SMAHADZIR
YUNUS BIN MATTA adalah seorang nabi yang di utuskan oleh Allah
s.w.t. untuk berdakwah di sebuah tempat bernama Niwana. Nabi Yunus seorang
pendatang ke Niwana semata-mata atas perintah Allah s.w.t. untuk berdakwah kepada
penduduknya.
Nabi Yunus mendapati penduduk Niwana merupakan manusia
yang menyekutukan Allah s.w.t. dengan menyembah berhala. Nabi Yunus mengajar
mereka tentang ilmu tauhid dan keimanan. Nabi Yunus juga memberi nasihat kepada
mereka tentang kebodohan mereka menyembah berhala sedangkan berhala itu adalah
hasil buatan manusia.
Nabi Yunus menasihatkan mereka bahawa berhala tersebut
tidak dapat memberi apa-apa manfaat kerana berhala itu tidak boleh bergerak dan
berkata-kata. Nabi Yunus mengingatkan mereka supaya menyembah Allah s.w.t. yang
telah menciptakan manusia dan Allah s.w.t. sajalah yang wajib ditaati.
Oleh kerana ajaran yang di bawa oleh Nabi Yunus itu
ajaran baru, maka tidak ramai manusia yang mahu menerimanya. Mereka lebih suka
menyembah berhala-berhala yang di sembah oleh datuk nenek mereka secara turun
temurun.
Walaupun Nabi Yunus memberi nasihat, tetapi mereka tetap
berkeras dengan berkata, “Ini adalah Tuhan kami (yakni berhala-berhala), datuk
nenek kami telah lama menyembah Tuhan-Tuhan kami dan kami tetap tidak akan
berganjak dari meninggalkan agama kami,”
Nabi Yunus berkata, “Aku hanya menyampai apa yang Allah
s.w.t. menyuruh aku sampaikan kepada kamu semua, oleh itu kamu beriman dan
bertauhidlah menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah s.w.t.,”
Berkata Nabi Yunus lagi, “Aku ini hanyalah pesuruh yang
mana Allah s.w.t. telah perintahkan kepadaku supaya menyelamatkan kamu semua
daripada lembah kesesatan dan lembah kegelapan serta menyiarkan kepada kamu
tentang agama yang suci bersih lagi murni dan membersihkan hati-hati kamu dari
kufur dan syirik, demi untuk kebaikan kamu di dunia dan di akhirat.”
Walaupun Nabi Yunus telah memberi nasihat serta
pengajaran supaya kembali ke pangkal jalan, mereka tetap dengan pendiriannya
dan berkata, “Walau apa sekalipun kamu katakan kepada kami, kami tetap tidak
akan berganjak dari agama kami dan kami juga tidak takut walau apa pun ancaman
yang kamu katakan dan kalau mahu cubalah datangkan ancaman itu kepada kami,
kalau kamu memang orang yang benar.”
\
Setelah Nabi Yunus melihat keadaan mereka yang tidak
menerima peringatannya itu, maka Nabi Yunus pun meninggalkan Niwana dengan rasa
amat marah. Nabi Yunus berdoa kepada Allah s.w.t. supaya mereka yang keras
kepala menerima hukuman yang sewajarnya.sejak Nabi Yunus meninggalkan Niwana
mereka gelisah melihatkan perubahan yang berlaku di tempat tinggal
masing-masing.
Penduduk melihat Niwawa mengalami kegelapan, binatang
peliharaan mereka juga seperti tidak tenteram dan di tambah pula dengan angin
yang sangat kuat serta guruh yang mengegarkan. Dengan berlakunya
perkara-perkara ini maka tahulah mereka bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi
Yunus itu adalah ajaran yang benar dan bukan satu ajaran yang direka. Akhirnya
mereka menyesal dan keluar beramai-ramai dari kota pergi ke bukit lalu meminta
ampun dan rahmat Allah s.w.t. agar dijauhkan daripada sebarang malapetaka.
Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan hamba-Nya yang menyesal
dan mohon ampun dari-Nya, maka Allah s.w.t. pun menerima permintaan mereka,
lalu Niwana yang gelap bertukar menjadi cerah, binatang ternakan tidak lagi
dalam ketakutan dan mereka kembali tenang.
Akhirnya mereka semua kembali dengan bersyukur kepada
Allah s.w.t. yang telah menyelamatkan mereka dari bahaya malapetaka. Nabi Yunus
telah meninggalkan Niwana membawa diri tanpa tujuan.
Baginda naik bukit turun bulit, naik gunung turun gunung
dan akhirnya ia sampai di pantai. Kebetulan pada masa itu dia melihat sebuah
kapal hendak belayar, maka dia pun menghampiri pemilik kapal itu untuk turut
serta belayar bersamanya. Setelah diberi keizinan maka Nabi Yunus menumpang
kapal tersebut. Dalam pelayaran itu, kapal yang ditumpangi Nabi Yunus telah
dilanda ribut taufan yang kuat.
Oleh itu kapten kapal telah memutuskan supaya barang yang
dibawa hendaklah dikurangkan. Ini termasuk penghuni kapal kapal tersebut. Satu
pengundian telah dibuat dan dalam undian tersebut Nabi Yunus dipilih sebagai
orang yang harus dibuang ke laut. Oleh sebab Nabi Yunus adalah orang yang
sangat dihormati dan disanjung, maka mereka mengadakan pemilihan sekali lagi
dan kali kedua Nabi Yunus tetap terpilih.
Maka mereka mengundi sekali lagi dan akhirnya Nabi Yunus
tahu bahawa ia adalah kehendak Allah s.w.t. Nabi Yunus memikirkan kesalahannya
kerana meninggalkan Niwana tanpa mendapat persetujuan Allah s.w.t. Ia berfikir
keputusan undi itu adalah disebabkan untuk menebus dosa yang telah
dilakukannya. Nabi Yunus beristikharah, tanpa ragu-ragu Nabi Yunus terjun ke
dalam laut yang sedang bergelombang ganas.
Ketika Nabi Yunus sedang berlawan dengan gelombang, maka
Allah s.w.t. mengarahkan seekor ikan nun (yu) supaya menelan Nabi Yunus
hidup-hidup, maka ikan nun yang muncul itu pun menelan Nabi Yunus dan
menyimpannya dalam perut tanpa ada cacat-celanya.
Ketika Nani Yunus berada dalam perut ikan nun dia berdoa
kepada Allah s.w.t. supaya mengampuni dosa yang telah dilakukan. Lalu Nabi
Yunus membaca doa: “Tidak ada Tuhan yang benar disembah hanya Engkau ya Allah, Maha
Suci Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku.”
Maka Allah s.w.t. perkenankan permintaannya dan Allah
s.w.t. lepaskan dia daripada kedukaan. Demikianlah Allah s.w.t. selamatkan
orang yang beriman. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Nama Tuhan yang
mulia, siapa yang berdoa dengan nama itu akan diperkenankan doanya. Siapa yang
meminta dengan nama itu, akan diberi apa yang diucapkan oleh Nabi Yunus dalam
perut ikan nun.”
Firman Allah s.w.t. bermaksud “Jika tidak kerana dia
(Nabi Yunus) daripada orang yang selalu mengucapkan tasbih, nescaya tidaklah ia
dapat keluar dari perut ikan sampai hari kiamat.”
Setelah beberapa lama Nabi Yunus berada dalam perut ikan
nun, maka Allah s.w.t. pun melemparkan Nabi Yunus ke darat. Di tempat Nabi
Yunus dilemparkan Allah s.w.t. menghidupkan pokok labu yang dapat Nabi Yunus bernaung
di bawahnya dan dapat pula ia makan buat tersebut dan kembali segar. Ketika
Nabi Yunus dilemparkan ke darat keadaannya amat letih.
Setelah Nabi Yunus berasa segar kembali maka Allah s.w.t.
telah memerintahkannya supaya kembali ke Niwana. Nabi Yunus terkejut kerana
penduduk sedang menanti kepulangannya. Penduduk tersebut meminta Nabi Yunus
mengajar untuk menyempurnakan akidah dan imam mereka. Nabi Yunus berasa hairan
kerana penduduk Niwana dahulunya terdiri daripada orang yang ingkar dengan
perintah Allah s.w.t. tetapi kini hidup dan mati mereka semata-mata kerana
Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan