SMAHADZIR
SEBAIK sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau
pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata:
“Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas
aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak
sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya
engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang
turut memikul beban umat.”
Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga
wafatnya, tidak pernah tidur bersama dengannya.
Khadam (pembantu) kepada Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz
merasa hairan kerana di malam hari titisan air mata khalifah itu sering jatuh
menimpanya yang tidur di pangkin bawah.
Apabila khadam itu bertanya kepada Saiyidina Umar Ibnu
Abdul Aziz beliau menjawab, “Amanah Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada diriku
seperti anggota tubuh, anak isteri dan sedikit harta benda. Aku cemas
kalau-kalau aku tidak dapat menjawabnya di hadapan Allah s.w.t. Betapalah kini
aku sedang memikul beban dan tanggungjawab umat Muhammad, seluruh urusan umat
ini Allah s.w.t. akan tanya kepada aku satu persatu, bolehkah aku melelapkan
mata, lantaran aku menanggung segala beban umat ini.”
Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz setiap minggu akan duduk
berkumpul bersama para ulama untuk mendengar nasihat dan tarbiyah terutamanya
dari kalangan ulama sufi. Kerana ulama sufi sering sahaja bercerita mengenai
kehidupan akhirat. Di sini juga memperlihatkan betapa pada zaman beliau para
ulama sangat jujur dan berperanan mendidik masyarakat termasuk kepada pemimpin.
Suatu hari seorang ulama sufi bercerita mengenai nasib
tiap-tiap khalifah sebelumnya yang diperolehi melalui mimpi. Kata ulama
tersebut: “Aku melihat dalam mimpi betapa Khalifah Abu Bakar melalui Siratal
Mustaqim dan beliau melepasinya. Begitu juga aku melihat giliran Khalifah Umar
r.a melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya dengan selamat. Diikuti
pula oleh Khalifah Uthman dan beliau juga selamat. Khalifah Ali r.a juga aku
lihat selamat melepasi Siratal Mustaqim.”
Sambungnya lagi: “Selepas itu aku lihat tiba pula giliran
tuan untuk melalui Siratal Mustaqim...”
Tiba-tiba saja Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz berkata,
“Aku bagaimana yang engkau lihat?”
Ulama sufi itu dengan tenang bercerita, “Aku lihat
tuan...”
Belum habis ulama sufi itu bercerita, tiba-tiba Saiyidina
Umar Ibnu Abdul Aziz menjerit, “Allahu Akbar” lalu beliau jatuh pengsan.
Beberapa ketika selepas itu beliau kembali membuka
matanya dan bertanya, “Terus ceritakan apa yang kamu lihat mengenai aku.”
Ulama sufi itu mengulangi lagi cerita mimpinya, “Apabila
sampai giliran tuan, aku lihat...”
Sekali lagi Saiyidina Umar Ibnu Abdul Aziz jatuh pengsan.
Setelah beliau kembali membuka mata dan bertanya mengenai
nasib dirinya ketika melalui Siratal Mustaqim, ulama sufi itu tidak mengulangi
ceritanya seperti sebelum ini. Sebaliknya ulama sufi itu menjawab dengan
ringkas sahaja, “Tuan selamat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan