SMAHADZIR
DIA membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi
ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.
Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga seperti
memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.
Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang
paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja
menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang
Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah s.w.t.
Malam-malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan
sembahyang, puasa, membaca Al-Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya
mengalunkan irama Al-Quran.
Sewaktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan
pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar
mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah s.a.w. Setelah
berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan
penuh ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah s.w.t.,
suaminya Saiyidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah s.a.w. yang
diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam.
Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh
suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap
redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra
daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r. ha, saat-saat
berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah s.w.t.
untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang pemergian Saiyidina Ali itu, hanya anak-anak
yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya
Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk
mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari
perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang
terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan
tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.
Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu
pengisar gandum, Rasulullah s.a.w. datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina
Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu
kepada Rasulullah s.a.w. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung,
mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah
s.a.w. dapat menyampaikan kepada Saiyidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan
untuknya seorang pembantu rumah.
Rasulullah s.a.w. merasa belas terhadap penanggungan
anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki
kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat.
Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya,
mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah r.a sambil memberikan harapan
dengan janji-janji Allah s.w.t. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir
yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa
ringan. Ketaatannya kepada Saiyidina Ali menyebabkan Allah s.w.t. mengangkat
darjatnya.sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan
kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga
menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina
Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri
apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang tatkala
orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah
dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering
kelaparan. Memang sesuai sekali pasangan Saiyidina Ali ini kerana Saiyidina Ali
sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai ‘Bapa kepada janda dan
anak yatim’ di Madinah.
Namun, pernah suatu hari, Saiyidina Fatimah telah
menyebabkan Saiyidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari
kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali.
Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan
berlari-lari anak dia mengelilingi Saiyidina Ali. Tujuh puluh kali dia ‘tawaf’
sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu,
tersenyumlah Saiyidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
“Wahai Fatimah, kalaulah tatkala itu engkau mati sedang
Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu,”
Rasulullah s.a.w. memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu
sampai ke pengetahuan baginda.
Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan
Allah s.w.t. sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu
perlu berhati-hati dan sangat berhalus sewaktu berdepan dengan suami. Apa yang
dilakukan Saiyidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga
dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau
lain-lain kerenah yang menyusahkan Saiyidina Ali. Pun Rasulullah s.a.w. berkata
begitu terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama
merawat luka Rasulullah s.a.w. Dia juga turut bersama Rasulullah s.a.w. semasa
peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan ‘Haji Wida’
pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah
s.a.w. telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika
itu Rasulullah s.a.w. membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.a yang
membuatkannya menangis, kemudian Nabi s.a.w. membisikkan sesuatu lagi yang
membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan
kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa
dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa’,
gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah
kewafatan Nabi s.a.w., dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi’,
Madinah.
Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum
tercatat dalam Al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah s.w.t. Sengaja
dibuat begitu oleh Allah s.w.t. kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu,
hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan
wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta
membangga diri atau bersenang-senang.
Sebaliknya,
dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah s.w.t. untuk
sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri),
tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar
bertakwa kepada Allah s.w.t. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di
akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah s.w.t., merasa terhibur
dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi
larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan