Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Keimanan kita dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat
meyakini bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang
paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama
Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan
kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah
insan.
Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud:
‘Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui
(segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya!’ (Surah Al-Mulk, Ayat: 14).
A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani
Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak
penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia
mampu untuk kekal dan memberikan saham tamadunnya pada setiap zaman, tempat dan
peringkat.
B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat)
Manhaj
Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan
ciri infitah (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk
menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri infitah ini mengatasi
pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini
sebenarnya adalah cetusan dari Sibghah Rabbaniyah itu sendiri.
C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah)
Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel)
memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih
berganti Sibghah atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk
berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama
ada melalui qias atau maslahah mursalah, istihsan dan sebagainya.
D. Manhaj Islam Bersifat Syumul Atau Menyeluruh
Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membezakannya
dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi
matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang
Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui
apa yang membahagiakan dan apa juga yang mencelakakan manusia.
Sebab itu Islam sahajalah yang mampu
memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok,
baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam
negeri mahupun luar negeri.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘(Katakanlah wahai
orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah):
Celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan
siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan
Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.’ (Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).
E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia
Kemudian kita harus mengetahui dan menginsafi tentang
selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia,
baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme,
demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini adalah
kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ianya
dari ciptaan insan.
i. Kegagalan Sistem Sosial
Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai
sistem kanan atau kirinya ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan,
keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung
oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan semakin
terburai. Kasih sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan runtuh.
Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah
kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan
ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat
kerjasama dan mengutamakan orang lain.
ii. Kegagalan Sistem Ekonomi
Dalam bidang ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata
gagal dalam mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana
yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan
permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, eksploitasi
kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah
lagi.
iii. Kegagalan Sistem Politik
Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan,
demokrasi, republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab
melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap
peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri
dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa
silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri (assasination)
hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
iv. Kegagalan Sistem Ketenteraan
Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak
menanggung dosa) mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah
seperti persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan
Palestin dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab yang
menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya untuk
menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin kekuasaan
mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab terhadap pengabaian
membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi
penjajahan dan mengusir Israel dari bumi Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan