SMAHADZIR
KUTBAH ini disampaikan pada 9 Zulhijah Tahun 10 Hijrah di
Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku
katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua
selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari
ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan
kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai
amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak
menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu
dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah s.w.t. telah mengharamkan riba, oleh itu segala
urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap
syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan
kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri
kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian
dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah
lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu
kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang
melakukan zina.
Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini, sembahlah Allah s.w.t., dirikanlah sembahyang lima kali
sehari, berpuasalah pada bulan Ramadan!, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan
kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada
muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia
dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh. Ingatlah bahawa kamu
akan mengadap Allah s.w.t. pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas
segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali
kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang
akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada
kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak
akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnah ku. Hendaknya
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga
yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar
dariku.
Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah kusampaikan
risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan