengetepikan agama dan menjadikan
falsafah sebagai asas berfikirnya, maka tiada tempat dalam jiwa pengalaman
mereka itu beragama sesuatu ketetapan mengenai keyakinan. Mereka hanya
menegaskan dasar ‘teori’, iaitu ilmu
pengetahuan atau hasil akal-nazari yang berlandaskan dugaan dan
sangkaan-sangkaan dan pencapaian akal jasmani yang mungkin benar dan mungkin
tidak benar. Maka dari itu, dasar ‘ilmu’ yang demikian dan sikap hidup yang
menjadi akibatnya, tidaklah akan dapat membawa kepada keyakinan.
Sifat agama Kristian itu sendiri, yang
bermasalah dalam asas-asas kepercayaannya, menurut Prof. Naquib al-Attas, juga
turut membentuk sikap peradaban Barat. Secara ringkas, Prof. Naquib al-Attas
menyimpulkan sifat-sifat asasi kebudayaan Barat, kepada:
1. berdasarkan falsafah dan bukan agama,
2. falsafah yang menjelmakan sifatnya sebagai
humanisme, mengikrarkan fahaman penduaan (dualisme) yang mutlak dan bukan
kesatuan sebagai nilai serta kebenaran hakikat semesta,
3. kebudayaan Barat juga berdasarkan pandangan
hidup yang tragik. Yakni, mereka menerima pengalaman ‘kesengsaraan hidup’
sebagai suatu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam
dunia.
Dengan memahami hakikat peradaban Barat yang
tidak berdasarkan agama dan hanya berdasarkan kepada spekulasi seperti itu,
Prof. Naquib al-Attas sampai pada kesimpulan bahawa masalah terberat yang
dihadapi manusia dewasa ini adalah hegemoni dan dominasi keilmuan Barat yang
mengarah pada kehancuran umat manusia. Satu fenomena yang belum pernah terjadi
dalam sejarah umat manusia.
Prof. Naquib al-Attas memulakan tulisannya
dalam Dewesternization of Knowledge dengan ungkapan, bahawa sepanjang
sejarahnya, manusia telah menghadapi banyak halangan atau cabaran dan
kekacauan. Tetapi, belum pernah, mereka menghadapi halangan atau cabaran yang
lebih serius daripada yang ditimbulkan oleh peradaban Barat dewasa ini.
Kritikan-kritikan Prof. Naquib al-Attas
terhadap karakteristik keilmuan Barat moden, misalnya, juga disampaikan sewaktu
Persidangan Antarabangsa Para Filosof pada bulan Januari 2000, di University of
Hawai. Persidangan ini disertai oleh sekitar 160 orang cendekiawan dari 30 buah
negara dan berlangsung selama dua minggu. Tema yang dibahas ialah Technology
and Cultural Values on the Edge of the Third Millennium.
Dalam editorialnya terhadap buku kompilasi
hasil persidangan tersebut, tiga ilmuwan terkenal iaitu Pater D. Hershock,
Marietta Stepaniants dan Roger T. Ames, mencatatkan bahawa paparan Prof. Naquib
al-Attas yang menyorot kesesuain dan ketidaksesuaian antara tradisi Barat dalam
sains dan teknologi dengan sistem epistemologi dan metafizik Islam, merupakan
paparan yang artikulatif, cermat, dan sistematik, tentang asas revision
Islami terhadap tujuan dan premis-premis moral dalam sains dan teknologi.
Dalam huraian ini, Prof. Naquib al-Attas
banyak menjelaskan berbagai perbezaan fundamental antara konsep sekular Barat
dan Islam dalam berbagai persoalan. Dalam soal konsep kebahagiaan (happiness),
misalnya, beliau menjelaskan sikap Muslim yang menolak konsep Aristotelian
tentang kebahagiaan yang hanya menyentuh aspek duniawi, dan hingga kini diikuti
oleh konsep moden. Beliau menegaskan tentang sikap pandangan hidup (worldview) Islam yang tidak
memisahkan aspek duniawi dengan akhirat. Konsepsi moden tentang kebahagiaan (sa’adah)
menurut Prof. Naquib al-Attas, esensinya sama dengan konseps manusia masa lalu,
pada era paganisme.
Sedangkan konsep kebahagiaan dalam Islam,
akan dialami dan disedari oleh orang-orang yang benar-benar tunduk dan patuh
kepada Allah s.w.t dan mengikuti bimbingan-Nya. Puncak kebaikan dalam hidup
adalah cinta kepada Allah s.w.t.
Dalam berbagai tulisan dan ceramahnya, Prof.
Naquib al-Attas jelas berusaha keras memberikan keyakinan kepada kaum Muslimin,
terutama para cendekiawan, tentang keagungan konsep peradaban Islam,
dibandingkan konsep peradaban lainnya. Beliau sangat menekankan perlunya kaum
Muslimin mengkaji dan memahami khazanah keilmuan yang telah dicapai para ulama
Muslim yang agung pada masa lalu.
Beliau menanamkan jiwa optimisme, meskipun
Islam menghadapi serangan hebat dari berbagai penjuru. Tahun 1959, jauh sebelum
menempuh jinjang pendidikan tinggi di Barat, Prof. Naquib al-Attas sudah
mengamati kedudukan kaum Muslimin yang memilukan. Ketika itu, beliau menulis
sebuah puisi:
Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
Sebab utama yang melilit keadaan kaum
Muslimin, kata Prof. Naquib al-Attas, adalah kejahilan masyarakat Islam
terhadap Islam, sebagai agama yang sebenarnya dan peradaban yang luhur dan
agung yang telah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiyah yang mampu mewujudkan
pandangan hidup (worldview)
tersendiri yang unik.
Paparan Prof. Naquib al-Attas tentang
peradaban Barat perlu dikaji secara cermat. Sebab, apa yang disampaikannya
berpuluh tahun lalu kini banyak menjadi kenyataan. Kaum Muslimin kini disuguhi
satu tragedi intelektual yang memilukan. Begitu banyak sarjana Muslim yang
terpesona dan mengagungkan pandangan hidup Barat dan teori-teori para ilmuwan
Barat, meskipun harus mengorbankan keyakinan Islam.
Prof. Naquib al-Attas mengajak kaum Muslimin
supaya memahami Barat secara mendalam, bukan bersikap anti-Barat. Banyak hal
yang dapat diambil dan dipelajari dari Barat, tetapi bukan menciplak pandangan
hidup Barat yang mengebiri dan membunuh agama sendiri, seperti fahaman
sekularisme dan pluralisme agama.
Jika Barat maju secara fizikal dengan
membuang dan mengebiri agamanya, kaum Muslimin tidak perlu mencontohi mereka.
Sebab, Islam memang berbeza dengan Kristian. Dengan mengkaji Barat secara baik,
dan juga Islam dengan baik, menurut Prof. Naquib al-Attas, maka kaum Muslimin
tidak akan mengalami sikap rendah diri. Sebab mereka memiliki ajaran agama dan
Kitab Suci yang agung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan