SMAHADZIR
BANYAK perkara yang manusia ketahui tetapi tidak tahu
rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka
tidak tahu rahsianya ialah:
1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan
nafsunya.
2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah
penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam syurga. Sebaliknya kalau
dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke neraka.
3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan
anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua
yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.
4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir
dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam
mengurusnya.
5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya.
Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang
sama dia sedang memakai sifat itu.
6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih
berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.
7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal
dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai
seperti profesor pun dirosakkannya.
8. Bangsa yang mempunyai sifat takwa dan ilmu akan menguasai manusia lain.
Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai
bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.
9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang
memiliki Allah s.w.t., jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia
ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki
Tuhan.
10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang
membunuh orang lain.
11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu
rahsianya. Iaitu dengan iman dan takwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin
menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar,
orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan
pemuda-pemudi memberi tenaga.semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap
orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang,
anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap
anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan
berbincang.
12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal
dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.
13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan,
kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati, dan tidak diganggu. Namun adakalanya
manusia itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan
oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila
seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang
keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila
orang kaya bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut
sama menanggung. Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu
keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak
bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan.
Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan