SMAHADZIR
WAHSYI BIN HARB, terkenal dalam sejarah sebagai seorang
hamba kulit hitam yang telah membunuh dengan kejam Saiyidina Hamzah r.a., bapa
saudara Rasulullah s.a.w.
Ketika terjadinya Perang Uhud, Hindun telah menawarkan
kepada Wahsyi agar membunuh Saiyidina Hamzah r.a. dan sebagai ganjarannya dia
akan dimerdekakan. Wahsyi yang memang menunggu-nunggu peluang keemasan itu
telah menerima tawaran tersebut. Wahsyi segera berangkat ke medan Uhud secara
sembunyi-sembunyi dan mencari-cari Saiyidina Hamzah.
Akhirnya dia mengenal pasti orang yang dicari iaitu Saiyidina
Hamzah r.a. bapa saudara kepada Rasulullah s.a.w. Wahsyi mula mencari tempat
yang paling strategi iaitu dengan berlindung di sebalik batu. Beliau menunggu
masa yang sesuai untuk bertindak. Setelah cukup yakin, beliau pun melemparkan
lembingnya tanpa disedari oleh Saiyidina Hamzah r.a. dan lembing itu tepat
mengenai sasarannya.Saiyidina Hamzah rebah ke bumi lalu syahid.
Wahsyi segera memberitahu tuannya, lalu datanglah Hindun
mendapatkan jasad Saiyidina Hamzah yang sudah tidak bernyawa itu. Dibelahnya
dada Saiyidina Hamzah r.a. dengan kejam dan tanpa belas kasihan terus
dikeluarkan jantungnya. Kemudian dengan rakus sekali dia mengunyah jantung Saiyidina
Hamzah r.a. kerana hendak memakannya, tetapi dia tidak mampu menelannya.
Setelah hatinya puas, Hindun pun meninggalkan mayat bapa saudara Rasulullah
s.a.w. itu.
Setelah peperangan tamat, kesemua para syuhada dikumpulkan
untuk dikebumikan. Rasulullah s.a.w. terasa amat hiba dan sedih apabila melihat
mayat bapa saudaranya itu diperlakukan sedemikian rupa. Rasulullah s.a.w.
menanggung kedukaan yang sangat hebat yang tidak dapat digambarkan oleh
kata-kata.
Ketika hari pembukaan (futuh) Mekah, Rasulullah s.a.w. telah mengutus seseorang kepada
Wahsyi untuk menyerunya kepada Islam. Akhirnya Wahsyi memeluk Islam, lalu
dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bertanya, “Kamukah yang bernama
Wahsyi?”
“Ya,” jawab Wahsyi.
“Kamukah yang telah membunuh bapa saudaraku Hamzah?”
tanya Rasulullah s.a.w.
“Benar,” jawab Wahsyi.
“Ceritakan kepadaku bagaimana kamu melakukan pembunuhan
itu,” pinta Rasulullah s.a.w.
Wahsyi pun menceritakan satu persatu apa yang telah dilakukan
kepada bapa saudara Nabi itu, bagaimana tubuh bapa saudara baginda dilapah
dengan kejam oleh Hindun dan dimakan hati dan jantungnya.
Selesai sahaja bercerita, Rasulullah s.a.w. yang dalam
keadaan teramat sedih berkata kepadanya: “Pergilah kamu dari sini. Jangan
engkau muncul lagi di hadapan mataku.”
Hancur luluh hati Wahsyi mendengar kata-kata yang keluar
dari mulut baginda. Namun dia akur dan insaf bahawa perbuatannya dahulu telah
menyakiti hati ‘orang Tuhan’ iaitu Rasulullah s.a.w. Walaupun dosanya telah
diampunkan lantaran memeluk Islam, tetapi atas kasih sayang Rasulullah s.a.w.,
dia dilarang menampilkan diri di hadapan baginda, takut-takut perasaan
Rasulullah s.a.w. tercacat apabila terpandang wajahnya. Mencacatkan hati orang
Tuhan sangat besar akibatnya kerana itu bererti mencacatkan ‘hati’ Tuhan. Orang
yang cacat dengan Tuhan tidak akan selamat di dunia lebih-lebih lagi di
Akhirat.
Lalu Wahsyi yang sedar akan kedudukannya, redha menerima
ketentuan itu. Dia memperbaiki dirinya dan meningkatkan ketakwaannya kepada
Tuhan. Sewaktu-waktu menghadiri majlis baginda, Wahsyi mengintai-ngintai dari
jauh untuk melihat wajah Rasulullah s.a.w. Semakin hari hatinya semakin cinta
dengan Nabi s.a.w. Dan semakin hari hatinya juga semakin rasa berdosa terhadap
baginda atas perbuatannya dahulu. Lalu timbul azam di hatinya untuk menebus
kembali dosa-dosanya itu dengan melakukan sesuatu yang akan menggembirakan
baginda.
Wahsyi bertekad dan berazam tidak akan pulang lagi ke
Kota Mekah demi untuk merebut cinta kekasih Allah s.w.t. iaitu Muhammad s.a.w.
Beliau benar-benar ingin menebus kesalahannya dengan menyebarkan Islam.
Keazaman Wahsyi itu telah dibuktikannya dengan menjelajah ke seluruh pelosok
dunia untuk berdakwah mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam, hingga
akhirnya beliau mati di luar Jazirah Arab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan