Khamis, 17 Oktober 2013

Orang Yang Terbaik

SMAHADZIR


HAZRAT UTHMAN R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Yang terbaik di antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya,” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nisai dan Ibnu Majah)

Keterangan

Dalam kebanyakan kitab, hadis ini dinyatakan dengan perkataan ‘wau’ yakni ‘dan’ sebagaimana yang diterjemahkan di atas. Dalam keadaan ini ganjaran yang besar adalah bagi sesiapa yang belajar Al-Quran yang mulia dan kemudiannya mengajarkan kepada orang lain.

Namun demikian, dalam sesetengah kitab, hadis ini di riwayatkan dengan perkataan ‘alif wau’ yakni ‘atau’ yang memberi makna ‘yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran atau yang mengajarkan Al-Quran kepada orang lain. Setiap orang daripada mereka akan mendapat kelebihan dan ganjaran tersendiri.

Sebenarnya Al-Quran itulah Islam. Oleh itu, agama Islam bergantung sepenuhnya kepada pengekalan dan penyebaran Al-Quran. Oleh kerana itu, sudah jelaslah tentang kedudukan terbaik bagi orang yang mempelajari Al-Quran atau mengajarkannya dan tidak perlu kepada sebarang penjelasan lagi.

Walau bagaimanapun terdapat darjah kedudukan yang berlainan. Darjah yang terbaik ialah mempelajari Al-Quran dengan makna dan maksudnya dan darjah yang terendah ialah mempelajari lafaznya sahaja.

Mulla ‘Ali Qari menukilkan satu hadis lain bahawa sesiapa yang telah memperolehi ilmu Al-Quran, telah menyimpan ilmu kenabian di kepalanya. Hazrat Sahl bin Tustari rah. berkata “Tanda cinta kepada Allah s.w.t. ialah wujudnya cinta terhadap perkataan Allah s.w.t. di dalam hati,”

Dalam kitab ‘syarah Ihya Ulumuddin’ terdapat senarai orang yang akan diberi perlindungan di bawah naungan Arash Allah s.w.t. pada hari pengadilan yang menggerunkan, antara mereka adalah orang yang mengajar Al-Quran kepada kanak-kanak Islam dan juga mereka yang belajar Al-Quran semasa usia muda dan terus mengambil berat untuk membaca Al-Quran apabila sudah dewasa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA