Syed Mahadzir Syed Ibrahim
‘Apakah patut orang (wanita) yang dibesarkan dalam
keadaan berperhiasan, sedang dia tidak dapat memberi alasan yang jelas dalam
pertengkaran.’ (surah Az-Zukhruf: 18) Kenyataan menunjukkan bahawa wanita
memang senang berhias sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat di atas. Islam
datang menetapkan aturan, mana perhiasan yang boleh dipakai dan mana yang
terlarang.
Berbagai Jenis Dan Bentuk Perhiasan
Dibolehkan bagi wanita untuk memakai berbagai jenis
perhiasan, baik yang terbuat dari emas, perak, mutiara atau yang lainnya. Sama
saja apakah perhiasan itu diletakkan di telinga, tangan, ataupun kakinya. Hal
ini boleh diketahui di antaranya dari hadis-hadis berikut ini:
Jabir bin Abdillah berkata: ‘Rasulullah s.a.w
solat mengimami manusia pada hari Aidil Fitri, kemudian baginda berkhutbah.
Selepas itu baginda mendatangi tempat wanita untuk memberikan peringatan dan
nasihat kepada mereka dalam keadaan baginda bersandar pada tangan Bilal.
Baginda mendorong mereka untuk bersedekah. Bilal pun membentangkan bajunya
untuk menadah sedekah tersebut.’
Ibnu Juraij yang mendengar hadis ini dari
‘Atha, rawi yang menyampaikan riwayat dari Jabir, bertanya: ‘Apakah yang mereka
berikan itu zakat Aidil Fitri?’
‘Bukan,’ kata Atha. ‘Tetapi itu adalah
sedekah mereka pada hari tersebut,’ lanjutnya.
‘Para wanita itu melemparkan cincin-cincin
mereka dan perhiasan lainnya sebagai sedekah.’ (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari
no. 978 dan Muslim no. 885)
Dalam riwayat Ibnu ‘Abbas disebutkan:
‘Rasulullah s.a.w solat dua rakaat dan tidak melaksanakan solat sunnah sebelum
dan sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dengan ditemani Bilal.
Maka baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah. Mendengar anjuran tersebut,
mulailah wanita yang hadir melemparkan anting-antingnya.’ (Sahih, hadis riwayat
Al-Bukhari no. 5883 dan Muslim no. 884)
‘Aisyah r.a pernah meminjam kalung milik
saudara perempuannya, Asma bintu Abi Bakar, untuk berhias di depan Rasulullah s.a.w.
Kalung ini kemudian jatuh dari ‘Aisyah dalam satu safar (perjalanan)-nya
bersama Rasulullah, dan dicari oleh para sahabat hingga mereka tertahan di
tempat yang tidak ada air sedangkan mereka hendak solat. Dari peristiwa ini,
turun syariat tayammum dalam Al-Quran surah AlMaidah. (Sahih, hadis
riwayat Al-Bukhari no. 336, 5882 dan Muslim no. 367)
Rasulullah s.a.w pernah mendapat hadiah dari
raja Najasyi berupa perhiasan, di antaranya ada bentuk cincin emas bertatahkan
batu permata Habasyi. Baginda mengambilnya kemudian memanggil cucunya Umamah
puteri Zainab. Lalu baginda berkata: ‘Berhiaslah dengan cincin ini wahai
cucuku.’ (hadis riwayat Abu Dawud no. 3697, dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil
dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/312)
Dalam kitab sahihnya, Imam Al-Bukhari membuat
bab khusus yang berjudul Cincin Bagi Wanita, dan baginda s.a.w
menyatakan bahawa ‘Aisyah memakai cincin-cincin emas. (Sahih Al-Bukhari dengan
Fathul Bari, 10/342)
Berkata Imam An-Nawawi: ‘Kaum wanita
diperkenankan memakai sutera dan semua jenisnya, sebagaimana dibolehkan bagi
mereka memakai cincin emas dan semua perhiasan dari emas, demikian juga dari
perak. Sama saja apakah wanita itu sudah menikah atau belum, masih muda atau
sudah tua, kaya ataupun miskin.’ (Syarah Sahih Muslim, 14/32)
Baginda s.a.w juga menyatakan bahawa kaum
muslimin bersepakat tentang bolehnya wanita memakai cincin emas. (Syarah Sahih
Muslim,14/65)
Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni (2/324)
berkata: ‘Dibolehkan bagi wanita memakai perhiasan dari emas, perak dan permata
dengan bentuk yang biasa mereka pakai, misalnya gelang tangan, gelang kaki,
anting-anting dan cincin. Termasuk juga perhiasan yang dipakai di wajah-wajah
mereka, di leher, di tangan, di kaki, di telinga mereka dan selainnya. Adapun
perhiasan yang menurut kebiasaan mereka tidak lazim dipakai seperti sabuk dan
sebagainya dari perhiasan laki-laki, maka diharamkan bagi wanita memakainya.’
Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa perhiasan
emas dan perak boleh dipakai wanita dengan kesepakatan ulama. (Majmu’ Fatawa,
25/64)
Selain emas, perak dan batu-batu seperti
berlian dan lainnya, wanita dibolehkan juga memakai perhiasan dari mutiara (al-lu’lu’).
Allah s.w.t berfirman: ‘Dan dari masing-masing laut itu (yang airnya tawar
mahupun yang asin), kalian dapat memakan daging yang segar dan kalian dapat
mengeluarkan perhiasan yang boleh kalian pakai.’ (surah Fathir: 12)
Ibnu Hazm berkata: ‘Tidak ada perhiasan yang
dikeluarkan dari laut kecuali mutiara. Maka dari ayat Al-Quran di atas, ada
penetapan halalnya mutiara ini bagi lelaki mahupun wanita.’ (Al-Muhalla,
9/246)
Di Jari Mana Diletakkan Cincin?
‘Ali berkata: ‘Rasulullah s.a.w melarangku memakai cincin
di jariku ini atau yang ini,’ sambil menunjukkan jari tengah dan jari
selepasnya (jari telunjuk).’ (hadis riwayat Al-Bukhari no. 5874 dan Muslim no.
2078)
Larangan yang disebutkan dalam hadis ‘Ali di
atas berlaku bagi laki-laki sementara bagi wanita tidak diterapkan larangan
demikian, lantaran itu Imam An-Nawawi berkata: ‘Kaum muslimin sepakat, sunnah
bagi laki-laki memakai cincin di jari kelingkingnya sedangkan wanita boleh
memakai cincin di seluruh jarinya.’ (Syarah Sahih Muslim, 14/71)
Melubangi Cuping Telinga
Dalam masalah kebolehan wanita melubangi cuping
telinganya untuk menggantungkan anting-anting, diperselisihkan oleh ulama.
Dalam Ash-Sahihain disebutkan, ketika Rasulullah s.a.w menekankan para
wanita untuk bersedekah, ada di antara mereka yang menyedekahkan anting-anting.
Hadis ini cukuplah sebagai dalil tentang bolehnya wanita memakai anting-anting.
Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah berkata:
‘Dibolehkan melubangi cuping telinga anak perempuan dalam rangka berhias,
demikian dinyatakan oleh Al-Imam Ahmad. Sedangkan untuk anak laki-laki baginda s.a.w
membencinya. Perbezaan keduanya adalah perempuan perlu akan perhiasan sehingga
ada kemaslahatan melubangi cuping telinganya. Berbeza halnya dengan anak
laki-laki.’
Baginda s.a.w juga menyatakan bila ada yang
berkata: Allah s.w.t mengkhabarkan tentang musuhnya Iblis yang pernah
menyatakan: ‘Dan sungguh aku akan memerintahkan mereka hingga mereka
benar-benar akan memotong telinga-telinga haiwan ternak mereka.’ (surah
An-Nisa: 119)
Ini menunjukkan bahawa memotong telinga,
membelah dan melubanginya merupakan perintah syaitan. Maka dijawab, bahawa qiyas
ini termasuk qiyas yang paling rosak. Kerana mereka yang diperintah oleh
syaitan untuk memotong telinga haiwan mereka dengan ketentuan bila seekor unta
betina telah beranak sebanyak lima kali, kemudian bunting lagi untuk kali ke-6
dan ternyata yang lahir adalah jantan, mereka pun membelah telinga unta betina
tersebut. Dan mereka juga mengharamkan untuk ditunggangi serta diambil
manfaatnya, tidak boleh dihalau dari sumber air yang sedang diminumnya, tidak
juga dari tanaman. Mereka mengistilahkannya dengan bahirah. Syaitan
mensyariatkan untuk mereka dengan satu syariat dari sisinya.
Jika demikian, bagaimana boleh dibandingkan
dengan perbuatan melubangi cuping telinga anak perempuan untuk diletakkan
perhiasan yang dibolehkan oleh Allah s.w.t? Adapun melubangi telinga anak
laki-laki maka tidak ada kemaslahatan padanya, baik dari aspek agama mahupun
dunia, lantaran itu tidaklah diperkenankan.’ (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil
Maulud, hal. 178-179)
Minyak Wangi
Wangi yang semerbak memberi nuansa tersendiri,
melapangkan dada, dan menyenangkan hati. Sehingga wajar bila setiap insan
menyukainya, termasuk Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik berkata, ‘Rasulullah s.a.w
pernah bersabda: ‘Wanita dan minyak wangi dijadikan sebagai kecintaanku dari
dunia ini dan solat dijadikan sebagai penyejuk mataku.’ (hadis riwayat Ahmad,
3/128. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Ash-Sahihul Musnad Mimma
Laisa fish Sahihain, 1/82)
Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menolak
bila diberikan wangian (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 5929). Baginda
menyatakan kepada sahabatnya: ‘Siapa yang ditawari raihan (minyak wangi)
maka janganlah dia menolak, kerana raihan ini ringan dibawa dan aromanya
wangi.’ (hadis riwayat Muslim no. 2253)
Hadis ini menunjukkan dimakruhkannya menolak
tawaran berupa minyak wangi terkecuali bila seseorang memiliki keuzuran hingga
dia terpaksa menolaknya, demikian dinyatakan oleh Imam An-Nawawi. (Syarah
Sahih Muslim, 15/10)
Seorang sahabat dari kalangan Anshar
mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tiga perkara yang seharusnya
dilakukan oleh seorang muslim iaitu mandi pada hari Jumaat, bersiwak, dan
menyentuh (memakai) winyak wangi jika ada.’ (hadis riwayat Ahmad 4/34,
disahihkan Syaikh Muqbil dalam Al Jami’ush Sahih, 4/309)
Seorang wanita juga disukai untuk selalu
menyebarkan keharuman dari tubuhnya di hadapan sang suami. Sehingga sepantasnya
kalau dia selalu memakai minyak wangi atau yang sepertinya dari wangian yang
diperkenankan.
Adapun perbezaan antara minyak wangi
laki-laki dengan minyak wangi wanita, disebutkan beritanya dari Anas r.a.
Beliau berkata: ‘Rasulullah s.a.w berkata kepadaku: ‘Minyak wangi laki-laki
adalah yang tercium jelas baunya dan tidak jelas (samar) warnanya. Sedangkan
minyak wangi wanita adalah yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya.’ (hadis
riwayat Al Bazzar dalam Kasyful Astar, 3/376, disahihkan oleh Asy-Syaikh
Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/308)
Berkata Al-Munawi dalam Faidhul Qadir
(3/284): ‘Sabda Rasulullah s.a.w: iaitu jelas warnanya dan tersembunyi baunya
dari laki-laki yang bukan mahram, seperti za’faran.’
Berkata Al-Baghawi dalam karyanya Syarhus
Sunnah: ‘Sa’ad menyatakan: ‘Aku berpandangan, mereka membawa pengertian
sabda Rasulullah s.a.w ini apabila si wanita hendak keluar rumah. Adapun bila
dia berada di sisi suaminya maka dia boleh memakai minyak wangi atau wangian
apa saja yang diinginkan.’
Dalam syariat yang mulia ini, diharamkan bagi
wanita bila tercium wanginya oleh laki-laki selain mahramnya. Bahkan wanita
yang memakai wangian kemudian sengaja melalui sekumpulan lelaki yang bukan
mahramnya dikatakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai wanita penzina.
‘Setiap mata itu berzina. Bila seorang wanita
memakai wangian kemudian dia melalui majlis laki-laki (yang bukan mahramnya)
maka wanita itu begini dan begitu.’ (hadis riwayat At-Tirmidzi no. 2937, disahihkan
oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi, no. 2237)
Dalam riwayat Ahmad (4/414) disebutkan:
‘Wanita mana saja yang memakai wangi-wangian, kemudian dia melalui satu kaum
agar mereka mencium wanginya, maka wanita itu penzina.’ (Dihasankan oleh
Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/311)
Mengapa si wanita disebut demikian? Kerana
dia mengobarkan syahwat lelaki dengan aroma yang berasal dari wangian yang
dipakainya. Sehingga mereka terpancing untuk memandangnya. Bila demikian, si lelaki
menjadi berzina dengan kedua matanya dan si wanitalah penyebabnya, maka dia
berdosa. Demikian kata Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi (8/58).
Lantaran itu Rasulullah s.a.w melarang wanita
yang ingin ikut solat berjemaah di masjid memakai minyak wangi sebagaimana
sabdanya: ‘Apabila salah seorang dari kalian (para wanita) ingin ikut solat
Isya berjemaah (di masjid), maka janganlah dia memakai minyak wangi pada malam
itu.’ (Sahih, hadis riwayat Muslim no. 443)
Pun baginda melarang wanita yang terlanjur
memakai wangian untuk hadir dalam solat berjemaah di masjid. ‘Wanita siapa saja
yang memakai wangian maka jangan dia hadir bersama kami dalam solat Isya.’
(Sahih, hadis riwayat Muslim no. 444)
Semua aturan ini ditetapkan untuk menutup pintu fitnah,
agar kaum lelaki tidak terfitnah dengan wanita dan demikian juga sebaliknya.
Demikian apa yang dapat penulis jelas dan susun untuk pembaca, semoga Allah s.w.t
menjadikannya bermanfaat.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan