SMAHADZIR
“BAGAIMANA kamu kufur (ingkar) dengan Allah s.w.t. dan
adalah kamu itu mati maka kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan kemudian
kamu dihidupkan kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah: Ayat
28)
Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulama adalah benar
dan wujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan
kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah s.a.w. diriwayatkan masih
mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung
akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat
Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini
sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut
secara sendirian.
Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk
mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan
kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal
untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk
mengkafankan bahagian mukanya.
Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya
Allah tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan
adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia
dalam perjalanan menghadap Allah s.w.t. Walau bagaimanapun semua tanda-tanda
ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir
iaitu orang yang menyekutukan Allah s.w.t. nyawa mereka ini akan terus di
rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah
s.w.t.
Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan:
Tanda 100 hari sebelum hari mati. Ini adalah tanda
pertama dari Allah s.w.t. kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka
yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda
ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku
lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung
kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging
lembu yang baru disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan
mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan
bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati
maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran
tanda ini.
Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang
hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap
begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda
ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk
mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan
sesudah mati.
Tanda 40 hari sebelum hari mati. Tanda ini juga akan
berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada
ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di
atas Arash Allah s.w.t. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula
membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita
sepanjang masa.
Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan
wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan
merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma
seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah
nyawa yang akan dicabutnya.
Tanda 7 hari. Adapun tanda ini akan diberikan hanya
kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang
tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.
Tanda 3 hari. Pada ketika ini akan terasa denyutan di
bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini
dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak
mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan
memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi
dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan
jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur
akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
Tanda 1 hari. Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana
kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan
ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu
Asar keesokan harinya.
Tanda Akhir. Akan berlaku keadaan di mana kita akan
merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang
dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus
mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan
malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah s.w.t. yang telah
menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali,
mengucap dalam keadaan qiam and jangan lagi bercakap-cakap. Sesungguhnya
marilah kita bertakwa dan berdoa kepada Allah s.w.t. semoga kita adalah di
antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah s.w.t. yang akan diberi
kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat
persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan sama ada dari Allah s.w.t.
mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.
Walau bagaimanapun sesuai dengan sifat Allah s.w.t. yang
Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa
tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu
sama ada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah
ketentuan Allah s.w.t. semata-mata.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa
semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah s.w.t. serta kelapangan masa
dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari
keredhaan Allah s.w.t. sama ada di dunia mahupun akhirat. Apa yang baik dan
benar itu datangnya dari Allah s.w.t. dan apa yang salah dan silap itu adalah
dari kelemahan manusia itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan